NAFKAH
Perkataan “NAFKAH” berasal daripada bahasa Arab, al-nafaqah yang mempunyai satu kata dasar dengan infak yang bererti “belanja” atau “pengeluaran wang”. Dari segi istilah, nafkah bererti “membelanjakan harta atau mengeluarkan wang di jalan Allah S.W.T. untuk mereka yang memerlukannya dalam keluarga dan masyarakat”. Nafkah bertujuan mewujudkan keserataan dalam masyarakat. Wang atau harta yang dinakfkahkan itu diperoleh daripada hasil kerja atau usaha. Memberikan nafkah kepada orang yang menjadi tanggungjawabnya wajib dilakukan oleh orang yang beriman (Q.2:267). Banyaknya nafkah yang diberikan hendaklah menurut kemampuan (Q.65:7). Dalam al-Quran surah Saba’ ayat 39 dinyatakan bahawa Allah S.W.T. akan menggantikan harta yang telah didermakan.
MENCARI NAFKAH
Istilah “mencari nafkah” dalam islam bererti “menunaikan kewajipan agama untuk menyara keluarga, yang dilakukan oleh ketua keluarga” (Q.4:34). Oleh itu, mencari nafkah dalam Islam dinilai sebagai ibadat. Tidak dipersoalkan sama ada orang itu bekerja sebagai nelayan, petani atau presiden. Selagi dia bekerja secara halal untuk menyara keluarganya, dia mendapat pahala. Tanpa nafkah, keluarga tidak mendapat makanan, minuman, pakaian dan pendidikan.
NAFKAH DAN HARTA
Islam melihat harta sebagai sesuatu yang positif. Dalam Islam tidak ada larangan untuk memiliki harta, dan tidak ada perintah untuk menjauhinya. Hal ini tidak bermakna Islam bersikap neutral terhadap harta. Islam sangat tegas dalam dua hal. Pertama, jangan makan (atau mengambil) harta (orang lain) dengan jalan yang salah (Q.2:188). Kedua, harta mesti dibelanjakan di jalan yang benar, iaitu dengan cara menafkahkan harta tersebut di jalan Allah S.W.T. dan untuk kemakmuran masyarakat. Dalam al-Quran terdapat tidak kurang daripada 70 ayat yang berkaitan dengan perintah menafkahkan harta di jalan Allah S.W.T. atau mengeluarkan infak.
JENIS NAFKAH
Pada umumnya, ada dua jenis nafkah yang disebut di dalam al-Quran, iaitu nafkah untuk diri sendiri dan nafkah untuk orang lain. Nafkah untuk diri sendiri lebih banyak disentuh, sesuai dengan hadis Nabi Muhammad s.a.w. supaya mengutamakan nafkah bagi diri sendiri sebelum orang lain. Nafkah untuk orang lain pula ialah pemberian nafkah kerena hubungan perkahwinan, iaitu untuk isteri dan anak (Q.2:233). Hal ini juga meliputi kewajipan memberikan nafkah kepada orang tua dan saudara terdekat (Q.17:26).
INFAQ DAN ZAKAT
Infaq berbeza daripada zakat. Infaq diwajibkan kepada seluruh lapisan masyarakat, sedangkan zakat hanya diwajibkan kepada orang yang memiliki tahap kekayaan tertentu. Perintah infak diturunkan dalam jangka waktu di Makkah dan jumlahnya tidak ditentukan (seikhlasnya), sementara zakat diwajibkan dalam jangka waktu di Madinah pada tahun ke-2 H, dan jumlahnya ditentukan dalam Islam.
Catatan Ibnu Umar
Recent Comments