Kita dapat lihat bagaimana berlakunya Konflik Darfur dan pengusiran politik yang berakhir dengan kudeta sejak sekian lama, dari kepimpinan Jaafar al-Numeiri. Omar Hasan al-Basyir, Ahmed Awad ibn Auf, dan Abdel Fattah al-Burhan, yang kini memasuki ke minggu ketiga.
Ia berlaku atas ‘tujuan kuasa’. Hamedti melihat dengan penyerapan 10,000 anggota RSF, ia akan menyebabkan secara perlahan-lahan pengembirian kuasa yang dimilikinya, kuasa tentera akan menjadi lebih kuat dan dominan. Jadi, dalam kerjasama ini, RSF berada di kedudukan yang ‘semakin lemah’, Abdel Fattah berjaya ‘menundukkan’ kekuatan para militia (separa tentera RSF).
Juga berlaku dalam konteks pembentukan kerajaan perpaduan. PAS merasakan parti itu lebih besar disebabkan secara individunya memenangi lebih banyak kerusi berbanding apa yang dimiliki oleh lain-lain parti. Secara bergabung dalam Perikatan Nasional, mereka memiliki 73 kerusi (bertambah 1 satu kerusi selepas menang Parlimen Bagan Serai yang ditangguhkan disebabkan kematian salah seorang calon yang bertanding selepas hari penamaan calon)
Dalam Perikatan Nasional, PAS boleh menjadi ‘parti yang berpengaruh atau dominan’ tetapi dalam kerajaan perpaduan, PAS terpaksa akur dengan penyertaan DAP, UMNO dan juga parti yang lebih kecil seperti Amanah. Amanah adalah ‘musuh PAS’, begitu juga UMNO dengan Bersatu. PAS sejak keluar daripada Pakatan Rakyat bertekad tidak lagi akan bekerjasama dengan mana-mana parti yang bekerjasama dengan DAP.
Namun, UMNO boleh bekerjasama dengan DAP walaupun pernah menganggap parti itu rasis dan menimbulkan banyak rasa tidak senang ‘hati dan perasaan orang Melayu’. Disebabkan kecenderungan ‘mendapat kuasa’, maka UMNO yang pernah mengisytiharkan NO Anwar dan No DAP terpaksa ‘menumpang’ PH, yang mendapat kerusi terbanyak dalam PRU ke-15 (82 kerusi).
Pada pemikiran segelintir pemimpin UMNO, dengan kerjasama tersebut ia bakal memulihkan sedikit sebanyak lanskap politik dan pengaruh parti itu yang pernah dianggap sebagai ‘parti milik orang Melayu terbesar’ dan ‘paling tersusun’ serta mampu memerintah dalam tempoh yang panjang. Legasinya dapat dipertahan dan dikembalikan semula kerana ‘tidak terputus daripada koridor kuasa.”
Bagi sesetengah pemikir politik, rasa optimisme politik yang muncul dalam kepimpinan UMNO sekarang dilihat menyerupai ciri-ciri megalothymania, suatu istilah yang dipinjamkan daripada bentuk budaya politik era Yunani kuno (Firdaus Zainal, Megalothymia: Politik Ketunanan Melayu, Nilai, Negeri Sembilan: Ilham Books, 2022) . Walaupun ia tidak sama dengan malang yang menimpa Sisyphus, yang pernah berkuasa dan akhirnya terlucut kuasa, terpaksa menggalas beban berat iaitu menolak naik batu besar untuk kemuncak.
Sekiranya ia berjaya melakukannya, Sisyphus akan dinobatkan sekali lagi sebagai pemimpin yang berkuasa. Sisyphus tidak berjaya lakukan, sebaliknya mati dihempap batu yang didorongnya ke puncak bukit. (Albert Camus, Mitos Sisyphus, terjemahan Syed Hamid Ali, tanpa tarikh, tanpa tahun dan tanpa tempat, Pipit Press.).
Hal yang sama pernah disinonimkan oleh Rahman Shaari ke atas Anwar Ibrahim selepas bekas TPM itu berusaha untuk mendapatkan jawatan PM selepas disingkirkan oleh Dr Mahathir pada tahun 1998 (Rahman Shaari, Tingkah Politik, Shah Alam, Selangor: Buku Prima- Alaf 21, 2009). Namun, kenyataannya, Anwar berjaya melepasi pelbagai dugaan politiknya, dan dilantik sebagai PM X pada 24 November 2022.
Inilah hakikat politik yang perlu difahami. Keputusan sesebuah pendirian sangat bergantung kepada kuasa yang akan diperolehi. Tentunya, jika tidak ada jawatan Timbalan Perdana Menteri diberikan kepada UMNO, ia akan menjadi seperti kisah Perikatan Nasional yang akhirnya ditarik sokongan dan terpaksa menyerahkan kuasa selepas memimpin selama 17 bulan.
