Kiamat dalam kepercayaan dan sistem akidah umat Islam pasti akan terjadi. Namun demikian, seringkali kita tertanya-tanya bila kiamat akan berlaku. Sepertimana beberapa perkara lain seperti jodoh, rizqi dan kematian yang merupakan wilayah ‘misteri’ dan tiada siapa yang mengetahui melainkan Allah, begitu juga dengan kiamat. Sebagai zat yang Maha Mengetahui dan Berkuasa di atas segala-galanya, kiamat merupakan hak ‘preogratif’ Allah untuk menentukan kiamat yang tiada siapa boleh mencabar dan mempertikainya. Meskipun dalam banyak hadis diberi gambaran mengenai tanda-tanda baik yang bersifat spesifik mahupun yang umum mengenai kedatangan hari pengakhiran itu, namun hanya Allah jualah satu-satunya kuasa yang menentukan nasib kiamat bila akan terjadi. Sebagai seorang muslim, kita hanya wajib mengimani ketentuan itu.
Tiada siapa mengetahui bila kiamat akan berlaku. Malaikat Jibril pernah datang berupa manusia, lalu bertanya Nabi SAW bila kiamat akan berlaku? Nabi bersabda: Sebenarnya orang bertanya itu lebih tahu dari orang yang ditanya. Bagaimanapun saya boleh terangkan tanda-tandanya. Jibril bertanya: Apakah tanda-tanda kiamat: Antaranya:
– Apabila hamba melahirkan tuan masnya (anak hamba menjadi pemerintah).
– Apabila orang yang dahulunya papa kedana bermegah dengan bangunan-bangunan tinggi (Kondo?)
Setelah soal jawab selesai dan beredar dari majlis itu, Nabi memberitahu sahabat-sahabat yang belum mengenalinya “Orang tadi sebenarnya Jibril, dia datang mengajar agama kepada kamu”. Nabi ada menyatakan juga tanda-tanda kecil Kiamat, antaranya:
Banyak / berbagai-bagai fitnah berlaku.
Kelahiran nabi-nabi palsu / mengaku jadi Nabi
Banyak berlaku kejadian membunuh manusia
Berbagai-bagai amanah dibocorkan /disia-siakan.
Pendedahan aurat di kalangan wanita
Ramai golongan peniaga.
Persaksian palsu.
Ramai orang bersifat bakhil/kedekut
Pelacuran bermaharajalela.
Orang fasik jadi pemimpin
Kemunculan Nabi Isa, Dajjal dan Yakjuj Makjuj, Dabbatul Ardhu, Imam Mahdi termasuk antara tanda-tanda kiamat besar dan akan muncul sebelum berlakunya kiamat besar.
Al-Qur`an dan hadis-hadis sahih tidak memperincikan bagaimana dan di mana kemunculan mereka nanti,. Oleh itu, umat Islam hendaklah mempercayai ada dan akan berlaku perkara-perkara ini sebelum Kiamat. Justeru pada asasnya dalil-dalil tersebut tidak boleh dianggap khurafat atau dongeng-dongeng yang tidak berasas.
Allah sengaja tidak memperincikan dalil-dalil ini kerana tiada keperluan padanya. Ada kemungkinan manusia akan mencari jalan untuk mempertikaikan kebenaran hakikat dalil-dalil itu, sedangkan jika dinyatakan bagaimana dan bila kelahirannya, iman manusia tidak bertambah dan berkurang kerana dalil-dalil itu, malah memadailah bagi orang Islam beriman secara prinsipnya sahaja. Tunggu dan lihat jika usia kita lanjut dan masih hidup ketika kemunculannya nanti.
Ulama Islam berpendapat, dalil-dalil itu tidak termasuk dalam 6 rukun Iman. Maksud jika ada manusia tidak beriman kepada ciri-ciri khusus bagi setiap dalil itu, maka imannya tidak rosak kerana dalil-dalilnya tidak qat`iyy (putus) sedangkan perkara iman hendaklah asas pendalilannya kuat dan tidak boleh dipertikaikan.
Oleh Dr. Haiyie Shukor
Recent Comments