Setelah runtuhnya empayar Islam, timbul beberapa aliran pemikiran politik sehingga menjadikan ia sebagai satu bentuk peperangan idea. Sekurang-kurangnya terdapat tiga kelompok utama yang muncul selepas Islam dikatakan tidak pernah berubah sejak abad ke-14. Keragaman aliran pemikiran ini seterusnya dijadikan alat oleh sesetengah pihak bagi membuktikan bahawa masyarakat Islam sekarang sedang mengalami perpecahan, kalaupun tidak, mereka berpendapat cendekiawan muslim sedang menghadapi “pertembungan kosmik.”
Golongan pertama ialah mereka yang hanya berfikir dalam konteks tradisional, iaitu tidak membenarkan sebarang perubahan dan penambahbaikan, kerana Islam itu sudah cukup sempurna. Lantaran itu, kelompok ini sedaya upaya akan cuba menghidupkan Islam yang asal dan menunjukkan dengan ketara perspektif konservatif.
Golongan kedua ialah kelompok fundamentalis. Kelompok ini lahir setelah mereka melihat keburukan yang berlaku akibat penjajahan, perubahan-perubahan akibat daripada termasuk penyemarakan fahaman sekular dan masukan terlalu banyak nilai-nilai penjajahan sehingga menjadikan lebih ramai penduduk Islam terhakis dari nilai-nilai luhur Islam.
Kesan dari penjajahan itu menyebabkan cendekiawan Islam berusaha bangkit memperbetulkan keadaan. Mereka berusaha mengembalikan kemurnian Islam, dan dari situlah timbul beberapa slogan yang diambil dari al-Qur’an, misalnya Islam sebagai Cara Hidup, Islam Itu Jawapannya, atau Islam Untuk Semua. Reaksi para pemimpin kelompok ini antaranya perlu dilakukan perubahan secara total ke atas semua sistem baik politik, ekonomi dan sosial.
Kelompok ini yang lebih dikenali sebagai gerakan pembaharuan, misalnya Maududi (1903-1974) dan Syed Qutb (1906-1966) menumpukan idea menegakkan sebuah negara Islam. Sebuah negara Islam bukan sahaja diurustadbirkan oleh pemimpin-pemimpin Islam, malah melaksanakan corak pentadbiran yang berasaskan syariat Islam. Semua aspek pendidikan perlu dilakukan proses pengislaman, terutamanya kurikukulum, kaedah dan sistem pendidikan yang diwarisi dari Barat atau penjajah kerana hakikat sistem pendidikan tersebut tidak cuba mendekatkan para pelajarnya dengan falsafah keimanan.
Kelompok ketiga ialah mereka yang dlihat sebagai pembawa gagasan progresif, iaitu berusaha membangun semula pemikiran Islam yang lebih dinamik dan sesuai dengan realiti sosial, tetapi tetap menjadikan Islam sebagai platform yang kukuh. Golongan ini cuba mengadunkan keperihatian mereka terhadap masyarakat, seperti keadilan sosial, ketidakadilan gender di samping isu-isu yang berkaitan ekonomi, politik dan budaya. Mereka lebih banyak memberikan focus untuk menilai rasuah sebagai suatu perkara yang melumpuhkan Islam dan kewibawaan sesebuah kerajaan. Oleh kerana itu, golongan ini banyak mengerakkan pendekatan transformasi dengan mengambil contoh daripada warisan sejarah Islam sejak awal dibangunkan.
Dengan mengambil contoh bagaimana Nabi Muhamad telah berjaya mentransformasikan masyarakat Arab yang berasaskan kabilah, kelompok ini cuba menggariskan pemikiran mereka untuk melaksanakan perubahan sosial dan menentang segala ketidakadilan yang berlaku dalam semua aspek. Usaha mengtransformasikan itu amat diperlukan bagi menjadikan masyarakat Muslim tidak kaku, jumud pemikiran dan terjebak dalam kemelut kehidupan yang banyak dipengaruhi dengan nilai-nilai kebebasan individu dan rasional pemikiran sekular.
