PAS setakat ini sudah menang dalam banyak acara: menguasai empat negeri Melayu, tetapi satu sudah jatuh ke tangan sekutu; menerajui PN, sehingga Bersatu berada dalam situasi tak keruan; dan kini, memenangi piala Ketua Pembangkang setelah Hamzah Zainudin terpaksa akur dirinya sudah tidak berparti.

Dari segi kuantiti, PAS mempunyai kerusi terbanyak di peringkat Parlimen dan juga DUN sehingga kedudukannya dianggap cukup dominan berbanding parti-parti lain. Pencabar terdekatnya di peringkat Parlimen ialah DAP, bekas sekutunya dalam Pakatan Rakyat. PAS kekal memiliki 43 kerusi manakala DAP dengan 40.

UMNO yang pernah mendominasi politik Malaysia selama enam dekad hilang keyakinan orang Melayu atas perilaku ahli politiknya sendiri. UMNO pernah berpecah besar pada tahun 1988, tetapi mampu berkuasa kerana perpecahan dalaman itu tidak membawa kepada kehilangan kuasa. UMNO kekal dengan majoriti yang kukuh. Pada tahun 1998, UMNO sekali lagi dilanda musibah, tetapi UMNO masih dilihat gagah dan kuat kerana perpaduan parti-parti pembangkang masih lemah.

UMNO mula merosot pada tahun 2008, apabila parti-parti pembangkang bersatu hati dan harapan untuk menumbangkan BN. Walaupun gabungan parti pembangkang berjaya mencuri hati pengundi dan berjaya menafikan kuasa dua pertiga, Pakatan Rakyat gagal menukarkan kerajaan pusat. Pakatan Rakyat hanya mampu menjatuhkan UMNO/BN di Perak, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang. Perak tidak kekal lama kerana ada masalah sokongan wakil rakyat setelah sebelas bulan berkuasa.

Tahun 2018 menjadi kemuncak kejatuhan UMNO/BN bila mana visi menumbangkan Najib dan UMNO/BN berjaya dilakukan oleh gabungan baharu Pakatan Harapan (PH). PH tidak kekal lama, akhirnya tumbang dengan Langkah Sheraton. Kemudian, ia membentuk satu lagi pola politik baharu di Malaysia, iaitu sebuah pakatan politik selepas pilihan raya. Ini bermakna, politik Malaysia sudah memasuki tahap politik membentuk kerjasama selepas tidak ada satu pun gabungan atau parti politik yang melepasi majoriti mudah.

Perkembangan itu membuka satu lagi kesepakatan politik yang longgar, hanya berdasarkan keupayaan menarik parti lain untuk bersama. Ia dimulai dengan PN, dan kemudian dibentuk pula kerjasama antara parti pada tahun 2022. Kerajaan campuran menjadi kerangka politik Malaysia, namun, apakah pada PRU ke-16 kerangka politik itu akan berubah sekali lagi, yakni kembali ke bentuk asalnya?. Kerjasama parti politik sebelum pilihan raya.

Ada pendapat mengatakan bahawa UMNO/BN bersedia hadapi pilihan raya bersama-sama, sebagaimana berlaku dalam pembentukan kerajaan campuran yang disebut sebagai kerajaan madani. Ada satu lagi desas-desus, UMNO/BN akan bergerak solo, kerana UMNO/BN merasakan kekuatannya boleh menempa kejayaan besar.

Mungkin jika berlaku PRN Johor, ia akan membuka ke arah itu. Arah itu akan “dilihat” sebagai gelombang kebangkitan semula atau sebaliknya. Namun gelombang tersebut bukan sesuatu yang muktamad, kerana sentimen politik cukup mudah berubah arah. Tetapi ini bukan mudah. PKR juga mengumumkan akan bertanding di semua kerusi DUN, dan akan menjadi saingan yang cukup besar. Sebelumnya, UMNO/BN membuat keputusan untuk tidak berkongsi kerusi dengan mana-mana gabungan. PN belum membuat keputusan untuk berbuat sama.

