Beliau adalah Alauddin Ali bin Ibrahim bin Muhammad bin Hassan Al-Anshari Al-Muaqqit Al-Falaki Ad-Dsimasyqi atau lebih dikenali dengan nama Ibnu Asy-Syathir. Selain itu, beliau juga dikenali dengan nama Ibnu Al-Muththa’am Al-Falaki kerana pada masa belianya, beliau bekerja sebagai tukang kayu yang melubangi kayu dengan menggunakan gading.
Ibnu Asy-Syathir dilahirkan pada tahun 704 H ( 1304 M) di Damsyik. Beliau juga pernah menjadi muazzin (tukang azan) di Masjid Umawi yang terletak di Damsyik dan kemudiannya menjadi muaqqit (penentu waktu solat) dan mengetuai para muazzin.Beliau mempelajari ilmu astronomi dan matematik daripada seorang ahli astronomi Damsyik, Abu Hassan bin Husein bin Ibrahim bin Yusuf Asy-Syathir iaitu yang merupakan sepupu daripada ayahnya.
Kemudiannya beliau telah mengembara ke beberapa negara lain untuk memperdalami ilmu, seperti ke Syam dan Mesir. Beliau banyak mempelajari karya-karya asli astronomi pendahulunya seperti Ath-Thusi, Umar Al-Khayam, Hasan bin Al-Haitam, dan Quthubuddin Asy-Syairazi.
Ibnu Asy-Syathir dikenali sebagai salah seorang ilmuan Damsyik dalam bidang Astronomi baru yang mengiringi manusia ke gambaran baru mengenai alam malah beliau juga telah berhasil membuka jalan bagi peradaban era luar angkasa seperti yang kita ketahui sekarang.
Kemudian beliau meneruskan mempelajari ilmu astronomi di sekolah astronomi yang dipimpin oleh seorang astronomi senior, Nasharudin Ath-Thusi yang aktif dan berjaya pada abad ke-tujuh dan ke-lapan Hijrah atau abad ketiga belas dan ke-14 belas Masihi.
Dalam pengkajiannya, beliau telah menemui tempat beredarnya bintang Mercury dan bulan yang selama ini telah membingungkan para ilmuan yang lain. Dua contoh pergerakan dari keduanya merupakan penemuan pertama yang memberi jalan bagi wujudnya ilmu astronomi moden.
Sehingga saat ini banyak ilmuan Barat yang mengakui penemuan beliau. Seorang ahli astronomi Poland, Copernicus telah mengambil contoh pergerakan bintang Mercury dan bulan yang dibuat olehnya, iaitu dua abad setengah setelah wafatnya beliau malah penemuannya telah dinamakan Copercican system.
Semasa hidupnya, beliau telah banyak mencipta alat yang digunakan untuk memantau bintang dan dipakai dalam pengukuran dan perhitungan. Di antaranya ada yang berupa jam matahari dan tembaga, per-empatan tinggi dan per-empatan penuh yang dipakai untuk menyelesaikan permasalahan ilmu perbintangan yang dapat memberikan kita kepada hasil yang diinginkan atau astrolab.
Selain itu, beliau juga banyak menghasilkan karya yang ditulis terutama dalam bidang astronomi. Diantaranya karya-karyanya banyak menerangkan alat-alat yang dipakai untuk meneropong bintang dan cara atau kaedah menggunakannya.
Bukunya yang berjudul Zaij Ibnu Asy-Syathir telah diringkaskan oleh Ibnu Zuraiq dengan judul Ar-Raudh Al- Athir Fi Talkhish Zaij Ibn Asy-Syathir. Menurut Ibnu Zuraiq, Ibnu Asy Syathir telah menulis sebuah buku yang berharga dan telah berhasil menentukan tempat beberapa bintang dan peredarannya.Terdapat banyak lagi hasil karya daripada beliau, antaranya termasuklah Risalah Fi Al–Hai Al-Jadidah, Risalah Fi Al-Amal Bidaqaiq Ikhtilaf Al-faq Al-Mar’iah, Risalah Fi Istikraj At-Tarikh, An-Naf’u Al-Am Fi Al-Amal Bi Ar-Rub’I At-Tam Limawaqit Al-Islam dan berbagai-bagai lagi.
Antara contoh peredaran bintang Mercury dan bulan ini telah disentuh di dalam ensiklopedia Islam yang menyatakan bahawa penemuan yang diraih oleh Ibnu Asy-Syathir ini telah banyak memiliki persamaan dengan contoh yang ditemukan oleh Copernicus setelah berlalu dua abad lamanya.
Apatah lagi contoh yang dikemukan oleh Copernicus terutama mengenai bulan dan Mercury adalah sama sekali mirip teori Ibnu Asy-Syathir yang telah menghuraikannya secara terperinci di dalam beberapa buah buku karyanya.
Bukti tersebut telah membuka rahsia Barat kepada dunia Islam bahawa Copernicus telah menyadur atau menyalin sebahagian daripada idea-idea Ibnu Asy-Syathir. Ini adalah kerana banyak berita-berita yang menyatakan bahawa beberapa manuskrip karya Ibnu Asy-Syathir telah ditemui di tempat kelahiran Copernicus.
Ibnu Asy-Syathir merupakan tokoh Islam yang banyak memberikan jasa dan telah banyak meninggalkan kesan kepada ilmuwan dunia Islam dalam membuka rahsia alam terutama dalam bidang astronomi.
Namun pengkajian tersebut tidak digunapakai oleh para ilmuwan Islam masa kini yang akhirnya terus dilanda kebuntuan dalam pengkajian bidang astronomi dan lebih banyak mengharapkan para ilmuan daripada Barat menghuraikannya.
Susunan oleh ibnu Umar
Recent Comments