Konsep rumah terbuka sempena perayaan Aidilfitri memberikan pengertian betapa Islam itu indah dan tidak mengehadkan kepada penganutnya sahaja untuk meraikannya. Meraikan Aidilfitri dengan mengadakan rumah terbuka bukanlah konsep baru dalam usaha menjalin persefahaman antara agama. Masyarakat Malaysia sudah menerimanya sebagai satu kaedah mengeratkan hubungan sosial yang lebih luas sehingga melampaui sempadan kaum, agama dan budaya.
Meskipun demikian, kerana adanya desakan dalam kepentingan tertentu, tradisi sedemikian kadang-kadang bertukar menjadi medan politik yang akhirnya boleh membunuh semangat keintiman antara kelompok dan agama. Ada pihak menggunakan rumah terbuka untuk memperkuatkan semangat politik yang tiada penghujungnya. Sepatutnya dengan semangat rumah terbuka ia dapat menjadi forum yang sangat efektif untuk memulai hubungan baik atau memperbaharui hubungan yang retak kerana perbezaan aliran.
Sesungguhnya kejahatan dan kepalsuan itu pada dasarnya bertentangan dengan fitrah manusia. Oleh kerana Islam itu agama fitrah yang mudah, samhaa’ (harmoni), terbuka dan toleransi maka kita menerima gelagat-gelagat tidak sopan itu dengan penuh kesabaran.
Satu hadis daripada Ibnu Umar yang diriwayatkan oleh Bukhari, Tarmizi, Ahmad dan Ibnu Majah. “Seseorang mukmin yang bergaul dalam masyarakat dengan manusia lainnya dan dia sabar menahankan suka duka dalam masyarakat itu, adalah lebih baik daripada seorang mukmin yang tidak hidup bergaul dalam masyarakat umum dan tidak pula pernah menunjukkan kesabaran atas suka dukanya masyarakat itu.”
Dalam hal berziarah ini, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Ada seseorang yang berziarah ke tempat saudaranya kerana seagama (bolehlah dianggap saudara) dalam suatu desa, lalu Allah mengutus malaikat untuk mendatangi jalan yang dilalui. Setelah bertemu, lalu malaikat bertanya, ke mana saudara akan pergi? Jawabnya, hendak ke tempat saudara saya dalam desa ini. Malaikat bertanya, apakah kedatangan saudara itu kerana ada sesuatu kenikmatan daripadanya yang akan saudara dapatkan? Jawabnya, tidak, saya datang semata-mata kerana saya mencintainya untuk mengharapkan keredaan Allah. Kemudian malaikat itu bertanya lagi: Ketahuilah sesungguhnya saya adalah utusan Allah (untuk menemui saudara dan untuk mengatakan,) bahawa Allah mencintai saudara sebagaimana saudara mencintai orang itu. (Hadis ini sahih dan diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Muslim dan Ahmad dari sahabat Abu Hurairah)
Selain daripada itu saling memaafkan juga merupakan salah satu tanda ketakwaan seseorang yang telah dibina secara mantap selama sebulan penuh pada bulan Ramadan kerana berpuasa di bulan Ramadan itu bertujuan membina ketakwaan. Dan ciri-ciri orang bertakwa ialah suka memaafkan kesalahan orang lain. Meminta maaf kepada orang lain merupakan suatu kewajipan sebab kesalahan yang belum dimaafkan akan menjadi beban berat di akhirat.
Rasulullah bersabda yang bermaksud:
Barangsiapa yang berbuat zalim kepada orang lain, baik yang menyangkut kehormatannya atau orang yang berhubungan dengan miliknya, hendaknya ia segera meminta maaf sebelum datang masanya dirham tidak berguna lagi (yakini berupa hari kiamat). Sebab jika sampai tidak meminta maaf bila mempunyai amal soleh, maka dosa orang yang zalimi itu akan dibebankan kepadanya sesuai dengan kezaliman yang dilakukannya. (Hadis Riwayat Bukhari).
Jika meminta maaf merupakan suatu kewajiban, maka memberi maaf atau memaafkan kesalahan orang lain merupakan tindakan yang sangat mulia. Kerana itu bukanlah memaafkan bila masih ada sisa bekas luka di hati atau dendam. Itu sebabnya, para pakar berpendapat bahawa seseorang yang meminta maaf dituntut untuk terlebih dahulu menyelesai perbuatannya, bertekad untuk tidak mengulangi serta memohon maaf sambil mengembalikan hak yang pernah diambilnya itu.
