[ULASAN BUKU: Firdaus Zainal, Megalothymia Politik Ketuanan Melayu: Perjuangan Orang Melayu Mencari Ketuanan di Bumi Melayu, Nilai, Negeri Sembilan: Ilham Books, 2023, 364 halaman (termasuk senarai rujukan) dan xvi (16) halaman dua “Kata Pengantar”
Firdaus Zainal, lulusan Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan (B Soc, Science USM) pernah berkhidmat sebagai staf Cawangan Khas, Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (lapan tahun), Eksekutif Kanan di sebuah syarikat swasta, (penyelidikan dan analisis politik semasa) dan kiini, sebagai Pengurus Penerbitan dan penulis di Bibliotheca (Penerbit Biblio), di Petaling Jaya, Selangor.
Antara buku-buku yang telah dihasilkan ialah Gadafi: Fakta di Sebalik Pembunuhan (2020); Al-Quran dan Manusia Melawan (2020); Cahaya Muhammad: Kisah Mukjizat Manusia Termulia (2020); Coronavirus: Pandemik dan Senjata Bio (2020); Sisi Gelap Media Sosial (bersama Hanim Anuar, 2021); Muhammad Bukan Pendusta: Membongkar Fitnah dan Pembohongan Atas Nama Nabi Muhammad SAW (bersama Hanim Anuar, 2020); LBGT: Orientasi Seksual Terlaknat (2020), Siri Ana Solehah; dan Hegemoni UMNO: Pembangunan dan Keruntuhannya Menurut Teori Kitaran Ibnu Khaldun (2021)
Pada catatan ‘Biodata Penulis’ dalam Hegemoni UMNO, hasratnya dalam bidang penulisan yang ditekuninya sejak dibangku sekolah ialah “menjadikan Islam kembali kepada keagungan ilmu seperti yang pernah dikecapi di era Abbasiyah” dengan resmi akal budi, “tunduk berisi dengan ilmu dan membebaskan ilmu menjadi jariah yang berpanjangan untuk bertemu dengan Yang Maha Pencipta Kelak”. In sha Allah, segalanya akan dipermudahkan dan diberikan hidayah-Nya
Saya memberikan komen, pendapat dan ulasan mengenai buku ini dalam enam rencana: (I) lahirnya konsep atau slogan Ketuanan Melayu; (II) memahami makna megalothymia; (III) eksploiasi dan manipulasi Ketuanan Melayu; (IV) kemelut politik dalam mitos Ketuanan Melayu; (V) Dilema Ketuanan Melayu ; dan (VI) Politik bukan slogan atau silogism.
*********
Apa pun yang ditafsirkan mengenai Ketuanan Melayu, pada masa ini ia sudah mengalami kemerosotan semangat dan nilai, yang tinggal hanyalah sendu. Sendu, adalah ‘sedih dan pilu’. Sendu terjadi selepas seseorang itu menangis. Menangis terlalu lama akibat rasa kehilangan atau kecewa selepas dipermainkan oleh seseorang, hatinya cukup kecewa dan sukar untuk melupakannya. Ya! Aminudin Baki pernah menangis, agar ayam direban tidak mati kehausan dan itik diair tidak mati kehausan. Begitu juga Dr Zulkifli Mohamad, Burhanudin Helmy, juga almarhum Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak.
Sendu juga berlaku dalam proses politik, sebagaimana Orang Melayu tersendu dengan naratif perjuangan politik UMNO, semakin sehari semakin hilang daya sentuhan ketuanan Melayu. Ketuanan Melayu hanyalah sebagai alat untuk meraih kedudukan peribadi dan pengekalan kuasa. Hal itu disedari oleh Orang Melayu, termasuk ahli UMNO yang dianggarkan melebihi 3.3 juta, akhirnya ahli UMNO sendiri tidak memilih UMNO sebagai pilihan mereka semasa PRU.
Ini dapat dilihat dengan jelas pada PRU ke-10 (1999), PRU ke-12 (2008), PRU ke-13 (2013) dan PRU ke-14 (2018). Paling mendukacitakan ialah pada PRU ke-15 (2022).