Sebenarnya, pola itu sudah pun berlaku pada PRU 15. Ia berasaskan kepada petunjuk yang belum jelas walaupun menang besar dalam PRN Melaka dan Johor. Dua PRN itu tidak cukup membuktikan UMNO/BN sudah kembali mendapat kepercayaan pengundi Melayu. Buktinya, jumlah kerusi yang dimenangi UMNO/BN makin merosot, bahkan lebih separuh daripada yang dimenangi pada PRU 15.

Kini, PAS mula mencaturkan dirinya untuk mengekalkan kedudukan sebagai parti yang memiliki kerusi terbanyak. Dalam satu kenyataan, PAS sedang mencari ruang untuk menambah kemenangan di 17 kerusi Parlimen selain mengekalkan kemenangan pada PRU 15. Jumlah yang dijangka menang ialah 70 kerusi. Maknanya, jika PAS menang 70 kerusi, DAP kekal dengan 40 kerusi, makanya, harapan untuk UMNO/BN, PKR, Amanah dan Bersatu meningkatkan kedudukannya cukup sukar, terutama di Semenanjung.

Bagi Sabah dan Sarawak, sentimen Sabah dan Sarawak dijangka akan terus kekal walaupun UMNO/BN, PH dan PN juga sangat mengharapkan beberapa kerusi. Gelombang Sabah dan Sarawak menjadi semakin kuat menyekat. Parti-parti dari Semenanjung sukar untuk menang di kawasan yang dilihat kuat dengan semangat terbabit.

Mungkin UMNO boleh menang beberapa kerusi di Sabah, tetapi agak sukar untuk menang banyak kerusi di Sarawak. Mungkin juga akan ada kompromi untuk tidak bertanding memandangkan, GPS sedang memperluaskan makna Sarawak Untuk Orang Sarawak. Jadi, persaingan di Semenanjung akan menjadi teramat sengit. Sentimen lokal tetap menjadi taruhan yang sangat mempengaruhi.

GPS akan menyertai kerajaan pusat dengan memberikan sokongan kepada gabungan parti yang menang, tetapi mungkin tidak kepada PH. Bagaimanapun, itu hanyalah kemungkinan. GPS benar-benar akan menjadi “king maker”, bukan lagi “safe deposit” secara kekal kepada BN atau PH. Itulah kelebihan yang sedang dibina bagi memenuhi beberapa tuntutan atau merealisasikan terjemahan MA63.

PN tidak dilihat sebagai gabungan yang berpotensi kerana ada kebimbangan ketara terhadap PAS. Lagipun, majoriti pengundi Bumiputera di Sarawak tidak mudah didakyahkan dengan kelebihan politik Islam. Ia disebabkan latar belakang agama dalam kalangan masyarakat Bumiputera Sarawak. Dalam beberapa perkara, rakyat Sarawak masih menggambarkan PAS sebagai sebuah parti ekstrem. Mereka tidak mudah termakan dengan slogan PAS for All atau apa pun petua toleransi yang pernah dibangunkan.

PAS walaupun berjaya melahirkan anak sulungnya di Karambunai, ia tidak mampu untuk mencabar kawasan yang dikatakan kenyal dengan pengaruh Warisan dan GRS. Untuk bertanding di kawasan bercampur, PAS perlu memikirkan strategi yang cukup dapat menduga parti-parti lain kerana imej parti itu masih belum boleh diterima dengan baik oleh pengundi Sabah.

Di Sarawak mungkin PAS tidak boleh bermimpi dalam keadaan kepimpinan Primier Sarawak sedang berada di puncak. DAP pun sedikit gentar setelah menerima pukulan telak dalam PRN Sarawak ke-12 (Disember 2021).

Edah politik Sarawak sedang menanti garis penamatnya, dan tentunya, yang paling awal ditunggu ialah Melaka, kemudian Johor. Melaka, Johor dikatakan mungkin tidak akan berlaku pada tahun ini, kerana ia mungkin dilanjutkan agar diadakan bersama PRU ke-16.

Atas jangkaan itu, ramai beranggapan bahawa tiga PRN akan berlangsung sama dengan PRU, kata mereka pada tahun ini atau awal tahun depan. Ia bergantung kepada rundingan yang sedang berjalan dalam teka-teki yang belum sahih.

