Ayat pertama yang turun berkaitan perintah supaya menzahirkan dakwah ialah:
Maksudnya: “Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat.”
(Al-Shu’ara’: 214)
Ayat di atas terkandung dalam surah Al-Shu’ara’. Pada permulaan surah ini menyebut mengenai kisah Nabi Musa a.s sejak mula kenabiannya hinggalah baginda berhijrah bersama-sama Bani Israel. Seterusnya, disebut mengenai peristiwa mereka terselamat daripada kejahatan Firaun dan kaumnya, sementara Firaun dan kaumnya tenggelam di dalam laut. Kisah ini merangkumi semua peringkat yang dilalui oleh Nabi Musa a.s dalam usaha baginda menyampaikan dakwah kepada Firaun dan kaumnya supaya mengikut jalan Allah.
Penulis berpendapat bahawa kisah yang panjang lebar ini diturunkan ketika Rasulullah SAW diperintah untuk menyampaikan dakwah kepada kaumnya dengan tujuan supaya Rasulullah SAW dan para sahabat mempunyai satu model dan contoh mengenai apa yang bakal mereka hadapi apabila mereka menyampaikan dakwah secara terbuka nanti, seperti pendustaan dan penindasan. Ia juga bertujuan supaya mereka sedar dan benar-benar memahami mengenai selok-belok urusan mereka sejak dakwah mula dilancarkan.
Surah ini juga merangkumi penerangan mengenai kesudahan yang menimpa orang yang mendustakan para rasul seperti yang berlaku kepada kaum Nuh, Ad, Thamud, kaum Nabi Ibrahim, kaum Lut dan penduduk Aykah. Kisah-kisah ini adalah sebagai tambahan kepada kisah Firaun dan kaumnya. Tujuannya ialah supaya mereka yang berdegil menolak ajaran Islam faham akan nasib yang bakal menimpa mereka serta hukuman-hukuman yang Allah berikan jika mereka terus-menerus mendustakan ayat-ayat Allah. Ia juga bertujuan supaya orang mukmin tahu bahawa kesudahan yang baik itu adalah untuk mereka dan bukan untuk golongan pendusta.
Berdakwah kepada kaum kerabat
Langkah pertama yang dilakukan oleh Rasulullah SAW selepas turunnya ayat ini ialah memanggil Bani Hashim. Lalu, Bani Hashim pun datang. Bersama-sama mereka, turut serta beberapa orang daripada Bani al-Muttalib bin Abd Manaf. Mereka yang datang itu adalah seramai 45 orang. Sebelum Rasulullah SAW memulakan bicara, Abu Lahab terlebih dahulu berucap, “Mereka ini adalah bapa-bapa saudara kamu serta sepupu-sepupu kamu; tinggallah mereka yang masih kecil. Ketahuilah, bukan semua kaum kamu di Tanah Arab ini yang terdaya untuk datang. Aku lebih patut mendengar daripadamu. Cukuplah engkau cakapkan kepada anak cucu datuk nenekmu. Kalau engkau buat begitu, maka ia adalah lebih mudah bagi mereka daripada memaksa seluruh anak-pinak Quraisy dan orang Arab lain datang untuk mendengar daripadamu. Aku lihat tidak seorang pun yang membawa adik-beradiknya seperti yang aku bawa ini.” Lalu, Rasulullah SAW terdiam dan tidak bercakap dalam majlis itu.
Kemudian, Rasulullah SAW memanggil mereka buat kali yang kedua. Dalam pertemuan kedua ini, Rasulullah SAW berucap, “Segala puji bagi Allah, aku memuji-Nya dan meminta pertolongan-Nya; aku beriman dengan-Nya dan aku berserah kepada-Nya. Aku mempersaksikan bahawa tiada Tuhan selain Allah yang tidak ada sekutu bagi-Nya.”
Kemudian Rasulullah SAW meneruskan, “Sesungguhnya orang yang merintis jalan ini tidak pernah dituduh berbohong oleh keluarganya. Demi Allah yang tiada Tuhan selain Dia, sesungguhnya aku ini adalah utusan Allah kepada kamu khususnya, dan kepada seluruh manusia, amnya. Demi Allah, kamu pasti akan mati sebagaimana kamu pastinya akan tidur, dan kamu pasti akan dibangkitkan sebagaimana kamu jaga dari tidur, dan pastinya kamu akan dihisab atas apa yang kamu kerjakan. Balasannya hanyalah syurga selama-lamanya atau neraka selama-lamanya.” Lalu, berkatalah Abu Talib, “Sungguh kami suka untuk membantumu dan menerima nasihatmu serta sangat mempercayai berita yang engkau sampaikan. Mereka ini ialah adik-beradikmu yang sedang berkumpul, sementara aku hanyalah salah seorang dari mereka. Akan tetapi akulah orang yang paling segera menyahut apa yang engkau suka. Maka, buatlah apa yang diperintahkan kepadamu. Demi Allah, aku akan sentiasa menjaga dan mempertahankan kamu. Akan tetapi, diriku sendiri belum terasa untuk meninggalkan agama Abd al-Muttalib.”
Kemudian Abu Lahab pula berkata, “Demi Allah, ini adalah keburukan. Halanglah dia sebelum dia mempengaruhi orang lain daripada kamu.” Lalu, Abu Talib berkata, “Demi Allah, kami akan mempertahankannya selagi hayat masih ada.”[1]
Di atas Bukit Safa
Setelah Nabi Muhammad SAW yakin bahawa Abu Talib bersungguh-sungguh berjanji akan melindunginya sepanjang usaha Baginda SAW menyampaikan risalah Allah, maka pada suatu hari, Rasulullah SAW berdiri di atas Bukit Safa lalu berkata dengan lantang, “Hai, sekalian manusia!” Maka, berkumpullah semua anak-pinak Quraisy. Lalu, Rasulullah SAW pun menyeru mereka kepada tauhid dan supaya beriman dengan risalah yang dibawanya dan dengan Hari Akhirat.
Al-Bukhari meriwayatkan sebahagian kisah ini daripada Ibn Abbas, katanya, “Apabila turunnya ayat “Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat” (maksud al-Quran, surah Al-Shu’ara: 214), maka, Nabi pun nak ke atas Bukit Safa lalu menyeru, ‘Hai, Bani Fihr! Hai, Bani Adiy!’ iaitu anak-pinak Quraisy, sehingga mereka pun berkumpul. Ada orang yang jika tidak mampu keluar, mengutuskan utusan untuk melihat gerangan apa yang akan disampaikan. Datanglah Abu Lahab bersama-sama orang Quraisy yang lain. Kemudian Rasulullah SAW berkata, ‘Apa pandangan kamu kalau aku beritahu kamu bahawa di sebalik lembah ini ada angkatan berkuda yang hendak menyerang kamu. Apakah kamu percaya kepadaku?’ Serentak mereka menjawab, ‘Ya, kerana kami tidak pernah dapati pada engkau kecuali yang benar.’ Kata Rasulullah SAW lagi, ‘Sesungguhnya aku ini adalah seorang pemberi peringatan tentang azab yang dahsyat di hadapan kamu.’ Lantas, Abu Lahab berkata, ‘Celaka engkau seluruh hari ini! Adakah kerana ini engkau mengumpulkan kami?’ Kemudian, turunlah ayat al-Quran:
Maksudnya: “Binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab, dan sesungguhnya dia akan binasa!” (Al-Masad:1)
Muslim pula meriwayatkan sebahagian yang lain daripada kisah ini yang bersumber daripada Abu Hurairah r.a, katanya, “Apabila turunnya ayat 214 surah Al-Shu’ara’ (“Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat”), Rasulullah SAW memanggil mereka lalu disebutkan nama secara umum dan khusus. Rasulullah SAW berkata, “Hai, semua orang Quraisy! Selamatkan dirimu dari api neraka! Hai, sekalian Bani Kaab, selamatkan dirimu dari api neraka! Hai, Fatimah binti Muhammad! Selamatkan dirimu dari api neraka! Sesungguhnya demi Allah, aku tidak memiliki sebarang kuasa untuk membelamu dari hukuman Allah melainkan kamu mempunyai tali persaudaraan (Islam) yang akan aku kuatkan hubungan itu.”[2]
Seruan ini adalah kemuncak seruan Rasulullah SAW. Rasulullah SAW menjelaskan kepada manusia yang paling hampir dengannya bahawa hanya dengan mempercayai kerasulan Baginda SAW akan menghidupkan perhubungan antara Baginda dengan mereka. Ketaksuban terhadap kaum kerabat yang menjadi dasar pegangan orang Arab akan hancur luluh dengan peringatan daripada Allah ini.
Dakwah secara terbuka dan tindak balas orang musyirikin
Ketika seruan Rasulullah SAW itu masih terngiang-ngiang di segenap pelosok Makkah, turunlah firman Allah:
Maksudnya, “Oleh itu, sampaikan secara terus-terang apa yang diperintahkan kepadamu (wahai Muhammad), dan janganlah engkau hiraukan bantahan dan tentangan kaum kafir musyrik itu.” (Al-Hijr: 94)
Dengan turunnya ayat ini, Rasulullah SAW terus mengecam ajaran-ajaran khurafat berbentuk syirik serta kepalsuan-kepalsuannya. Rasulullah SAW menerangkan keadaan sebenar berhala-berhala yang sedikit pun tidak mengandungi sebarang nilai. Banyak contoh yang dikemukakan untuk menunjukkan bahawa berhala-berhala itu sebenarnya lemah dan tidak berupaya apa-apa. Rasulullah SAW menerangkan dengan bukti-bukti yang nyata bahawa sesiapa yang menyembah berhala dan menjadikannya sebagai perantaraan dengan Allah, maka orang itu berada dalam kesesatan yang nyata.
Dengan penerangan itu, Makkah mula diledaki api kemarahan. Rasa jengkel dan bantahan membuak dalam kalangan mereka apabila mendengar seruan Rasulullah SAW yang sekali gus secara terbuka menuduh orang musyrik dan penyembah-penyembah berhala sebagai sesat. Ia bagaikan halilintar yang memanah awan mendung lalu berdentumlah guruh dan kilat; bergoncanglah suasana yang selama ini damai dan tenteram. Orang Quraisy bingkas bangun untuk mengekang kemaraan suatu perubahan yang tiba-tiba sahaja tercetus. Mereka bimbang perkara ini akan mengganggu tradisi-tradisi mereka dan apa yang mereka pusakai dari dahulu.
Mereka bangun menentang kerana mereka sebenarnya faham erti iman yang menolak adanya tuhan-tuhan selain Allah. Mereka faham erti beriman dengan kerasulan dan Hari Kiamat, iaitu pergantungan bulat-bulat dan penyerahan secara menyeluruh di mana mereka tidak akan ada pilihan lagi untuk menentukan apa-apa yeng berkaitan dengan diri dan harta mereka, apatah lagi yang berkaitan dengan orang lain. Ini bererti hilanglah hak ketuanan dan kebesaran mereka sebagai pemimpin agama ke atas orang Arab lain; ini bermakna bahawa mereka tidak dapat lagi melakukan apa yang mereka suka melainkan terpaksa mengikut apa yang diredai Allah dan Rasul-Nya.
Mereka tidak boleh lagi berbuat kezaliman yang selama ini dilakukan terhadap golongan bawahan. Mereka tidak boleh lagi melakukan kejahatan-kejahatan yang selama ini dikerjakan siang dan malam. Mereka benar-benar memahami akan maksud iman ini, maka itulah jiwa mereka enggan menerima seruan yang merugikan mereka itu. Keengganan mereka bukannya atas sebab kemuliaan dan kebaikan tetapi hanyalah kerana seperti firman Allah:
Maksudnya: “(Kebenaran itu bukan tidak ada buktinya), bahkan manusia (yang ingkar) sentiasa suka hendak meneruskan perbuatan kufur dan maksiat (di sepanjang hayatnya sehingga dia tidak mengakui adanya Hari Kiamat.”(Al-Qiyamah: 5)
Semua itu mereka faham benar. Namun, apa yang akan mereka lakukan untuk menghadapi seorang lelaki yang benar dan dipercayai, seorang yang paling dicontohi membawa nilai-nilai kemanusiaan dan kemuliaan akhlak yang tidak pernah mereka temui tolok bandingnya sepanjang sejarah nenek moyang dan kaum mereka. Apakah yang patut mereka lakukan? Jelas, mereka kebingungan menghadapi kemelut ini, dan patut benarlah mereka berada dalam kebingungan.
Setelah puas befikir, dan mereka masih lagi buntu mendapatkan penyelesaian melainkan terpaksa datang kepada bapa saudara Rasulullah SAW, Abu Talib. Mereka meminta beliau supaya menghalang anak saudaranya itu dari meneruskan kerja-kerja yang sedang dilakukannya. Sebagai menguatkan alasan dan supaya benar-benar menampakkan kesungguhan mereka dalam perkara ini, mereka berkata, “Sesungguhnya seruan supaya meninggalkan tuhan-tuhan mereka dan menuduh tuhan-tuhan itu tidak berguna dan tidak berkuasa adalah satu kutukan dan penghinaan yang hebat. Tuduhan itu memperbodoh dan menyesatkan nenek moyang mereka yang turun-temurun berpegang dengan agama kita!” Demikianlah buah fikiran mereka untuk disampaikan kepada Abu Talib sebagai usaha untuk menghalang usaha dakwah Rasulullah SAW, dan segera mereka jalankan usaha mereka itu.
Rombongan Quraisy berjumpa Abu Talib
Ibn Ishaq berkata, “Beberapa orang lelaki ternama dari kalangan Quraisy pergi berjumpa Abu Talib. Mereka berkata, ‘Wahai Abu Talib, sesungguhnya anak saudaramu telah mengutuk tuhan-tuhan kita, mengaibkan agama kita, memperbodohkan akal fikiran kita dan menuduh sesat nenek moyang kita. Oleh itu, hendaklah kamu halang dia atau biar kami menyelesaikan masalah ini antara kami dan dia. Kamu juga seperti kami yang tidak sama pegangan dengannya. Justeru, biarlah kami menyelesaikannya.’ Abu Talib menjawab dengan suara yang lemah lembut dan menolak cadangan mereka itu dengan baik. Lalu, mereka pun beredar, dan Rasulullah SAW terus menjalankan peranannya menzahirkan agama Allah dan menyeru ke jalan-Nya.”[3]
Menghalang jemaah haji mendengar dakwah
Sepanjang tempoh tersebut, orang Quraisy merasa gusar mengenai satu perkara lain iaitu dakwah Rasulullah SAW secara terbuka dilakukan beberapa bulan sahaja sebelum hampirnya musim haji. Orang Quraisy tahu bahawa banyak rombongan orang Arab akan datang kepada mereka. Justeru, mereka mesti mempunyai jawapan untuk diberikan kepada orang Arab mengenai Muhammad SAW agar dakwah yang disampaikan tidak berjaya mempengaruhi jemaah yang datang itu.
Lalu, orang Quraisy pun berkumpul di sisi al-Walid bin al-Mughirah bagi membincangkan mengenai jawapan yang bakal mereka berikan. Al-Walid berkata, “Satukanlah pandangan kamu dan jangan berbeza pendapat, kerana nanti kamu akan saling mendustakan antara satu sama lain, dan kata-kata kamu akan bercanggah antara satu sama lain.”
Mereka menjawab, “Kalau begitu, silalah kamu memberi cadangan.”
Jawabnya, “Bahkan, kamulah yang memberi cadangan, biar aku dengar.”
Mereka berkata, “Biar kita kata Muhammad itu adalah seorang pawang.”
Al-Walid menjawab, “Tidak! Demi Allah, dia bukan pawang. Kita sendiri pernah melihat bagaimana keadaannya para pawang sedangkan Muhammad tidak ada lagak pawang dan tidak bercakap bahasa pawang.”
Mereka berkata lagi, “Kita katakan dia seorang yang gila.”