Hanya pada PRU ke-11 (2004) ia menunjukkan perubahan arus balik, UMNO kembali dipercayai kerana imej pemimpinnya yang dilihat bersih dan berwibawa. Namun, imej itu tidak kekal lama, pada PRU ke-12, pencapaian UMNO/BN menunjukkan kemerosotan yang ketara, yakni dari 198 kerusi kepada 140 kerusi. Ia kemudiannya memaksa Tun Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan (2009).
FENOMENA KATAK
Namun Najib yang mengambil alih pentadbiran kepimpinan negara dan parti juga tidak mampu membaiki kemerosotan pengaruh UMNO, bahkan ia tidak mampu mempertahankan apa yang diterimanya daripada Tun Abdullah. Pada PRU ke-13, BN hilang 7 kerusi (133 kerusi), PRU ke-14 hilang lagi 54 kerusi (79 kerusi) sehingga menyebabkan UMNO/BN hilang kuasa buat pertama kalinya dalam sejarah Malaysia merdeka. Daripada 79 kerusi, hilang lagi sehingga kekal dengan 37 kerusi (UMNO 34, MCA 2 dan MIC 1). Tiga kerusi UMNO kosong disebabkan kematian penyandang dan PRK ditangguhkan akibat pandemic COVID-19.
Selepas PRU ke-14, muncul fenomena ‘katak’ seolah-olah exodus yang memberikan tamparan hebat kepada UMNO. BN menjadi parti kerdil walaupun pada akhirnya diberikan kepercayaan menerajui politik negara selepas Perikatan Nasional tumbang. Ini membuktikan bahawa perjuangan Ketuanan Melayu yang dicanangkan oleh UMNO sudah dilihat oleh rakyat bukan untuk kepentingan orang Melayu, tetapi untuk kepentingan warlord yang menguasai politik UMNO.
PRU ke-15 (2022), situasi politik menjadi lebih kronik apabila kesemua parti-parti yang bertanding (sebagai gabungan) tidak mampu membentuk kerajaan, tiada satu pun gabungan yang melepasi majoriti mudah (112 kerusi). UMNO/BN hanya mampu meraih 30 kerusi, dengan UMNO sebanyak 26 kerusi. Ia merupakan pencapaian terburuk UMNO sejak penubuhannya (1946).
Ramai yang melihat kedudukan UMNO itu cukup tenat dan sukar untuk kembali berpengaruh sebagaimana pernah dizahirkan oleh para pemimpinnya untuk mencontohi keupayaan LDP (Parti Liberal Demokratik) Jepun, bangkit semula setelah tersungkur. Sebabnya ialah kerana UMNO enggan melaksanakan proses pembersihan hegemoni kuasa warlord dan buang ‘buah yang busuk’.
Apa yang lebih mendukacitakan ialah berlakunya pencantasan dan pengembirian pemimpin- pemimpin UMNO yang tidak sehaluan dengan warlord yang berkuasa dalam parti. Fenomena ini menyebabkan UMNO hilang kuasa di Perlis dan tewas di Pahang. BN kembali berkuasa di Pahang hanya kerana adanya persetujuan dengan PH.
Tiga gabungan utama – PH, PN dan PN – tidak melepasi majoriti mudah. PH menguasai 82 kerusi, PN sebanyak 74 kerusi dan BN sekadar 30 kerusi. Dalam keadaan ‘parlimen tergantung’ maka disyorkan dibentuk sebuah kerajaan yang kuat dan stabil, dengan gabungan yang lebih besar dan tanpa pembangkang. Hal ini tidak dipersetujui oleh PN dengan alasan, gabungan itu sudah mempunyai dan melepasi majoriti mudah menerusi pungutan SD (Akuan Bersumpah), khabarnya sejumlah 115 sokongan.
Bagaimanapun, pencapaian sebenar PN ketika itu ialah 73 kerusi Dewan Rakyat, bererti lebih kecil berbanding PH (82). Atas kapasiti tersebut, dicadangkan Presiden PH menerajui perbincangan pembentukan kerajaan perpaduan. PN tidak bersetuju dan membuat keputusan kekal sebagai pembangkang. PN berkeras bahawa gabungan itu ada sokongan yang mencukupi walhal SD tidak lagi boleh dijadikan asas selepas berkuatkuaanya Akta Antilompat Parti yang diluluskan sebelum Dewan Rakyat dibubarkan.