PAS juga meramalkan, dua negeri di Semenanjung akan menjadi miliknya berdasarkan ramalan di atas kertas. Negeri itu ialah Pahang dan Perak. Dua buah negeri itu tidak mempunyai parti yang dominan, BN hanya mendapat simpati daripada PH untuk memimpin.

Jika PH menarik balik sokongan, ia akan jadi tunggang langgang. Ia akan jadi seperti Perlis apabila wakil rakyat PAS sendiri membatalkan sokongan terhadap MB yang juga daripada PAS. Hanya sedikit kelainan ialah PH menarik sokongan. Dan, sekiranya berlaku, PAS boleh jadi “king maker” atau penyelamat sementara.

Itulah yang kita lihat apabila Negeri Sembilan berhadapan dengan krisis. PAS menawarkan “tanda untuk selamat” dengan berkata, DAP bukan lagi musuh di Negeri Sembilan. Nampaknya, PAS sedia bekerjasama dengan PH setelah wakil rakyat UMNO menarik balik sokongan. PAS juga boleh berkompromi dengan UMNO/BN jika “buah jatuh” dan memihak kepada UMNO/BN.

Apa alasannya? Semua lojik politik PAS cukup mudah dibaca, semuanya kerana kuasa. PAS sedar, jika menjadi sebahagian daripada kerajaan Negeri Sembilan, peluang untuk menang di beberapa kerusi Parlimen di Negeri Sembilan terbuka. PAS boleh gunakan pengaruhnya sebagai EXCO atau hubungan dengan “kerajaan”.

Tetapi, ia tidak menjadi kenyataan kerana MB Negeri Sembilan terus kekal berkuasa, walaupun dalam situasi kerajaan minoriti. Apa pun itu mungkin tidak lama, sebabnya, akan ada keadaan yang mendesak UMNO/BN tidak gentar jika PH menarik sokongan di Perak dan Pahang, kerana tempoh DUN sudah semakin sempit.

Negeri Sembilan masih panjang, kerana PRN yang diadakan pada Ogos 2023 akan habis tempohnya tahun 2028/2029. Ia masih ada sekurang-kurangnya setelah setahun, dan tentunya mungkin boleh kukuhkan kedudukan semula dengan pimpinan bekas MB Negeri Sembilan, yang juga Timbalan Presiden UMNO.

Bagi Perak dan Pahang, dijangka akan berlaku perubahan pengundi yang signifikan ke atas PH, yang mungkin hanya akan membawa cabaran paling berat berlaku antara PAS dan UMNO.

DAP sudah mula tidak diyakini setelah gagal meletakkan kepercayaan peneroka musang king di Raub, manakala PKR sedang “diredam-marah” atas janji-janji lamanya yang berubah: kenaikan harga petrol, bayaran balik pinjaman PTPTN, penghapusan tol tetapi memanjangkan konsesi sehingga ke tahun 2068, peningkatan jumlah hutang sehingga cukup ketara.

Sebelumnya, PH memberikan jaminan tidak akan meningkatkan hutang, akan mempercepatkan bayaran balik hutang. Realitinya, jumlah hutang sudah melepasi RM 1.3 trilion, mengatasi jumlah hutang yang dilakukan oleh tiga PM sebelumnya.

Madani bukan sahaja menjadi ejekan ramai orang, ia juga menjadi “bahan bakar” yang tidak mudah Anwar Ibrahim mampu memangkasnya. Misalnya kes “ternakan babi di Selangor” dan membuka laluan pemegang UEC ke universiti awam.

Bagi rakyat, titah Sultan Selangor sangat jelas, tidak ada ternakan babi di negeri itu. Tetapi, Anwar memberikan kenyataan yang berbeza, Sultan Selangor mengatakan, ternakan babi dilaksanakan secara teratur dan moden. Ketika berlangsung perhimpunan, aktivis politik dan badan bukan kerajaan menggesa agar digubal satu akta yang berkaitan dengan “kesetiaan kepada raja” akibat kecelaruan politik untuk mendapatkan kuasa. Demonstrasi itu (Himpunan Daulat Tuanku) berlangsung 16 Mei 2026 selepas kontroversi isu UEC bermula.