Atas dasar ketidakadilan, pemuda Islam Afrika Selatan bangkit menentang dasar Aparthied, walaupun gerakan ini dilihat sebagai lebih bersifat politik. Mereka berjuang menentang rejim dan menggunakan teologi Islam. Keturunan Muslim India-Pakistan diberikan kedudukan yang lebih baik dari penduduk pribumi, dan ini mewujudkan gerakan untuk meluruskan semula ketidakadilan yang dilihat oleh kaum Muda Muslim di Afrika Selatan. Mereka bangun memperjuangkan penolakan politik perbezaan ras dan kental dengan hakikat Islam yang tidak membezakan seseorang itu berdasarkan asal-usul keturunan.
Cendekiawan Muslim dalam kelompok ini turut menganjurkan perubahan pemikiran melalui pelbagai bentuk wacana intelektual. Mereka berbincang bagaimana mentafsirkan semula nilai-nilai Islam yang diwarisi sejak lebih 14 abad yang lalu agar terus relevan dan mampu melahirkan kembali peradaban Islam. Dari sudut pandangan itulah ada sekelompok pemikir mula membuat percaturan bahawa abad ke-21 ini merupakan abad kemunculan semua Islam.
Kelompok tersebut melihat kepada perkembangan wacana ilmiah yang digagaskan oleh cendekiawan Islam yang bukan sahaja mendapat pendidikan secara tradisi pada peringkat awalnya dan kemudiannya melanjutkan ke peringkat yang lebih tinggi dalam tradisi ilmiah Barat. Dari pengalaman tersebut, corak pemikiran meraka lebih dilihat porogresif dan mampu membangkitkan semula kesedaran baru mengenai kemampuan serta potensi Islam membentuk struktur sosial dan politik antarabangsa.
Atas pontensi itu banyak pihak melihat Islam semakin menjadi ancaman kepada sistem sosial yang dibina berasaskan faham kebendaan dan asas falsafah rasional. Gerakan mempengaruhi dan memburuk-burukkan Islam mula dilaksanakan dengan memberikan pelbagai label negative berhubung perubahan sudut pandangan baru Islam.
Mereka mula memberikan takrifan yang jijik terhadap apa sahaja ikon yang dikaitkan dengan Islam. Mereka menuduh bahawa corak pakaian yang dijadikan asas oleh Islam, iaitu menutup aurat sebagai sesuatu yang terkongkong dan ada kaitan dengan perilaku jenayah. Lantaran itu mereka bukan sahaja menentang cara sesetengah masyarakat Muslim berpakaian, malah membentuk satu peraturan melarang penggunaannya.
Ketakutan mereka menjadi semakin hebat apabila melihat kedudukan penganut Islam yang semakin bertambah disebabkan kadar pertumbuhan semula jadi yang tinggi dan lebih ramai ilmuan mereka memilih Islam sebagai agama. Pertukaran agama dari Kristian, Hindu, Yahudi kepada Islam menimbulkan banyak polemik sehingga memberikan tafsiran baru bahawa Islam amat bahaya dan menyekat hak asasi manusia. Islam yang menghadirkan konsep “murtad”, seseorang penganut tidak dibenarkan keluar dari pegangan Islam, sebagai sesuatu yang tidak rasional dan demokratik.
Ukurtara yang berat sebelah juga dilakukan apabila berlakunya sesuatu serangan ganas, kumpulan pejuang yang bergerak atas landasan menghidupkan kembali pemerintahan Islam dikambinghitamkan sebagai “pelampau”, “pengganas” dan “terroris.” Setiap kali berlakunya konflik, penganut Islam akan disiasat dan disekat dengan alasan “menghapuskan pengganas.”
Perspektif pemikiran sedemikian menyebabkan lebih ramai lagi tokoh-tokoh pemikiran barat semakin cenderung untuk memahami Islam. Keadaan ini membimbangkan masyarakat barat maka sebagai usaha halus membendungnya, mereka melakarkan semula semua sistem yang diadaptasikan ke dalam masyarakat secara universal. Mereka mula meragui bahawa kemunculan gaya pemikiran Islam yang ingin mengembangkan pemikiran tersebut. Mereka mula mengenakan pelbagai cabaran dan tekanan kepada wawasan pemikiran Islam.
Bagi mempengaruhi gaya berfikir, mereka menggunakan asakan mental dengan kuat melalui kaedah penjajahan budaya, globalisasi dan liberalisasi. Perkembangan itu menjadi semakin rancak dan kritis apabila kemajuan teknologi yang diasaskan oleh mereka digunakan sepenuhnya untuk mengawal dan mengelirukan masyarakat Islam agar melepaskan akar umbi Islam.