Ini bermakna, PN masih bermimpi di siang hari. PN masih mengingati bagaimana gerombolan mereka telah berjaya menumbangkan PH dengan Langkah Sheraton. Akibat terasa malu dengan ‘mimpi di siang hari’ itu, PN mula melancarkan serangan untuk menjatuhkan kerajaan perpaduan, namun hingga kini belum menunjukkan ada petunjuk akan berjaya.
TIADA KEBERANIAN
Akhirnya, PM X memberikan cabaran baharu kepada PN, jika benar kerajaan perpaduan tidak mempunyai sokongan majoriti, PN wajar mengemukakan usul undi percaya atau undi tidak percaya di Dewan Rakyat. Nampaknya, cabaran tersebut tidak cukup membawa PN mencabar kerajaan perpaduan. PN sebenarnya tidak ada keberanian sebagai ‘anak jantan’ tetapi nampak cukup berani bila berada di luar gelanggang.
PN tidak ada keberanian kerana PN tahu cabarannya, dapat ditewaskan dengan mudah. Jika cabaran itu berlaku sebelum enam PRN diadakan, ia akan mempengaruhi pula keputusannya nanti. Inilah sesuatu yang amat ditakuti oleh PN, yang boleh mematikan Gelombang Hijau. Gelombang Hijau dilihat sebagai suatu bentuk kebangkitan pengundi untuk mempercayai gabungan PAS dan Bersatu, walaupun diketahui penyertaan Gerakan tidak menyumbang kepada perubahan sokongan bukan Melayu kepada Perikatan Nasional.
Perlu diingat, PN juga memerlukan sokongan bukan Melayu, tetapi apabila PN berusaha mengambil slogan Ketuanan Melayu, ia bakal memberikan kesan besar mengenai sokongan bukan Melayu walaupun PAS mempunyai sayap DHPP (Dewan Himpunan Pendukung PAS). PAS sudah dilihat bukan lagi PAS for All, ekoran kenyataan Presidennya, hanya PN memperjuang dan mempertahankan Islam, sebabnya, semua penyandang kerusi (wakil rakyat) adalah Melayu-Islam.
DHPP akan dilihat sebagai ‘kuda trojan’ PAS, dan ia tidak akan mendapat sokongan pengundi bukan Melayu terutama di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan. Mungkin ia boleh membantu di Kedah, Kelantan dan Terengganu, yang pengundi bukan Melayu adalah sangat kecil. Perlu diingat dalam situsi pengundi bukan Melayu yang kecil, tidak muncul sentiment marahkan ‘Ketuanan Melayu’. Ia berbeza bila sesuatu kawasan itu bukan Melayu menjadi ‘faktor penentu –deciding factor’, Ketuanan Melayu cukup sensitif dan kadangkala dilihat sebagai faktor yang mengancam bukan Melayu.
Kita mungkin teringat dengan gelagat Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Hishamudin Tun Hussein yang mencium keris Panca Warisan. Aksi itu ditafsirkan ‘untuk menyerang bukan Melayu’ walhal apa yang ingin ditonjolkan ialah bagaimana UMNO akan kekal dengan perjuangan Ketuanan Melayu, kerana keris itu simbol sifat juang orang Melayu. Atas ‘keluhuran budi’ (maksudnya kelonglaian semangat) akhirnya Hishamudin memohon maaf kerana ‘telah menakut-nakutkan bukan Melayu” dan kepada orang Melayu “kerana gagal mempertahankan simbol warisan Melayu’. (Malaysiakini, 25 April 2008)
Nada menyesal itu ditunjukkan menerusi pelbagai bentuk propaganda dan anarkisme untuk menjatuhkan kerajaan perpaduan, dengan bahasa politik yang kasar, jengkel dan sarkastik. Hingga kini, gabungan Perikatan Nasional masih belum berjaya dan berusaha mengambil makna ‘Ketuanan Melayu’ untuk dijadikan bahan kempen bagi mengahadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung sekitar bulan Ogos 2023 nanti.
