Uwaimir bin Malik al-Khazraji yang digelar Abu Darda’ bangun daripada tidur pada awal-awal pagi. Setelah itu dia pergi menuju berhala sembahannya di sebuah bilik yang paling istimewa dalam rumahnya. Dia membongkok memberi hormat kepada patung tersebut, kemudian dia melumurinya dengan wangi-wangian termahal yang terdapat dalam kedainya yang besar. Sesudah itu, patung tersebut dikenakan pakaian baru yang diperbuat daripada sutera paling bermutu, yang diperolehnya daripada seorang peniaga yang datang dari Yaman.
Setelah matahari agak tinggi, barulah Abu Darda’ bersiap hendak pergi ke kedai. Tiba-tiba sepanjang jalan di Yastrib menjadi riuh, penuh sesak dengan para pengikut Nabi Muhammad yang baru pulang daripada peperangan Badar. Paling hadapan terlihat sekumpulan tawanan terdiri daripada orang-orang Quraisy.
Abu Darda’ mendekati orang ramai dan bertemu dengan salah seorang pemuda suku Khazraj. Abu Darda’ menanyakan kepadanya di mana Abdullah bin Rawahah.
Pemuda Khazraj tersebut menjawab dengan hati-hati pertanyaan Abu Darda’ kerana dia tahu bagaimana hubungan Abu Darda’ dengan Abdullah bin Rawahah. Mereka adalah sahabat akrab pada masa jahiliah. Setelah Islam datang, Abdullah bin Rawahah memeluk Islam, sedangkan Abu Darda’ tetap dalam kemusyrikan.
Bagaimanapun, hal tersebut tidak menyebabkan hubungan persahabatan mereka menjadi renggang atau terputus. Abdullah berjanji akan mengunjungi Abu Darda’ pada waktu-waktu tertentu, untuk mengajak sahabatnya itu kepada Islam. Dia berasa kasihan kepada Abu Darda’ kerana usianya akan habis sia-sia setiap hari dalam kemusyrikan.
Abu Darda’ tiba di kedai seperti biasa. Dia sibuk melayan para pelanggan. Sementara itu’ Abdullah bin Rawahah datang ke rumah Abu Darda’. Sesampainya di sana, dia melihat isteri Abu Darda’ di halaman rumah.
“Assalamu’alaiki. Ya amatallah,“ (Semoga kamu bahagia, hai hamba Allah),“ kata Abdullah memberi salam.
“Wa ‘alaikassalam, ya akha Abi Darda’,“ ( Dan semoga kamu juga bahagia, hai sahabat Abu Darda’),” jawab isteri Abu Darda’.
“Abu Darda’ ke mana?” tanya Abdullah.
“Dia ke kedai. Mungkin sekejap lagi dia pulang,” jawab isteri Abu Darda’.
“Boleh saya masuk?” tanya Abdullah.
‘Dengan segala senang hati! Silakan!” jawab isteri Abu Darda’.
Sementara isteri Abu Darda’ beredar ke dapur, Abdullah bin Rawahah masuk ke bilik tempat Abu Darda’ meletakkan patung sembahan. Dikeluarkannya kapak yang dibawa dari rumah. Dihampirinya patung itu, lalu dikapaknya hingga berkeping-keping jadinya. Katanya, “ketahuilah, setiap yang disembah selain Allah adalah batil!”
Setelah selesai menghancurkan patung tersebut, dia meninggalkan rumah Abu Darda’. Isteri Abu Darda’ masuk ke bilik sembahan. Alangkah terperanjatnya dia apabila dilihatnya patung telah hancur berkeping-keping dan berserakan di lantai. Ummu Darda’ meratap, menampar-nampar kedua-dua pipinya sambil berkata, “Engkau mencelakakan aku, hai Ibnu Rawahah.”
Tidak berapa lama kemudian Abu Darda’ pulang dari kedai. Dia melihat isterinya duduk di tepi pintu bilik sembahan sambil menangis. Rasa cemas dan takut kelihatan jelas di wajahnya.
