TUMPAT, 5 September 2026 – Surau Tok Guru Pulau Ubi, Pengkalan Kubor, Tumpat telah menjadi lokasi berlangsungnya Sambutan Maulid Nabi SAW serta Pelancaran Buku “Tok Selehor – Waliyullah Dunia Akhirat” pada Jumaat, 4 September 2026.
Program yang berlangsung selepas Solat Maghrib itu menghimpunkan ahli surau, masyarakat setempat, pelajar pondok serta para tetamu dalam suasana penuh penghayatan dan kecintaan terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Majlis dimulakan dengan Solat Maghrib secara berjemaah, sebelum para hadirin mengikuti tazkirah bertajuk “Pengingatan Tok Selehor” yang disampaikan oleh Ustaz Nik Muhyudin bin Nik Ismail (Ustaz Nik Din). Antara isi dalam tazkirah tersebut, beliau menyatakan tentang salah satu cara untuk umat Islam mengenangkan perjuangan seorang ulama adalah dengan meperingati tarikh kematian ulama atau lebih dikenali sebagai ‘Haul Ulama’
Tazkirah tersebut mengetengahkan ketokohan, perjuangan serta sumbangan Tok Selehor dalam perkembangan ilmu dan dakwah Islam. Pengisian berkenaan turut membuka ruang kepada generasi hari ini untuk mengenali dan mengambil iktibar daripada kehidupan serta perjuangan ulama terdahulu.
Acara kemuncak program diteruskan dengan pelancaran buku “Tok Selehor – Waliyullah Dunia Akhirat” yang disempurnakan oleh Dato’ Dr Aziz Jamaludin Mhd Tahir, Pengerusi Pertubuhan Kearifan Islam Malaysia (OMIW).
Turut hadir ialah Ahli Jawatankuasa OMIW, Dato’ Mejar (B) Samsi Ibrahim dan Tuan Haji Mohd Shauki Abd Majid, yang juga merupakan penulis buku Tok Selehor – Waliyullah Dunia Akhirat.
Pelancaran buku ini dilihat sebagai satu usaha penting dalam mengangkat sejarah dan ketokohan Tok Selehor agar terus dikenali, dikaji dan dihayati oleh masyarakat, khususnya generasi muda. Buku tersebut turut menjadi wadah untuk mendekatkan masyarakat dengan kisah perjuangan serta warisan keilmuan ulama tempatan.
Selesai acara pelancaran, para hadirin menunaikan Solat Isyak secara berjemaah, diikuti dengan bacaan tahlil dan selawat beramai-ramai. Suasana majlis menjadi semakin meriah dengan lantunan selawat yang menggambarkan kecintaan dan penghormatan umat Islam terhadap Rasulullah SAW.
Program kemudiannya diakhiri dengan jamuan makan yang disediakan secara gotong-royong oleh muslimat dan muslimin ahli Surau Tok Guru Pulau Ubi. Jamuan tersebut bukan sekadar sebagai penutup majlis, malah menjadi ruang untuk para hadirin beramah mesra dan mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama masyarakat.
Secara keseluruhannya, program ini berjaya menggabungkan penghayatan Maulid Nabi SAW, pengisian ilmu, pengenalan sejarah ulama serta pengukuhan ukhuwwah Islamiah dalam kalangan masyarakat.
Semoga penganjuran program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai usaha menyuburkan kecintaan kepada Rasulullah SAW serta memastikan warisan dan jasa para ulama terdahulu terus dikenang oleh generasi akan datang.
Berikut ialah suasana sepanjang majlis sambutan Maulid Nabi SAW serta pelancaran buku Tok Selehor – Waliyullah Dunia Akhirat:



Recent Comments