Ada beberapa kenyataan bahawa DUN bagi enam buah negeri – Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan dan Selangor – akan dibubarkan menjelang akhir Jun 2023. Apakah Ketuanan Melayu akan menjadi penentu atau sebaliknya kepada Perikatan Nasional? Bagi rakyat Malaysia, jika PAS menggunakan Ketuanan Melayu sebagai bahan kempen, ia membuktikan bahawa parti itu juga adalah sebuah parti sekular kerana asas itulah yang digunakan oleh PAS untuk menolak UMNO.
Boomerang! Sekarang dikatakan sedang bergeser dengan Bersatu, kerana Bersatu tidak menjadi aktivis utama Proklamasi Melayu. Hanya Dr Mahathir dan PAS terkedepan. Sedangkan ramai yang tahu, Bersatu totok diasaskan atas slogan Ketuanan Melayu.
UMNO menggunakan nasionalisme Melayu sejak penubuhannnya. Nasionalisme Melayu dilihat sebagai sesuatu yang bersifat asabiyah, maka PAS menolaknya sehingga mencampakkan UMNO dalam ketegori “kafir” kerana ‘membuang Islam’.
Saya petik semula apa yang pernah ditulis oleh Presiden PAS, bahawa “pendekatan bertemu, berdialog dan terkini bertaawun dalam perkara kebajikan adalah cara yang perlu diperkenalkan. Demi mesej Islam yang bukan sahaja dalam aspek dakwah mengajak kepada Islam tanpa paksaan, Islam juga menjalin hubungan kemanusiaan yang menjadi peranan konsep bermasyarakat Madani yang menjadi tujuan diciptakan manusia. Maka, kewujudan masyarakat majmuk ini dlihat dari aspek positifnya dengan mengambil kira titik persamaan yang membolehkan kita bertaawun (bertolong-menolong) dan bertahaluf (bersefahaman) tanpa tegang dalam pertelingkahan.” (dalam Abdul Hadi Haji Awang, Islam Memimpin, Kuala Lumpur: Pejabat Presiden PAS, 2019, hal.59).
Bandingkan apa yang ditulisnya dalam Minda Presiden,: Kaum Melayu Islam berpecah kerana masalah furu’ (cabang), atau perbezaan fahaman politik atau tidak mengundi kerana benci akan politik atau menganggap bahawa politik itu tidak penting.
“Sedangkan golongan bukan Islam pula tetap bersatu demi bangsa masing-masing tanpa mengira fahaman politik yang sedang berlaku sekarang. Maka parti kaumnya menang tanpa Islam, sehingga dapat mengalahkan Melayu yang berpecah kaumnya dan menyokong sesiapa sahaja.
“Oleh sebab itu, kuasa politik Melayu boleh hilang kerana perpecahannya sehingga jatuh ke tangan bukan Melayu dan bukan Islam dalam pilihan raya sahaja. Maka, bangsa Melayu menjadi seksa yang hina dalam hidup dunia dan mereka sangat berdosa apabila menghilangkan politik Islam.
“Kita pernah mengalami penyeksaan sewaktu zaman penjajahan dalam keadaan raja-raja berpecah belah dan berperang saudara. Walaupun selepas itu raja dikekalkan oleh penjajah, tetapi tanpa kuasa politik dinobatkan maka mereka hanya menjadi ketua agama yang dipisahkan politiknya, keadaan agama tidak mempunyai pelindung pelaksanaan Islam.
“Raja ketika itu laksana tunggul mati apabila hilangnya kuasa politik kaumnya yang beragama Islam dan dijadikan perisai manusia oleh kalangan penjajah bagi menghapuskan pejuang-pejuang kemerdekaan yang menentang penjajah,” (“Peranan Kaum Menegakkan Islam’, Harakah, 4 Mei 2023). Soalnya, apakah PAS akan mengembalikan kuasa raja seperti sebelum penjajahan – kuasa mutlak- sekiranya mereka menang?