“Mengapa kamu menangis?” tanya Abu Darda’
“Sahabat kamu, Abdullah bin Rawahah datang ke rumah kita semasa kamu di kedai. Dia telah menghancurkan patung sembahan kamu. Kamu lihatlah sendiri,” jawab isterinya.
Abu Darda’ segera masuk ke bilik sembahan, dilihatnya patung itu sudah hancur berkeping-keping. Maka timbullah marahnya. Mulanya dia berhasrat hendak mencari Abdullah. Tetapi setelah kemarahannya beransur padam, dia memikirkan kembali apa yang sudah terjadi. Kemudian katanya, ”Jika patung itu benar-benar Tuhan, tentu dia sanggup membela dan mempertahankan dirinya sendiri.”
Maka ditinggalkannya patung yang menyesatkan itu, lalu dia pergi mencari Abdullah bin Rawahah. Setelah bertemu dengan Abdullah, dia pun mengajak Abdullah bersama-samanya pergi menghadap Rasulullah s.a.w dan menyatakan hasratnya memeluk Islam.
Sejak detik pertama Abu Darda’ beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, dia beriman dengan sebenar-benar iman. Dia sangat menyesal kerana agak terlambat memeluk Islam. Sementara itu kawan-kawannya yang telah lebih dahulu masuk Islam, telah memperoleh pengertian yang dalam tentang agama Allah ini; menghafal al-Quran, sentiasa beribadat, dan ketakwaan yang selalu mereka tanamkan dalam diri mereka di sisi Allah.
Oleh sebab itu, Abu Darda’a itu bertekad hendak mengejar apa yang tertinggal dahulu dengan bersungguh-sungguh meskipun dia perlu berpayah-payah siang dan malam Dia berpaling kepada ibadat dan memutuskan hubungan dengan dunia, mencurahkan perhatian kepada ilmu seperti orang kehausan; mempelajari al-Quran dengan tekun dan menghafal ayat-ayat, serta menggali pengertiannya secara mendalam. Sewaktu dirasakannya perniagaan mengganggunya untuk beribadat dan menghadiri majlis-majlis ilmu, maka ditinggalkannya perniagaannya tanpa ragu-ragu.
Berkenaan dengan sikapnya yang tegas itu, orang pernah bertanya kepadanya. Maka dijawabnya, “Sebelum kedatangan Rasulullah, saya adalah seorang peniaga. Maka setelah saya memeluk Islam, saya ingin menggabungkan, berniaga untuk beribadat. Demi Allah, bahawa jiwa Abu Darda’ dalam kuasa-Nya, saya akan menggajikan penjaga pintu masjid supaya saya tidak tertinggal solat berjemaah, kemudian saya kembali berniaga.
Kemudian dia memandang si penanya dan berkata, “Saya tidak mengatakan bahawa Allah Taala mengharamkan berniaga. Tetapi saya ingin menjadi peniaga apabila urusan jual beli tidak mengganggu saya untuk berzikir.”
Abu Darda’ sama sekali tidak meninggalkan perniagaannya. Dia hanya sekadar meninggalkan dunia dengan segala perhiasan dan kemegahannya. Baginya sudah cukup sesuap makanan sekadar untuk menguatkan badan, dan sehelai pakaian biasa untuk menutupi tubuh.
Pada suatu malam yang amat sejuk, sekumpulan jemaah bermalam di rumahnya. Abu Darda’ menghidangkan mereka makanan panas, tetapi tidak memberikan mereka selimut. Ketika hendak tidur, mereka bertanya tentang selimut.
Salah seorang di antara mereka berkata, “Biarlah saya tanyakan kepada Abu Darda’.”
Kata seorang yang lain pula, “Tidak perlu!”
