Oleh: Mohd Shauki Abd Majid

Pada 18 September 2026, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan memberikan pengampunan bersyarat kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan membenarkan beliau menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Namun keputusan ini melahirkan pelbagai reaksi dan gerakan politik, yang dikuatkan oleh suara-suara di media sosial. Persoalannya, adakah keadilan di atas muka bumi ini benar-benar wujud secara mutlak, atau ia sekadar sebuah sandiwara yang diatur untuk memuaskan persepsi manusia?

Keputusan Mahkamah Persekutuan 2023

Apabila kita menatap sistem penghakiman duniawi, kita menyaksikan bagaimana manusia menjatuhkan hukuman, tetapi dalam masa yang sama, proses pengadilannya sendiri dipersoalkan kesuciannya.

Dalam perbicaraan kes berprofil tinggi seperti SRC International membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, naratif umum dibentuk seolah-olah semuanya berjalan sempurna. Namun pada 31 Mac 2023, Hakim yang mempengerusikan panel semakan kehakiman di Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Rahman Sebli, menulis penghakiman menentang (dissenting judgment) setebal 78 muka surat.

Beliau menegaskan bahawa tertuduh wajar dibebas dan dilepaskan kerana telah berlaku penafian hak mendapat perbicaraan yang adil. Apabila peguam bela memohon penangguhan untuk meneliti ribuan muka surat dokumen yang rumit dan dinafikan, kemudian memohon menarik diri tetapi ditolak oleh mahkamah, maka secara substantif rayuan akhir tersebut berjalan tanpa representasi undang-undang yang bersedia. Hakim Abdul Rahman Sebli menegaskan:

“Keadilan bukan sahaja mengenai bersalah atau tidak bersalah orang yang dituduh. Ia juga tentang memberikannya perbicaraan yang adil. Jika dia tidak boleh dibicarakan secara adil… dia tidak sepatutnya dibicarakan sama sekali.”

Mahkamah Persepsi Awam

Pada 2024, Lembaga Pengampunan telah pun mengurangkan hukuman Datuk Seri Najib Razak daripada 12 tahun kepada 6 tahun penjara, dan denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. Malah ada pihak yang mendakwa bahawa keputusan supaya Datuk Seri Najib menjalani hukuman tahanan rumah juga telah dibuat semasa itu.

Hakikat yang perlu difahami adalah institusi pengampunan bukanlah suatu anomali atau kecacatan undang-undang yang terpencil di Malaysia sahaja. Sebaliknya ia adalah mekanisme perlembagaan universal yang wujud di seluruh dunia sejak berzaman. Di Singapura, Perlembagaan memberi kuasa prerogatif pengampunan kepada Presiden atas nasihat Kabinet; manakala di Arab Saudi dan negara-negara monarki Islam, institusi Raja memiliki hak pengampunan diraja (al-‘Afw al-Malaki) yang lazimnya diumumkan menjelang bulan Ramadan atau hari kebesaran.

Di setiap negara berdaulat, institusi kehakiman berfungsi untuk menjatuhkan hukuman berasaskan ketetapan bukti statutori, manakala institusi ketua negara dan lembaga pengampunan berfungsi sebagai proses terakhir untuk menyalurkan belas ihsan, meneliti faktor kemanusiaan, serta membetulkan kekosongan yang tidak mampu diselesaikan oleh neraca teknikal mahkamah.

Masyarakat perlu sedar bahawa proses pengampunan bukanlah satu keputusan tergesa-gesa yang dibuat semalaman di atas dasar emosi atau simpati sahaja. Lembaga Pengampunan melalui satu proses yang panjang, teliti, dan berlapis: ia meneliti rekod tingkah laku banduan, laporan perubatan, pandangan bertulis Peguam Negara dari sudut keabsahan undang-undang, serta menimbang sedalam-dalamnya implikasi keadilan dan impak sosial terhadap ketenteraman awam. Setiap syor yang diangkat kepada Yang di-Pertuan Agong dinilai di atas neraca fakta, perlembagaan, dan kemaslahatan negara secara menyeluruh, bukan berpandukan persepsi di media sosial.

Namun di sebalik keputusan ini, wujud anasir-anasir media yang memancing rakyat ke dalam jerat prasangka yang berputar tanpa henti. Jika Najib Razak berjaya melunaskan denda RM50 juta tersebut, persepsi awam akan segera meledak dengan tuduhan: “Dari mana datang wang itu? Bukankah itu bukti wang sakau?”

Tetapi jika para penyokong atau ahli melancarkan tabung derma kilat tetapi gagal mengumpulkan RM50 juta, persepsi yang timbul pula ialah: “Rakyat dan ahlinya sendiri sudah menolak dan meninggalkannya.”

Ketetapan dunia ini akhirnya tidak memuaskan sesiapa. Pihak yang membenci tetap mendakwa ia terlalu longgar, manakala pihak yang bersimpati melihatnya masih tidak adil.