Jawab al-Walid, “Dia bukan kelihatan seperti orang gila. Kita telah melihat penyakit gila dan kita tahu benar tentangnya. Dia tidak kelihatan seperti dirasuk, bercelaru fikiran dan tidak tentu arah.”
Mereka berkata lagi, “Kita katakan dia seorang penyair.”
Jawab al-Walid, “Dia bukan kelihatan seperti penyair kerana kita sendiri tahu tentang syair dalam semua seginya, baik rijz, hijz, qarid, maqabud dan mabsut. Bahasanya itu bukan bahasa syair.”
Mereka berkata, “Kita katakan dia seorang ahli sihir.”
Al-Walid menjawab, “Dia bukan ahli sihir, kerana kita pernah lihat tukang-tukang sihir dan sihir yang mereka lakukan, sedangkan Muhammad itu tidak pernah meniup dan menyimpul tali sihir seperti mereka.”
Akhirnya, mereka bertanya pula, “Kalau begitu, apa yang hendak kita katakan?”
Al-Walid menjawab, “Demi Allah, ucapan Muhammad itu sungguh sedap didengar, akarnya semerbak harum dan rantingnya berbuah lebat. Apa sahaja cadangan yang kamu sebutkan ini pasti diketahui bahawa ianya palsu, tetapi cadangan yang paling hampir ialah kamu mengatakan dia sebagai tukang sihir. Dia datang dengan kata-kata memukau yang dapat mencerai-beraikan antara anak dengan ayah, suami dengan isteri, seseorang dengan keluarganya, dan dengan sebab sihir itulah mereka bercerai-berai.”[4]
Sesetengah riwayat menyebutkan bahawa apabila al-Walid menolak semua cadangan yang diberi, mereka berkata, “Tunjukkan kepada kami cadanganmu yang tidak ada kecacatannya.” Lalu al-Walid menjawab, “Berikan aku masa berfikir.” Maka, teuslah al-Walid berfikir dan berfikir sehinggalah dia menyampaikan cadangannya seperti yang disebutkan tadi.[5]
Kepada al-Walid, Allah menurunkan 16 ayat dalam surah Al-Muddaththir, iaitu ayat 11 hingga 26. Ayat-ayat tersebut menceritakan perihal bagaimana beliau berfikir, antaranya dalam ayat 18 hingga 25:
Maksudnya: “Kerana sesungguhnya dia telah memikirkan dan mereka-reka (berbagai-bagai tuduhan terhadap al-Quran). Maka, celakalah dia hendaknya! Bagaimanakah dia berani mereka-reka (yang demikian)? Sekali lagi, binasalah dia hendaknya! Bagaimana dia berani menetapkan (mereka-reka tuduhan itu)? Kemudian dia merenung dan memikirkan (berkali-kali: jalan-jalan mencaci al-Quran, tetapi dia gagal). Setelah itu, dia memasamkan mukanya dan merengus. Kemudian dia berpaling (daripada kebenaran) dan bersikap sombong. Seraya berkata, ‘(Al-Quran) ini tidak lain hanyalah sihir yang dipelajari (daripada ahli-ahlinya). Ini tidak lain hanyalah kata-kata (rekaan) manusia!” (Al-Muddaththir: 18-25)
Setelah bersetuju menerima cadangan tersebut, mereka pun melaksanakannya. Mereka duduk di pinggir-pinggir jalan ketika orang ramai telah mula datang untuk menunaikan haji. Setiap orang yang lalu-lalang di jalan-jalan itu, mereka sampaikan amaran agar berhati-hati terhadap Muhammad SAW, dan mereka pun menyebut perihal Muhammad SAW itu sebagaimana yang telah mereka rancangkan.[6]
Orang yang mengetuai kumpulan itu ialah Abu Lahab. Ketika Rasulullah SAW pergi berjumpa orang ramai semasa musim haji di rumah-rumah mereka, di pasar Ukaz, Majanah dan Dhi al-Majaz untuk mengajak mereka kepada agama Allah, Abu Lahab mengekori Rasulullah SAW dari belakang sambil berkata, “Jangan ikut cakapnya, dia ini orang yang keluar agama dan pembohong!”[7]
Tindakan itu menyebabkan orang Arab yang datang ke Makkah pada musim haji tahun itu membawa berita tersebut keluar, lalu tersebarlah cerita mengenainya di segenap pelosok Tanah Arab.
Pelbagai cara menentang dakwah
Apabila orang Quraisy melihat bahawa Nabi Muhammad SAW tidak dapat dihalang daripada menjalankan dakwahnya dengan cara itu dan ini, mereka memikirkan cara-cara lain. Mereka memilih beberapa cara lain untuk membendung gerakan dakwah Nabi Muhammad SAW yang secara ringkasnya seperti berikut:
Mengejek, memperlekeh, memperolok-olok, mendustakan dan mentertawakan – ini bertujuan untuk memalukan orang Islam serta melemahkan semangat mereka. Mereka juga menuduh Rasulullah SAW dengan pelbagai tuduhan yang tidak berasas serta umpat keji yang dangkal. Mereka menuduh Rasulullah SAW sebagai orang gila, seperti firman Allah:
Maksudnya: “Mereka yang ingkar berkata, ‘Wahai orang yang diturunkan al-Quran kepadanya, sesungguhnya engkau adalah orang gila.” (Al-Hijr: 6)
Mereka menuduh Rasulullah SAW sebagai seorang ahli sihir dan pembohong, seperti firman Allah:
Maksudnya: “Mereka (yang mengingkari kerasulan Nabi Muhammad itu) merasa hairan, bahawa mereka didatangi oleh seorang Rasul pemberi peringatan daripada kalangan mereka sendiri. Orang yang kafir itu berkata, ‘Orang ini adalah seorang ahli sihir, lagi banyak berdusta.” (Sad: 4)
Apabila berhadapan dengan Nabi Muhammad SAW, mereka memandang Rasulullah SAW dengan pandangan penuh benci serta perasaan dendam yang meluap-luap; firman Allah:
Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang kafir itu hampir-hampir menggelincir dan menjatuhkan kamu dengan pandangan mereka (yang penuh dengan permusuhan dan kebencian), semasa mereka mendengar al-Quran sambil berkata, ‘Sebenarnya (Muhammad) itu sememangnya orang yang gila.” (Al-Qalam: 51)
Apabila Nabi Muhammad SAW duduk dikelilingi oleh sahabat-sahabat Baginda SAW yang lemah, orang Quraisy akan mengejek dan berkata, “Itukah jenis rakan-rakannya?” Firman Allah:
Maksudnya: “Demikianlah Kami uji sebahagian mereka dengan sebahagian yang lain (contohnya orang kaya dengan orang yang miskin, supaya mereka berlumba-lumba mendahului keimanan) supaya mereka berkata, ‘Inikah orangnya yang telah dikurniakan nikmat (hidayah) oleh Allah kepada mereka di antara kita?’ (Allah berfirman), ‘Bukankah Allah lebih mengetahui akan orang yang bersyukur.” (Al-An’am: 53)
Mereka ini adalah sebagaimana firman Allah:
Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang derhaka, mereka (di dunia) selalu mentertawakan orang yang beriman. Dan apabila orang yang beriman lalu dekat mereka, mereka saling mengerdipkan mata sesama sendiri (mencemuhnya). Dan apabila mereka (orang kafir) kembali kepada kaum keluarga, mereka kembali dengan riang gembira. Dan apabila mereka melihat orang beriman, mereka berkata ‘Sesungguhnya mereka itu adalah golongan yang sesat!’ Padahal mereka tidak diutus untuk menentukan sesat atau tidaknya orang yang beriman itu.” (Al-Mutaffifin: 29-33)
Mengganggu ajaran-ajaran yang disampaikan oleh Rasulullah SAW dan menimbulkan syak wasangka serta menyebar dakyah-dakyah palsu, di samping menyebarkan tuduhan-tuduhan dangkal terhadap ajaran dan peribadi Rasulullah SAW. Mereka banyak menggunakan cara ini supaya orang awam tidak mempunyai ruang untuk berfikir mengenai dakwah Rasulullah SAW. Firman Allah:
Maksudnya: “Dan mereka berkata lagi, ‘Al-Quran itu adalah cerita-cerita dongeng orang dahulukala, yang diminta oleh Muhammad supaya dituliskan, kemudian perkara yang ditulis itu dibacakan kepadanya pagi dan petang.” (Al-Furqan: 5)
Maksudnya: “Dan orang yang kafir itu berkata, ‘(Al-Quran) ini hanyalah satu perkara dusta yang direka-reka oleh Muhammad dan dia dibantu oleh kaum yang lain.’ Maka, sesungguhnya mereka telah mendatangkan satu tuduhan yang zalim dan dusta.” (Al-Furqan: 4)
Maksudnya: “Sesungguhnya Kami mengetahui bahawa mereka yang musyrik itu berkata, ‘Sebenarnya dia diajar oleh seseorang manusia.’ (Padahal) bahasa orang yang mereka sandarkan tuduhan kepadanya itu ialah bahasa asing, sedang al-Quran ini berbahasa Arab yang nyata.” (Al-Nahl: 103)
Mengenai peribadi Rasulullah SAW, mereka mengatakan:
Maksudnya: “Dan mereka pula berkata, ‘Mengapa rasul ini makan, minum dan berjalan di pasar-pasar? Sepatutnya diturunkan malaikat kepadanya supaya malaikat itu turut memberi peringatan dan amaran bersama-sama dengannya.” (Al-Furqan: 7)
Di dalam al-Quran terdapat banyak lagi contoh lain mengenai rekaan-rekaan dan tuduhan-tuduhan yang mereka lemparkan yang dijawab oleh al-Quran, sama ada menyebut atau tidak menyebut tuduhan-tuduhan itu.
Membandingkan al-Quran dengan cerita-cerita dongeng dahulukala serta menyibukkan manusia supaya menerima dakyah tersebut: diceritakan bahawa al-Nadr bin al-Harith pernah berkata kepada orang Quraisy, “Hai, sekalian orang Quraisy! Demi Allah, kamu telah ditimpa satu perkara yang tiada berdaya kamu menghadapinya. Muhammad dahulunya dalam kalangan kamu adalah seorang budak yang baik bicaranya, dialah yang paling kamu suka, dialah yang paling benar bercakap, dialah yang paling amanah. Namun, apabila kamu lihat uban telah mulai tumbuh di tepi kepalanya, dia datang kepada kamu membawa ajarannya, lalu kamu katakan, dia seorang sihir. Tidak! Demi Allah, dia bukan tukang sihir, kerana kita telah melihat tukang-tukang sihir berserta tiupan dan tali simpulannya. Kemudian, kamu katakan dia seorang pawang. Tidak, demi Allah, dia bukan pawang. Kita telah melihat pawang-pawang dan gerak lenggoknya serta jampi manteranya. Kemudian kamu katakan dia seorang penyair. Tidak, demi Allah, dia bukan penyair kerana kita telah melihat syair, mendengar jenis-jenis syair semuanya, hiznya dan rijznya, kemudian kamu katakan dia seorang gila. Tidak, demi Allah dia bukan seperti orang gila. Kita telah melihat orang gila sedangkan dia bukan seperti orang yang kena rasuk, bercelaru fikiran dan tidak tentu arah. Hai, orang Quraisy, fikirlah apa yang harus kamu lakukan. Demi Allah, sesungguhnya kamu telah ditimpa satu perkara yang besar.”
Kemudian, al-Nadr pergi ke Hirah. Di sana dia mempelajari cerita-cerita tentang raja-raja Parsi, cerita-cerita Rustam dan Aspanidar. Apabila Rasulullah SAW duduk dalam satu majlis untuk menyampaikan peringatan daripada Allah dan amaran mengenai pembalasan-Nya, maka al-Nadr akan menyusul dan berkata, “Demi Allah, Muhammad tidak boleh menandingiku dalam bercerita.” Kemudian dia pun bercerita kepada mereka mengenai kisah-kisah raja Parsi, Rustam dan Aspandiar. Kemudian dia berkata, “Dengan apakah Muhammad lebih baik ceritanya daripadaku?”[8]
Dalam satu riwayat yang disampaikan oleh Ibn Abbas menggambarkan bahawa al-Nadr telah membeli beberapa orang penyanyi wanita. Pantang dia mendengar ada seorang lelaki yang cenderung kepada Nabi Muhammad SAW, maka dihantarnya salah seorang penyanyi itu untuk menjaga makan minum lelaki tersebut serta mendendangkan lagu-lagu untuknya agar hilang kecenderungannya kepada Islam. Berkenaan hal ini, Allah berfirman:
Maksudnya, “Ada antara manusia yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada hiburan-hiburan yang melalaikan, yang akibatnya menyesatkan (dirinya dan orang ramai) daripada jalan Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan dan ada pula orang yang menjadikan jalan Allah itu sebagai ejek-ejekan, merekalah orang yang akan beroleh azab yang menghinakan.” (Lukhman: 6)[9]
Tawar-menawar: mereka cuba mempertemukan antara Islam dengan jahiliah di jalan tengah, iaitu dengan cara orang musyrikin meninggalkan sebahagian agama mereka, dan Rasulullah SAW pula meninggalkan sebahagian agamanya. Firman Allah:
Maksudnya: “Mereka suka kalaulah engkau bertolak-ansur (menurut kemahuan mereka) supaya mereka juga bertolak-ansur (berlemah-lembut secara zahirnya terhadapmu).” (Al-Qalam: 9)
Terdapat riwayat daripada Ibn Jarir dan al-Tabrani yang menunjukkan bahawa orang musyrikin menawarkan Rasulullah SAW supaya menyembah tuhan-tuhan mereka setahun, dan mereka akan menyembah Tuhan Muhammad selama setahun juga. Dalam riwayat lain daripada Abd bin Humaid, mereka mengatakan, “Kalau kamu sanggup menerima tuhan-tuhan kami, maka kami akan menyembah Tuhan kamu.”[10]
Ibn Ishaq meriwayatkan dengan sanadnya, katanya, “Rasulullah SAW disekat oleh al-Aswad bin al-Muttalib bin Asad bin Abd al-Abd al-Uzza, al-Walid bin al-Mughirah, Umayyah bin Khalaf dan al-As bin Wail al-Sahmi (mereka merupakan orang yang berpengaruh dalam kaum masing-masing) ketika Baginda SAW sedang bertawaf di Kaabah. Lalu mereka berkata kepada Rasulullah SAW, “Wahai Muhammad, marilah, biar kami sembah apa yang engkau sembah, dan engkau sembah apa yang kami sembah. Kami dan kamu sama-sama berkongsi dalam urusan ini. Kalau apa yang kamu sembah itu lebih baik daripada apa yang kami sembah, bererti kami telah mengambil habuan kami daripadanya, dan kalau apa yang kami sembah lebih baik daripada apa yang kamu sembah, bererti kamu telah mendapat habuan kamu daripadanya.” Lalu Allah berfirman:
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad), ‘Hai, orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak pernah menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah. Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku.” (Al-Kafirun: 1-6)
Ayat ini menunjukkan bagaimana Allah menolak tawaran mereka yang lucu ini dengan tegas dan muktamad. Kemungkinan terdapat kelainan mengenai cara tawar-menawar ini adalah disebabkan ia berlaku beberapa kali.
Penindasan
Orang musyrikin melakukan berbagai-bagai usaha dan cara yang telah disebutkan sedikit demi sedikit untuk menghalang dakwah Nabi Muhammad SAW sebaik sahaja dakwah dilakukan secara terang-terangan pada tahun keempat kenabian. Minggu dan bulan berlalu; mereka masih menjalankan tindakan-tindakan yang sama tetapi masih belum sampai ke tahap penindasan dan penyeksaan. Namun, apabila melihat tindakan-tindakan yang dibuat tidak membuahkan hasil dalam menyekat dakwah Islam dari terus tersebar, mereka berkumpul sekali lagi dan membentuk satu badan yang terdiri daripada 25 orang pembesar Quraisy yang diketuai oleh Abu Lahab, bapa saudara Rasulullah SAW.
