Perceraian suami isteri melalui sistem pesanan ringkas (SMS) sedang hangat diperkatakan. Persoalannya, wajarkah perceraian dengan cara begini diterima? Adakah ia sah atau jatuh talak dari segi syariah? Di kalangan kaum Hawa mereka mengganggap ia satu penghinaan terhadap wanita. Perceraian adalah satu bentuk pemutusan hubungan pernikahan antara suami dan isteri.

Perceraian terjadi kerana talak yang dijatuhkan oleh pihak suami dan ia juga terjadi kerana gugatan daripada pihak isteri. Walaupun Islam membenarkan perceraian sebagai jalan keluar dalam keadaan darurat daripada kekalutan rumah tangga, namun hakikat di sebalik itu – talak tidaklah disukai dan sangat dibenci Allah s.w.t. kerana merosak hubungan baik dan kemaslahatan antara suami isteri.

Daripada Umar, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Perbuatan halal yang dibenci Allah ialah talak. (Riwayat Abu Daud dan Hakim). Hadis ini sentiasa menjadi peringatan yang kuat kepada mereka yang tergesa-gesa dan sewenang-wenangnya menyalahgunakan kebenaran perceraian.

Matlamat syariah adalah untuk mewujudkan unit keluarga yang kukuh melalui perkahwinan, tetapi jika tujuan ini gagal disebabkan beberapa keadaan, perkahwinan ini tidak perlu diteruskan secara berpura-pura, seperti yang diamalkan oleh sesetengah pengikut agama lain yang tidak membenarkan perceraian.

Islam menggalakkan perdamaian di antara suami isteri dan tidak menggalakkan mereka memutuskan hubungan itu. Namun begitu, jika hubungan baik antara suami isteri tidak dapat diteruskan, Islam tidak mengikat mereka dengan ikatan yang sangat dibenci yang menimbulkan penderitaan dan keperitan. Oleh sebab itu, Islam membenarkan perceraian. Ini disebut dengan jelas dalam kitab suci al-Quran. Apabila ketidaksefahaman antara suami isteri menjadi serius sehingga menjejaskan perhubungan mereka, Allah memerintahkan penimbang tara dilantik untuk menguraikan kekusutan ini sambil mendamaikan mereka, Allah berfirman yang bermaksud: Dan jika kamu ketahui ada perselisihan di antara kedua-duanya (suami isteri), maka kirimlah seorang penimbang tara daripada keluarga lelaki dan seorang penimbang tara daripada keluarga perempuan. Jika kedua-dua penimbang tara itu menghendaki perdamaian, nescaya Allah memberi taufik kepada suami isteri itu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenali. (Surah an-Nisa ayat 35)

Jika penimbang tara gagal menyatukan semula pasangan suami isteri itu, al-Quran membenarkan suami isteri itu berpisah (bercerai). Allah berfirman yang bermaksud: “Jika kedua-duanya bercerai, maka Allah akan memberi kesenangan kepada setiap orang daripada mereka daripada limpah kurnia-Nya. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Bijaksana.” (Surah an-Nisa ayat 130)

Ketika di peringkat perpisahan, al-Quran memerintahkan agar si suami tidak menyalahgunakan kuasa mereka dengan meninggalkan si isteri tergantung di awang-awangan, tetapi lebih baik membebaskannya dengan apa cara sekalipun.

Jumhur ulama termasuk Maliki, Syafei dan Hambali mengatakan bahawa talak termasuk hal yang diizinkan, tetapi lebih baik tidak melakukannya kecuali jika terpaksa, kerana ia akan merosakkan hubungan kasih sayang. Kerana itu, menurut mereka, hukum talak dapat berubah menjadi haram, makruh, wajib dan sunat.

Haram apabila akibat talak itu akan menyebabkan dia melakukan perbuatan zina atau talaknya talak bidi. Makruh jika dia sebenarnya suka dengan pernikahan itu, atau apabila dia sedang mengharapkan keturunan atau ia tidak khuatir berbuat zina jika bercerai.

Wajib jika ia sudah tidak mampu lagi untuk memberi nafkah atau kerana sumpah ila tidak menggauli isterinya lebih daripada empat bulan. Sunat apabila isterinya adalah seorang yang ucapan-ucapannya kotor sehingga dia khuatir akan melakukan perbuatan terlarang jika masih bersamanya.

Melafaz talak melalui SMS tidak seharusnya berlaku kerana ikatan perkahwinan dalam Islam jauh dari sikap emosional. Seorang Muslim sejati seharusnya memiliki kesopanan, budi, kesabaran dan kekuatan diri dalam menangani persoalan ini. Seseorang itu mungkin tidak menyukai sesuatu dan cuba untuk menjauhinya padahal dari segi kenyataannya ia mengandungi banyak kebaikan dan rahmat.

Bergaullah dengan isteri kamu menurut yang sepatutnya. Kalau kamu benci kepada mereka (hendaklah kamu bersabar), kerana boleh jadi kamu benci pada sesuatu sedang Allah menjadikan kebaikan yang banyak di dalamnya. (Surah an-Nisa ayat 19)

Ketika seseorang datang kepada Umar bin Khattab dan bercerita kepadanya bahawa dia ingin menceraikan isterinya kerana tidak menyukainya, Umar bertanya: “Celaka kamu! Bukankah keluarga hanya dibangun atas dasar cinta? Di mana pertimbangan dan perhatianmu?”

Namun, tidak dinafikan ada masanya, seorang suami tidak dapat meneruskan lagi hubungan mesra dengan isterinya. Ini merupakan sebahagian daripada sifat semula jadi manusia. Walaupun kemajuan saintifik dan kejayaan yang dicapai, namun kelemahannya sebagai manusia adalah jelas.

Catatan Ibnu Abbas

Translate »