Kalau sebelumnya kita kesibukan mengatur masa untuk berziarah, kali ini kita juga tidak sibuk menunggu kehadiran tetamu.
Kita ada kesibukan baharu, menjelang Aidilfitri menyemak ‘phonebook’ untuk dihantar ucapan digital. Itulah ruang yang masih terbuka untuk kita ucapkan selamat menyambut lebaran.
Sebelumnya kita boleh bersalam-salaman untuk mengungkapkan rasa kekesalan atas salah silap tutur bicara dan kekurangan adab dalam pergaulan. Kini kita hanya mampu menghulurkan permohonan secara berjemaah atau peribadi agar kesemuanya diampunkan dalam semangat ‘mencuci hening dosa’.
DOA
Secara berjemaah menerusi kumpulan WhatsApp, facebook, telegram, messenger atau wechat yang kita menjadi ahli. Secara peribadi, setiap orang yang ada dalam phonebook yang tersimpan dalam kad memori atau telefon. Kita tidak perlu lagi membuka buku kecil seperti dahulu. Di dalamnya ada alamat dan nombor telefon rumah. Ia oleh dilakukan serentak dengan hanya menekan butang ‘send’ kepada sesiapa yang kita pilih atau tujukan.
kad ucapan 3
Kita sibuk dengan kepintaran mencari kata-kata untuk menulis ungkapan, agar ungkapan itu tidak ‘terlahir dosa baharu’ dan jari menjadi lenguh untuk mengetik aksara selari dengan apa yang kita fikirkan. Tidak cukup dengan itu, kita turut meletakkan gambar yang sesuai, ada kemeriahan menyambut Aidilfitri dalam kekurangan dan kelebihan yang ada. Kita meraikannya dalam keluarga kecil kita sendiri kerana keluarga besar tidak dibenarkan atas alasan ‘memutuskan rantaian COVID-19’.
Hari pertama kita sambut amat sederhana sekali, tidak sehebat sebelumnya termasuklah persiapan juadah, hiasan dan dan percaturan memilih destinasi seperti lazimnya. Kita juga tidak memikirkan berapa lama harus memandu, jumlah tol dan kos petrol. Kita boleh pula berkata: tahun ini, kami recycled pakaian sebelumnya. Hanya untuk bergambar di pagi raya atau berkumpul dalam telesidang beberapa penjuru sebab ada di antara ahli keluarga terhalang untuk pulang beraya. Skype, whatsapp video menjadi ‘laluan’ untuk kita saling mengucapkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin.
kad ucapan 2
Juga kita sampaikan ‘salam duka’ kepada rakan atau ahli keluarga yang ‘kehilangan orang yang dikasihi’nya atas banyak kendala kesihatan. Upacara ziarah tidak dapat kita lakukan dan hanya mampu berdoa “semoga rohnya diterima dalam kalangan orang-orang yang beriman’.
Kepada ‘roh kedua orang tua’ kita yang telah pergi, kita panjatkan doa agar ‘Allah ampunkan dosa-dosanya’ dan secara kecil-kecilan bertahlil dan berdoa, dalam keikhlasan jiwa dan keheningan pagi tatkala fajar Syawal menjelma.
khutbah raya
Namun, semuanya menjadi kenangan yang tinggi nilainya kerana sepanjang Ramadhan ada di antara kita belajar menjadi imam bertarawih. Ada di antaranya bercucuran keringat umpama ‘stage fright’ kerana pertama kali terpaksa menghafal surah-surah-Nya untuk dipandu dalam Sholat Tarawikh. Setelah beberapa hari, kegugupan itu hilang, dan kita terus menghabiskan seruan membaca aya-ayat-Nya sehingga khatam sebelum datangnya Syawal.
juadah hari raya
Di pagi Syawal, ada di antara kita memimpin dan memegang tongkat bagi menyempurnakan Sholat Sunat Aidilfitri. Juga buat pertama kalinya membaca Khutbah dengan mengikut panduan yang mudah kita peroleh daripada wewenang institusi agama menerusi aplikasi media sosial.
Ketika ini kita mula merasa beruntungnya kemudahan teknologi, dalam keterbatasan gerak-geri kita masih boleh bersaliturrahmi dan melaksanakan tanggungjawab kepada kehidupan beragama. Media sosial memungkinkan segala-galanya asal kita tahu adab dan manfaatnya.
Sumber : Tamwir.my
Recent Comments