Surah Yaasin adalah surah yang paling popular khususnya dalam kalangan masyarakat Melayu Islam di Malaysia. Surah ini adalah surah makkiyah berjumlah 83 ayat dan menduduki tempat ke-36 dalam al-Quran. Surah ini mengandungi tiga pengisian yang utama iaitu; keimanan pada hari kebangkitan, kisah penduduk desa dan dalil-dalil yang menunjukkan keesaan Allah s.w.t.

Isi perbincangan surah ini adalah pada membicarakan tentang akidah tauhid yang memberikan gambaran tentang karakter wahyu dan kebenaran risalah para nabi dan rasul serta yang mengikuti ajaran mereka. Kemudian surah ini membawa kita menghayati kisah tentang penduduk suatu negeri yang didatangi utusan Allah sebagai pemberi peringatan kepada mereka yang mendustakan petunjuk. Surah ini juga membahaskan tentang keesaan Allah s.w.t melalui ungkapan seorang Mukmin yang datang dari hujung kota yang jauh, di samping perbahasan tentang hari kiamat dan pembinaan akidah tauhid.

Surah Yaasin mempunyai kelebihan yang banyak sebagaimana surah-surah yang lain. Siapa yang membaca surah Yaasin pada malam hari semata-mata kerana Allah akan diampuni dosanya yang telah lalu. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:
“Barangsiapa membaca surah Yaasin pada malam hari kerana Allah s.w.t maka dosanya akan diampuni.” (HR Ibnu Hibban dengan sanad hasan)

Al-Hafiz Abu Ya‘la meriwayatkan hadith daripada Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah s.a.w bersabda:
“Barangsiapa membaca surah Yaasin pada malam hari, maka pagi harinya akan diampuni Allah, dan barangsiapa yang membaca Hamim surah al-Dukhan, maka pagi harinya ia akan diampuni dosanya.” (HR al-Hafiz al-Mushily dengan sanad yang baik menurut Ibnu Kathir)

Surah Yaasin boleh dibacakan kepada orang yang sedang nazak atau menghadapi kematian sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:
“Bacakanlah kepada orang yang nazak (sakarat) surah Yaasin.” (al-Nasa’ie, Ibnu Majah, Abu Dawud, Ahmad, al-Hakim dan Ibnu Hibban dalam sahihnya)

Syeikh Ahmad Abdul Rahman al-Banna berkata, Ibnu al-‘Arabi menyatakan, “Yakinkanlah dirimu untuk membaca surah Yaasin. Jika ada seseorang yang nazak (sakarat), bacakan juga surah Yaasin kepadanya. Suatu hari, aku pernah sakit sampai pengsan hingga saat itu aku berada di ambang kematian.

Dalam keadaan seperti itu, aku melihat sekelompok orang yang berusaha untuk menyakitiku. Namun tiba-tiba muncul seorang lelaki tampan yang menolongku hingga akhirnya ia dapat mengalahkan mereka. Aku pun bertanya, ‘Siapa kamu?’ Ia menjawab, ‘Aku adalah surah Yaasin.’ Saat itu aku langsung tersedar dan ternyata bapaku sedang duduk di kerusi. Beliau sedang menangis sambil membaca surah Yaasin dan mengkhatamkannya.”

Kisah Penduduk Hujung Kota
Surah Yaasin terkenal dengan kisah penduduk dari hujung kota yang datang untuk mempertahankan dakwah dan risalah para Rasul sebagaimana firman Allah:
“Dan (semasa Rasul-rasul itu diancam), datanglah seorang lelaki dari hujung kota itu dengan berlari, lalu memberi nasihat dengan katanya: ‘Wahai kaumku! Turutlah Rasul-rasul itu. Turutlah orang-orang yang tidak meminta kepada kamu sesuatu balasan, sedang mereka adalah orang-orang mandapat hidayah petunjuk’.” (Yaasin 36: 20-21)

Setelah diutus tiga orang Rasul kepada mereka untuk menyampaikan risalah kebenaran Tawhid (Yaasin 36: 13-19) tetapi mereka tetap mengingkarinya dengan mengemukakan pelbagai alasan. Dakwah para Rasul itu digalas sama oleh seorang lelaki dari hujung kota dengan menyeru kaumnya untuk menyambut seruan keimanan daripada para Rasul tersebut. Justeru, ayat di atas secara tidak langsung memberi peneguhan kepada para pendakwah tentang akan adanya individu atau golongan yang menyokong dan menjadi mata rantai meneruskan dakwah para Rasul bersama-sama mereka.

