Indonesia sedang pertimbangkan untuk tidak mengeksport gas, khususnya LPG ke atas negara jiran yang mengecamnya akibat gagal mengatasi krisis udara, atau pencemaran alam sekitar/ kesan daripada aktiviti pembakaran hutan di Kalimantan dan Sumatera.
Krisis “jerebu rentas sempadan” bukanlah krisis hanya berlaku pada tahun ini. Ia sudah berlaku tanpa kecuali setiap tahun sejak Indonesia memulakan industri kelapa sawit sejak tahun 1980-an. Ketika ini, Indonesia telah mengatasi Malaysia dalam pengeluaran minyak kelapa sawit menerusi peluasan kawasan penanaman dan peningkatan hasil yang dipanggil minyak nabati itu.
Pertengahan 1990-an, Malaysia pernah menubuhkan satu pasukan “berjaga malam” untuk memantau Indeks Pencemaran Udara (IPU) akibat eksport asap daripada aktiviti pembukaan kawasan baharu untuk penanaman kelapa sawit. Saya pernah bertugas dalam pasukan tersebut sekitar tahun 1997/98. Malaysia ketika itu sedang giat mempersiapkan diri untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel, atau singkatnya SUKOM.
Akibat jerebu yang berterusan, pakatan negara-negara ASEAN akhirnya membuat ketetapan mendesak Indonesia supaya lebih cepat bertindak untuk mengurangkan aktiviti pembakaran hutan, dan nampaknya aktiviti tersebut terus berlaku tanpa kecuali terutama sekitar bulan Ogos hingga Oktober setiap tahun.
Tahun ini, jerebu telah sampai ke peringkat yang cukup merisaukan beberapa negara yang berjiran dengan Indonesia. Singapura mengambil tindakan menghantar surat kepada Indonesia dan bercadang untuk memfailkan tindakan undang-undang. Malaysia, yang ikut terkena asap yang tidak menyihatkan itu, belum bercadang untuk melakukan tindakan yang sama. Sebaliknya lebih bersedia menggunakan saluran diplomatik, termasuk menawarkan pasukan dan peralatan untuk membantu memadamkan kebakaran. Indonesia menunjukkan tanda-tanda bersetuju walaupun bantuan yang diperlukan belum diperincikan secara jelas.
Polemik turut berlaku dalam kalangan pengguna media sosial atau warga maya. Ada yang mencadangkan agar beberapa produk jenama Indonesia diboikot dan ada yang mengecam beberapa tindakan pihak berkuasa Indonesia yang dilihat tidak cukup keras dalam menangani masalah jerebu itu.
Langit berkabus, dan di dalam kabus itu terampai beberapa partikel yang boleh menyebabkan sesak nafas. Sekolah-sekolah ditutup manakala mereka yang rentan sesak nafas terus meningkat. Sindir Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, walaupun Malaysia dan Indonesia mempunyai bendera yang berbeza, dampak jerebu ke atas kehidupan adalah sama, memberikan kesan negatif kepada kesihatan.
Setelah isu boikot bermula, warga net Indonesia turut membalas dengan reaksi untuk memboikot rangkaian pasaran DIY (Do It Yourself) yang dimiliki oleh rakyat Malaysia. Seorang artis Indonesia ikut bersuara, dengan mengatakan bahawa Malaysia sebenarnya tidak wujud tanpa Indonesia.
Kenyataan tersebut mencetuskan “perbalahan besar” warga net sehingga Boy Hamzah diingatkan agar melihat kepada sejarah dua negara yang asalnya berada dalam kesatuan Alam Melayu.
Rakyat Malaysia membalas Boy Hamzah, biarpun Indonesia memiliki rakyat yang ramai, yakni lapan kali ganda daripada rakyat Malaysia, kuasa beli (purchasing power) rakyat Malaysia adalah 2.7 kali ganda lebih tinggi daripada rakyat Indonesia.
Ini bermakna, jika rakyat Malaysia memboikot produk Indonesia, yang lebih terjejas ialah ekonomi Indonesia sendiri. Ia akan menambahkan lagi beban pemerintah setelah nilai rupiah merudum dan bursa saham Indonesia kehilangan pelabur.
Khabarnya, Bursa Saham Indonesia akan ditolak ke kategori “stand alone”, yakni lagi dapat dikaitkan dengan seluruh pasaran saham antarabangsa. Ini akan menjadi Bursa Saham Indonesia tidak menjadi buruan pelabur asing, hanya tertumpu kepada pelaburan lokal (tempatan).
Keadaan ini akan menyebabkan lebih ramai orang kaya Indonesia akan melihat pasaran saham luar negara, termasuk Malaysia dan Indonesia. Ia akan menambahkan lagi situasi cemas di mana sebahagian besar orang kaya Indonesia sudah menjadikan Singapura sebagai “pusat mencetak duit” sedangkan usaha atau aktiviti mereka tetap berlaku di Indonesia.
Bekas menteri Indonesia mendedahkan situasi itu, termasuklah mereka yang meraih kekayaan daripada industri kelapa sawit. Sebab itulah bekas menteri itu turut menyindir Singapura, agar mengambil tindakan terhadap syarikat-syarikat Indonesia yang berpangkalan di Singapura, yang disebut melakukan aktiviti pembakaran hutan untuk memperluaskan ladang kelapa sawit.
