KENYATAAN MEDIA
Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA)
JANGAN CABAR KEDAULATAN INSTITUSI RAJA MELAYU
PERTUBUHAN Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) mengecam sekeras-kerasnya kenyataan pemimpin Tony Pua yang menyentuh soal kuasa Institusi Raja Melayu dan seolah-olah cuba membentuk persepsi bahawa kedudukan Raja-Raja Melayu boleh dipersoalkan mengikut selera politik tertentu.
Kenyataan seperti ini amat tidak bertanggungjawab, biadab terhadap semangat Perlembagaan Persekutuan dan boleh mengundang keresahan rakyat. Institusi Raja Melayu bukan sekadar lambang istiadat, tetapi merupakan tiang seri negara, pelindung agama Islam, penjaga hak Melayu dan payung kepada kestabilan tanah air.
Walaupun Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan, itu bukan tiket untuk mana-mana ahli politik bercakap sesuka hati sehingga dilihat cuba memperkecilkan kewibawaan Raja-Raja Melayu. Jangan sesekali cuba mengajar rakyat supaya memandang rendah terhadap institusi yang telah menjadi asas pembentukan negara sejak merdeka.
PERKASA ingin mengingatkan bahawa kebebasan bersuara ada batasnya. Ahli politik yang gagal menghormati sensitiviti rakyat dan Institusi Raja Melayu tidak layak bercakap soal perpaduan serta keharmonian negara. Rakyat semakin muak dengan sikap segelintir pemimpin yang gemar mencetuskan polemik terhadap perkara yang telah termaktub dan dipersetujui dalam kontrak sosial negara.
Pihak berkuasa perlu menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya kenyataan tersebut mempunyai unsur menghasut, menghina atau merendahkan martabat Institusi Raja Melayu. Jangan wujud persepsi bahawa ada golongan tertentu kebal daripada tindakan undang-undang apabila menyentuh perkara berkaitan Raja-Raja Melayu dan Perlembagaan.
PERKASA juga menyeru seluruh rakyat Malaysia agar bersatu mempertahankan kedaulatan Institusi Raja Melayu daripada sebarang cubaan halus untuk melemahkan penghormatan rakyat terhadap institusi tersebut.
Raja Melayu bukan bahan politik murahan.
Raja Melayu adalah payung negara dan maruah Persekutuan yang wajib dipertahankan.
Azrol Mansor
Ketua Penerangan
Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA)
Sumber: bebasnews.my
Recent Comments