Oleh: Luqman Hakim

Khalifah Ali Bin Abu Talib r.a. memang terkenal kerana sifat sabarnya yang luar biasa.

Adalah diriwayatkan bahawa pada suatu hari pemimpin umat Islam itu telah kehilangan sebuah pakaian perangnya. Tetapi setelah beberapa lama kemudian baginda ternampak pakaian perangnya yang hilang itu dipakai oleh seorang Nasrani. Maka Khalifah Ali pun pergi menegur orang Nasrani itu dengan mengatakan bahawa pakaian yang dipakainya itu adalah kepunyaan baginda. Tetapi Nasrani itu enggan menyerahkannya begitu sahaja kalau tidak di muka hakim. Maka oleh kerana sikap kekerasannya itu Khalifah Ali pun mengajak orang Nasrani itu menghadap Kadi Syuraih, seorang hakim Islam yang terkenal adilnya sejak perlantikannya sebagai hakim di zaman Saiyidina Umar Ibnul Khattab.

Dimuka pengadilan, berkatalah Khalifah Ali, “Tuan Hakim, sesungguhnya pakaian perang itu adalah kepunyaan saya. Saya belum pernah menjualnya dan belum pula memberikannya kepada orang lain.

Maka Kadi Syuraih berkata kepada orang Nasrani itu, “Apakah jawabnya kepada Amirul Mukminin?”

Nasrani itu menjawab, “Tuan Hakim! Pakaian perang ini terang kepunyaan saya, tetapi saya tidak menuduh Amirul Mukminin berdusta.”

Lalu Kadi Syuraih pun menoleh kepada Khalifah Ali, “Ya Amirul Mukminin, dapatkah tuan mengemukakan bukti?”

Khalifah Ali tersenyum, lalu kata baginda, “Tuan Hakim benar! Saya tidak dapat mengemukakan satu bukti-pun”

Akhirnya Kadi Syuraih pun mengeluarkan keputusan mahkamah, katanya, “Oleh kerana Amirul Mukminin tidak dapat mengemukakan bukti bahawa barang itu betul milik baginda, maka saya putuskan bahawa barang itu tetap berada di tanganmu wahai saudara, dan engkau boleh bawa barang itu pulang.”

Si Nasrani itu keluarlah dari dalam majlis pengadilan dengan membawa pakaian perang yang menjadi perkara itu. Tetapi setelah ia berjalan beberapa langkah menuju pintu. iapun kembali. Ia berkata, “Sekarang saya hendak memberikan kesaksian dalam majlis ini. Hukuman yang dijatuhkan Hakim adalah hukuman sejati dari para Nabi. Amirul Mukminin menuntutku di hadapan Kadinya dan Kadi pun telah menjatuhkan hukuman dengan seadil-adilnya, kerana Amirul Mukminin telah mengakui dengan mengakui dengan jujur bahawa baginda tidak dapat mengemukakan suatu bukti. Dan baginda pun menerima keputusan Kadi. Maka sekarang sudilah tuan-tuan mendengarkan: Saya naik saksi bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad adalah utusan Allah. Pakaian perang ini, demi Allah, memang engkau yang empunyanya Amirul Mukminin. Saya temukan jatuh dari kenderaan tuan ketika berangkat ke Peperangan Siffin.

Semua yang hadir ketika itu terpesona melihat sikap jujur saudara baru dalam Islam itu. Dan semua mata tertuju kepada Amirul Mukminin. Baginda pun memberikan reaksi, “Kerana engkau telah menjadi seorang muslim, maka pakaian perang itu mulai sekarang engkaulah yang memiliki.”

Demikianlah contoh toleransi seorang tokoh agung di kalangan umat Islam.

Translate »