Singapura tidak akan mengambil tindakan itu, sebaliknya, Indonesia wajar melakukan tindakan kerana kejadian pembakaran hutan berlaku di wilayahnya. Ia tidak melibatkan wilayah Singapura, biarpun dikatakan, ada syarikat Singapura terbabit. Singapura akan menggunakan undang-undang jerebu rentas sempadan.
Berdasarkan data, Singapura mengimport gas asli (LNG) daripada Indonesia pada tahun 2024 bernilai USD$1.72 bilion manakala Malaysia hanyalah sekitar USD$33.3 juta. Ini bermakna, daripada sejumlah USD$2.19 bilion import LNG, ia hanyalah sekitar 1.5 peratus sahaja.
Tahun 2025, sejumlah USD$1.46 bilion nilai import LNG Malaysia, USD$1.40 adalah datang daripada Australia. Jadi, Indonesia bukan pembekal utama LNG kepada Malaysia. Itulah perbezaannya dengan Singapura, bahkan saluran paip gas antara kedua negara tidak akan beroperasi dalam kapasiti penuh.
Akibat marah, Indonesia sudah membuat keputusan eksport gasnya ke Singapura akan dikurangkan 31 BBTUD, iaitu 15 BBTUD dari Pulau Natuna dan 16 BBTUD sehari daripada Sumatera. Eksport gas ke Singapura kepada adalah melalui saluran paip. Sebagai reaksinya, Singapura dikatakan bakal memperbanyakkan sumber gas melalui kaedah biometana, yakni menggunakan bahan buangan (penguraian bahan organik).
Singapura awalnya bercadang untuk memperluaskan penggunaan biometana bagi menggantikan gas fosil sepenuhnya pada tahun 2028. Ini bermakna, untuk sementara waktu, Singapura akan mencari negara pengeluar gas fosil bagi menampung keperluan hariannya, bagi menjana tenaga elektrik dan sektor perkilangan.
Malaysia tidak termasuk negara yang akan dikenakan tindakan “larangan eksport gas asli” oleh Indonesia, yang awalnya dipersepsikan oleh warga net sebagai tindakan menghukum agar lebih banyak dapur tidak berasap. Sebenarnya, gas yang digunakan untuk memasak bukanlah gas cecair asli (LPG), ia adalah sisa-sisa gas yang terhasil daripada proses penapisan minyak. Kilang penapis minyak merupakan pengeluar gas untuk memasak, bahkan dalam beberapa perkara berkaitan, Malaysia turut membekalkan sebahagian keperluan gas memasak kepada Indonesia.
Malaysia turut mengimport gas asli daripada Indonesia, tetapi jumlahnya tidaklah begitu besar. Jika Indonesia turut melarang eksport gas asli ke Malaysia, ia tidak akan menjejaskan bekalannya. Setakat ini, Indonesia tidak memasukkan Malaysia sebagai negara larangan eksport, mungkin kerana Indonesia sedar ia tidak memberikan kesan yang cukup besar berbanding Singapura. Ertinya, sentimen warganet Indonesia yang mahukan “industri lumpuh” sebenarnya tidak ketahui bahawa Malaysia tidak bergantung kepada LPG negaranya.
Beberapa hari sebelum isu tersebut menjadi kontroversi, ada rakyat Indonesia sedang merancang untuk boikot bekerja di Malaysia. Mereka bersedia memilih Singapura, Brunei ataupun negara lain. Apabila keadaan pasaran saham dan nilai rupiah semakin merudum, rancangan itu dilaporkan dibatalkan.
Menurut perkiraan Indonesia, dengan mengurangkan eksport gas asli ke Singapura, ia dapat digunakan untuk membangun industri tempatan dan mampu melonjakkan jumlah peluang pekerjaan. Sayangnya, Indonesia yang mempunyai kekayaan sumber asli terus kekal sebagai sebuah negara Asia Tenggara yang paling ramai golongan muda menganggur.
Ribuan orang setiap tahun berusaha untuk mencari pekerjaan di luar negara. Pekerjaan di Indonesia bukan sahaja sukar, malah gaji dan syarat yang ditetapkan adalah lebih sukar dipenuhi oleh sebahagian besar warganegaranya, atas sebab taraf pendidikan dan karenah birokrasi. Dalam media sosial kita seringkali didedahkan dengan “rasa gembira” rakyat Indonesia bekerja di Malaysia, dan selepas beberapa tahun bekerja, mampu membeli tanah, membina rumah kediaman dan mengusahakan pelbagai aktiviti perniagaan.
Ia mendorong lebih ramai rakyatnya untuk memasuki Malaysia biarpun bertarung dengan pelbagai kemungkinan: bencana dalam perjalanan (ombak besar), ditangkap memasuki sempadan melalui jalan tikus, dan hidup sebagai pendatang tanpa izin. Bahkan, warga Indonesia yang berada di Malaysia ramai yang tidak berhasrat pulang ke negara asal mereka, kata mereka: tiada kerja dan harga barangan mahal.
Sejujurnya, pada ketika ini ramai yang membuat kesimpulan, apa yang berlaku dan sedang dimainkan oleh warganet Indonesia terhadap pemerintahnya adalah “pakej menyalahkan orang lain”. Mereka tidak mahu mendengar, bahkan tidak bersedia memohon maaf di atas kesilapan. Ia berbeza dengan apa yang pernah dilakukan oleh Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) ketika berhadapan isu yang sama. SBY secara terbuka memohon maaf (2013) di atas masalah yang terjadi kepada negara tetangga yang sama-sama lemas dalam kabut asap (jerebu).
KAMARUN KH
Recent Comments