Ia adalah pengajaran yang terpaksa kita pelajari, dan ia cukup berbeza dengan tuntutan agama, yakni Islam. PAS dan UMNO, walaupun masing-masing parti ditunjangi oleh orang Melayu-Islam, kededuanya terus bermusuhan sehingga ada kecenderungan menghukum lawan dengan kenyataan yang cukup sarkastik dan tidak bersandarkan nilai-nilai agama.
Ini dapat dilihat bagaimana PAS mengkafirkan orang UMNO dan menyerang dengan motivasi jihad bahawa ‘darah orang UMNO adalah halal’ manakala jika penyokong PAS ‘mati semasa melawan orang UMNO, maka mati itu adalah mati syahid.’
Untuk mewajarkan tindakan atau dogma politik itu, PAS memberikan sebab-sebabnya yang jelas. Antaranya, kerana UMNO bekerjasama dengan bukan Islam, maka kerjasama itu dianggap ‘kafir’ dan haram.
Selain itu, PAS menyatakan bahawa UMNO menolak Islam, kerana UMNO mengambil perjuangan ‘ketuanan Melayu’ yang bersifat asabiyyah, walhal dalam sejarah Islam, ada kecenderungnan politik untuk tidak menerima mana-mana etnik sebagai pemimpin kecuali orang-orang Quraisy. (Nasihun Amin, Paradigma Teologi Politik Sunni:Melacak Abu Hasan as-Sya’ari (wafat 324H/935M) Sebagai Perintis Pemikiran Politik Islam, Yogyakarta: Pustaka Pelajar, 2015)
Persoalan asabiyyah bukan sahaja menimbulkan kesan buruk, bahkan menurut Ibnu Khaldun ia adalah faktor yang cukup menarik dan berpengaruh dalam pembentukan sesuatu kuasa, negara mahupun kesatuan politik. (Firdaus Zainal, Hegemoni UMNO : Pembangunan dan Keruntuhannya Menurut Teori Kitaran Ibnu Khaldun, Petaling Jaya: SIRD, 2021 dan A Rahman Zainuddin, Kekuasaan dan Negara: Pemikiran Politik Ibnu Khaldun, Jakarta: PT Gramedia Pustaka Utama, 1992).
Namun, hal itu semakin dilupakan dan tidak lagi diterima pada period berikutnya. Empayar Islam selepas pemerintahan Khalfifah ar-Rasyidin terbentuk daripada pelbagai kelompok etnik yang bercampur menerusi perkahwinan. Namun, di antaranya turut muncul dinasti- dinasti yang masih berteraskan etnik dan sebagainya. Antaranya, Dinasti Buhaiwid, Dinasti Seljuk, Dinasti Ayubbiah dan sebagainya.
Hujah PAS cukup ‘liar’. PAS tidak bangga dengan istilah Melayu, tetapi apa yang PAS perjuangkan ialah Islam. Ia menjadi persoalan yang cukup menghina, kerana apa yang ditekankan oleh Islam penyatuan atas nama ummah dan hampir keseluruhan pemimpin dan penyokong PAS adalah keturunan Melayu.
Ia berbeza dengan kemahuan dan perjuangan PAS, yang ditekankan ialah ‘syurga’, walaupun jalan ke syurga itu adalah ‘jalan yang sesat.
Apakah dengan melabel, mengecam dan menghina orang lain itu ‘langkah ke syurga’? Sedangkan Islam meletakkan cukup tegas bahawa seseorang itu akan ‘menghuni syurga’ apabila dia melakukan kebaikan kepada orang lain, selain mengamalkan apa yang diperintah oleh Allah SWT dalam domain ibadat.
Bahkan, dalam Islam berbuat baik kepada orang lain dianggap sebagai bentuk ibadat. Ertinya, jika mencipta musuh, menghina orang lain termasuk dalam kategori ‘larangan’. Apa yang dilarang itu termasuk dalam bakul nahi mungkar. Ia tidak berlaku dalam kalangan pendokong dan penyokong PAS. Mereka yang berseberangan fahaman politik dikategorikan sebagai ‘kafir’, yang berasal dari istilah Arab, kufur (tidak percaya dan beriman kepada Allah SWT dan Rasul-Nya).
Mereka yang tidak sehaluan fahaman politik sebagai ‘musuh’ yang harus dikerjakan secara kasar dan keras. Ia cukup berbeza dengan apa yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW sepanjang perjalanan dakwahnya selama 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah.