Setelah bermesyuarat dan berfikir panjang, badan ini telah mengambil keputusan tegas untuk menentang Rasulullah SAW dan para sahabat Baginda SAW. Mereka meluluskan usul untuk tidak melengah-lengahkan usaha memerangi Islam, menyakiti Rasulnya, menyeksa orang yang memeluk Islam dan mengenakan berbagai-bagai bentuk hukuman serta penyeksaan ke atas mereka.[11] Kaum Quraisy mengambil keputusan ini dan nekad melaksanakannya. Tindakan mereka terhadap orang Islam, terutamanya golongan yang lemah, adalah mudah untuk mereka lakukan, tetapi untuk mereka bertindak terhadap Rasulullah SAW, ia adalah sukar kerana Baginda SAW adalah seorang yang terhormat, memiliki peribadi yang unggul dan dihormati oleh kawan dan lawan. Jika mereka bertemu dengan Rasulullah SAW, tiada yang dapat dilakukan selain memberi penghormatan dan pemuliaan terhadap Rasulullah SAW.
Tiada orang yang sanggup melakukan perkara yang keji dan hina untuk menentang Rasulullah SAW kecuali orang yang hina dan bodoh. Apatah lagi, Rasulullah SAW mendapat perlindungan Abu Talib. Abu Talib merupakan seorang tokoh Makkah yang dihormati keturunannya dan dia sendiri dihormati dalam kalangan masyarakat Quraisy. Tiada seorang pun yang berani mengganggu perlindungan yang dijamin oleh Abu Talib mahupun menghalalkan apa yang dipertahankannya. Keadaan ini mencemaskan orang Quraisy. Mereka duduk, bangun memikirkan apakah tindakan yang harus mereka ambil. Sampai bilakah mereka harus bersabar menghadapi seruan yang bakal menjahanamkan kepimpinan agama mereka serta kekuasaan mereka terhadap hal-hal dunia.
Lalu, mereka memulakan penindasan terhadap Rasulullah SAW dengan diketuai oleh Abu Lahab. Abu Lahab sebenarnya telah mengambil pendirian keras ini sejak awal lagi, sebelum orang Quraisy yang lain memikirkannya. Sebelum ini telah disebutkan apa yang dia lakukan terhadap Rasulullah SAW ketika Baginda SAW mengumpulkan Bani Hashim di Bukit Safa. Sesetengah riwayat menyebut bahawa ketika Abu Lahab berada di atas Bukit Safa, dia telah mengambil seketul batu untuk memukul Rasulullah SAW.[12]
Sebelum itu, Abu Lahab telah mengahwinkan dua orang puteranya dengan dua orang puteri Rasulullah SAW, iaitu Ruqayyah dan Ummu Kalthum. Perkahwinan itu berlangsung sebelum kenabian Rasulullah SAW. Apabila Rasulullah SAW diutuskan sebagai Rasul, Abu Lahab menyuruh kedua-dua anaknya menceraikan isteri-isteri mereka secara paksa, sehingga akhirnya mereka pun menceraikan isteri masing-masing.[13]
Apabila Abdullah, putera kedua Rasulullah SAW meninggal dunia, Abu Lahab menerima berita itu dengan gembira sambil berlari-lari ke arah kawan-kawannya untuk menyampaikan berita kononnya Muhammad SAW telah ditarik kembali dari mendapat apa yang disayanginya.[14]
Sebelum ini juga telah disebut bagaimana Abu Lahab selalu mengekori Rasulullah SAW di pasar-pasar pada musim haji dan mendustakan Baginda SAW di hadapan orang ramai. Tariq bin Abdullah al-Muharibi meriwayatkan berita yang mengatakan bahawa tindakan Abu Lahab bukan setakat mendustakan Rasulullah SAW, malahan dia pernah memukul Rasulullah SAW dengan batu sehingga mengalir darah ke tumit Rasulullah SAW.[15]
Isteri Abu Lahab, Ummu Jamil Arwa binti Harb, iaitu saudara perempuan Abu Sufiyan, tidak kurang hebat memusuhi Rasulullah SAW. Dia membawa duri-duri dan meletakkannya di jalan tempat Rasulullah SAW sering lalu dan di muka pintu rumah Rasulullah SAW pada waktu malam. Dia adalah seorang perempuan yang mengeluarkan kata-kata kesat, bercakap mengikut sekehendak hati serta banyak mengada-adakan pembohongan terhadap Rasulullah SAW. Maka itulah, al-Quran menyifatkannya sebagai ‘pembawa kayu api’.
Apabila dia mendengar turunnya ayat al-Quran yang berkaitan dengan dirinya dan suaminya, dia segera datang kepada Rasulullah SAW. Ketika itu Rasulullah SAW sedang duduk di dalam masjid berdekatan Kaabah bersama-sama Abu Bakar al-Siddiq. r.a. Isteri Abu Lahab datang sambil menggenggam seketul batu. Namun, apabila dia telah hampir kepada Baginda SAW dan Abu Bakar, Allah melenyapkan pandangannya terhadap Rasulullah SAW; dia hanya dapat melihat Abu Bakar. Dia berkata, “Hai Abu Bakar, mana kawanmu? Telah sampai berita yang dia memperlekehkan aku. Demi Allah kalau aku temui dia, nescaya aku pukul mulutnya dengan batu ini!” Lalu, dia pun bersyair,
Penuh celaan kami menentangnya
Perintahnya kami ingkar
Agamanya kami tinggalkan
Kemudian dia pun beredar dari situ. Abu Bakar a.s berkata, “Wahai Rasulullah, tidakkah dia melihat engkau?” Rasulullah SAW menjawab, “Dia tidak melihat aku. Allah telah melenyapkan pandangannya terhadapku.”[16]
Abu Bakar r.a meriwayatkan kisah ini yang antara lain menyebut bahawa, apabila Ummu Jamil berhenti di hadapan Abu Bakar, dia berkata, “Hai Abu Bakar, buruk sungguh bicara sahabatmu itu!” Lalu, Abu Bakar r.a menjawab, “Tidak! Demi Tuhan bangunan ini, dia tidak menuturkan syair dan tidak berbicara dengan syair.” Ummu Jamil pun berkata, “Kamu ini orang yang betul bendul!”
Begitulah, semua itu dilakukan oleh Abu Lahab sedangkan dia adalah bapa saudara Rasulullah SAW dan jiran Baginda SAW. Rumahnya bersebelahan dengan rumah Rasulullah SAW. Begitu juga dengan jiran-jiran Rasulullah SAW yang lain – mereka turut menyakiti Rasulullah SAW sedang Baginda SAW berada di dalam rumah.
Ibn Ishaq mengatakan bahawa golongan yang menyakiti Rasulullah SAW di rumahnya ialah Abu Lahab, al-Hakam bin Abi al-Ash bin Umayyah, Uqbah bin Abi Muaiyat, Adiy bin Hamra al-Thaqafiy, Ibn al-Asda al-Hudhaily – mereka ini merupakan jiran Rasulullah SAW; tiada seorang pun dari mereka memeluk Islam kecuali al-Hakam bin Abi al-Ash.[17] Salah seorang daripada mereka ini pernah mencampakkan perut kambing kepada Rasulullah SAW ketika Baginda SAW sedang solat (di rumahnya). Seorang lagi mencampakkan perut kambing dengan periuknya sekali sehingga Rasulullah SAW terpaksa membuat hadangan ketika solat untuk menghalang gangguan mereka. Apabila Rasulullah SAW dicampakkan kotoran itu, Baginda SAW akan keluar membawa kotoran itu dengan sebatang ranting lalu berdiri di muka pintu rumahnya sambil berkata, “Hai, Bani Abd Manaf, jiran jenis apakah kamu ini?” Kemudian Rasulullah SAW buangkan kotoran itu di jalan.[18]
Uqbah bin Abi Muaiyat mengambil tindakan yang lebih buruk lagi terhadap Rasulullah SAW. Al-Bukhari meriwayatkan daripada Abdullah bin Masud r.a bahawa Rasulullah SAW sedang bersembahyang di sisi Kaabah. Ketika itu Abu Jahal dan kawan-kawannya sedang duduk di situ. Sebahagian dari mereka berkata kepada sebahagian yang lain, “Siapakah di kalangan kamu yang berani membawa uri unta keluarga si polan ini dan meletakkannya di atas belakang Muhammad ketika dia sujud?” Lalu, bangunlah Uqbah bin Abi Muaiyat mengambil uri itu sambil memandang ke arah Rasulullah SAW.
Apabila Rasulullah SAW sujud, Uqbah meletakkan uri itu di atas belakang di antara dua bahu Rasulullah SAW. (Kata Abdullah bin Masud) “Saya memerhatikan apa yang mereka lakukan tetapi tidak dapat berbuat apa-apa. Alangkah baiknya jika saya ada kekuatan untuk menghalang.” Katanya lagi, “Lalu mereka pun mentertawakan Rasulullah SAW dan berlenggang-lenggok sesama mereka, sedangkan Rasulullah SAW ketika itu masih terus sujud, tidak mengangkat kepala sehinggalah Fatimah r.ha datang dan membuang uri itu dari belakang Baginda SAW.”
Kemudian Rasulullah SAW mengangkat kepala seraya berdoa, “Ya Allah, ke atas-Mu untuk menghukum orang Quraisy ini.” Rasulullah SAW menyebut doa ini sebanyak tiga kali. Mendengar doa Rasulullah SAW, mereka merasa gelisah. Mereka percaya bahawa berdoa di tempat itu adalah mustajab. Rasulullah SAW berdoa sambil menyebut nama-nama mereka, “Ya Allah, ke atas-Mu untuk menghukum Abu Jahal, ke atas-Mu untuk menghukum Utbah bin Rabiah, Shaybah bin Rabiah, al-Walid bin Utbah, Umayyah bin Khalaf, Uqbah bin Abi Muaiyat.” Rasulullah SAW menyebut sebanyak tujuh nama tetapi tidak dihafal oleh perawinya. Berkata Abdullah bin Masud, “Demi diriku yang dalam kekuasaan-Nya, aku telah melihat semua mereka yang dihitung oleh Rasulullah SAW itu menjadi korban dalam perigi buruk, iaitu perigi buruk dalam Perang Badar.”[19]
Umayyah bin Khalaf, apabila melihat Rasulullah SAW, akan dicaci dan dikejinya. Terhadapnya, turun ayat al-Quran:
Maksudnya: “Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci, pengeji.” (Al-Humazah: 1)
Ibn Hisham berkata, “Al-Lumazah ialah orang yang mengherdik seseorang secara terbuka sambil mengenyit matanya. Al-Lumazah ialah orang yang mengaibkan orang lain secara berahsia tetapi menyakitkan mereka.”[20]
Saudaranya pula iaitu Ubay bin Khalaf dan Uqbah bin Abi Muaiyat sering berganding. Pada suatu masa, Uqbah duduk hampir dengan Rasulullah SAW dan mendengar apa yang dibicarakan oleh Baginda SAW. Apabila berita itu sampai kepada Ubay, dimarahinya oleh Uqbah dan disuruh supaya Uqbah meludah ke arah wajah Rasulullah SAW; Uqbah melakukan suruhan ini. Ubay sendiri meramas-ramas tulang reput dan meniupnya ke angin yang menghala ke arah Rasulullah SAW.[21]
Al-Akhnas bin Syarif al-Thaqafiy juga termasuk dalam golongan yang menghina Rasulullah SAW. Al-Quran menyifatkannya dengan sembilan sifat perlakuannya:
Maksudnya: “Dan janganlah engkau menurut kemahuan orang yang selalu bersumpah, lagi yang hina. Yang suka mencaci, lagi suka menyebarkan fitnah hasutan (untuk memecahbelahkan orang ramai). Yang sering menghalangi amalan-amalan kebajikan, yang melanggar hukum-hukum agama, lagi yang amat berdosa. Yang kasar (wataknya), selain itu yang terkenal kejahatannya.” (Al-Qalam: 10-13)
Abu Jahal pula kadangkala datang kepada Rasulullah SAW dan mendengar Baginda SAW membaca al-Quran, kemudian dia pergi begitu sahaja tanpa beriman dan mematuhinya. Dia tidak dapat mengambil adab yang baik dan tidak merasa gerun (mendengar bacaan al-Quran). Dia menyakiti Rasulullah SAW dengan kata-kata kesat, menghalang Rasulullah SAW daripada jalan Allah. Kemudian dia akan pergi dengan perasaan sombong dan membangga diri kerana berjaya melakukan kejahatan, seolah-olah apa yang dilakukannya itu akan menjadi sesuatu untuk dikenang. Terhadapnya, al-Quran menyebut:
Maksudnya: “(Oleh sebab orang yang kafir tidak percayakan Hari Akhirat) maka dia tidak mengakui kebenaran (yang diwajibkan meyakininya) dan dia tidak mengerjakan solat (yang difardukan kepadanya)!” (Al-Qiyamah: 31)
Dia menghalang Rasulullah SAW daripada mendirikan solat sejak kali pertama dia melihat Rasulullah SAW bersembahyang di dalam Masjid al-Haram. Ada suatu ketika, dia lalu berhampiran Rasulullah SAW ketika Baginda SAW sedang solat berhampiran makam Ibrahim lalu berkata, “Hai, Muhammad! Bukankah aku larang kamu melakukan perbuatan ini!” Lalu dia mengancam Rasulullah SAW. Lalu, Rasulullah SAW berkeras dan mengherdik kembali kepadanya. Abu Jahal berkata lagi, “Hai, Muhammad, kamu mahu mengancam aku dengan apa? Demi Allah, aku adalah orang paling ramai pengikut di lembah ini!” Lalu, turunlah ayat al- Quran:
Maksudnya: “Maka biarlah dia memanggil kumpulannya (untuk menyelamatkannya).” (Al-‘Alaq: 17)
Dalam satu riwayat yang lain menyebut bahawa Rasulullah SAW mencekak leher Abu Lahab sambil menggoncangnya dan berkata seperti dalam al-Quran:
Maksudnya: “(Wahai orang kafir!) kecelakaan sudah dekat kepadamu, sudah dekat kepadamu. Kemudian, api nerakalah lebih layak bagimu, lebih layak.” (Al-Qiyamah: 34-35)
Lantas, berkatalah seteru Allah itu, “Adakah engkau hendak mengancamku, wahai Muhammad? Demi Allah, kamu dan Tuhanmu tidak akan mampu barang sedikitpun, kerana aku ini adalah orang termulia dalam kalangan mereka yang berjalan antara dua bukit Makkah.”[22]
Abu Jahal masih tidak serik disergah oleh Rasulullah SAW, malah kebenciannya makin bertambah-tambah setelah itu. Muslim mengeluarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, katanya, “Berkata Abu Jahal, ‘Adakah Muhammad menyembamkan mukanya ke tanah (bersujud) di hadapan kamu?’ Lalu dijawab, ‘Ya.’ Dia berkata, ‘Demi al-Lata dan al-Uzza, kalau aku lihatnya, akan ku pijak tengkuknya dan aku sodokkan mukanya ke tanah.’ Kemudian dia pun datang kepada Rasulullah SAW ketika Baginda SAW sedang bersembahyang. Sebelum itu dia mendakwa akan memijak leher Rasulullah SAW tetapi yang mengejutkan mereka ialah apabila dia lari berpatah balik sambil berlindung dengan kedua-dua tangannya. Mereka pun bertanya, ‘Apa kena dengan kamu hai, Abu al-Hakam?’ Jawabnya, ‘Antaraku dengan Muhammad itu ada parit api dan mereka yang bersayap.’ Lalu Rasulullah SAW bersabda, ‘Kalau dia hampiri aku nescaya para malaikat akan merentap anggota tubuhnya satu persatu.”[23]
Penindasan-penindasan ini dilakukan terhadap Rasulullah SAW sedangkan Baginda SAW seorang yang berperibadi unggul, diagung-agungkan dan dimuliakan dalam kalangan masyarakat. Di samping itu, Rasulullah SAW berada dalam perlindungan Abu Talib, seorang tokoh besar yang dihormati di Makkah. Maka, betapalah halnya dengan orang Islam yang lain, terutamanya golongan yang lemah, sudah tentulah tindakan ke atas mereka lebih keras dan pahit untuk ditanggung. Pada masa yang sama, semua kabilah bertindak menyeksa ahli kabilah mereka yang menganut agama Islam dengan berbagai-bagai bentuk penyeksaan. Orang Islam yang tidak mempunyai kabilah akan diseksa oleh tuan-tuan mereka dengan berbagai-bagai bentuk penindasan yang tidak tergamak untuk diingati oleh hati orang yang sabar.