Akibatnya, ia dilihat seperti tidak mematuhi keputusan Sultan Selangor. Isu ini akan membangkitkan sentimen marah orang Melayu. Khabarnya ada kemungkinan satu demonstrasi akan berlangsung, sebagai tunjuk bukti menyokong titah baginda dan mengecam kenyataan PMX.

Begitu juga dengan “buka laluan” kepada pemegang UEC. Walaupun dijelaskan berjela-jela, istilah “buka laluan” bukan sama dengan “pengiktirafan’, ia akan tetap membakar emosi orang Melayu. Sudah ada desakan agar tarikh 15 Mei dijadikan sebagai tarikh kematian Dasar Pelajaran Kebangsaan. Ia dilihat sebagai “kematian” dan juga ‘titik hitam’ kepada Dasar Pelajaran Kebangsaan.

Ada juga mahukan Menteri Pendidikan dan Menteri Pendidikan Tinggi dipecat. Kenapa? Mereka marah kerana sedikit sebanyak “peluang sudah dibuka” walhal sejak bertahun lamanya UEC tetap tidak boleh diterima sebagai sebahagian daripada syarat kemasukan ke universiti awam. Ia akan menjadi isu yang cukup besar untuk menjadikan orang Melayu kembali menolak PH terutama PKR. Akan muncul parti yang akan membakar sentimen itu seperti Anwar pernah membakar emosi “hari ini kenang, subuh esok harga minyak turun”.

Tidak kurang yang membakar ingatan rakyat Malaysia tentang ketegasan Tunku Abdul Rahman membatalkan sijil warganegara ke atas seorang aktivis pendidikan Cina. Isu ini tidak dapat digunakan oleh PAS kerana PAS turut membuka laluan kepada pemegang UEC untuk memasuki TATI di Terengganu sejak tahun 2018. Pada tahun 2001, PAS pernah menggesa agar kerajaan bukan sahaja mengiktiraf UEC, juga mendesak kerajaan mempercepatkan pengiktirafan.

Dalam pilihan raya akan datang, PAS mungkin tidak mempunyai kawan yang dapat membantunya, kerana Bersatu sudah “tiada taring”. Taring Bersatu bukan saja tumpul, bahkan kunyahannya terpaksa menggunakan gusi. Mengharapkan bantuan parti yang bakal ditubuhkan oleh Hamzah Zainudin, ia akan menambahkan luka Bersatu. Luka Bersatu menjadi semakin sakit dan pedih.

Antara pencapaian seorang yang dianggap terbaik pernah dimiliki oleh PAS, belum tentu parti berkenaan berjaya mengekalkan kemenangannya kerana ada kerusi-kerusi yang dimenangi tipis. Kemenangan itu atas keadaan UMNO/BN yang dilanda masalah dalaman, yakni penyingkiran beberapa orang daripada terus dicalonkan sebagai calon PRU. Namun, sekarang ini ramai bertanya: Apa lagi yang PAS mahu? Jangan lupa, akibat terlalu obses, yang dikejar tak dapat, yang dikendung berciciran.

Apakah PAS tidak ingat, pada PRU 14 (2018) parti itu bertanding lebih 120 kerusi Parlimen tetapi hasilnya hanya meraih 18 kerusi? Bukankah itu mengingatkan kepada semua, ukur baju di badan sendiri. Ia perlu bijak membaca sentimen pengundi. Dalam keadaan Bersatu berpecah, UMNO makin mendapat sambutan, PAS kekal untuk bertanding lebih daripada keupayaan?

Jadi, jika PRN Johor membawa satu natijah penting bagi UMNO, PAS perlu memikirkan semula hasratnya untuk menguasai 70 kerusi, walaupun ia bukan petunjuk mutlak. Apakah dalam PRN Johor akan ada pesaing baharu yang akan cuba menguji pengaruhnya? Rafizi dan Nik Azmi sudah memberikan kenyataan bahawa mereka sedang berusaha untuk mengambil alih sebuah parti baharu, Parti Bersama Malaysia (PBM), manakala Hamzah Zainudin belum memberikan nama parti baharu yang akan diterajuinya..

