Ibnu Khaldun, ilmuwan dan pelopor dalam bidang sosiologi dan sejarah pada abad ke-15 berpendapat, kekuasaan berkait rapat dengan godaan, kemegahan, harta (wang) dan wanita. Makin tinggi pencapaian atau posisi seseorang, baik sebagai pemimpin jabatan mahupun pemimpin masyarakat, bertambah banyak godaan. Justeru, sejarah banyak merakam jatuh bangun pelbagai bangsa seiring dengan kemampuan dan ketidakmampuan menghadapi godaan. Mereka tergoda dengan kekuasaan.

Realitinya, apa yang diluahkan oleh Ibnu Khaldun ternyata berlaku dalam masyarakat hari ini. Ibnu Khaldun menyaran kepada penguasa atau pemimpin yang berkuasa agar berhati-hati ketika menjalankan tugas. Hal demikian, berdasarkan pengertian beliau tentang zaman dahulu dan zaman-zaman sebelumnya, kekuasaan itu secara automatik mengandungi godaan.

Ada tiga jenis godaan; pertama, kekuasaan itu secara langsung boleh menimbulkan godaan terhadap kemegahan diri apabila sering disanjung dan dipuja. Ia sesuatu yang sukar untuk ditinggalkan. Justeru pemimpin seperti ini sanggup melakukan apa sahaja demi mempertahankan kekuasaan yang ada padanya.

Kedua, kata Ibnu Khaldun, godaan itu berkaitan dengan harta dan wang. Entah kenapa, jika seseorang itu memiliki kekuasaan, harta dan wang itu bagaikan datang ke rumahnya secara benar atau tidak benar. Soal agama bukan lagi menjadi sandaran, sebaliknya harta dan wang itu merupakan jaminan untuk dia mempertahankan kekuasaan itu.

Ketiga, menurut Ibnu Khaldun, kekuasaan itu menggoda dalam bentuk lain. Wanita turut serta menggoda dalam rangka kekuasaan itu. Apakah diberikan oleh orang lain ataupun dicari sendiri, namun ada saja wanita yang turut dalam godaan ini.

Dalam rangka itu, ia berbuat sesuatu yang amat bersalahan dari acuan moral dan etika dan akhirnya jatuh ke jurang penyelewengan. Dan memang kalau kita mengikuti sejarah, pendapat Ibnu Khaldun ini merupakan potensi `kekeliruan’ yang dilakukan oleh penguasa. Hingga kini, hal itu masih berlaku.

Oleh hal yang demikian, Ibnu Khaldun meletakkan peranan agama pada nilai yang tinggi dalam membentuk sesuatu peradaban. Baginya, agama adalah dasar terpenting bagi peradaban yang luas dan hebat. Justeru agama pada pandangannya merupakan landasan moral yang dapat meneguhkan suatu peradaban.

Tiga dosa sejarah iaitu kesombongan, kemewahan dan kerakusan muncul kerana manusia telah menjauhi syariat. Apabila agama tidak dijadikan dasar, maka peradaban akan mengalami kehancuran. Dengan demikian, agama bagi Ibnu Khaldun merupakan suatu kekuatan yang dapat menentukan perjalanan sejarah manusia.

Bagi sesetengah pemimpin apabila nafsu sudah tidak terkawal, agama menjadi mainan mulut sahaja. Justeru penglibatan sesetengah pemimpin dengan politik wang sebenarnya mendekatkan dirinya di pinggir neraka.

Berhubung perkara ini, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang memberi syafaat (menolong) saudaranya dengan sesuatu syafaat (pertolongan), dan saudaranya itu memberikan kepadanya ganjaran atau hadiah dan ia menerimanya, maka ia telah membuka satu pintu daripada pintu-pintu riba. (Riwayat Ahmad dan Abu Daud).

Daripada maksud hadis ini syafaat atau pertolongan merupakan salah satu daripada perkara yang dituntut dalam Islam, khususnya memberi pertolongan sesama Islam sama ada berbentuk material, tenaga, masa atau buah fikiran.

Sesiapa yang suka dan sering memberi pertolongan kepada orang lain mendapat penghormatan yang tinggi daripada Allah s.w.t. sebagaimana sabda Nabi s.a.w yang bermaksud:

Sesiapa sahaja yang melepaskan kesusahan seseorang, Allah akan melepaskan salah satu kesusahannya di hari akhirat.

Dalam konteks hadis tersebut, Nabi s.a.w menumpukan kepada perbuatan memberi syafaat atau pertolongan namun ia dibalas dengan pemberian hadiah di atas pertolongan tersebut serta diterimanya, maka Nabi s.a.w membuat perbandingan seolah-olah apa yang diterimanya itu seperti membuka ruang yang luas daripada bentuk-bentuk riba.