Bagaimanapun salah seorang daripada mereka yang tidak menghiraukan kata-kata orang kedua itu. Dia terus pergi ke bilik Abu Darda’. Sesampainya di muka pintu, dilihatnya Abu Darda’ berbaring, dan isterinya duduk di sisinya. Mereka berdua hanya memakai pakaian nipis yang tidak mungkin berupaya melindungi mereka daripada kesejukan.
Orang itu bertanya kepada Abu Darda’, “Saya lihat kamu sama dengan kami, tengah malam sesejuk ini tanpa selimut. Ke mana perginya kekayaan dan harta benda kamu?”
Jawab Abu Darda’, “Kami mempunyai rumah di kampung sana. Harta benda kami telah kami hantarkan ke sana setiap kali kami perolehinya. Jika masih ada yang tinggal di sini (berupa selimut), tentu sudah kami berikan kepada tuan-tuan. Selain itu, jalan ke rumah kami yang baru itu agak sukar dan perlu mendaki. Kerana itu susah membawa barang yang berat-berat. Kami memang sengaja meringankan beban kami supaya mudah dibawa.”
Kemudian Abu Darda bertanya kepada orang itu, “Kamu fahamkah?”
Jawab orang itu, “Ya, saya faham. Semoga kamu dikurniai Allah dengan segala kebaikan.”
Pada masa pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab, Umar mengangkat Abu Darda’ menjadi pegawai tinggi di Syam. Tetapi Abu Darda’ menolak perlantikan tersebut. Khalifah Umar marah kepadanya. Lalu kata Abu Darda’, “Apabila Amirul Mukminin menghendaki saya pergi ke Syam, saya mahu pergi untuk mengajarkan al-Quran dan Sunnah Rasulullah kepada mereka di sana, serta menunaikan solat bersama-sama dengan mereka.”
Khalifah Umar gembira dengan rancangan Abu Darda’ tersebut. Lalu Abu Darda’ berangkat ke Damsyik. Sesampai di sana, didapatinya masyarakat sedang mabuk dengan kemewahan dan tenggelam dalam kenikmatan dunia. Hal itu sangat menyedihkannya. Maka dipanggilnya orang ramai ke masjid, lalu dia berpidato di hadapan mereka. Katanya:
“Wahai penduduk Damsyik! Kamu semua adalah saudaraku seagama; jiran tetangga; dan pembela dalam melawan musuh bersama.
Wahai penduduk Damsyik! Saya berasa hairan, apakah sebabnya kamu tidak menyenangi saya, dan tidak menerima nasihat saya? Padahal saya tidak mengharapkan balasan apa-apa pun daripada kamu semua. Nasihatku berguna untuk kamu, sedangkan perbelanjaanku bukan daripada kamu.
Saya tidak suka melihat ulama-ulama pergi meninggalkan kamu, sementara orang-orang bodoh tetap saja bodoh.
Saya hanya mengharapkan kamu semua supaya melaksanakan segala perintah Allah Taala, dan menghentikan segala larangan-Nya.
Saya tidak suka melihat kamu mengumpul harta kekayaan sebanyak-banyaknya, tetapi tidak kamu pergunakan untuk kebaikan. Kamu mendirikan gedung-gedung yang mewah, tetapi tidak kamu tempati atau kamu mencita-citakan sesuatu yang tak mungkin tercapai oleh kamu.
Bangsa dan kaum sebelum kamu pernah mengumpulkan harta sebanyak-banyaknya dan bercita-cita setinggi-tingginya. Tetapi hanya sementara, harta yang mereka kumpulkan itu habis kikis, cita-cita mereka hancur lebur, dan bangunan-bangunan megah yang mereka bina roboh menjadi tanah perkuburan.
Hai penduduk Damsyik! Itulah bangsa ‘Ad (kaum Nabi Hud a.s) yang telah memenuhi negeri (antara Aden dan Oman) dengan harta kekayaan dan anak-anak.
Siapakah di antara kamu yang sekarang berani membeli daripadaku peninggalan kaum ‘Ad itu dengan harga dua dirham?”