Apabila Abu Jahal mendengar seorang lelaki terhormat dan mendapat perlindungan memeluk Islam, maka dia akan mengherdiknya dan mengancam bahawa orang itu akan menerima padah yang buruk sama ada pada harta atau kedudukannya. Jika yang memeluk Islam itu ialah orang yang lemah, maka dia akan memukul dan menyakitinya.[24]
Bapa saudara Uthman bin Affan pernah membungkusnya dalam tikar jalinan daun kurma, kemudian menyalakan api di bawahnya dan disalainya.[25] Apabila ibu Musab tahu bahawa Musab bin Umayr memeluk Islam, dia tidak membenarkan Musab mendapatkan makanan dan mengusirnya keluar dari rumah sedangkan Musab sebelum itu adalah seorang yang hidup mewah. Akibatnya, kulit tubuh Musab kelihatan mengelupas seperti kulit ular.[26]
Bilal ialah hamba kepada Umayyah bin Khalaf al-Jumahi. Apabila tahu Bilal telah memeluk Islam, Umayyah mengikat tali di leher Bilal kemudian menyerahkannya kepada kanak-kanak untuk digiring ke bukit-bukit di Makkah sehingga nampaklah kesan tali itu di leher Bilal. Umayyah pernah mengikat kemudian memukul Bilal dengan tongkat. Bilal pernah dipaksa duduk di tengah panas dan dipaksa berlapar. Lebih teruk lagi, Bilal pernah dibawa ke tanah lapang pada hari yang sangat panas lalu dicampakkan ke atas batu-batu kelikir. Kemudian, diletakkan sebongkah batu yang besar di atas dadanya. Lalu berkata Umayyah kepadanya, “Demi Allah, kamu akan terus-menerus begitu sehingga mati atau kamu kufuri ajaran Muhammad dan sudi untuk menyembah al-Lata dan al-Uzza!”
Dalam keadaan terseksa begitu, Bilal menjawab, “Ahad! Ahad! (Dia Yang Esa! Dia Yang Esa!)”, sehingga pada suatu hari Abu Bakar r.a terlihat apa yang mereka perlakukan kepadanya lalu dibelinya Bilal dengan bayaran seorang hamba berkulit hitam. Ada yang mengatakan, bayarannya ialah tujuh atau lima uqiyah perak; kemudian Abu Bakar r.a memederkakan Bilal.[27]
Ammar bin Yasir r.a adalah hamba kepada Bani Makzum. Dia berserta ibunya dan bapanya telah menganut agama Islam. Orang musyrikin yang diketuai oleh Abu Jahal telah membawa mereka keluar ke tengah padang ketika hari sangat terik lalu menyeksa mereka di bawah panas matahari. Ketika mereka sedang diseksa itu, Rasulullah SAW lalu di situ dan terlihat mereka sekeluarga. Lantas, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sabarlah, wahai keluarga Yasir, sesungguhnya janjimu ialah syurga.” Dalam penyeksaan itu, Yasir telah meninggal dunia. Abu Jahal telah menikam Sumayyah (ibu Ammar) pada kemaluannya sehingga beliau meninggal dunia. Sumayyah merupakan orang pertama yang syahid dalam Islam.
Penyeksaan terhadap Ammar diperhebatkan lagi. Sesekali dia dijemur di tengah panas dengan diletakkan batu besar yang panas di atas dadanya. Sesekali dia direjam di dalam air. Mereka berkata kepadanya, “Kami tidak akan membiarkan kamu sehinggalah kamu sanggup mencaci Muhammad, atau berkata yang baik terhadap al-Lata dan al-Uzza.” Lalu, Ammar pun bersetuju dengan kehendak mereka kerana terpaksa. Setelah itu, Ammar datang kepada Rasulullah SAW sambil menangis untuk meminta maaf atas apa yang terpaksa dilakukannya. Maka, turunlah firman Allah:
Maksudnya: “Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah dia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab daripada Allah) kecuali orang yang dipaksa sedangkan hatinya tetap tenang dengan iman, tetapi sesiapa yang terbuka hatinya menerima kufur, maka atas mereka tertimpa kemurkaan daripada Allah dan mereka pula beroleh azab yang besar.” (Al-Nahl: 106)
Abu Fakihah (nama sebenarnya, Aflah) ialah hamba kepada Bani Abd al-Dar. Mereka telah mengikat kakinya dengan tali, dan kemudian mengheretnya di atas tanah.[28] Khabbab bin al-Aratt ialah hamba kepada Ummu Anmar binti Siba dari Bani Khuzaah. Orang musyrikin mengenakan berbagai-bagai penyeksaan terhadapnya. Mereka mengepal rambut di kepalanya dan merentapnya dengan sekali rentapan. Mereka memusingkan tengkuknya dengan sangat keras; mereka membaringkan Khabbab beberapa kali di atas bara api, kemudian mereka letakkan di atasnya seketul batu sehingga tidak mampu untuk Khabbab bangun.[29]
Zunayrah, al-Nahdiyyah dan seorang anak perempuannya, serta Ummu Ubais merupakan golongan hamba wanita yang telah memeluk Islam. Orang musyrikin mengenakan penyeksaan ke atas mereka sama seperti penyeksaan yang dinyatakan dalam contoh-contoh disebut di atas.
Seorang hamba Bani Muammil yang berasal dari Bani Adiy telah memeluk Islam, lalu Umar al-Khattab (ketika ini, beliau masih musyrik) memukulnya sehingga apabila merasa bosan, dia berkata, “Aku tidak meninggalkan dari memukulnya kecuali kerana bosan.”[30]
Semua hamba ini telah dibeli oleh Abu Bakar r.a dan dimerdekakannya sebagaimana Abu Bakar r.a memerdekakan Bilal dan Amir bin Fuhairah.[31] Orang musyrikin membungkus sesetengah sahabat Rasulullah SAW dalam kulit unta dan lembu, kemudian mencampakkan mereka ke tengah panas terik. Sebahagian yang lain pula dipakaikan dengan baju besi, kemudian dicampakkan atas batu besar yang panas.[32]
Senarai mereka yang diseksa di jalan Allah adalah terlalu banyak dan memeritkan. Sesiapa sahaja yang diketahui akan keislamannya pasti akan diganggu dan disakiti.
Dar Al-Arqam
Antara hikmah di sebalik penindasan-penindasan yang diterima ini ialah supaya Rasulullah SAW dan orang Islam tidak mengisytiharkan keislaman mereka sama ada dalam bentuk perkataan atau perbuatan. Ia juga bertujuan supaya mereka tidak berkumpul kecuali secara rahsia. Ini kerana apabila mereka berkumpul secara terbuka, orang musyrikin pastinya akan menghalang mereka demi mencapai maksud mahu ‘membersihkan’ orang Islam dan pengajian mereka dalam al-Quran dan al-sunnah. Boleh jadi ia akan membawa kepada pertembungan antara dua pihak. Malah, memang pernah terjadi pertembungan tersebut pada tahun keempat kenabian, iaitu ketika para sahabat Rasulullah SAW berkumpul di lorong antara dua buah bukit dan mendirikan solat secara rahsia di situ tetapi mereka telah dilihat oleh sekumpulan orang kafir Quraisy. Orang kafir itu telah memaki dan menyerang mereka. Dalam peristiwa itu, Saad bin Abu Waqqas telah memukul seorang lelaki sehingga berdarah. Itulah darah pertama yang ditumpahkan dalam Islam.[33]
Seperti yang diketahui, pertembungan itu jika terlalu kerap berlaku dan berpanjangan, akan membawa kepada penghapusan umat Islam. Oleh sebab itu, adalah lebih berhikmah mereka menjalankan aktiviti secara bersembunyi. Kebanyakan sahabat Rasulullah SAW menyembunyikan keislaman dan ibadah mereka serta dakwah dan pertemuan mereka. Adapun Rasulullah SAW sendiri, Baginda SAW menyampaikan dakwah secara terang-terangan dan melakukan ibadah berhampiran dengan orang musyrikin tanpa ada yang dapat menghalang Baginda SAW.
Namun, jika berkumpul, Rasulullah SAW akan berkumpul dengan orang Islam secara rahsia demi kemaslahatan mereka dan kemaslahatan Islam itu sendiri. Rumah al-Arqam bin Abi al-Arqam al-Makhzumi terletak di atas Bukit Safa. Kedudukannya agak terpencil daripada pandangan para penjahat Quraisy serta tempat-tempat yang mereka biasa duduk. Rasulullah SAW menjadikan rumah tersebut sebagai pusat dakwahnya dan tempat orang Islam berkumpul iaitu pada tahun kelima kenabian.[34]
Penghijrahan pertama ke Habsyah
Penindasan terhadap umat Islam bermula pada pertengahan atau penghujung tahun keempat kenabian. Pada mulanya, penindasan ini bermula dengan penindasan kecil. Namun, menjadi semakin keras dengan berlalunya hari demi hari dan bulan demi bulan, sehingga semakin memburuk pada pertengahan tahun kelima kenabian. Orang Islam mulai merasa tidak selamat tinggal di Makkah. Ini menyebabkan mereka berfikir untuk mencari jalan keluar bagi menyelamatkan diri daripada seksaan yang pedih itu.
Pada saat mereka menghadapi penyeksaan yang perit ini, turunlah surah Al-Kahfi sebagai jawapan kepada beberapa soalan yang diajukan oleh orang musyrikin kepada Rasulullah SAW. Akan tetapi, surah ini juga turut merangkumi tiga cerita. Cerita-cerita itu adalah sebagai isyarat jelas daripada Allah kepada orang mukmin. Kisah ashabul kahfi menunjuk jalan ke arah hijrah dari pusat kekufuran dan musuh apabila dibimbangi keselamatan agama mereka sambil berserah kepada Allah:
Maksudnya: “Oleh kerana kamu telah mengasingkan diri dari mereka dan daripada apa yang mereka sembah yang lain daripada Allah, maka pergilah kamu berlindung di gua itu supaya Tuhan kamu melimpahkan daripada rahmat-Nya kepada kamu, dan menyediakan kemudahan-kemudahan untuk menjayakan urusan kamu dengan memberikan bantuan yang berguna.” (Al-Kahfi: 16)
Kisah Nabi Khidir dan Nabi Musa a.s pula memberi kefahaman bahawa sebarang suasana tidak berlaku dan membuahkan hasil mengikut perkiraan zahir semata-mata. Malah, adakalanya sesuatu perkara berlaku sebaliknya – tidak sebagaimana yang dijangka pada zahirnya. Dalam cerita ini ada satu mesej untuk diberitahu, iaitu peperangan yang dilancarkan terhadap orang Islam itu akan berpatah balik, di mana para penjahat musyrikin itulah nanti yang akan diusir oleh orang Islam yang lemah, jika mereka tidak beriman.
Kisah Zulkarnain memberi kefahaman bahawa bumi ini adalah milik Allah, dan Allah mewariskannya kepada siapa sahaja yang Dia mahu. Kejayaan itu hanya boleh dikecapi melalui jalan iman dan bukan jalan kekufuran. Allah sentiasa mengutuskan hamba-hamba-Nya dari semasa ke semasa untuk menyelamatkan orang yang lemah daripada penindasan Yakjuj dan Makjuj pada zaman itu, dan yang paling berhak untuk mewarisi bumi ialah hamba-hamba Allah yang soleh. Kemudian, turun surah Al-Zumar memberikan gambaran mengenai hijrah dan mengisytiharkan bahawa bumi Allah ini bukan sempit:
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad), ‘Wahai hamba-hamba-Ku yang beriman! Bertakwalah kepada Tuhan kamu. (Ingatlah) orang yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan (yang sebenar di Akhirat). (Ingatlah) bumi Allah ini luas (untuk berhijrah sekiranya kamu ditindas). Sesungguhnya orang yang bersabar sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka tanpa batas.” (Al-Zumar: 10)
Sebelum itu, Rasulullah SAW telah mengetahui bahawa Ashamah al-Najashi adalah raja Habsyah yang adil. Tidak seorang pun yang dizalimi di sisinya. Maka, Rasulullah SAW menyuruh umat Islam supaya berhijrah ke Habsyah sebagai melarikan diri untuk menyelamatkan agama mereka dari fitnah. Pada bulan Rejab tahun kelima kenabian, berhijrahlah kumpulan pertama para sahabat ke Habsyah. Mereka terdiri daripada 12 orang lelaki dan empat orang wanita. Mereka diketuai oleh Uthman bin Affan r.a, dan bersama-samanya ialah Ruqayyah, puteri Rasulullah SAW. Rasulullah SAW pernah bersabda mengenai mereka berdua yang bermaksud, “Sesungguhnya mereka berdua adalah ahlul bait yang pertama berhijrah di jalan Allah selepas Ibrahim dan Lut a.s.”[35]
Penghijrahan mereka dilakukan pada waktu malam agar tidak disedari oleh orang Quraisy. Mereka keluar ke laut dan menuju ke pelabuhan Shabiyyah. Nasib mereka baik kerana ada dua buah kapal perdagangan yang sudi membawa mereka ke Habsyah. Apabila orang Quraisy mendapat tahu mengenai penghijrahan orang Islam ini, mereka pun segera keluar untuk mengejar tetapi apabila mereka sampai ke pantai, rombongan orang Islam itu telah pun selamat berlayar. Di Habsyah, orang Islam mendapat kediaman yang baik.[36]
Pada bulan Ramadan tahun yang sama, Rasulullah SAW keluar ke Masjid al-Haram; di sana terdapat ramai orang Quraisy yang sedang berkumpul, termasuklah para pembesarnya. Secara tiba-tiba, Rasulullah SAW bangun berdiri di tengah-tengah mereka lalu membaca surah Al-Najm. Sebelum itu, orang kafir tersebut tidak pernah mendengar kalam Allah kerana cara yang mereka lakukan terus-menerus ialah beramal seperti yang dipesan oleh sesama mereka (iaitu jangan mendengar apa-apa daripada Muhammad) seperti yang disebut dalam al-Quran:
Maksudnya: “Dan orang yang kafir berkata, “Janganlah kamu mendengar al-Quran ini dan buat hingar-bingar terhadapnya (dengan nyanyian-nyanyian dan jeritan-jeritan riuh-rendah serta tepuk sorak) supaya kamu berjaya (mengganggu bacaannya, lalu dia menghentikan bacaannya).” (Fussilat: 26)
Namun, apabila Rasulullah SAW membacakan surah ini secara mendadak, tembuslah kepada pendengaran orang kafir tersebut akan firman Allah yang hebat dan memukau, yang tidak boleh digambarkan oleh kata-kata akan kehebatan dan keagungan kalam-Nya. Orang Quraisy itu semua menjadi tergamam dan masing-masing memasang telinga untuk mendengar. Ketika itu, mereka tidak memikirkan apa-apa lagi kecuali hanya mendengar bacaan tersebut sehingga apabila Rasulullah SAW membaca penamat surah tersebut, ia bagaikan kegemparan yang menerbangkan hati mereka:
Maksudnya: “Maka, hendaklah kamu bersujud kepada Allah (yang telah menurunkan al-Quran itu), dan beribadahlah kepada-Nya (bukan kepada berhala-berhala).” (Al-Najm: 62)
Kemudian, Rasulullah SAW sujud. Melihatkan itu, tiada seorang pun yang dapat mengawal dirinya melainkan mereka juga rebah sujud. Pada hakikatnya, kehebatan kebenaran itu telah memecahkan kedegilan dalam jiwa orang yang takbur dan suka memperolok-olok. Kerana itulah mereka tidak dapat mengawal diri sehingga turut rebah sujud kepada Allah.[37]
Apabila menyedari bahawa keagungan kalam Allah telah menjerut mereka, maka mereka pun melakukan sama seperti helah-helah yang pernah dilakukan untuk memadamkan cerita tersebut. Akibat peristiwa itu, mereka menerima kutukan dan celaan bertubi-tubi dari segenap sudut daripada orang musyrikin yang tidak hadir menyaksikan peristiwa tersebut. Maka, pada ketika itu mereka membuat cerita bohong terhadap Rasulullah SAW, kononnya ayat yang dibaca oleh Rasulullah SAW itu merupakan sambungan penyebutan berhala mereka. Kononnya, Rasulullah SAW membaca ayat, ‘Mereka (berhala) itulah malaikat-malaikat yang tertinggi, dan sesungguhnya syafaat mereka adalah diharap-harapkan.’