Ironinya, PAS yang menolak asabiyah akhirnya mengambil sikap dan semangat orang Melayu untuk mempertahankan kelangsungan politiknya, dengan melihat semula kepada sejarah apa yang berlaku pada zaman penjajahan. PAS sedar, kekuatan politik Melayu-Islam akan hadir sekiranya Melayu-Islam bersatu, tetapi sayangnya punca perpecahan politik Melayu Islam adalah disebabkan oleh aktivisi PAS sendiri. PAS yang berasal daripada sayap UMNO mula berpecah (1951) daripada induk politik Melayu setelah cukup terpengaruh dengan idealisme politik Islam yang muncul daripada Timur Tengah selepas jatuhnya Empayar Uthmaniyyah.
Sikap agresif pemimpin PAS itu disifatkan oleh Tunku Abdul Rahman sebagai ‘bahaya dari gunung’. PAS kemudian membalasnya dengan mengkafirkan UMNO dan penyokong UMNO sejak tahun 1964. Kemudiannya, naratif itu diperkuatkan dengan Amanat Haji Hadi pada tahun 1981, yang hingga kini tidak ditarik balik walaupun ia menyumbang kepada terbelahnya politik Melayu Islam.
Label yang paling teruk diungkapkan ialah ‘UMNO membuang Islam’ dan mengambil “nasionalisme Melayu” sebagai asabiyyah. Kini, PAS kembali kepada keperluan asabiyah untuk meraih kuasa, atau sekurang-kurangnya melengkapkan Gelombang Hijau bagi mengekalkan kuasa politiknya di Kedah, Terengganu dan Kelantan selain mencabar sokongan pengundi Melayu di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang. Ini kerana PAS cukup takut dengan gandingan PH-BN, walaupun di Kelantan, Terengganu dan Kedah, kekuatan BN, khususnya UMNO cukup tidak bermaya.
Apakah kali ini PAS ‘tidak membuang Islam’ bila mengambil ‘Ketuanan Melayu” yangasabiyyah itu?
GENETIK MELAYU
Orang Melayu sebenarnya sudah terlalu lama kecewa dengan pemimpin Melayu sendiri kerana tidak lagi melihat Ketuanan Melayu itu sebagai legasi sebuah negara yang lahir dan berkembang dari rahim dan genetik Melayu. Ketuanan Melayu hanya permainan politik, retorik yang sengaja diada-adakan bagi meraih sokongan Orang Melayu. Ia sebagai strategi menakut-nakutkan Orang Melayu. Tidak hairanlah ada segelintir Orang Melayu yang melihat slogan itu sebagai mitos, atau sekadar menyedarkan kata-kata yang pernah dilafazkan oleh Hang Tuah, Takkan Melayu Hilang Di dunia. Dunia mana? Dunia apa? (Ismail Boor dan Muhammad Azaham, Takkan Melayu Hilang di Dunia, P/Jaya: Pelanduk Publications, 2000)
Beberapa hari lalu kedengaran ada cerita dicungkilkan semula mengenai Ketuanan Melayu selepas termeterainya Proklamasi Orang Melayu (POM) yang dicetuskan idea oleh mantan PM ke-4 dan ke-7, Dr Mahathir Mohamed. Kenapa idea itu muncul?
Sebelumnya, Presiden PAS mendakwa bahawa hanya Perikatan Nasional yang mampu mempertahankan ‘Ketuanan Melayu’ disebabkan kesemua wakil rakyatnya adalah Melayu- Islam.
Dr Mahathir mendapat peluang yang dilihat menarik untuk dieksploitasi dalam keadaan tiada mana-mana parti yang mampu membentuk kerajaan tanpa terlebih dahulu bersetuju membentuk kerajaan campuran selepas PRU.
Ia berbeza dengan situasi sebelumnya, parti-parti membentuk kerjasama lebih awal, mereka bersaing dan seterusnya meraih kemenangan sebelum PRU diadakan. Ia menjadi sesuatu yang cukup berbeza dalam lanskap politik Malaysia, yang sejarahnya boleh dilihat selepas jatuhnya kepimpinan PH pada 24 Februari 2020.
(BERSAMBUNG)
KAMARUN KH
Recent Comments