Asabiyah adalah istilah bahasa Arab daripada akar kata ‘asabah’ yang bermaksud kerabat pihak bapa. Secara harfiah asabiyah bererti perpaduan atau fanatisme kesukuan atau kepuakan secara membuta tuli.
Fanatisme ini melahirkan sikap pembelaan secara mati-matian terhadap segala hal yang dianggap sebagai milik sukunya sendiri terutama berkaitan dengan nilai, tradisi, harta benda dan kekuasaan.
Dalam istilah sosiologi, ia turut dikenali dengan konsep etnocentrisme dan culturcentrisme. Istilah etnocentrisme membawa konsep bahawa suku kaum atau bangsa mereka sahajalah yang terbaik manakala bangsa atau kaum lain mestilah dipandang remeh, jijik dan penuh kelemahan.
Fahaman ini mengingatkan kita kepada konsep bangsa pilihan, yang kini menjadi amalan dan pegangan kuat kelompok Yahudi yang memperjuangkan faham zionisme, iaitu kelompok yang mendokong kelahiran negara Israel.
Fahaman etnik membawa kepada konsep rasis atau perkauman. Konsep ini telah diakui sebagai suatu bentuk yang boleh menyebabkan konflik, ketegangan dan seterusnya peperangan. Ini dapat dilihat pada zaman perluasan agama Kristian, kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai Protestan tidak boleh menerima mereka dalam kelompok Katholik. Kedua-dua kumpulan pecahan ini sering bergaduh, berperang dan berbunuhan meskipun mereka daripada asas agama yang sama, iaitu yang diajarkan oleh Nabi Isa a.s dari Nazareth.
Sebelum kedatangan Islam, bangsa Arab pagan sering bertelagah sesama sendiri kerana kehidupan mereka adalah berasaskan keturunan dan nasab keluarga. Mereka hidup secara berkabilah dan setiap kabilah mempunyai norma kumpulannya yang tersendiri, yang wajib dipatuhi tanpa soal.
Keadaan ini turut dikembangkan dalam konteks politik moden apabila kita meneliti perilaku penyokong, pengikut dan pemimpin parti politik. Misalnya, dalam kes pengosongan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, penyandangnya sanggup mengosongkan kerusi hanya kerana mahu memberikan laluan untuk Anwar Ibrahim bertanding.
Kita melihat pelbagai sebab telah dikemukakan bagi merasionalkan kewajaran mengosongkan tempat dan membawa masuk Anwar. Daripada sekecil-kecil alasan untuk mengawal selia kuasa wakil rakyat parti berkenaan hinggalah kepada menjaga kepentingan kuasa agar Selangor dapat dipertahankan daripada ancaman parti lawan.
Walaupun Anwar terlalu banyak kelemahan, beliau tetap dianggap `superhebat’ dan `superkuat’.
Inilah yang dilihat sebagai politik jumud dan ketaksuban melulu, menyamai konsep asabiyah dalam kamus politik Islam.
Kepercayaan dan keyakinan itu membawa tafsiran tentang ketaksuban penyokong terhadap pemimpin sehingga orang lain tidak penting. Sikap itu menyebabkan nilai-nilai asabiyah semakin kental dan dipertahankan kerana sesiapa sahaja yang mungkin berbeza pandangan dan berseberangan pendapat, akan berhadapan kemungkinan disingkirkan.
Menurut pemahaman perkataan asabiyah, sebagaimana diterangkan dalam sebuah hadis: “Bukan termasuk umatku bagi sesiapa yang menyerukan kepada asabiyah” (Hadis riwayat Abu Daud).
Hadis ini menjelaskan, sesiapa sahaja yang mengajak berkumpul atau bersekongkol dalam kerangka asabiyah, maka sama ertinya menolong orang yang zalim. Rasulullah SAW memberikan pengertian dengan jelas apabila ditanya oleh Wathilah bin al-Asqa’: Wahai Rasulullah! Apakah kecintaan kami kepada kaum itu dikatakan al-asabiyyah? Sabda baginda: “Tidak, sebaliknya asabiyah itu ialah apabila kamu menolong kaummu atas kezaliman” (Hadis Hasan riwayat Abu Daud).
Budaya politik asabiyah seperti inilah yang seringkali menjerumus umat ke dalam kancah kesesatan dan persengketaan. Bahkan sokongan dan dukungan membuta-tuli kepada sesebuah parti politik jugalah yang mendorong gejala pelampau hingga tergamak membakar jambatan ukhuwah sesama umat Islam.
Catatan Ibnu Abbas
Recent Comments