MANFAAT dan mudarat ketum terus menjadi polemik dalam masyarakat hari ini. Walaupun dari satu sudut, ketum mempunyai nilai perubatan, wujudnya kebimbangan tentang kemudaratannya yang boleh memarakkan kebejatan sosial akibat daripada penyalahgunaannya.

Polemik kontemporari ini perlu dilihat secara holistik dan tidak bersifat mengikat serta menghukum. Ini kerana dalam kerangka fiqh perubatan dan sains perlu mengambil kira kedinamikan sesuatu sumber yang boleh memberi manfaat kepada manusia. Walau bagaimanapun, pertimbangan penyelesaian menurut perspektif Islam perlu diutamakan. Malah perlu ada langkah ke hadapan untuk memanfaatkan sumber anugerah Allah yang terdapat di negara kita.
Dalam hal ini, kesemua pihak yang terlibat perlu berhati-hati dalam mempertimbangkan keseimbangan risiko dan manfaatnya. Dari satu sudut, ketum menyumbang peranan besar dalam perubatan untuk dijadikan sebagai ubat bagi rawatan ketagihan dan ubat bersifat analgesic mengikut amalan tradisi. Namun, dari sudut lain, ketum juga boleh menyebabkan penyalahgunaan, mempunyai gejala ketagihan, gangguan emosi dan akan menyebabkan kerosakan akhlak.

Penyalahgunaan ketum akan menyebabkan gejala ketagihan menjadi punca kepada polemik ini berterusan. Ramai yang telah terjebak dengannya, khususnya golongan muda-mudi yang dikaitkan dengan gejala sosial. Kebergantungan kepada air ketum menjadi punca kepada ketagihan berlaku apabila pengambilannya secara berterusan untuk tempoh panjang dan dalam kuantiti yang banyak.

Mitragynin merupakan alkaloid yang paling banyak terdapat dalam daun ketum. Sebatian ini akan mengikat reseptor ketagihan dalam otak yang akan mengubah struktur serta fungsinya, seterusnya memberi rangsangan terhadap aktiviti sosial seseorang. Ini menyebabkan seseorang itu menjadi khayal dan akan menjejaskan fungsi ingatan dan produktiviti kerja.

Islam melihat situasi ketagihan individu terhadap ketum atau bahan substantif lain adalah disebabkan hati yang sakit akibat daripada akal fikiran yang tidak boleh mengawal hawa nafsu. Dan ini akan mendorong individu untuk memudaratkan diri sendiri seperti mana dalam firman Allah menerusi surah al-Baqarah ayat 195 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan”.

Oleh itu, kesan utama yang dibimbangi daripada ketagihan ketum ialah membawa kepada kerosakan fungsi otak dan akal. Ia juga mendatangkan masalah sosial lain termasuk keruntuhan moral dan akhlak seterusnya merosakkan institusi keluarga. Keruntuhan institusi tersebut sudah tentu akan membawa kepada permasalahan sosial lain yang lebih serius. Oleh itu, polemik ini dilihat membabitkan pertimbangan maqasid syariah dalam aspek pemeliharaan akal, jiwa dan keturunan.

Dalam usaha merawat masalah penagihan dadah, masyarakat masih memerlukan rawatan alternatif di samping pemulihan secara kaunseling. Kajian menunjukkan ketum berpotensi untuk merawat ketagihan dadah dan kemurungan. Maka, potensi ini perlu dilihat sebagai peluang untuk menghasilkan rawatan ubatan seiring dengan pembangunan dalam bidang bioteknologi dan farmaseutikal dengan pengawasan pakar yang bertauliah.

Oleh itu, kerajaan perlu menggalakkan lebih banyak lagi penyelidikan bagi merawat ketagihan termasuk penggunaan ketum. Peluang tersebut tidak harus dilepaskan hanya disebabkan ada pihak yang menyalahgunakannya. Ia adalah salah satu usaha meningkatkan ekonomi negara dan menggalakkan kajian saintifik bagi mendapat manfaat perubatan dalam memperbaiki status kesihatan masyarakat. Langkah ini juga menepati elemen pemeliharaan harta dan jiwa dalam kerangka maqasid syariah yang telah digariskan dalam Islam.

Dalam konteks membuat perancangan untuk bergerak ke hadapan, penekanan terhadap aspek kepentingan maqasid perlu dititikberatkan. Justeru, perlu ada langkah pengawalan yang berkesan dan menyeluruh melalui pendidikan serta pencegahan, dan dalam masa sama perlu mempelbagaikan strategi untuk memanfaatkan sumber herba yang hidup subur di negara kita.

Di samping menangani cabaran penyalahgunaan, usaha yang lebih sistematik amat diperlukan bagi melihat prospek sumbangan ketum dalam dunia farmaseutikal. Ini termasuklah dengan adanya undang-undang pengawalan penanaman dan penggunaan ketum untuk mengelakkan penyalahgunaan, hak paten serta regulasi ubatan dalam memastikan ketum boleh dikaji dan dijadikan ubat.

Dalam isu ketum ini, matlamat utama adalah menjaga kemaslahatan ummah. Oleh itu, pertimbangan tentangnya tidak hanya melihat dari satu sudut sahaja dan menafikan sisi kebaikan lain yang sedia ada.

Oleh NorKumala Awang

Penulis ialah Felo Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Translate »