Liabiliti terbesar PAS ketika ini ialah bagaimana untuk mengembalikan keyakinan pengundi Melayu tentang keceluparan para pemimpinnya, beberapa kali kalah dalam kes saman fitnah, permohonan maaf akibat tidak sanggup membayar ganti rugi, dan mutakhir, perihal menghina sahabat Rasulullah SAW.

Walaupun sudah memohon maaf, dan PAS menerima permohonan atas dasar khilaf, ia tidak bermakna masyarakat Mekayu-Islam boleh menerimanya dengan terbuka. Bila pemimpin Islam sendiri memperlekehkan tokoh Islam walaupun mereka itu sebelum memeluk Islam, ia tetap dilihat bercanggahan dengan larangan untuk tidak mencari atau menyebarkan aib orang, termasuk menghina dan memperolok-olokkan.

Ramai orang Melayu mahu lihat kepimpinan PAS melakukan tindakan tegas memandangkan Presiden PAS pernah memberikan teguran bahawa mereka yang menghina sahabat Nabi Muhammad SAW dihalau ke luar negara. Rakyat mahu PAS bukan setakat menyatakan “menerima permohonan maaf”, orang Melayu mahukan tokoh berkenaan “dihalau” daripada parti dan tidak akan dicalonkan semula dalam PRU.

Jika itu dapat dilakukan, PAS mungkin dapat semula sokongan masyarakat. Sekadar menerima permohonan maaf ia belum memadai, kerosakan yang berlaku amat berat dan membuka kepada penghinaan yang lebih besar.

Semuanya itu tetap menjadi asas penilaian yang cukup kuat sama ada menyokong atau menolak. Juga, perihal beberapa kegagalan kerajaan negeri Kedah dalam merealisasikan apa yang pernah diumumkan, dari litar anak muda di Langkawi, Atropolis di Kulim, skandal REE yang membabitkan pegawai kanan MB Incorporated, dan Keretapi Laju Langkawi. Usaha kerajaan negeri untuk memulihkan Langkawi sebagai destinasi pelancongan utama domestik dan luar negara dilihat tidak mencukupi kerana MB cukup mudah ‘menghina’ parti lawan.

Naratif itu dianggap trademark terpenting PAS selain mengecam mana-mana “musuh” sebagai orang yang tidak baik dan boleh disokong. Selagi doktrin kafir mengkafir terus berlegar, selagi itulah ramai bukan Melayu dan orang Melayu sendiri akan menjauhi PAS.

Mereka, pengundi muda mahukan PAS buktikan “sudah buat” dan kejayaannya yang cemerlang, biarpun ada tekanan dan kekangan. Apa yang berlaku, bila gagal pemimpin PAS salahkan kerajaan pusat seperti tidak salurkan wang royalti walhal dalam penyata rasmi kerajaan negeri, ia sudah ribuan juta telah diterima. Mereka semakin menerima model Iran di atas kebolehannya melawan hegemoni Amerika Syarikat walaupun berdekad dikenakan tekanan dan embargo.

Ketika kerajaan pusat menyalurkan bantuan tunai, PAS memberikan tafsiran umpama berikan dedak kepada rakyat. Bila Kerajaan Madani tingkatkan bantuan tunai dan sebagainya, mereka katakan ia tidak mencukupi hanya mampu bertahan beberapa hari atau jam. Jadi, kerajaan negeri lebih merasakan lebih baik digunakan untuk tujuan yang lain, seperti melengkapkan kemudahan awam. Apakah infrastruktur yang dimaksudkan itu sudah sempurna?

Cakap-cakap yang terdengar ialah bagaimana PAS “menipu rakyat”, kutip derma jihad dan pahala derma pilihan raya PAS lebih besar daripada pahala Umrah dan Haji. Tetapi, yang jelasnya, belum terdengar pemimpin PAS bersedia korban elaun bulanannya untuk dana parti, isytihar tak ambil elaun. Kalau ambil pun kesemuanya disumbangkan kepada parti?

KAMARUN KH

 

Translate »