Apakah Diri Sendiri Paling Adil?

Maka, apakah mereka yang hari ini begitu ghairah mempersoalkan keadilan di media sosial, sendiri berlaku adil?

Sedar atau tidak, apa yang diagung-agungkan sebagai “suara rakyat” atau the court of public opinion hari ini hakikatnya hanyalah dipenuhi oleh prasangka buruk, dendam kesumat, iri hati, hasad dengki, dan kepentingan politik sempit.

Kita menjaja persepsi seolah-olah ia adalah fakta. Kita melabel dan menghukum seseorang di ruangan komen tanpa membaca sepatah pun alasan penghakiman. Dendam politik kita telah begitu membusuk sehingga kita lupa bahawa bersangka-sangka dan menyebarkan fitnah adalah jenayah rohani yang meruntuhkan maruah diri kita sendiri.

Al-Quran telah memberi amaran yang mematikan penyakit ini dalam Surah Al-Mā’idah, ayat 8 yang bermaksud: “Dan janganlah sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana keadilan itu lebih dekat kepada takwa.”

Keadilan bukan terletak pada penulisan sarkastik atau komen pedas di media sosial. Keadilan bukan diukur melalui kepuasan melihat musuh politik dihancurkan dan dihina. Keadilan itu ialah menahan diri daripada ikut serta dalam arus emosi tersasar dan penyebaran fitnah. Memadamkan ego diri, menguburkan rasa dendam, memadamkan hasad dengki, dan mengetepikan kepentingan peribadi daripada terus menebar benih prasangka, itulah sebenarnya sebesar-besar keadilan.

Surah Al-Baqarah Ayat 178–179

Oleh sebab itu, umat Islam mesti sedar bahawa keadilan mutlak hanyalah milik Allah SWT. Garis keadilan yang hakiki telah pun ditetapkan oleh-Nya dalam wahyu. Allah Maha Mengetahui bahawa jiwa manusia ini rapuh, pendendam, dan mudah melampaui batas.

Kerana itulah, dalam syariat-Nya, Allah meletakkan keseimbangan agung antara ketegasan hukuman dan pintu pengampunan, sebagaimana yang dirakamkan dalam Surah al-Baqarah, ayat 178 dan 179: “Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu qisas… Maka sesiapa yang mendapat suatu permaafan daripada saudaranya, hendaklah (yang memaafkan) mengikutinya dengan cara yang baik, dan hendaklah (yang diberi maaf) membayar diyat dengan cara yang baik pula. Yang demikian itu adalah suatu keringanan daripada Tuhan kamu dan suatu rahmat…”

Dan Allah menyambung pada ayat 179: “Dan dalam qisas itu ada jaminan kelangsungan hidup bagimu, wahai orang-orang yang berakal, supaya kamu bertakwa.”

Hukuman wajib ditegakkan bagi memelihara ketenteraman awam dan memastikan batas amanah tidak dilanggar sewenang-wenangnya. Namun Allah SWT menamakan pengampunan dan ganti rugi itu sebagai keringanan dan rahmat, iaitu suatu ruang belas ihsan untuk merawat dendam dan menghentikan kitaran kebencian.

Mengapakah sistem ciptaan Tuhan membuka ruang rahmat dan pengampunan, tetapi hati manusia langsung tidak mahu memberi ruang kepada ihsan?

Muhasabah Diri

Dunia ini hanyalah pentas persinggahan yang sementara. Sebagai makhluk bernama manusia, kita bersifat tergesa-gesa apabila menghukum, dan kita amat suka melampaui batas. Seseorang pemimpin atau bekas pemimpin mungkin telah diadili oleh mahkamah manusia, dipenjarakan, diberikan pengampunan bersyarat, atau dibicarakan dalam persepsi awam. Namun akhirnya, setiap helai kertas, setiap niat sedekah, dan setiap prasangka yang kita hamburkan di media sosial akan dihisab di Mahkamah Rabbul Jalil.

Di hadapan Mahkamah Allah, tiada pendakwa yang boleh menyembunyikan saksi, tiada peguam yang boleh dinafikan hujah, dan tiada netizen yang boleh berselindung di sebalik akaun palsu. Apakah hukuman atau pengampunan bersyarat memenuhi persepsi keadilan? Tentu sekali tidak, kerana manusia itu bersifat pelupa, sentiasa tergesa-gesa dan melampaui batas.

Maka padamkan api hasad dan dendam di dalam dada sendiri. Berhenti menyuburkan persepsi buruk menjurus kepada fitnah, atas nama menegakkan keadilan. Menyelamatkan hati dari prasangka kotor itu jauh lebih mulia dan adil di sisi Allah SWT, daripada menjadi juara yang menjaja kebencian di atas muka bumi.

Translate »