Tentangan itu tidaklah berjaya sepenuhnya. Kemunculan tokoh-tokoh Islam progresif yang berfikir untuk menyerapkan sebanyak mungkin budaya positif menjadikan cabaran tersebut sebagai pemangkin aturan sosial yang baru. Faktor tersebut turut didorong oleh kemusnahan sistem sosial dan ekonomi yang berasaskan rasional dan materialism akhirnya menjadikan Islam sebagai alternative. Perkembangan sistem kewangan dan ekonomi Islam semakin besar sehingga menjadikan bank-bank yang mula memandang sinis potensi tersebut melaksanakan perubahan, sekurang-kurangnya membina keyakinan baru terhadap Islam dan menarik nafas baru setelah kaptalisme liberal dilanda krisis akibat terlalu menentukan urusniaga berdasarkan spekulasi.
Malaysia kini telah dilihat sebagai sebuah negara Islam progresif dan perlu dicontohi oleh negara-negara membangun. Hakikat kepelbagaian masyarakat yang hidup bersama, walaupun berlakunya turun naik konflik, konsep penyatuan yang dilaksanakan telah berjaya mengekang krisis etnik. Meskipun pernah berlaku rusuhan kaum, misalnya pada 13 Mei 1969, rusuhan tersebut tidaklah merebak sehingga menghancurkan statusquo negara.
Rusuhan yang berlaku berjaya ditamatkan dengan rundingan semula struktur masyarakat, termasuk politik, ekonomi dan sosial. Setelah kontrak sosial yang diasaskan pada tahun 1955 berjaya memberikan ikatan sosial yang berkesan, Malaysia berjaya memenuhi tuntutan melepaskan diri dari sebuah negara “yang tidak mampu membuat jarum” kepada sebuah negara sedang membangun. Kini, Malaysia berusaha untuk melonjakkan kedudukannya sebagai sebuah negara maju pada tahun 2020.
Masa yang berbaki hanyalah kurang sepuluh tahun. Hakikatnya, Malaysia perlu melakukan transformasi sepenuhnya sistem pentadbiran dan budaya berfikir masyarakat bagi membolehkan berada dalam kelompok negara yang berpendapatan tinggi. Pendekatan yang digagaskan melalui penegasan semula keperluan kepada sebuah masyarakat yang bersatu padu telah dilakarkan melalui konsep 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Gagasan ini tidak mengenepikan asas-asas kekukuhan negara, termasuk Perlembagaan dan Rukunegara.
Bagi memacukan pertumbuhan, dasar-dasar yang lebih progresif dirangka agar kerelevanan dengan keperluan semasa dapat dipenuhi. Antaranya ialah meliberalisasikan 27 subsektor ekonomi, menggariskan Model Baru Ekonomi yang berteraskan ekonomi inovasi dan kreativiti, melengkapkan kerjasama erat sektor awam dengan swasta, menghargai bakat dan potensi modal insan, menggerakkan perspektif pemikiran selaras dengan pelan transformasi dan sebagainya.
Hasil transformasi ini menjadikan Malaysia lebih dihormati sebagai sebuah negara Islam progresif. Arab Saudi, menurut kenyataan yang pernah dikeluarkan oleh Wisma Putra pada 28 Disember 2009 telah melabelkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang progresif. Menteri Luar, Datuk Anifah Aman yang mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya, Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri Arab Saudi menyatakan kekaguman tersebut. Arab Saudi turut memuji perilaku jemaah haji Malaysia semasa berada di Tanah Suci.
Jemaah Haji Malaysia berdisiplin dan menunjukkan perilaku yang baik. Arab Saudi tidak mempunyai masalah dengan Malaysia, dan lantaran itu akan terus meningkatkan kerjasama bilateral antara kedua negara. Pengiktirafan itu merupakan sesuatu yang sepatutnya kita pertahankan, dan kerana itu Malaysia tetap bertegas untuk terus menjejaki petualang yang boleh menjejaskan negara, termasuk kumpulan militant, pemerdagangan manusia dan aktiviti penyeludupan. Meskipun tidak berupaya menghapus sepenuhnya, sekurang-kurangnya Malaysia telah menunjukkan kemampuan untuk mengekangnya dari terus menjadi barah dan bencana.