Begitulah keadaannya sekiranya Islam dikepung dengan pandangan yang negatif seperti Islamophobia, pengganas dan sebagainya, selalu sahaja akan bangkit individu atau golongan yang membela agama. Sama ada kedatangan pembela itu lambat atau cepat, yang pasti ia tetap datang. Ayat ini secara tidak langsung mendorong para pendakwah supaya tidak sesekali putus asa dalam apa sahaja usaha dakwah yang dijalankan. Hanya seorang pendakwah yang benar-benar beriman dan kental Tawhidnya mampu istiqamah dalam perjuangannya hingga mampu mengungkapkan ayat:
“Dan (apabila ditanya: Sudahkah engkau menerima agama mereka? Maka jawabnya): ‘Mengapa aku tidak menyembah Tuhan yang menciptakan daku, dan hanya kepada-Nyalah (aku dan) kamu semua akan dikembalikan?’.” (Yaasin 36: 22)

Keberanian lelaki dari hujung kota ini tiada taranya. Dia terus menegaskan pendiriannya di tengah-tengah kaumnya yang menentang risalah Allah melalui pertanyaan yang membawa kaumnya berfikir untuk menemui kebenaran yang sepatutnya.

“Patutkah aku menyembah beberapa tuhan yang lain dari Allah? (Sudah tentu tidak patut, kerana) jika Allah yang Maha Pemurah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, mereka tidak dapat memberikan sebarang syafaat kepadaku, dan mereka juga tidak dapat menyelamatkan daku.

“Sesungguhnya aku (kalau melakukan syirik) tentulah aku pada ketika itu berada dalam kesesatan yang nyata.
“Sesungguhnya aku telah beriman kepada Tuhan kamu, maka dengarlah (nasihatku).” (Yaasin 36: 23-25)

Mati itu adalah kehidupan
Apabila seorang insan sentiasa merenung diri, dari mana asal-usulnya dan ke mana akan pergi selepas mati, maka dia akan sentiasa mengisi aktiviti hidupnya dengan persiapan untuk berpindah ke alam kematian.

Hati yang mengingati mati dan akhirat itu adalah hati yang hidup, sementara hati yang terikat dengan dunia itu adalah hati yang mati. Cuba lihat di sekeliling kita melalui alam ini, dengan bervariasinya maklumat tentang ilmu Islam di internet, televisyen dan radio, tetapi masih ramai yang berpaling dari petunjuk-Nya, lena dengan syahwat dan maksiat. Akibatnya krisis kemanusiaan yang ingin diselesaikan akan terus berpanjangan, kerana mereka sendiri memilih untuk meneruskannya. Allah mengingatkan tentang golongan ini dalam ayat berikut:

“Dan apabila dikatakan kepada mereka: ‘Berjaga-jagalah kamu akan apa yang ada di hadapan kamu (dari urusan-urusan hidup di dunia ini), dan apa yang ada di belakang kamu (dari huru-hara dan balasan akhirat), supaya kamu beroleh rahmat’, (mereka tidak mengindahkannya).

Dan (itulah tabiat mereka) tidak ada sesuatu keterangan yang sampai kepada mereka dari keterangan-keterangan tuhan mereka melainkan mereka selalu berpaling daripadanya (enggan menerimanya).” (Yaasin 36: 45-46)

Lalu Allah mendatangkan peringatan yang berupa ancaman kepada golongan yang berpaling dari risalah Allah ini melalui ayat 48 hingga 53 yang menerangkan tentang kiamat dan hari kebangkitan. Kemudian dalam ayat yang lain Allah mengancam kaum yang ingkar khususnya kepada orang kafir dan munafik untuk melihat azabnya neraka di hadapan mereka semasa di akhirat seperti yang dijanjikan Allah s.w.t.
“Yang kamu saksikan sekarang ialah neraka Jahannam, yang kamu selalu diancam memasukinya (kalau kamu tidak taatkan perintah Allah).
Rasalah kamu bakarannya pada hari ini, disebabkan perbuatan kufur yang kamu telah lakukan!

Pada waktu itu Kami meteraikan mulut mereka (sejurus); dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan.” (Yaasin 36: 63-65)

Inilah penanda aras yang membezakan di antara yang Mukmin dan kafir. Orang Mukmin adalah orang yang beriman dengan hari akhirat dan hatinya sentiasa hidup meskipun jasadnya masih berada di dunia. Secara rohaniahnya amalan-amalan yang dilakukannya selalu menjurus kepada akhirat. Inilah kehidupan baginda Rasul s.a.w. Segala yang dilakukan baginda di dunia adalah untuk kehidupan di akhirat yang kekal dan abadi.

Sabda Rasulullah s.a.w: “Jadilah kamu di dunia seperti orang asing atau seorang yang ingin bermusafir (ke akhirat).” (HR Bukhari)

Oleh Amiza Khusyairi

Translate »