Mendengar pidato Abu Darda’ tersebut, banyak orang yang menangis, sehingga esak tangis mereka terdengar dari luar masjid.
Sejak hari itu Abu Darda’ sentiasa menghadiri majlis-majlis masyarakat Damsyik dan pergi ke pasar-pasar. Jika ada yang bertanya kepadanya, maka dia akan menjawab. Jika dia bertemu dengan seorang bodoh, diajarkannya; dan jika dia melihat orang yang leka dan terlalai, diingatkannya. Direbutnya setiap kesempatan yang ada, sesuai dengan keadaan serta kemampuan yang ada padanya.
Pada suatu ketika dia melihat sekumpulan orang membelasah seorang lelaki, Abu Darda’ datang menghampiri, lalu bertanya, “Apa yang terjadi? Mengapa jadi begini?”
Jawab mereka, “Orang itu telah melakukan dosa besar.”
Kata Abu Darda’, “Janganlah kamu sakiti dan caci dia, dan jangan pula kamu pukul. Tetapi berilah dia pengajaran dan sedarkan dia. Bersyukurlah kamu kepada Allah yang sentiasa memaafkan kamu daripada segala dosa.”
“Apakah kamu tidak membencinya?” tanya salah seorang kumpulan lelaki itu.
Jawab Abu Darda’, “Sesungguhnya saya membenci perbuatannya. Apabila dia telah menghentikan perbuatannya yang berdosa itu, maka dia adalah saudara saya.”
Orang itu menangis dan bertaubat daripada kesalahannya.
Pada waktu yang lain pula seorang pemuda bertemu dengan Abu Darda’ dan berkata kepadanya, ”Wahai sahabat Rasulullah! Ajarkanlah saya!”
Balas Abu Darda’, ”Hai anakku! Ingatlah kepada Allah di waktu kamu bahagia. Maka Allah akan mengingatmu di waktu kamu sengsara.
Hai Anakku! Jadilah kamu pengajar, orang yang mahu belajar dan orang yang mahu mendengar. Dan jangan menjadi orang yang bodoh. Kerana yang bodoh itu, pasti celaka.”
Abu Darda’ pernah pula melihat sekumpulan pemuda duduk-duduk di pinggir jalan. Mereka bersembang sambil melihat orang yang lalu lalang. Abu Darda’ menghampiri mereka dan berkata, “Hai anak-anakku! Tempat yang paling baik bagi orang Muslim adalah rumahnya. Di situ dia dapat memelihara diri dan pandangannya. Jauhilah duduk-duduk di pinggir jalan dan di pasar-pasar kerana perbuatan itu menghabiskan waktu dengan percuma.”
Ketika Abu Darda’ tinggal di Damsyik, gabenor waktu itu ialah Muawiyah bin Abu Sufyan. Muawiyah meminang anak gadis Abu Darda’ untuk puteranya Yazid. Abu Darda’ menolak pinangan tersebut. Dia tidak mahu mengawinkan anak gadisnya yang bernama Darda’ dengan Yazid. Bahkan Darda’ dikahwinkannya dengan pemuda Muslim, anak orang kebanyakan. Abu Darda’ menyukai pegangan agama dan akhlak pemuda itu. Orang ramai berasa hairan dengan sikap Abu Darda’ dan mereka berbisik-bisik sesama mereka, “Anak gadis Abu Darda’ dipinang oleh Yazid bin Muawiyah, tetap pinangan itu ditolak. Kemudian Abu Darda’ mengahwinkan puterinya dengan seorang pemuda Muslim, anak orang kebanyakan.”
Seseorang bertanya kepada Abu Darda’, mengapa dia bertindak seperti itu.
Jawab Abu Darda’, “Saya bebas berbuat sesuatu untuk kepentingan Darda’.”
”Mengapa?” tanya orangitu lagi.