Mereka membawa cerita bohong ini untuk menebus rasa malu dan sebagai alasan mengapa mereka sujud bersama-sama Rasulullah SAW. Tindakan sebegini bukanlah perkara yang ganjil jika dilakukan oleh kaum yang telah biasa berbohong dan sering mengada-adakan cerita dan fitnah.[38]
Berita mengenai hal tersebut telah sampai ke pengetahuan orang Islam yang berhijrah ke Habsyah tetapi gambaran yang mereka terima adalah berbeza sama sekali daripada hakikat sebenar. Disampaikan kepada mereka kononnya orang Quraisy semua telah memeluk Islam. Lantaran itu, mereka pun pulang ke Makkah pada bulan Syawal tahun yang sama. Sehari lagi untuk sampai ke Makkah, mereka mendapat tahu mengenai cerita yang sebenar, lalu mereka pun pulang semula ke Habsyah. Tiada seorang pun daripada mereka masuk ke Makkah melainkan secara bersembunyi atau dengan mendapat perlindungan seorang lelaki Quraisy.[39]
Setelah itu, ujian dan penyeksaan kaum Quraisy terhadap orang yang berhijrah dan orang Islam yang lain semakin hebat. Orang Quraisy sangat gusar apabila mendengar mengenai layanan baik yang diberikan oleh Najashi kepada orang Islam yang berhijrah ke sana. Rasulullah SAW sendiri tidak nampak jalan lain kecuali mencadangkan agar orang Islam yang lain menjejaki sahabat-sahabat mereka ke Habsyah sekali lagi. Namun, hijrah kali kedua ini lebih sukar daripada yang sebelumnya. Orang Quraisy telah menyedari rancangan hijrah ini dan bertekad untuk menggagalkannya. Akan tetapi orang Islam bertindak lebih cepat, dan Allah memudahkan mereka untuk bertolak. Mereka sempat sampai kepada Najashi sebelum diketahui oleh orang Quraisy.
Pada kali ini, bilangan mereka yang berhijrah adalah seramai 83 orang lelaki (namun, tidak dapat dipastikan sama ada Ammar juga termasuk dalam rombongan ini); orang perempuan seramai 28 atau 29 orang.[40] Al-Allamah Muhammad Sulayman al-Mansurfuri berpegang kepada angka yang pertama (28 orang).
Rancangan orang Quraisy terhadap orang Islam yang berhijrah ke Habsyah
Orang musyrikin merasa tidak senang apabila orang Islam yang berhijrah ke Habsyah mendapat tempat yang aman untuk diri dan agama mereka. Lalu, mereka memilih dua orang lelaki yang gagah dan pintar, iaitu Amru bin al-Ash dan Abdullah bin Abi Rabiah (sebelum mereka memeluk Islam). Mereka berdua diutuskan untuk bertemu Najashi dan pembesar-pembesarnya dengan membawa berbagai-bagai jenis hadiah. Setelah menyampaikan hadiah-hadiah kepada para pembesar Najashi, mereka mengemukakan alasan-alasan mengapa perlunya orang Islam itu diusir. Pembesar-pembesar Najashi bersetuju untuk menasihati Najashi, maka dua lelaki Quraisy itu dibawa berjumpa raja mereka.
Mereka menyampaikan hadiah-hadiah kepada Najashi dan memulakan bicara, “Wahai Raja, sesungguhnya telah datang ke negeri kamu budak-budak yang bodoh. Mereka telah meninggalkan agama kaum mereka dan tidak pula menganut agama kamu. Mereka membawa agama baharu yang mereka ada-adakan. Kami dan kamu tidak pernah kenal agama itu. Dan kami ini diutuskan kepadamu oleh orang ternama dalam kalangan kaum mereka yang terdiri daripada ibu bapa, bapa-bapa saudara dan kaum kerabat mereka agar engkau kembalikan mereka kerana mereka lebih kenal kumpulan ini dan lebih tahu mengenai perbuatan mereka yang memalukan dan lebih tahu mengapa mereka dihukum.”
Para pembesar Najashi pula berkata, “Mereka berdua ini benar, wahai Tuanku. Serahkanlah orang itu kepada mereka berdua. Biarlah mereka bawa pulang kepada kaum dan negeri mereka.” Akan tetapi Najashi berpendapat bahawa dia perlu menyiasat terlebih dahulu perkara sebenar dan mendengar daripada kedua-dua belah pihak. Lalu, dihantar utusan untuk menjemput orang Islam. Maka, orang Islam pun datang, dan mereka telah sekata untuk bercakap benar walau apa pun yang terjadi.
Berkatalah Najashi kepada mereka, “Agama apakah yang menyebabkan kamu sanggup bercerai-berai daripada kaum kamu dan tidak masuk agamaku atau agama-agama lain?”
Jaafar bin Abu Talib – sebagai jurucakap bagi pihak orang Islam – berkata, “Wahai Tuanku, kami dahulunya adalah kaum jahiliah. Kami menyembah berhala dan memakan bangkai. Kami mengerjakan amalan keji; kami memutuskan silaturahim dan menyakiti jiran tetangga. Orang yang kuat dalam kalangan kami menindas orang yang lemah. Maka, begitulah kehidupan kami sehingga Allah mengutuskan kepada kami seorang Rasul dalam kalangan kami.
“Kami kenal nasab keturunan, kebenaran, amanah dan kehormatannya. Lalu, dia mengajak kami ke jalan Allah supaya kami mengesakan-Nya dan menyembah-Nya. Kami diajak supaya meninggalkan apa yang nenek moyang kami sembah selain Allah, iaitu batu dan berhala. Dia menyuruh kami bercakap benar dan menunaikan amanah, menghubungkan silaturahim, berbaik dengan jiran tetangga, menjauhi yang haram dan pertumpahan darah. Dia melarang kami segala yang keji, bercakap bohong, memakan harta anak yatim dan menuduh keji wanita-wanita yang baik.
“Dia menyuruh kami menyembah Allah semata-mata, tidak mensyirikkan-Nya dengan sesuatu. Dia menyuruh kami mendirikan solat, mengeluarkan zakat dan berpuasa – lalu, dihitung-hitung kepadanya beberapa hal mengenai Islam – kami mempercayainya dan beriman dengannya. Kami mengikuti apa yang dibawakannya kepada kami daripada ajaran agama Allah. Lalu, kami menyembah Allah semata-mata tanpa menyekutukan-Nya. Kami mengharamkan apa yang Allah haramkan ke atas kami dan kami halalkan apa yang Allah halalkan kepada kami.
“Tiba-tiba kaum kami memusuhi kami, mereka menyeksa kami, mendatangkan musibah kepada agama kami supaya kami kembali menyembah berhala. Mereka mahukan kami menghalalkan perkara keji yang yang dahulunya kami halalkan. Apabila mereka memaksa, menzalimi dan menyempitkan kehidupan kami serta menghalang kami daripada agama kami, maka kami pun keluar ke negeri kamu. Kami memilih Tuanku daripada raja-raja yang lain, dan kami senang berada dalam negeri Tuanku serta kami mengharapkan kami tidak dizalimi di sisimu, wahai Tuanku.”
Lalu Najashi berkata kepadanya, “Adakah kamu membawa bersamamu apa-apa keterangan yang dibawa oleh Nabi itu daripada Allah?” Jaafar menjawab, “Ya.” Najashi berkata, “Bacakanlah kepadaku.” Lalu, dibacanya permulaan ayat Kaf Ha Ya ‘Ain Sad. Kemudian, demi Allah, Najashi menangis sehingga air matanya membasahi janggutnya. Para pendetanya turut menangis sehingga basahlah muka mereka apabila mendengar ayat yang dibacakan kepada mereka. Kemudian Najashi berkata, “Sesungguhnya ajaran ini dan apa yang dibawa oleh Isa, keluar dari lubang pelita yang sama. Pergilah kamu berdua. Demi Allah, aku tidak akan menyerahkan mereka kepada kamu berdua.”
Lalu, keluarlah Amru bin al-Ash dan Abdullah bin Rabiah. Amru bin al-Ash berkata kepada Abdullah bin Rabiah, “Demi Allah, esok aku akan datang lagi menceritakan perihal yang akan memburukkan mereka.” Abdullah bin Rabiah menjawab, “Janganlah, mereka itu ada tali persaudaraan dengan kita walaupun mereka tidak sehaluan dengan kita.” Namun, Amru berkeras juga mahu meneruskan hasratnya itu.
Keesokan harinya, Amru berkata kepada Najashi, “Wahai Tuanku! Sesungguhnya mereka ini mengatakan tentang Isa anak Maryam perkataan yang besar.” Lalu, Najashi mengutuskan orang memanggil orang Islam itu untuk bertanyakan pendapat mereka mengenai al-Masih Isa. Maka, terkejutlah orang Islam. Akan tetapi, mereka bersepakat untuk bercakap benar walau apa yang terjadi. Apabila sampai, Najashi pun bertanya kepada mereka. Lalu, Jaafar menjawab, “Tentang Isa, kami mengatakan sebagaimana yang diberitahu oleh Nabi kami. Dia adalah seorang hamba Allah dan rasul-Nya serta roh-Nya dan kalimah-Nya yang dicampakkan kepada Maryam si perawan.”
Kemudian Najashi mengambil sebatang dahan dan membuat garisan di muka bumi seraya berkata, “Demi Allah, apa yang kamu kata tentang Isa bin Maryam tidak lari dari garisan ini.” Lalu, para pembesarnya menarik nafas, dan Najashi berkata, “Walaupun kamu menarik nafas, demi Allah!” Najashi berkata lagi kepada orang Islam itu, “Pergilah, kamu adalah shuyum di negeriku.” Shuyum dalam bahasa Habsyah membawa maksud orang yang selamat. “Barang siapa mengganggu kamu akan dihukum. Sungguh aku tidak senang kalaupun aku memiliki segunung emas tetapi aku menyakiti salah seorang daripada kamu.”
Kemudian dia berkata kepada pengiringnya, “Kembalikan hadiah mereka berdua. Aku tidak memerlukannya. Demi Allah, Allah tidak pernah mengambil rasuah daripadaku ketika Dia mengembalikan kerajaanku, maka apakah aku hendak mengambil rasuah pada jalan-Nya? Allah tidak pernah tunduk kepada manusia dengan mengangkatku, maka apakah aku hendak tunduk kepada manusia pada jalan Allah?”
Ummu Salamah yang meriwayatkan kisah ini berkata, “Maka, mereka berdua pun keluar dalam keadaan moyok dan barang-barang yang mereka bawa dikembalikan kepada mereka. Dan kami pula menetap di sisi raja dengan mendapat tempat tinggal yang baik dan jiran yang baik.”[41]
Riwayat yang disebutkan ini ialah riwayat oleh Abu Ishaq. Penulis selain Abu Ishaq menyebut bahawa utusan Amru bin al-Ash dihantar kepada Najashi berlaku selepas Perang Badar. Sebahagian mereka mempertemukan antara dua riwayat ini dengan mengandaikan bahawa peristiwa itu berlaku dua kali.[42] Akan tetapi, soalan-soalan dan jawapan-jawapan yang dikemukakan oleh Najashi dan dijawab oleh Jaafar dalam aduan kali kedua itu sama dengan jawapannya semasa aduan kali pertama. Dengan melihat kepada isi soalan-soalan itu, jelas menunjukkan bahawa ia berlaku pada aduan pertama kali dikemukakan kepada Najashi.
Lemah sudah usaha orang musyrikin dan perancangan mereka juga gagal. Mereka menyedari bahawa mereka tidak dapat melebarkan tekanan ke atas orang Islam melainkan dalam batasan kekuasaan yang mereka ada. Lantaran itu, lahir buah fikiran yang buruk dalam kalangan mereka. Mereka berpendapat bahawa untuk menyelesaikan kemelut ini adalah tidak mungkin kecuali dengan menghalang Rasulullah SAW daripada menjalankan dakwah Baginda SAW secara total. Jika tidak, Rasulullah SAW perlu dihapuskan. Namun, bagaimanakah cara untuk mencapai tujuan tersebut sedangkan Abu Talib menjadi penghalang mereka? Maka, mereka berpendapat perlu bersemuka dengan Abu Talib untuk menyelesaikan masalah ini.
Orang Quraisy mengancam Abu Talib
Pembesar-pembesar Quraisy datang berjumpa Abu Talib dan berkata, “Wahai Abu Talib, sesungguhnya engkau seorang tua dan terhormat serta mempunyai kedudukan dalam kalangan kami. Kami telah meminta engkau menghalang anak saudaramu tetapi engkau tidak menghalangnya. Demi Allah, kami sudah tidak tahan lagi membiarkan nenek moyang kami dicaci, akal fikiran kami diperbodohkan dan tuhan-tuhan kami diaibkan melainkan engkau sanggup menghalangnya, atau kalau tidak, biarkan kami selesaikan sehingga binasa salah satu daripada dua pihak.”
Ancaman itu terasa sangat berat bagi Abu Talib. Lalu, beliau menjemput Rasulullah SAW dan berkata, “Wahai anak saudaraku, sesungguhnya kaummu telah datang kepadaku. Mereka mengatakan begini, begini; maka, tolonglah selamatkan diriku dan dirimu, janganlah engkau bebankan kepadaku urusan yang aku tidak terdaya.” Rasulullah SAW menyangka bahawa bapa saudaranya sudah enggan melindunginya serta tidak berupaya lagi untuk membantunya. Lantas, Rasulullah SAW pun berkata, “Hai, bapa saudaraku! Demi Allah, jika mereka letakkan matahari di sebelah kananku dan bulan di sebelah kiriku supaya aku meninggalkan urusan ini – sehinggalah Allah menzahirkan kemenangannya atau aku terkorban di jalannya – nescaya, aku tidak akan meninggalkannya.” Rasulullah SAW menangis dan bangun. Apabila Rasulullah SAW mula beredar, Abu Talib memanggilnya. Apabila Baginda SAW tampil semula, Abu Talib berkata kepadanya, “Wahai anak saudaraku, katalah apa yang kamu suka. Demi Allah, aku tidak akan menyerahkan engkau kepada sesiapa pun selama-lamanya.”[43] Kemudian beliau bersyair:
Demi Allah, mereka semua tak akan dapat mencapaimu
Kecuali setelah aku bersemadi di dalam tanah
Jalankan urusanmu, tidak ada celanya terhadapmu
Gembira dan tenteramkanlah dirimu
Quraisy menghadap Abu Talib sekali lagi
Apabila orang Quraisy melihat Rasulullah SAW masih terus melakukan usaha dakwahnya, tahulah mereka bahawa Abu Talib tetap memberi perlindungan kepada Baginda SAW. Mereka sedar bahawa Abu Talib bersedia untuk berpatah arang dan berkerat rotan dengan mereka. Lantas, mereka pun pergi sekali lagi berjumpa Abu Talib dengan membawa Ammarah bin al-Walid bin al-Mughirah, seraya berkata kepada Abu Talib, “Hai, Abu Talib, sesungguhnya anak muda ini adalah yang paling mulia dan paling tampan dalam kalangan Quraisy. Ambillah dia, nanti kamu dapat menggunakan kebijaksanaan dan mendapat bantuannya. Jadikanlah dia sebagai anakmu, dan serahkan anak saudaramu yang menyanggahi agama kamu dan agama nenek moyang kamu serta memecahbelahkan kesatuan kaummu dan memperbodohkan mereka. Biarkan kami membunuhnya. Seorang lelaki gantinya dengan seorang lelaki.”