Atas kejayaan Malaysia itu juga menjadikan Presiden Amerika Syarikat menaruh kepercayaan dengan memberikan peluang kepada Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib bertemu dan berbincang secara ekslusif. Keyakinan itu sebenarnya telah mula timbul apabila James B. Steinberg yang berkunjung ke Malaysia pada bulan Oktober tahun lalu bagi menyampaikan hasrat agar Malaysia memainkan peranan dalam memperbaiki hubungan antara Amerika Syarikat dengan negara-negara Islam. Malaysia telah dilihat sebagai sebuah negara yang mampu dan mendapat kepercayaan negara-negara Islam.
Potensi ekonomi yang dirintis oleh Malaysia turut memberikan keyakinan bahawa produk Malaysia semakin diterima, terutamanya dalam usaha membangunkan produk halal. Industri halal semakin mendapat tempat, bukan sahaja dalam kalangan negara-negara Islam, malah Eropah mula melakukan perubahan dalam konsep jualan runcit pasar raya mereka. Semakin banyak produk halal dijual dan diterima oleh bukan Islam, atas keperihatinannya mengenai kaedah memproses dan penggunaan bahan.
Gambaran sikap progresif yang menekankan transformasi itulah seharusnya dikembangkan secara meluas dan mendalam dalam sikap kita sebagai umat Islam. Kita seharusnya memahami bahawa kejayaan Nabi Muhamad saw menyatupadukan seluruh masyarakat Arab ialah kerana memperlihatkan sikap yang yang berhemah, tuturkata yang sederhana dan bertindak secara berhemat memecahkan tembok kekhususan dan kelebihan sesebuah kabilah.
Masyarakat Arab yang amat taat kepada nilai-nilai dan peraturan kabilah, akhirnya tidak lagi melihatnya sebagai faktor yang patu dipertahankan, tetapi yang perlu dipertahankan hingga ke titisan darah terakhir ialah Islam. Selagi bukan Islam tidak mempersenda-sendakan Islam selagi itulah mereka boleh hidup dan membina kehidupan bersama Islam. Selagi orang Islam tidak mengkhianati kemurnian dan prinsip Islam selagi itulah Islam mempunyai kekuatan, meskipun semakin banyak pertembungan kosmik berlaku atas asakan perselisihan idea, Al-Qur’an dan Hadis menjadi pegangan kuat, Islam akan terus berkembang dan bakal membina semula kegemilangan.
Permulaan abad ke-21 telah menunjukkan tanda-tanda, Islam semakin diterima dan mendapat kemenangan meskipun sering ditindas. Semakin ditindas, semakin kreatif dan berani umat Islam. Meskipun Flotila Pembebasan Gaza diserang dan dirampas, semakin membuak rasa kebencian dunia kepada Zionis, semakin banyak pihak yang bakal melakukan misi kemanusiaan ke Gaza, kerana kekejaman Zionis semakin jelas. Kini, bagi meredakan sedikit tekanan, Israel sudah memberikan kelonggaran untuk membenarkan bantuan kemanusiaan dihulurkan kepada penduduk Gaza, kerana Israel sudah terasa himpitan yang membelenggu sikapnya.
Semakin ramai masyarakat dunia mengambil tindakan memulaukan produk keluarannya, malah ada negara mula memperhitungkan semula hubungan diplomatik. Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatic dengan Israel, tetapi sedang berusaha bersama Indonesia untuk membawa kes serangan itu kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa, kerana melakukan kesalahan menyerang konvoi bantuan kemanusiaan dalam kawasan perairan antarabangsa.
Sikap kepimpinan Malaysia yang progresif itulah menjadikan negara ini semakin diberikan perhatian dan dilihat penting dalam geopolitik antarabangsa. Malaysia telah berupaya meletakkan landasan bertindak yang betul, meskipun ada pendapat dari rakyat sendiri menilai di sebaliknya, itu adalah hakikat dan cabaran dalam gaya kepimpinan dan corak pemikiran. Islam tidak menyekat perbezaan pendapat asalkan pandangan dan pendapat itu tidak terkeluar dari landasan yang ditetapkan oleh Al-Qur’an dan Hadis, serta jumhur ulamak. Itulah sebenarnya sikap progresif dan pemikiran transformatif yang diperlukan oleh Islam, yang telah dibuktikan oleh Nabi Muhamad saw menegakkan Islam di bumi kabilah itu.
Oleh Ibnu Majid
Recent Comments