Jawab Abu Darda’, “Bagaimana pendapat kamu, apabila nanti Darda’ telah berada di tengah-tengah para pengasuh yang sentiasa siap sedia melayannya, sedangkan dia berada dalam istana yang gemerlapan menyilaukan mata, akan ke mana jadinya agama Darda’ ketika itu?”
Pada suatu waktu ketika Abu Darda’ berada di negeri Syam, Amirul Mukminin Umar bin Khattab datang memeriksa. Khalifah mengunjungi sahabat itu di rumahnya pada suatu malam. Ketika Khalifah membuka pintu rumah Abu Darda’, ternyata pintu itu tidak dikunci dan rumah gelap tanpa lampu. Ketika Abu Darda’ mendengar suara Khalifah, Abu Darda’ berdiri mengucapkan selamat datang dan mempersilakan Khalifah Umar duduk. Mereka galak berbincang dalam kegelapan sehingga masing masing tidak dapat melihat antara satu sama lain.
Khalifah Umar meraba-raba bantal alas duduk Abu Darda’, ternyata hanyalah sebuah pelana kuda. Dirabanya pula tilam tempat tidur Abu Darda’, ternyata pula berisi pasir belaka. Dirabanya pula selimut, ternyata pakaian tipis yang tidak mencukupi untuk musim sejuk.
Kata khalifah Umar, “Semoga Allah melimpahkan rahmat-Nya kepada kamu. Mahukah saya bantu kamu? Mahukah kamu saya hantarkan sesuatu untuk melapangkan kehidupan kamu?”
Jawab Abu Darda’, “Ingatlah wahai Amirul Mukmini, sebuah hadis yang ditinggalkan oleh Rasulullah kepada kita?”
Tanya Umar, “Apakah hadis itu?”
Jawab Abu Darda’, “Bukankah Rasulullah telah bersabda: ‘Hendaklah puncak salah seorang kamu tentang dunia, seperti perbekalan seorang pengembara (iaitu secukupnya dan seadanya).’”
Jawab Khalifah Umar, “Ya, saya ingat!”
Kata Abu Darda’, “Jadu, apa yang telah kita perbuat sepeninggalan baginda, wahai Amirul Mukminin?”
Khalifah Umar menangis, Abu Darda’ pun menangis sama. Akhirnya mereka berdua bertangis-tangisan sehingga Subuh.
Abu Darda’ menjadi guru sepanjang tinggal di Damsyik. Dia memberi pengajaran kepada penduduk, memperingatkan mereka, mengajarkan kitab (al-Quran) dan hikmah kepada mereka sehinggalah dia meninggal dunia.
Sewaktu Abu Darda’ hampir meninggal, para sahabat datang berkunjung. Mereka bertanya, ”Sakit apa yang kamu rasakan?”
Jawab Abu Darda’, ”Dosa-dosaku!”
Tanya mereka lagi ,”Apa yang kamu inginkan?”
“Keampunan Tuhanku,” jawabnya.
Kemudian dia berkata kepada orang hadir di sekelilingnya, “Ulangkanlah kepadaku kalimah Laa ilaaha illallah, Muhammad Rasulullah.”
Abu Darda’ sentiasa membaca kalimah tersebut berulang-ulang hingga nafasnya yang terakhir.
Setelah Abu Darda’ pergi menemui Tuhannya, Abu Muhammad berkata pada Auf bin Malik “Hai, Ibnu Malik! Inilah kurniaan Allah kepada kita berkat al-Quran. Sekiranya kamu melalui jalan ini, kamu akan melihat suatu pemandangan yang belum pernah kamu saksikan, dan mendengar sesuatu yang belum pernah kamu dengar, dan tidak pernah terlintas dalam fikiranmu.”
Tanya ‘Auf bin Malik, ”Untuk siapa semuanya, wahai Abu Muhammad?”
Jawab, “Disediakan Allah Taala untuk Abu Darda’, kerana dia telah menolak kemewahan dunia dengan berlapang dada.”
Susunan semula oleh Ibnu Majid
Recent Comments