Lalu Abu Talib berkata, “Demi Allah, alangkah buruknya tawaran kamu. Adakah kamu hendak memberikan kepadaku anak kamu supaya aku memberinya makan bagi pihak kamu dan aku serahkan anakku supaya kamu membunuhnya? Demi Allah, ini tidak boleh berlaku sama sekali.” Kemudian, al-Mutim bin Adiy bin Nawfal bin Abd Manaf berkata, “Demi Allah, hai, Abu Talib, kaummu telah melakukan yang adil untukmu, mereka berusaha keras untuk melepaskanmu daripada apa yang engkau tidak suka. Tapi sayangnya aku melihat engkau sama sekali tidak akan menerima daripada mereka apa sahaja.”
Abu Talib berkata, “Demi Allah, kamu tidak berlaku adil kepadaku tetapi kamu berpakat supaya aku tidak memberi perindungan dan supaya kaum ini menentang aku. Justeru, buatlah apa yang kamu suka.”[44]
Sumber-sumber sejarah tidak menyebut bila berlakunya dua pertemuan ini. Namun, melalui pengamatan yang berdasarkan kepada tanda dan bukti-bukti yang lain menunjukkan bahawa ia terjadi pada pertengahan tahun keenam kenabian. Jarak masa antara dua pertemuan itu tidaklah terlalu lama.
Rancangan membunuh Rasulullah SAW
Setelah orang Quraisy gagal dalam dua pertemuan itu, mereka kembali membuat perancangan yang lebih hebat daripada sebelumnya. Sepanjang tempoh itu, timbul dalam kalangan mereka yang jahat cadangan untuk membunuh Rasulullah SAW dengan cara yang lain. Rancangan dan tindakan nekad ini menyebabkan Islam diperkuatkan lagi dengan dua orang jaguh Makkah, iaitu Hamzah bin Abd al-Muttalib r.a dan Umar bin al-Khattab r.a.
Tindakan nekad hasil fikiran jahat orang Quraisy untuk membunuh Rasulullah SAW antaranya ialah apabila pada suatu hari Utaybah bin Abu Lahab mendatangi Rasulullah SAW dan berkata, “Aku kufur dengan ayat ‘Demi bintang semasa ia menjunam’ dan ayat ‘Kemudian ia mendekatkan dirinya (kepada Nabi Muhammad), lalu ia berjuntai sedikit demi sedikit.” Kemudian, dia mula menyakiti Rasulullah SAW. Ditariknya baju Rasulullah SAW dan diludahnya ke muka Rasulullah SAW tetapi air liurnya tidak mengenai Baginda SAW. Tatkala itu, Rasulullah SAW berdoa untuk kebinasaan Utaybah dengan doanya: “Ya Allah, hantarkan salah seekor daripada anjing-anjing-Mu kepadanya.”
Doa Rasulullah SAW itu dimakbulkan oleh Allah. Dalam satu peristiwa, Utaybah keluar bersama-sama sekumpulan orang Quraisy sehingga mereka singgah di sebuah tempat di Syam yang dikenali dengan nama al-Zarqa. Pada malamnya, ada seekor singa yang berkeliaran berhampiran mereka. Lalu, Utaybah berkata, “Celakalah saudaraku! Demi Allah, dia akan memakanku sebagaimana yang didoakan oleh Muhammad terhadapku. Dia telah membunuhku semasa dia berada di Makkah dan aku berada di Syam!” Tiba-tiba singa itu menyerbunya di tengah-tengah kaumnya lalu membaham kepalanya sehingga putus.[45]
Tindakan lain yang menunjukkan bahawa orang Quraisy bertindak mahu membunuh Rasulullah SAW ialah seperti yang dilakukan oleh Uqbah bin Abi Muaiyat. Dia telah memijak leher Rasulullah SAW yang mulia ketika Rasulullah SAW sedang sujud sehingga hampir-hampir biji mata Baginda SAW tersembul keluar.[46]
Sebuah hadis yang panjang yang diriwayatkan oleh Ibn Ishaq membuktikan bahawa kejahatan yang mereka lakukan itu memang bermaksud untuk membunuh Rasulullah SAW. Abu Jahal berkata, “Hai, seluruh orang Quraisy! Sesungguhnya Muhammad enggan berhenti melainkan terus mengaibkan agama kita, memaki nenek moyang kita dan memperbodohkan akal fikiran kita serta mencela tuhan-tuhan kita sebagaimana yang kamu lihat sendiri. Sesungguhnya aku berjanji kepada Allah akan menunggunya dengan seketul batu yang terberat yang sanggup aku angkat. Apabila dia sujud dalam sembahyangnya, akan aku pecahkan kepalanya dengan batu itu. Ketika itu terserahlah kepada kamu sama ada hendak menyerahkan aku (untuk dibalas) atau mempertahankan aku. Setelah itu, terserahlah kepada Bani Abd Manaf apa yang mereka hendak lakukan.” Orang Quraisy menjawab, “Demi Allah, kami tidak akan menyerahkan kamu kepada sesiapa pun selama-lamanya. Lakukanlah apa yang kamu hasratkan itu.”
Apabila pagi, Abu Jahal pun mengambil seketul batu seperti yang disebutnya. Kemudian dia duduk menunggu Rasulullah SAW. Seperti biasa, Rasulullah SAW datang lalu bangun bersembahyang. Ketika itu orang Quraisy telah pun pergi sambil duduk menanti di tempat-tempat perkumpulan mereka.
Apakah yang akan dilakukan oleh Abu Jahal? Apabila Rasulullah SAW sujud, Abu Jahal pun mengangkat batu tersebut lalu mara ke arah Baginda SAW. Apabila telah hampir dengan Rasulullah SAW, tiba-tiba dia berpatah balik dalam keadaan berubah air mukanya. Dia kelihatan dalam ketakutan dan tangannya tidak lagi berdaya memegang batu itu sehingga dilepaskannya. Orang Quraisy pun mengerumuni Abu Jahal dan bertanya, “Apa kena dengan kamu hai, Abu al-Hakam?” Jawab Abu Jahal, “Aku telah pun bangun menghampirinya, aku dihalang oleh seekor unta jantan. Demi Allah, aku tidak pernah melihat kepala sebesar kepala unta itu, pangkal leher yang seperti pangkal leher unta itu serta unta-unta tua lain seperti unta itu! Unta itu bagaikan bersedia untuk memakan aku!”
Berkata Ibn Ishaq, “Aku diberitahu bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud, ‘Itulah Jibrail a.s; jika Abu Jahal menghampirinya, pasti diambilnya.”[47] Selepas itu, Abu Jahal sekali lagi membuat tindakan keras terhadap Rasulullah SAW yang menyebabkan Hamzah r.a memeluk Islam seperti yang akan diterangkan kemudian.
Penjahat-penjahat Quraisy yang lain pula masih terus bersemarak di dalam diri mereka dengan rancangan dan hasrat untuk membunuh Rasulullah SAW. Ibn Ishaq meriwayatkan daripada Abdullah bin Amru bin Ash, katanya, “Aku telah menghadiri mereka ketika mereka berkumpul dekat al-Hijr lalu mereka menyebut-nyebut tentang Rasulullah. Mereka berkata, ‘Kita tak pernah bersabar seperti kesabaran kita terhadapnya. Kita telah bersabar terhadapnya atas perkara yang sangat besar.’ Tatkala mereka sedang berbual itu, tiba-tiba Rasulullah SAW muncul lalu berjalan dan menyentuh bucu Kaabah (Hajar al-Aswad). Kemudian Rasulullah melakukan tawaf di Baitullah dengan melalui tempat mereka sedang duduk. Mereka pun mula bercakap-cakap beberapa perkara yang tidak disenangi mengenai Rasulullah. Aku tahu bahawa percakapan itu tidak disenangi dengan melihat kepada wajah Rasulullah.
“Apabila Rasulullah lalu kali kedua berdekatan mereka, mereka bercakap-cakap seperti itu juga. Aku dapat lihat perubahan air muka Rasulullah. Kemudian Rasulullah lalu kali ketiga, dan mereka terus bercakap-cakap lagi seperti itu. Tiba-tiba Rasulullah berhenti sambil berkata, ‘Apakah kamu mahu mendengar hai, orang Quraisy? Demi diriku yang berada dalam kekuasaan-Nya, aku pasti akan datang untuk menyembelih (memusnahkan) kamu!’ Tiba-tiba mereka diam membisu, sehinggakan tiada seorang pun daripada mereka melainkan kelihatan seolah-olah ada burung yang hinggap di atas kepalanya. Sehinggakan orang yang paling garang dalam kalangan mereka pun cuba berbudi bahasa sebaik mungkin dengan berkata, ‘Pergilah hai, Abu al-Qasim, demi Allah, engkau bukan orang yang bodoh.’
“Keesokannya, mereka berkumpul sekali lagi sambil berbual-bual tentang hal Rasulullah SAW. Tiba-tiba Rasulullah muncul lagi; dengan serta-merta mereka serentak menyerbu ke arah Baginda dan mengepungnya. Aku melihat seorang lelaki dari kalangan mereka mencekak kain Rasulullah. Lalu, Abu Bakar bingkas datang mempertahankan Rasulullah; sambil menangis, beliau berkata, ‘Apakah kamu hendak membunuh seorang lelaki yang mengatakan , ‘Tuhanku ialah Allah?’ Kemudian mereka pun meninggalkan Rasulullah. Ibn Umar berkata, ‘Sesungguhnya itulah tindakan paling hebat pernah aku lihat dilakukan oleh orang Quraisy terhadap Rasulullah SAW.”[48]
Dalam riwayat al-Bukhari menyebutkan sebuah hadis daripada Urwah bin al-Zubayr, katanya, “Aku bertanya Ibn Umar bin al-As, ‘Ceritakan kepadaku tindakan paling hebat yang dilakukan oleh orang Quraisy terhadap Rasulullah SAW. Katanya, ‘Ketika Rasulullah sedang bersembahyang di dalam al-Hijr Kaabah, tiba-tiba Uqbah bin Abu Muaiyat datang. Lalu, dia meletakkan kainnya pada leher Rasulullah sambil mencekiknya dengan kuat sekali. Kemudian, Abu Bakar datang menarik dua bahu Uqbah dan menolaknya dari Rasulullah sambil berkata, ‘Apakah kamu hendak membunuh seorang lelaki yang mengatakan Tuhanku hanya Allah?”[49]
Dalam hadis yang diriwayatkan daripada Asma, beliau menyebut, “Kemudian, ada seorang yang menjerit datang kepada Abu Bakar sambil berkata, ‘Selamatkan sahabatmu!’ Lantas, Abu Bakar keluar meninggalkan kami. Ketika itu, ada empat pintalan rambut di kepalanya. Beliau keluar sambil berkata, ‘Apakah kamu hendak membunuh seorang lelaki yang mengatakan Tuhanku hanya Allah’? Kemudian mereka pun meninggalkan Rasulullah dan datang kepada Abu Bakar. Tidak lama kemudian Abu Bakar kembali kepada kami. Belum pun sempat kami menyentuh pintalan rambut di kepalanya, dia segera mengajak kami pulang.”[50]
Hamzah r.a memeluk Islam
Dalam suasana yang disurami mendung kezaliman dan penindasan ini, tiba-tiba berkilau satu cahaya yang membakar semangat orang Islam, iaitu islamnya Hamzah bin Abd al-Muttalib r.a. Beliau memeluk Islam pada penghujung tahun keenam kenabian. Pendapat terbanyak mengatakan bahawa beliau memeluk Islam pada bulan Zulhijah.
Pengislaman Hamzah r.a tercetus daripada peristiwa Abu Jahal bertemu Rasulullah SAW di Bukit Safa lalu menyakiti Rasulullah SAW. Rasulullah SAW hanya diam tidak bercakap dengannya. Tiba-tiba Abu Jahal memukul Rasulullah SAW di kepala Baginda SAW dengan seketul batu sehingga luka dan berdarah. Kemudian, dia pergi ke tempat berkumpul orang Quraisy di sisi Kaabah lalu duduk bersama-sama mereka. Semasa peritiwa itu berlaku, seorang perempuan mawla (khadam) Abdullah bin Jadan sedang memerhatikannya dari tempat kediamannya di atas Bukit Safa. Tidak lama kemudian Hamzah pulang dari berburu sambil memegang busur panahnya.
Wanita itu memberitahu Hamzah mengenai perbuatan Abu Jahal yang dilihatnya tadi. Hamzah mulai berang; dia merupakan seorang anak muda yang perkasa dalam kalangan kaum Quraisy serta sangat tegas. Dia pun keluar berjalan tanpa mengendahkan sesiapa jua dengan tujuan mencari Abu Jahal. Apabila dia masuk ke dalam masjid, dia pun berdiri dekat kepala Abu Jahal lalu berkata, “Hai, Abu Jahal! Berani engkau menghina anak saudaraku sedangkan aku mengikut agamanya!”
Kemudian Hamzah memukul Abu Jahal dengan busur panahnya sehingga berdarah. Lalu, bangkitlah beberapa orang lelaki dari Bani Makhzum yang memihak Abu Jahal, dan bangkit pula Bani Hashim yang memihak kepada Hamzah. Berkata Abu Jahal, “Tinggalkanlah Abu Ammarah, kerana aku telah mencela anak saudaranya dengan celaan yang buruk.”[51] Islamnya Hamzah r.a pada mulanya boleh diibaratkan seperti seorang yang tidak tahan melihat tuannya dihina. Kemudian Allah melapangkan dadanya, lalu beliau berpegang dengan ikatan yang kukuh,[52] dan orang Islam mendapat kekuatan dengan pengislaman beliau.
Umar Al-Khattab r.a memeluk Islam
Sepanjang keadaan yang diselubungi mendung kezaliman dan kebiadaban ini, sekali lagi bersinar kilauan cahaya yang lebih terang daripada kilauan yang dibincangkan sebelum ini, iaitu islamnya Umar bin al-Khattab. Beliau memeluk Islam pada bulan Zulhijah, tahun keenam kenabian,[53] iaitu tiga hari selepas islamnya Hamzah r.a.