Iaitu untuk menggambarkan perbuatan keji yang besar dan haram di sisi agama sebagaimana amalan riba. Pun begitu, hakikat dosa dan azab sebenar Allah sahaja yang lebih mengetahuinya.

Hal ini dalam konteks yang lebih khusus dapat ditumpukan kepada seseorang yang mempunyai pengaruh atau jawatan yang tinggi atau kekuasaan atau mana-mana pegawai yang didatangi oleh orang lain atau masyarakat untuk meminta pertolongan daripadanya, sedangkan pertolongan tersebut merupakan tugas atau tanggungjawab yang sememangnya dia mesti tunaikan.

Contohnya: Pegawai-pegawai kerajaan, wakil rakyat, polis, atau kastam dan sebagainya. Antara lain ia dilantik secara khusus dan telah menerima gaji atau habuan yang telah ditetapkan. Namun begitu dalam hal tersebut, orang yang meminta pertolongan masih menghulurkan hadiah kepadanya atas dasar peribadi di atas pertolongan itu dan ia pula menerimanya, maka hukumnya adalah haram dan seolah-olah ia menerima riba.

Hal ini dapat dikaitkan dengan hadis lain yang diriwayatkan oleh Abu Daud:

Sesiapa sahaja yang telah kami lantik untuk memegang sesuatu jawatan atau kerja dan kami telah tetapkan pendapatannya atau gaji maka apabila dia mengambil lebih daripada apa yang ditetapkan itu dikira sebagai satu penipuan dan korupsi.

Antara lain dalam konteks hadis tersebut, syafaat dan pemberian itu dan penerima hadiah lebih sesuai digunakan dengan pengertian rasuah atau sogokan. Lantaran itu perbuatan menerima rasuah merupakan perbuatan keji yang diharamkan oleh syariat serta undang-undang negara.

Untuk menunjukkan betapa kejinya penerima dan pemberi rasuah, menurut undang-undang negara kedua-dua pihak terlibat dikira bersalah dan boleh ditangkap dan apabila sabit kesalahan boleh dihukum, sama ada penjara atau denda. Manakala mana-mana pegawai atau kakitangan kerajaan yang sabit dengan kesalahan itu juga boleh dibuang kerja.

Oleh itu amat diperlukan batasan-batasan dalam rangka menjaga kekuasaan tersebut. Batasan itu bergantung juga pada budaya bangsa. Bagaimanapun kalau kita beranjak daripada Islam, tentu saja kita menekankan lebih kepada soal iman, soal Islam, dan soal ihsan.

Fikiran dan perbuatan haruslah disandarkan pada ajaran ini. Orang yang berkuasa itu boleh saja mempunyai ilmu apa lagi pada zaman serba canggih ini. Dalam Islam dituntut bahawa ilmu itu juga disandarkan pada iman. Kita memang mempunyai akal, tetapi dalam Islam hendaknya kita menyedari bahawa akal pun harus ditundukkan pada Allah. Kepercayaan seperti ini mengajak kita menjaga kekuasaan.

Antara lain, umpamanya kalau kita (si penguasa) diingatkan orang, kita perlu mendengarnya; kalau ditegur orang, kita perhatikan; kalau orang mempunyai pendapat lain, kita usahakan supaya kita dapat bertukar-tukar fikiran. Kita mencari yang benar yang mungkin muncul daripada orang lain.

Pemimpin hendaklah sedar akan kedudukannya sebagai `khalifatullah fi’ardh’, yang memegang amanah, yang ditunjangi oleh iman, Islam dan ihsan; mempunyai akhlak yang baik. Tentunya pula disandarkan pada niat yang sentiasa baik untuk mencari keredhaan Allah s.w.t.

Pemimpin itu adalah seorang yang ihsan, yang bukan sekadar berbuat baik, tetapi juga menyedari bahawa semua sikap, fikiran dan perbuatannya sentiasa diketahui atau diawasi Allah s.w.t.

Pemimpin itu hendaknya jangan membuat kerosakan di muka bumi ataupun bersifat munafik iaitu berkata yang baik-baik namun dari segi praktiknya, perbuatannya tidak baik.

Pemimpin itu bukan seorang yang khianat. Maksudnya kalau ia bersumpah untuk memajukan rakyat maka hendaknya jangan berbuat sesuatu yang terbalik, memiskinkan rakyat.

Pemimpin juga jangan berlebihan dalam memiliki harta, dalam berkata-kata, ataupun mengeluarkan perintah yang tidak boleh dipatuhi oleh orang lain.

Kerana Allah s.w.t. tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan. Dengan kata lain pemimpin tu memegang amanah dan bukan mengkhianatinya. Allah berfirman yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar penegak keadilan, menjadi saksi kerana Allah biarpun terhadap dirimu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabatmu. ( Surah An-Nisa ayat 135 )

Oleh Ibnu Hamzah

Translate »