Segala hak yang dimiliki manusia dan yang tertanam pada dirinya sebagai manusia disebut sebagai hak asasi manusia (HAM).
Hak ini bersifat asasi kerana tidak boleh tidak manusia perlu berkembang sesuai dengan bakat, cita-cita serta statusnya. Hak ini juga bersifat sejagat tanpa membezakan negara, bangsa, kaum, suku, agama, jantina dan lain-lain.
Pengasas rumusan HAM di Barat dapat dijejaki dari pemikiran beberapa ahli falsafah Zaman Kegemilangan seperti Thomas Hobbes (1588-1679), John Locke (1632-1704), Montesquieu (1689-1755) dan J.J. Rousseau (1712-1778). Mereka membayangkan situasi yang sesuai bagi manusia untuk merealisasikan dirinya dan hidup sesuai dengan statusnya. Pada tahun 1948, gagasan HAM semakin disebut-sebut dengan adanya pengisytiharan Universal Declaration of Human Rights (Perisytiharan Sejagat HAM) oleh PBB. Dalam pengisytiharan ini antara lain dinyatakan bahawa setiap orang dilahirkan bebas dan setara.
HAM VERSI ISLAM
Rumusan paling terkenal tentang HAM versi Islam ialah Pengisytiharan Sejagat tentang HAM dalam Islam (al-Bayan al-Alam an Huquq al-Insan fi al-Islam). Pengisytiharan ini digubal (pada September 1981) di Paris. Selain itu, ada juga Perisytiharan Kaherah tentang HAM dalam Islam.
Perisytiharan ini diumumkan pada tahun 1990, sesudah perundingan memakan masa selama 13 tahun antara negara anggota OIC (Pertubuhan Persidangan Islam).
Perisytiharan (25 fasal) ini tidak banyak berbeza daripada perisytiharan yang seumpamanya yang digubal sebelumnya.
Ada beberapa ciri utama rumusan HAM versi ini. Pertama, Islam mempunyai konsep HAM asal yang telah dirumuskan sejak abad ke-7. Kedua, seluruh kandungan perisytiharan itu dirumuskan berdasarkan al-Quran dan sunnah. Ketiga, syariat menjadi kriteria kebenaran muktamad dan satu-satunya untuk menilai tindakan manusia.
PERKARA PENTING TENTANG HAM
Perisytiharan Sejagat HAM mengandungi 30 fasal yang didahului dengan Mukadimah. Fasal 1 dan 2 mengandungi pernyataan umum bahawa manusia mempunyai hak sejak dilahirkan yang tidak dapat dibeza-bezakan atas dasar apa pun. Fasal 3-21 menyatakan tentang hak individu (misalnya: hak memilih dan menukar agama). Fasal 22-27 berkaitan dengan hak ekonomi dan sosial (misalnya: hak untuk mendapatkan pekerjaan, pendidikan, keamanan, berkumpul dan berpersatuan). Fasal 28-30 menegaskan betapa perlunya kerangka kerja untuk mewujudkan hak tersebut.
KEBEBASAN AGAMA
Islam sangat menghargai kebebasan individu. Keimanan seseorang merupakan urusan Allah S.W.T. sebagai pemberi hidayat. Allah S.W.T. hanya memerintahkan manusia untuk menyeru menerusi dakwah, tanpa boleh memaksa dengan kekerasan (Q.18:29). Kebebasan beragama sebagai hak asasi manusia secara terperinci disebut dalam al-Quran (Q.109:1-6). Oleh yang demikian, Islam tidak mahu ada pihak yang melanggar hak asasi orang lain dengan cara apa pun. Sebaliknya, umat Islam diperintahkan untuk tidak mengganggu atau mengacau penganut agama lain.
REAKSI NEGARA ISLAM
Terhadap Perisytiharan Sejagat HAM:
Menolak secara menyeluruh (misalnya: Arab Saudi dan Iran) kerana ada kandungannya yang bertentangan dengan ajaran Islam.
Menerima serta mendukung sepenuhnya (Pakistan, Tunisia dan Turki).
Menerima selagi tidak bertentangan dengan prinsip Islam (Mesir).
Menurut fasal 26 Perisytiharan Sejagat HAM, setiap orang berhak memperoleh pendidikan yang sepatutnya. Pendidikan perlu diarahkan demi perkembangan keperibadian manusia dan pertumbuhan kesedaran manusia untuk menghargai hak serta kebebasan manusia.
Masalah etnik dan agama sering dijadikan alasan untuk melakukan pencabulan ke atas HAM. Dalam dambar kelihatan wanita dan anak-anak Bosnia dipaksa oleh tentera Serbia untuk berpindah keluar dari kota Srebrenica pada Perang Bosnia 1993.
Pasar hamba di Viginia, Amerika Syarikat, sekitar 1855. Perhambaan merupakan salah satu percabulan HAM yang terbesar dalam sejarah amerika Syarikat.
Eleanor Roosevelt, Presiden A.S. ke-32) memegang peranan penting dalam penyusunan Perisytiharan HAM.
Susunan oleh Ibnu Hamzah
Recent Comments