Rasulullah SAW pernah berdoa kepada Allah untuk Umar al-Khattab memeluk Islam. Al-Tirmidhi menyebutkan sebuah hadis daripada Ibn Umar dan dikatakan sebagai hadis sahih, dan al-Tabrani pula menyebut hadis daripada Ibn Masud dan Anas bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Ya, Allah, muliakanlah Islam dengan salah seorang lelaki yang paling Engkau suka, sama ada Umar bin al-Khattab atau Abu Jahal bin Hisham.” Ternyata bahawa antara yang berdua ini, Umar yang paling disukai oleh Allah.[54]
Umar r.a terkenal sebagai seorang yang mempunyai perwatakan yang keras dan tegas. Ramai orang Islam telah menerima berbagai-bagai penyeksaan daripada beliau sebelum pengislamannya. Di dalam diri Umar berkecamuk perasaan yang saling berlawanan, iaitu perasaan menghormati adat resam yang dipelopori oleh nenek moyang serta kecenderungannya untuk lalai mengikut hawa nafsu berhibur yang telah menjadi kebiasaannya. Pada masa yang sama, beliau juga merasa takjub dengan semangat jitu orang Islam menanggung bala bencana demi mempertahankan akidah mereka. Beliau juga merasa ragu – sebagaimana orang yang berakal – dan terfikir bahawa apa yang diajak oleh Islam itu boleh jadi lebih agung dan suci daripada anutan yang lain. Perasaan berkecamuk ini menyebabkan beliau merasa lemah. Begitulah yang disebutkan oleh Muhammad al-Ghazali.[55]
Kesimpulan daripada berbagai-bagai riwayat berkaitan islamnya Umar ialah seperti berikut: Pada suatu malam, Umar keluar untuk menghabiskan masa malamnya di luar rumah. Beliau pergi ke Masjid al-Haram dan masuk ke dalam kawasan tirai Kaabah. Ketika itu, Rasulullah SAW sedang berdiri solat dan membaca surah Al-Haqqah. Umar memasang telinga untuk mendengar bacaan surah tersebut; beliau merasa takjub dengan susunan gaya bahasa al-Quran. Kata Umar, “Aku berkata dalam hatiku, demi Allah, dia ini seorang penyair sebagaimana yang dikatakan oleh orang Quraisy. Tiba-tiba Rasulullah SAW membaca ayat:
Maksudnya: “Bahawa sesungguhnya al-Quran itu ialah (wahyu dari Kami) yang disampaikan oleh Rasul yang mulia. Dan bukanlah al-Quran itu perkataan seorang penyair (sebagaimana yang kamu dakwakan). Tetapi sayang, amatlah sedikit kamu yang beriman kepadanya.” (Al-Haqqah: 40-41)
“Aku berkata, dia ini pawang. Rasulullah SAW membaca pula ayat:
Maksudnya: “Dan juga bukanlah al-Quran itu perkataan seorang pawang (sebagaimana yang kamu katakan). Tetapi sayang, amat sedikit kamu mengambil peringatan daripadanya. (Al-Quran itu) itu diturunkan dari Allah Tuhan sekalian alam.” (Al-Haqqah: 42-43)
“…sehingga akhir surah, lantas cahaya Islam mulai masuk ke dalam kalbuku.”[56]
Itulah permulaan tunas Islam masuk ke dalam hati Umar. Akan tetapi, pengaruh jahiliah dan ketaksuban pada adat resam serta pengagungan terhadap agama nenek moyang lebih kuat menguasai kebenaran yang sedang berbisik dalam hatinya. Maka, dia meneruskan kerja-kerjanya menentang Islam tanpa mempedulikan perasaan halus yang tersembunyi di sebalik kulit jahiliahnya yang keras.
Disebabkan sikap keras dan terlalu bermusuh dengan Rasulullah SAW, maka pada suatu hari Umar keluar menghunuskan pedangnya untuk membunuh Rasulullah SAW. Di tengah jalan dia bertemu Nuaim bin Abdullah al-Nahham al-Adawi[57] atau seorang lelaki dari Bani Zuhrah[58] atau seorang lelaki dari Bani Makhzum.[59] Lelaki itu berkata, “Ke mana tujuanmu, hai Umar?” Jawab Umar, “Aku hendak membunuh Muhammad.” Kata lelaki itu lagi, “Bagaimana kamu dapat selamat daripada pembalasan Bani Hashim dan Bani Zuhrah apabila engkau membunuh Muhammad?” Lalu, Umar berkata, “Aku lihat engkau ini seperti telah menjadi sabiah dan meninggalkan agama yang engkau anuti selama ini.” Lelaki itu menjawab, “Mahukah aku beritahu yang lebih menakjubkan lagi, hai Umar! Sesungguhnya adik perempuanmu dan iparmu juga telah menjadi sabiah dan meninggalkan agama yang engkau anuti ini.”
Lantas, Umar dengan segera menuju ke rumah adik perempuan dan iparnya. Ketika itu, bersama-sama mereka ialah Khabbab bin al-Arrat yang sedang memegang satu lembaran yang tertulis surah Taha (Khabbab sering mengunjungi mereka berdua untuk mengajarkan al-Quran). Khabbab membacakan surah itu kepada adik perempuan dan ipar Umar. Apabila Khabbab mendengar Umar datang, dia terus bersembunyi di dalam rumah. Fatimah, adik perempuan Umar, menutup lembaran tersebut.
Bagaimanapun, Umar telah pun mendengar bacaan Khabbab semasa dia menghampiri rumah adiknya. Apabila Umar masuk ke dalam rumah, dia berkata, “Bunyi apa yang aku dengar di sisi kamu tadi?” Mereka berdua menjawab, “Tidak, kami hanya berbual-bual sesama kami.” Umar berkata lagi, “Boleh jadi kamu telah menukar agama?” Iparnya menjawab, “Wahai Umar, apa pandanganmu jika kebenaran itu bukan di pihak agama kamu?” Lantas, Umar menerkam iparnya lalu dihenyak dengan kakinya. Adik perempuan Umar menarik Umar dari suaminya; Umar menolak adiknya sehingga berdarah mukanya.
Dalam riwayat Ibn Ishaq menyebut bahawa Umar memukul adiknya sehingga luka. Lalu, berkata adik perempuannya dalam keadaan marah, “Hai, Umar! Jika kebenaran itu bukan di pihak kamu, maka aku mempersaksikan bahawa tiada Tuhan selain Allah, dan aku mempersaksikan bahawa Muhammad adalah Rasulullah!”
Umar merasa putus harapan, namun, apabila dilihat adik perempuannya sedang berdarah itu, timbul rasa malu dan penyesalan pada dirinya. Umar berkata, “Berikan kepadaku kitab yang ada padamu supaya dapat aku membacanya.” Adiknya pula berkata, “Sesungguhnya engkau kotor. Kitab in hanya boleh disentuh oleh orang yang suci. Pergilah mandi.” Umar pun pergi mandi, kemudian dia mengambil kitab itu dan membaca, “Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.” Kata Umar, “Ini adalah nama yang baik dan suci.” Umar terus membaca, “Taha” sehingga sampai kepada ayat yang bermaksud, “…Sesungguhnya Akulah Allah yang tiada Tuhan selain-Ku, maka sembahlah Aku, dan dirikan solat untuk mengingati-Ku.”
Lalu, Umar berkata, “Alangkah indah dan mulianya kalam ini. Tunjukkan kepadaku di mana Muhammad.” Apabila Khabbab mendengar kata-kata Umar itu, dia pun keluar dari tempat dia bersembunyi dan berkata, “Terimalah berita gembira, hai Umar, sesungguhnya aku mengharapkan agar doa Rasulullah SAW untukmu pada malam Khamis benar-benar terjadi, iaitu, ‘Ya Allah, muliakanlah Islam dengan Umar bin al-Khattab atau Abu Jahal bin Hisham.’ Rasulullah SAW sedang berada di sebuah rumah di lereng Bukit Safa.”
Umar lantas mengambil pedangnya lalu digalasnya dan menuju ke rumah yang disebut oleh Khabbab itu. Sesampai di sana, diketuknya pintu rumah tersebut; seorang lelaki bangun melihat dari celah-celah pintu. Lelaki itu melihat Umar di luar sedang menggalas pedang lalu, disampaikan hal tersebut kepada Rasulullah SAW. Mereka yang berada di dalam rumah mula berkumpul. Lalu, berkata Hamzah r.a, “Apa kena dengan kamu?” Mereka menjawab, “Umar!” Hamzah r.a berkata lagi, “Oh, Umar. Bukakan pintu untuknya. Kalau dia datang dengan niat baik, kita sambut dengan baik; kalau dia datang dengan niat jahat, kita bunuhnya dengan pedang.”
Ketika itu, Rasulullah SAW berada di dalam rumah sedang menerima wahyu. Lalu, Baginda SAW keluar dan bertemu dengan Umar di suatu sudut rumah. Rasulullah SAW mencekak baju Umar dan sarung pedangnya, dan direntapnya dengan kuat sambil berkata, “Belum puaskah kamu, hai Umar, sehingga Allah turunkan ancaman kepadamu sebagaimana yang diturunkan kepada al-Walid bin al-Mughirah? Ya, Allah, inilah Umar bin al-Khattab, ya Allah, muliakan Islam dengan Umar bin al-Khattab!” Lalu Umar berkata, “Aku mempersaksikan bahawa tiada Tuhan selain Allah dan engkau adalah Rasulullah.” Beliau memeluk Islam, lalu mereka yang berada di dalam rumah itu bertakbir dengan takbir yang dapat didengari oleh mereka yang berada di masjid.[60]
Umar r.a ialah seorang yang tegas dan nekad. Pengislaman beliau telah menimbulkan rasa terhina dalam kalangan orang musyrik, sementara orang Islam pula mula merasa kuat, mulia dan gembira. Ibn Ishaq meriwayatkan dengan sanadnya daripada Umar, katanya, “Setelah aku memeluk Islam, aku cuba mengingati kembali siapakah orang Makkah yang paling hebat menentang Rasulullah SAW. Aku berkata, ‘Abu Jahal.’ Lalu aku datang mengetuk pintu rumahnya, dan dia pun keluar kepadaku sambil berkata, ‘Selamat datang! Apa tujuanmu ke mari?’ Jawab Umar, ‘Aku datang untuk memberitahumu bahawa aku telah beriman dengan Allah dan rasul-Nya, Muhammad, dan aku mempercayai apa yang dibawanya.’ Lalu Abu Jahal menghempas daun pintu ke arah mukaku sambil berkata, ‘Moga Allah burukkan kamu dan burukkan apa yang engkau bawa ini!”[61]
Ibn al-Jawziy menyebut bahawa Umar r.a berkata, “Seorang lelaki apabila memeluk Islam, maka dia akan diheret oleh beberapa orang lelaki lalu mereka memukulnya dan dia memukul mereka. Aku pun datang, yakni setelah memeluk Islam, kepada bapa saudara sebelah ibuku, iaitu al-As bin Hashim, lalu aku beritahunya. Lantas, dia terus masuk ke dalam rumah, dan aku pergi kepada seorang lelaki dari kalangan pembesar Quraisy – mungkin Abu Jahal – lalu memberitahunya. Lantas, dia terus masuk ke dalam rumah.”[62]
Ibn Hisham dan Ibn al-Jawziy menceritakan secara ringkas, “Apabila Umar memeluk Islam, dia pun datang kepada Jamil bin Mamar al-Jumahiy (seorang yang paling kuat menyebarkan berita dalam kalangan orang Quraisy) lalu memberitahunya bahawa dia telah memeluk Islam. Lantas, Jamil menjerit dengan suara yang tinggi bahawa Ibn al-Khattab telah menjadi sabiah. Umar yang berada di belakangnya pun berkata, “Bohong! Akan tetapi aku telah Islam.” Kemudian, orang Quraisy menyerbunya lalu mereka bergaduh sehingga matahari tegak di atas kepala; Umar merasa keletihan lalu duduk. Mereka kemudiannya berdiri mengelilingnya. Umar berkata, “Buatlah apa yang kamu hendak kamu buat. Aku bersumpah dengan nama Allah bahawa kalau kami ada tiga ratus orang lelaki nescaya kami biarkannya untuk kamu atau kamu biarkannya untuk kami.”[63]
Selepas itu, orang musyrikin menyerbu rumah Umar dengan tujuan mahu membunuhnya. Al-Bukhari meriwayatkan daripada Abdullah bin Umar, katanya, “Ketika beliau – yakni, Umar – berada di dalam rumah dalam ketakutan, tiba-tiba datanglah al-As bin Wail al-Sahmiy Abu Amru dengan memakai kain litup dan baju gamis yang bersalut sutera. Dia berasal dari Bani Sahm yang merupakan bani yang bersekutu dengan kami semasa jahiliah. Al-As berkata kepada Umar, “Apa halnya kamu ini?” Umar menjawab, “Kaummu mendakwa bahawa mereka akan membunuhku jika aku memeluk Islam.” Al-As berkata, “Mereka tidak boleh buat apa-apa kepadamu.” Selepas al-As berkata begitu, Umar merasa aman.
Kemudian, al-As keluar dan bertemu dengan mereka yang menyusur lembah dan bertanya, “Ke mana tujuan kamu?” Mereka menjawab, “Ke rumah anak al-Khattab yang telah menjadi sabiah.” Al-As berkata, “Kamu tidak boleh berbuat apa-apa kepadanya.” Maka, mereka pun berpatah balik.[64] Dalam riwayat Ibn Ishaq menyebut, “Demi Allah, ketika itu mereka kelihatan bagaikan satu pakaian yang ditanggalkan.”[65]
Apa yang disebut mengenai keislaman Umar itu ialah dengan melihat kepada reaksi orang musyrikin. Adapun orang Islam pula, reaksi mereka ialah seperti yang diriwayatkan oleh Mujahid daripada Ibn Abbas, katanya, “Aku bertanya Umar bin al-Khattab, ‘Mengapa kamu dinamakan ‘al-Faruq’? Jawabnya, “Hamzah memeluk Islam tiga hari sebelum aku. Kemudian dia pun menceritakan kisah pengislamannya, dan di hujungnya dia menyebut, “Aku berkata, yakni ketika aku telah memeluk Islam, ‘Wahai Rasulullah, bukankah kita di pihak yang benar jika kita mati dan hidup?” Jawab Rasulullah SAW, “Bahkan, demi diriku yang berada dalam kekuasaan-Nya, sesungguhnya kamu berada di pihak yang benar sama ada mati atau hidup.” Kata Umar, “Aku berkata, kalau begitu mengapa kita bersembunyi? Demi Tuhan yang mengutuskan kamu dengan kebenaran, kita mesti keluar!”
Lalu, kami pun keuar dengan Rasulullah SAW dalam iringan dua baris. Hamzah berada pada satu baris dan aku berada dalam baris yang satu lagi sehingga kami masuk ke dalam masjid. Kata Umar, “Lalu aku melihat kepada orang Quraisy dan kepada Hamzah, lantas mereka ditimpa kesugulan yang tidak pernah ditimpa sebelum ini. Sejak dari hari itu, Rasulullah SAW menamakan aku dengan panggilan al-Faruq.”[66]
Ibn Masud r.a berkata, “Kami tidak berupaya untuk bersembahyang di sisi Kaabah melainkan setelah Umar memeluk Islam.”[67]
Diriwayatkan daripada Suhayb bin Sinan al-Rumiy r.a, katanya, “Apabila Umar memeluk Islam, maka Islam mulai zahir dan dia menyeru kepada Islam secara terang-terangan. Kami pun duduk di sekitar masjid dalam beberapa halaqah (lingkaran) dan kami bertawaf sekeliling Kaabah. Kami dapat membalas terhadap mereka yang berkasar dengan kami dan kami pulangkan sebahagian yang pernah mereka lakukan.”
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Masud, katanya, “Kami sentiasa merasa mulia sejak Umar memeluk Islam.”[68]
Pemuka Quraisy berdepan dengan Rasulullah SAW
Setelah dua orang jaguh ini memeluk Islam (Hamzah bin Abd al-Muttalib r.a dan Umar bin al-Khattab r.a), awan mendung yang menyelubungi orang Islam Makkah mulai berarak pergi. Orang musyrikin tersentak merasai akibat keasyikan mereka menyeksa dan melakukan kekerasan ke atas orang Islam sebelum itu. Lalu, mereka cuba menjalankan cara diplomasi dengan Rasulullah SAW dengan menyatakan kesanggupan memberikan apa sahaja yang diminta oleh Rasulullah SAW untuk menghalang Baginda SAW daripada dakwahnya. Mereka tidak faham bahawa segala isi alam maya yang ditimpa sinar mentari ini jika dibandingkan dengan dakwah Rasulullah SAW tidak akan bernilai walaupun seberat sayap nyamuk. Mereka kecewa dan gagal membuat tawaran seperti yang mereka rancangkan.