Madinah telah muncul sebagai sebuah kota peradaban luhur dari segi amalan budaya, keimanan dan pembentukan masyarakat dan Islam menjadi cara hidup yang sangat cepat berkembang, membentuk peradaban gemilang dan memimpin masyarakat yang sangat luas selama hampir 13 abad lamanya (632M hingga kejatuhan Empayar Uthmaniyyah pada tahun 1923M).
Kalau dikatakan Islam mempunyai kerangka politik mulia, maka bolehlah dibaca apa yang Rasulullah SAW laksanakan sepanjang hayatnya berdakwah secara terang-terangan sebaik sahaja menerima amanah sebagai Nabi dan Rasul. Sayangnya, ramai yang membaca tetapi kurang penghayatan dan meneladaninya.
Ramai yang menjadikan Rasulullah SAW sebagai ‘role model’ tetapi hanya tertumpu kepada satu perkara, yakni untuk menyatakan bahawa Islam tidak menghalang poligami. Ramai yang terlupa, poligami Rasulullah SAW bukan kerana nafsu, tetapi untuk politik iaitu menyelamatkan wanita yang kehilangan suami, tempat bergantung dan rasa tidak selamat. Ini kerana masyarakat ketika itu cukup melihat wanita sebagai ‘objek seks’, bukannya sebagai teman yang dapat membentuk ‘syurga kehidupan’ dan seterusnya ‘mengumpul pahala.’.
Dari segi politik, walaupun Madinah bukanlah merupakan sebuah negara, tetapi Rasulullah SAW berjaya membentuk suatu pembaharuan yang cukup menarik dan berkesan. Rasulullah SAW berjaya menghapuskan taksub kabilah, ketaatan membuta tuli kepada pemimpin, menghapuskan ‘rasa terancam’ dan akhirnya berjaya menyatukan pelbagai etnik, penganut agama dan keyakinan sehingga Madinah muncul sebagai sebuah kota peradaban Islam yang tidak mampu dihadirkan oleh mana-mana peradaban manusia sebelum dan selepas hadirnya Islam.
Saya melihat antara bacaan menarik mengenai ‘kaedah berpolitik’ yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW menurut lensa oleh dua pengarang, iaitu: Sayyid al-Qimmi, Jalan Politik Muhammad: Mewujudkan Daulah Rasul, edisi terjemahan dari Huruh Daulah ar-Rasul oleh Rony Nughroho, Tangerang, Indonesia: PT Pustaka Alvabet, 2021; dan Wadah Khanfar, Musim Bunga Pertama: Biografi Rasulullah SAW Dari Lensa Strategi dan Politik, terjemahan dari versi berbahasa Arab oleh Sulhah Ramli, Lubna Abd Rahman, Amida A Bakar dan Amani Nawi, Kuala Lumpur: Ilham Books, 2022, cukup menarik untuk dijadikan pelan dan kerangka berpolitik, agar tidak tersandung dengan pelbagai bentuk politik yang muncul daripada pertembungan pelbagai aliran pemikiran falsafah dan sekularisme politik.
Saya juga cukup melihat apa yang dibincangkan oleh Nader Hashemi, Islam, Sekularisme dan Demokrasi Liberal (terjemahan Mohamad Basil Hazman Baharom, K.Lumpur: Islamic Renainssance Front Berhad, 2016) dapat membuka minda aktivis politik Islam untuk melihat bagaimana kemungkinan-kemungkinan untuk hidup dalam situasi sekularisme yang semakin kuat mencengkam pemikiran dan tingkah laku politik.
Sebenarnya, sekularisma akan terus hidup dan berkembang dalam pemikiran masyarakat, kerana penubuhan parti politik itu sendiri berasaskan pengembangan sekularisme. Ia seperti bagaimana kita harus belajar untuk terus hidup bersama COVID-19.
Tidak semua hal-hal yang bersifat sekular itu buruk dan menyimpang daripada perspektif Islam walaupun asasnya, kemelut posisi agama dan politik cuba dipisahkan. Secara praktisnya, agama masih tetap berpengaruh dalam pembentukan kerangka negara walaupun ia adalah sebuah negara sekular totok. Ia mampu diharmonisasikan dan diberikan nilai-nilai baharu yang lebih baik.
Berdasarkan kes Turki selepas kejayaan Tayyib Erdogan, kita menyaksikan bahawa negara tersebut berjaya muncul sebagai kuasa politik dan ekonomi yang cukup besar di Timur Tengah dan sebahagian Eropah walaupun secara rasminya masih dipertikaikan haknya untuk menjadi salah sebuah negara dalam Kesatuan Eropah.