Pada hakikatnya konsep rumah terbuka di Aidilfitri dapat menarik rahmat dan keberkatan yang datang bersama dengan kunjungan para tetamu, jiran tetangga (sekalipun bukan seagama). Inilah masanya untuk kita tunjukan keikhlasan kita sebagai umat Islam yang tolerensi. Kerana mereka juga manusia makhluk kejadian Allah yang berhak untuk menikmati kemudahan hidup. Inikan pula manusia sedangkan pada setiap daun kayu yang hidup itu pun ada pahala. Sabda nabi yang bermaksud: Pada setiap yang kehijauan (basah) ada pahala.
Di negara kita agama menjadi faktor penyatuan kaum iaitu dengan menyederhanakan perasaan taksub dan fanatik agama, perkauman dan budaya serta adat resam melampau bagi sesuatu kaum dan bangsa di negara ini. Perasaan yang melampau tentang perkauman dan agama diredakan oleh semangat tolak ansur, setia kawan, menyambut hari raya melalui rumah terbuka ini dapat menghapuskan rasa taksub yang melulu terhadap adat resam dan budaya sendiri sehingga membenci dan mengutuk budaya kaum lain.
Agama yang kita warisi sebagai agama yang menyatupadukan umat manusia, agama yang menghormati sesama manusia, memuliakan tamu mulai digugat peranannya oleh ketandusan ilmu pengetahuan yang sebenar tentang Islam. Allah berfirman yang bermaksud: Wahai manusia, sesungguhnya kami telah menciptakan kamu dalam keadaan sama, dari satu asal: Adam dan Hawa. Lalu kami kami jadikan dengan keturunan, berbangsa-bangsa dan bersuku-suku, supaya kalian saling mengenal dan saling menolong. Sesungguhnya orang yang paling mulia darjatnya di sisi Allah adalah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Allah sungguh maha mengetahui segala sesuatu dan maha mengenal, yang tiada suatu rahsia pun tersembunyi bagi-Nya. (surah al-Hujurat ayat 13).
Emosi melampau mengenai keunggulan sesuatu kaum, atau dalam istilah sosiologi dikenali sebagai ethnocentrisme banyak membawa kemudaratan dalam hubungan antara kaum dalam masyarakat majmuk. Emosi itu membawa kepada pergaduhan dan konflik antara agama sedangkan Islam mementingkan semangat tolak ansur, yakni tidak menghina agama dan kepercayaan orang lain.
Sebagai agama yang membawa mesej perpaduan antara umat manusia, menghormati sesama manusia dan memuliakan tetamu adalah perkara utama. Tetapi, kehendak tersebut semakin tergugat oleh kerana kejanggalan ilmu yang hanya bersandarkan risikan ilmiah secara terpisah dalam tradisi rasionaliti barat, menyebabkan masyarakat Islam semakin melihat dirinya terlalu berpihak dan berkelompok.
Kita hendaklah menjalinkan silaturahim sekalipun dengan mereka yang berlainan agama kerana mereka juga ada beberapa haknya seperti hak kewarganegaraan, kejiranan dan kekeluargaan. Firman Allah yang bermaksud: tidak boleh ada paksaan dalam (memasuki) agama (kerana) sesungguhnya telah jelas jalan yang benar dari jalan yang salah. (Al-Baqarah 11: 256).
Dalam kehidupan di dunia ini, ada dua unsur yang menentukan. Pertama, nilai-nilai kebaikan, yang pada umumnya menciptakan kebahagiaan, kenikmatan, kerukunan dan lain-lain hal yang bersifat positif. Kedua, nilai-nilai kejahatan yang boleh menimbulkan kerosakan, sengketa dan kehancuran. Seseorang yang mengakui nilai-nilai kebaikan itu dengan hati nuraninya, tentulah akan berusaha sebaik mungkin menerapkan nilai-nilai itu dalam kehidupan.
Melalui silaturahim ini hubungan antara manusia semakin rapat dan tiada kebaikan yang lebih cepat mendapat pahala selain silaturahim dan tiada kejahatan yang lebih cepat mendatangkan azab Allah selain memutuskan silaturahim dan tiada yang dapat mengubah takdir selain doa dan tiada yang dapat menambah umur selain kebaikan menjalinkan hubungan silaturahim. Di sinilah silatulrahim perlu dibudayakan. Seiring dengan kemajuan teknologi silaturrahim boleh dilakukan dengan pelbagai cara seperti melalui sms, surat atau telefon.
Oleh: Alisa Abdul Rahman
Recent Comments