Ibn Ishaq menceritakan: Yazid bin Ziad menceritakan kepadaku daripada Muhammad bin Kaab al-Qarziy, katanya, “Diceritakan kepadaku tentang Uthbah bin Rabiah, di mana dia adalah seorang pemimpin. Pada suatu hari semasa berada di tempat perkumpulan Quraisy – ketika itu Rasulullah SAW sedang duduk di dalam masjid bersendirian – dia berkata, ‘Hai, sekalian orang Quraisy, mahukah kamu lihat aku bangun kepada Muhammad untuk berunding dan menawarkan beberapa perkara, mudah-mudahan dia menerima sebahagian tawaran itu. Dengan itu, kita akan berikan apa sahaja yang dia mahu dan dia hendaklah menghentikan kegiatannya daripada kita?” (Ketika itu Hamzah r.a telah memeluk Islam dan orang Quraisy mulai bimbang dengan peningkatan bilangan orang Islam.) Mereka menjawab, “Bahkan, wahai Abu al-Walid, pergilah kepadanya dan berundinglah dengan dia.”
Utbah pun bangun menuju kepada Rasulullah SAW, lalu dia duduk berdekatan Baginda SAW dan berkata, “Hai, anak saudaraku, sesungguhnya engkau ada kedudukan yang tinggi dalam kalangan kaum kerabat serta dari keturunan yang terhormat. Sesungguhnya engkau telah datang membawa kepada kaummu satu perkara besar. Kerananya engkau telah memecahbelahkan mereka, engkau perbodohkan akal mereka, engkau aibkan tuhan-tuhan dan agama mereka, engkau kufurkan nenek-moyang yang telah pergi. Maka, dengarlah aku akan tawarkan kepadamu beberapa perkara yang harus engkau fikirkan. Mungkin engkau dapat menerima sebahagian daripadanya.”
Lalu, Rasulullah SAW berkata, “Katakanlah, hai Abu al-Walid, aku sudi mendengarnya.”
Utbah berkata, “Hai anak saudaraku, kalaulah tujuan engkau membawa perkara ini kerana ingin mendapatkan harta, maka akan kami kumpulkan harta-harta kami untukmu sehingga engkau menjadi orang yang terkaya dalam kalangan kami. Kalau engkau inginkan kekuasaan, maka kami akan lantik engkau sebagai pemimpin kami sehingga kami tidak akan mengambil sebarang keputusan tanpa kebenaranmu. Kalau engkau hendak menjadi raja, maka kami akan tabalkan engkau menjadi raja. Kalau apa yang engkau bawa ini disebabkan oleh kerasukan yang engkau lihat dan engkau tidak mampu menahannya dari dirimu, maka kami akan carikan tabib untukmu. Kami akan korbankan harta kami sehingga engkau sembuh. Barangkali seorang yang selalu merawat pesakit itu akan berjaya memulihkanmu.”
Apabila Utbah selesai bercakap, Rasulullah SAW masih lagi mendengar. Kemudian Baginda SAW berkata, “Sudahkah selesai, wahai Abu al-Walid?”
Jawabnya, “Ya.”
Rasulullah SAW berkata, “Dengarkan dariku pula.”
Jawab Utbah, “Silakan, aku akan mendengar.”
Rasulullah SAW bersabda dengan membacakan ayat berikut:
Maksudnya: “Ha, Mim. Diturunkan kitab ini daripada Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Sebuah Kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya satu persatu, iaitu bacaan (al-Quran) yang diturunkan dalam bahasa Arab bagi kaum yang mahu mengetahui (kandungannya). Ia membawa berita yang menggembirakan (bagi orang yang beriman) dan membawa amaran (kepada orang yang ingkar). Dalam pada itu, kebanyakan mereka berpaling, lalu tidak mahu mendengarnya. Dan mereka berkata, ‘Hati kami berada dalam keadaan tertutup (yang menghalang kami) daripada memahami apa yang engkau seru kami kepadanya, dan pada telinga kami ada penyumbat (menjadikan kami tidak dapat mendengarnya), serta antara kami dengan engkau ada sekatan (pemisah dalam masalah agama). Oleh itu, bekerjalah engkau (untuk agamamu), sesungguhnya kami juga tetap bekerja (untuk mempertahankan kepercayaan kami).” (Fussilat: 1-5)
Rasulullah SAW terus membacakan kepadanya. Apabila Utbah mendengar bacaan Rasulullah SAW, dia terdiam dan menyandarkan tangannya di belakang badannya sambil mendengar bacaan Baginda SAW. Apabila Rasulullah SAW selesai membaca sehingga sampai ke ayat sajadah, Rasulullah SAW lantas sujud, dan kemudian berkata, “Adakah engkau telah mendengar, hai al-Walid? Maka, bagaimana keadaan kamu dengan tawaranmu itu?” Lalu, Utbah bangun dan pergi kepada sahabatnya. Sebahagian mereka berkata kepada sebahagian yang lain, “Kami bersumpah dengan nama Allah, Abu al-Walid datang dengan rupa yang lain dari sewaktu dia pergi tadi.”
Apabila dia duduk dekat mereka, mereka pun bertanya, “Apakah yang terjadi, hai Abu al-Walid?” Katanya, “Di belakangku tadi, aku mendengar kata-kata yang demi Allah, tak pernah aku mendengar seumpamanya. Demi Allah, ia bukan syair, bukan sihir, bukan bahasa pawang. Hai, sekalian orang Quraisy, ikutlah cakapku, biarkanlah lelaki ini dengan apa yang hendak dilakukannya. Menyisihlah daripadanya. Demi Allah, kata-katanya yang aku dengar pasti akan menjadi satu berita besar.
“Kalau orang Arab dapat menewaskannya, bererti kamu sudah cukup dengan usaha mereka, dan kalau dia yang menang ke atas orang Arab lain, maka kekuasaannya adalah kekuasaan kamu juga, kemuliaannya adalah kemuliaan kamu juga, dan kamu akan menjadi manusia paling beruntung disebabkan dia.” Mereka menjawab, “Demi Allah, dia telah menyihir engkau dengan lidahnya, hai Abu al-Walid.” Abu al-Walid menjawab, “Inilah pandanganku tentangnya, buatlah apa yang kamu mahu.”[69]
Dalam riwayat yang lain menyebutkan bahawa Utbah mendengar bacaan Rasulullah SAW sehingga Baginda SAW membaca ayat:
Maksudnya: “Oleh itu, jika mereka (yang musyrik) berpaling (daripada mengesakan Allah), maka katakanlah (wahai Muhammad), ‘Aku memberi peringatan kepada kamu dengan azab petir, seperti petir yang telah menimpa kaum Ad dan kaum Thamud.” (Fussilat: 13)
Lalu dia meletakkan tangannya di atas mulut Rasulullah SAW sambil berkata, “Aku merayumu, tolonglah demi hubungan adik-beradik kita.” Dia berkata begitu kerana bimbang akan benar-benar berlaku apa yang dibaca oleh Rasulullah SAW. Kemudian dia bangun menuju kepada kaumnya dan menyampaikan seperti apa yang telah dikatakan tadi.[70]
Abu Talib mengumpulkan Bani Hashim dan Bani Abd al-Muttalib
Keadaan sudah berubah tetapi Abu Talib masih lagi mengintip-intip berita daripada orang musyrikin kerana bimbangkan keselamatan anak saudaranya. Dia mengimbau semula kisah silam di mana orang musyrikin mengancam untuk tidak mempedulikannya, kemudian mereka lakukan tawar-menawar dengannya agar menukar anak saudaranya dengan Ammarah bin al-Walid supaya mereka dapat membunuhnya; Abu Jahal pula memukul anak saudaranya dengan batu; Uqbah bin Abi Muaiyat mencekik anak saudaranya dengan kain selendangnya sehingga hampir membunuhnya.
Umar bin al-Khattab pernah keluar menghunus pedang untuk membunuh anak saudaranya. Abu Talib meneliti semua kisah ini dan beliau terhidu bahaya yang menyebabkan hatinya gementar. Dia pasti bahawa orang musyrikin bersungguh-sungguh mahu membuang perlindungannya; mereka berazam mahu membunuh anak saudaranya. Apalah yang boleh dibuat oleh Hamzah r.a atau Umar r.a atau selain mereka jika salah satu puak musyrikin itu menamatkan riwayat anak saudaranya secara mengejut.
Abu Talib merasa pasti dan memang ternyata bahawa mereka itu telah sepakat mahu membunuh Rasulullah SAW secara terang-terangan. Kesepakatan itu dinyatakan oleh Allah melalui firman-Nya:
Maksudnya: “Bahkan mereka (yang kafir) itu telah mengambil keputusan menjalankan satu rancangan (hendak membunuh rasul Kami), maka Kami juga mengambil keputusan (menggagalkan rancangan mereka).” (Al-Zukhruf: 79)
Justeru, apakah yang boleh dibuat oleh Abu Talib? Apabila dia melihat orang Quraisy bersungguh-sungguh benar mengambil tindakan terhadap anak saudaranya, dia pun bingkas bangun dalam kalangan keluarganya dari Bani Hashim dan Bani al-Muttalib, iaitu dua orang anak Abd Manaf. Dia mengajak mereka supaya bersama-samanya mempertahankan anak saudaranya itu. Lalu, mereka menyahut ajakannya itu sama ada yang kafir mahupun yang Muslim kerana didorong oleh semangat kekeluargaan Arab, melainkan saudaranya Abu Lahab. Abu Lahab telah berpisah daripada mereka dan menyertai kaum Quraisy yang lain.[71]
Sumber : Kitab Sirah Nabawiyah
[1] Ibn al-Athhir: Fiqh al-Sirah, h.77, 78.
[2] Sahih Muslim, 1/114; Sahih al-Bukhari, 1/385, 2/702; Mishkah al-Masabih, 2/460.
[3] Ibn Hisham, 1/265.
[4] Ibid, 271.
[5] Fi Zilal al-Quran, 29/188.
[6] Ibn Hisham, 1/271.
[7] Diriwayatkan oleh al-Tirmidhi daripada Yazid bin Ruman dan daripada Tariq bin Abdullah al-Muharibiy. Imam Ahmad juga meriwayatkan di dalam Musnadnya, 3/492, 4/341.
[8] Ibn Hisham, 1/299, 300, 358; Tahfim al-Quran, 4/8, 9; Mukhtasar Sirah al-Rasul, op. cit., h.117,118.
[9] Tahfim al-Quran, 4/9.
[10] Ibid, 6/501, 502.
[11] Rahmah Li al-Alamin, 1/59, 60.
[12] Berdasarkan riwayat al-Tirmidhi.
[13] Fi Zilal al-Quran, 30/282; Tahfim al-Quran, 6/522.
[14] Ibid, 6/490.
[15] Jami’ al-Tirmidhi.
[16] Sirah Ibn Hisham, 1/335, 336.
[17] Beliau ialah bapa salah seorang khalifah kerajaan Umawi, iaitu Marwan bin al-Hakam.
[18] Ibn Hisham, 1/416.
[19] Sahih al-Bukhari, 1/37.
[20] Ibn Hisham, 1/256, 257.
[21] Ibid, 1/361, 362.
[22] Fi Zilal al-Quran, 29/312.
[23] Riwayat Muslim.
[24] Ibn Hisham, 1/320.
[25] Rahmah Li al-Alamin, 1/57.
[26] Ibid, 58; Talqih al-Fuhum Ahl al-Athar, h. 60.
[27] Rahmah Li al-Alamin, 1/57; Talqih al-Fuhum, h. 61; Ibn Hisham, 1/317, 318.
[28] Rahmah Li al-Alamin, 1/57; Min I’jaz al-Tanzil, h. 53.
[29] Rahmah Li al-Alamin, 1/57; Talqih al-Fuhum Ahl al-Athar, h. 60.
[30] Rahmah Li al-Alamin, 1/57; Ibn Hisham, 1/319.
[31] Ibid, 318, 319.
[32] Rahmah Li al-Alamin, 1/57.
[33] Ibn Hisham, 1/263; Muhammad Abdul Wahab, op. cit., h. 60.
[34] Ibid, h. 61.
[35] Al-Sheikh Abdullah al-Najdiy, op. cit., h. 92,93; Zad al-Ma’ad, 1/24; Rahmah Li al-Alamin, 1/61.
[36] Zad al-Ma’ad, 1/24; Rahmah Li al-Alamin, 1/61.
[37] Kisah sujud itu diriwayatkan oleh al-Bukhari secara ringkas daripada Ibn Masud dan Ibn Abbas. Rujuk: bab Sajdah al-Najm, Sujud al-Muslimin wa al-Musyrikin, 1/146 dan bab: Malaqiya al-Nabiy SAW wa ashabuhu min al-Musyrikin bi Makkah, 1/543.
[38] Tahfim al-Quran, 5/188. Inilah sebab sebenar yang dipegangi oleh para penganalisis dalam menghuraikan hadis tentang al-Gharaniq.
[39] Ibid, 5/188; Za al Ma’ad, 1/24, 2/44; Ibn Hisham, 1/364.
[40] Zad al-Ma’ad, 1/24; Rahmah Li al-Alamin, 1/61.
[41] Al-Sheikh Abdullah al-Najdiy, op.cit., h. 96-98. Dalam halaman-halaman ini ada disebutkan huraian panjang lebar tentang soal jawab tersebut.
[42] Ibn Hisham, 1/265, 266.
[43] Ibn Hisham, 1/265, 266.
[44] Ibn Hisham, 1/266-267.
[45] Tahfim al-Quran, 6/522; Mukhtasar Sirah al-Rasul, h. 135.
[46] Mukhtasar Sirah al-Rasul, h. 113.
[47] Ibn Hisham, 1/298-299.
[48] Ibid, 1/289-290.
[49] Sahih al-Bukhari, 1/544.
[50] Mukhtasar Sirah al-Rasul, h. 113.
[51] Al-Sheikh Muhammad Abd al-Wahhab, op. cit. h. 66; Rahmah Li al-Alamin, 1/68; Ibn Hisham, 1/291-292.
[52] Al-Sheikh Abdullah al-Najdiy, op. cit., h. 101.
[53] Ibn Jawziy, Tarikh ‘Umar Ibn al-Khattab, h.11.
[54] Riwayat al-Tirmidhi dalam bab-bab mengenai manaqib berkaitan manaqib Umar bin al-Khattab, 2/209.
[55] Fiqh Sirah, h. 92-93.
[56] Ibn al-Jawziy, op. cit., h. 6. Cerita ini hampir sama dengan riwayat Ibn Ishaq daripada Ata dan Mujahid tetapi terdapat kelainan di penghujung ceritanya. Rujuk: Ibn Hisham, 1/436-438.
[57] Nama ini adalah berdasarkan riwayat Ibn Ishaq. Rujuk: Ibn Hisham, 1/344.
[58] Nama ini diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a. Rujuk: Tarikh ‘Umar Ibn al-Khattab, h. 10; Ibn Muhammad Najdiy, op.cit., h. 103.
[59] Nama ini diriwayatkan oleh Ibn Abbas. Rujuk: Muhammad al-Najdiy, op. cit., h. 103.
[60] Tarikh ‘Umar Ibn al-Khattab, h. 7, 10, 11: Mukhtasar Sirah al-Rasul, h. 102, 103; Ibn Hisham, 1/343-346.
[61] Ibn Hisham, 1/349-350.
[62] Ibn Jawziy, op. cit., h. 8.
[63] Ibid, h. 8; Ibn Hisham, 1/348-349.
[64] Sahih al-Bukhari, bab: Keislaman Umar bin al-Khattab, 1/545.
[65] Ibn Hisham, 1/349.
[66] Tarikh ‘Umar Ibn al-Khattab, h. 6, 7.
[67] Mukhtasar Sirah al-Rasul, h. 103.
[68] Sahih al-Bukhari, bab: Keislaman Umar bin al-Khattab, 1/545.
[69] Ibn Hisham, 1/293, 294.
[70] Tafsir ibn Kathir, 6.159-161.
[71] Ibn Hisham, 1/269; Mukhtasar Sirah al-Rasul, h. 106.
Recent Comments