Benarkah penggunaan wang sebagai ganti beras untuk membayar zakat fitrah bukan amalan dalam mazhab Syafie? Boleh ustaz jelaskan. – IMAN, Kemaman
UKE: Zakat fitrah wajib dikeluarkan daripada jenis makanan utama penduduk sesebuah negeri dan ini menjadi pegangan dalam mazhab Syafie (kecuali adanya darurat atau diperintahkan oleh pihak yang berkuasa, maka diharuskan membayarnya dengan wang sebagai ganti beras) seperti yang sedang diamalkan oleh jabatan-jabatan agama Islam di Malaysia kerana memudahkan urusan pemungutan zakat fitrah dan pembahagiannya.
Masalah ini dihuraikan dalam kitab as-Syarah seperti berikut;
Membayar fitrah dengan wang adalah tidak sah mengikut mazhab Syafie jika diniatkan wang menjadi zakat fitrah seperti diniatkan:“Wang ini untuk fitrah yang wajib atasku, bagi diriku dan orang di bawah tanggunganku”. Tetapi harus digantikan makanan dengan wang dan hendaklah diniatkan seperti berikut:“Wang ini ialah ganti beras fitrah yang wajib atasku, bagiku dan bagi orang di bawah tanggunganku pada tahun ini.”
Berfitrah dengan wang sebagai ganti beras (makanan) adalah harus dalam mazhab Syafie tetapi lebih afdal dengan makanan. Dalam mazhab Hanafi pula lebih afdal dengan harga daripada makanan.
Dalam mazhab Syafie diharuskan dalam keadaan berikut;
Kerana darurat.
Kerana diperintahkan oleh raja (pemerintah)
Pemerintah menghukumkan zakat fitrah dengan wang atas beberapa sebab dan bertujuan baik antaranya:
Asnaf yang lapan terutama fakir dan miskin lebih suka menerima wang daripada beras.
Menyimpan wang lebih selamat, sedang beras selain daripada menyusahkan pihak pemerintah perlu juga upah untuk mengangkutnya. Seperkara lagi beras akan rosak jika disimpan lama.
Maka sah dan harus hukumnya membayar zakat fitrah menggunakan wang bagi menggantikan beras kerana adanya alasan dan ia disepakati ulama atas hukum daripada pemerintah.
Sumber : Utusan Online
Recent Comments