Ini dapat dilihat daripada setiap kali berlakunya Pilihanraya Presiden Amerika Syarikat. Selain faktor keturunan, Barrack Hussein Obama turut dikaitkan dengan Islam kerana mempunyai ibu bapa yang beragama Islam, keturunan Afrika (Kenya). Ia menyebabkan pasukan kempen Obama mengeluarkan bukti bahawa calon democrat itu dilahir, dibesarkan di Hawaii oleh neneknya dalam tradisi agama Kristian.
Obama tidak mempunyai kaitan langsung dengan agama ayahnya, walaupun berusaha untuk membuktikan bahawa dirinya tetap ada semangat dan ketulenan nilai-nilai Amerika Syarikat. (Barrack H Obama, Keberanian Menggapai Harapan: Gagasan Meraih Kembali Impian Amerika, terjemahan oleh Panel ITBM, Kuala Lumpur: ITBM, 2009)
Ini tidak bermakna buku-buku lain yang ditulis mengenai ‘kelahiran peradaban Islam’ yang dimulakan di Madinah menerusi ‘bai’ah’ dengan pemimpin-pemimpin kabilah utama sehingga menjadi satu bentuk konstruk sosial tidak menarik. Dua buku tersebut hanya sebagai contoh. Ada beberapa buku lagi yang tidak kurang menarik, dan cukup hebat untuk mendiskripsikan sejarah tersebut.
Antaranya, Zuhairi Misrawi, Madinah: Kota Suci, Piagam Madinah dan Teladan Muhammad SAW, Jakarta: PT Kompas Media Nusantara, 2009; Karen Armstrong, Muhammad Sang Nabi: Sebuah Biografi Kritis, edisi terjemahan dari bahasa Inggeris, Surabaya: Risalah Gusti, 2001; W Montgomery Watt, Muhammad: Melihat Sang Nabi Sebagai Negarawan, edisi terjemahan bahasa Inggeris, Yogyakarta: IRCiSoD –Penerbit Diva Press, 2021; Karen Armstrong, Muhammad: Prophet for Our Times, edisi terjemahan dari bahasa Inggeris, Bandung: PT Mizan Pustaka, 2007; Martin Lings, Muhammad: Kisah
Hidup Nabi Berdasarkan Sumber Klasik, edisi terjemahan dari bahasa Inggeris, Jakarta: PT Serambi Ilmu Semesta, 2005; HMH al-Hamid al-Husaini, Membangun Peradaban: Sejarah Muhammad SAW Sejak Diutus Menjadi Nabi, Bandung: Pustaka Hidayah, 2000; dan M Fethullah Gulen, The Messenger of God Muhammad: An Analysis of the Prophet’s Life, Clifton, New Jersey: Tughra Books, 2015).
Keempat, atas nama dan kepentingan politik, prinsip boleh ditangguhkan kerana ‘kuasa’ itu lebih utama daripada mempertahankan akidah dan agama. Konflik Darfour menceritakan pengalaman sedemikian. Begitu juga apabila al-Basyir yang pada awalnya cukup terpengaruh dengan Dr Hasan al-Turabi, tetapi akhirnya disingkirkan kerana takut kedudukan politik dan kuasanya terancam, dipengaruhi oleh idealisme politik Ikhwanul Muslimin.
Pada permulaannya, diperkenalkan pemerintahan berteraskan syariah, tetapi selepas melihat kemungkinan-kemungkinan lain, al-Basyir memenjarakan Hasan al-Turabi dan menjauhkan diri dengan Ikhwanul Muslimin. Akhirnya, al-Basyir meminda perlembagaan Sudan yang dilihat semakin tidak mendekati prinsip pemerintahan dalam perspektif syariah. Beliau kemudiannya terbabit dengan salah guna kuasa dan rasuah.
Ini bermakna, dalam politik, seseorang yang dilihat berpengaruh akan disingkirkan dengan apa cara sekalipun sekiranya ia dilihat boleh mengancam kedudukan pucuk pimpinan. PAS tidak terkecuali daripada kegalauan politik sedemikian apabila Presiden PAS mula merasakan kedudukannya terancam ekoran tindakan Pesuruhjaya PAS Selangor dalam kerajaan Pakatan Rakyat.
Dr Hasan menolak kecenderungan tertentu dan mahukan tidak ada arak dijual di mana-mana kedai runcit atau serbaneka. Disebabkan PAS merupakan sebahagian Pakatan Rakyat, PAS melihat tindakan yang diambil oleh Hasan Ali itu sebagai ‘penghalang kerjasama politik atau dikenali sebagai tahaluf siyasi’.
(BERSAMBUNG)
KAMARUN KH
Recent Comments