Tarikh: Januari 2026
Lokasi: Surau Tok Guru Pulau Ubi, Kg Telaga Lanas, Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan
- PENGENALAN
Program Aktiviti Dakwah iaitu Kuliah Dhuha anjuran OMIW telah dilaksanakan pada hari Sabtu iaitu empat minggu dalam sebulan semenjak Julai 2025 dan diteruskan hingga tahun 2026 bertujuan untuk memperkukuhkan kefahaman dan penghayatan Islam dalam kalangan masyarakat setempat. Program ini merangkumi pengajian Hadis 40 Imam Nawawi sebagai usaha melahirkan masyarakat yang berilmu, berakhlak dan beramal dengan ajaran Islam.
- OBJEKTIF PROGRAM
- Memberi pendedahan dan kefahaman asas terhadap Hadis 40 Imam Nawawi.
- Membentuk akhlak mulia dan mengukuhkan ukhuwah sesama peserta.
- Menyantuni golongan memerlukan melalui pendekatan dakwah dan tarbiyah.
- PERLAKSANAAN AKTIVITI
Pengajian Hadis 40 oleh Ustazah Aminah binti Mohd Shauki
- Minggu Pertama: Sambungan penerangan bagi hadis ke-14 diteruskan dengan penjelasan tentang hukuman murtad, syarat-syarat pelaksanaan hukum dan aplikasi hadis dalam kehidupan.
- Minggu Kedua: Perbincangan hadis ke-15 yang bertajuk ‘Berbudi Bahasa, Menghormati Tetamu & Jiran’. Huraian berkaitan hadis dijelaskan dengan penjelasan berkaitan pendapat ulama tentang hadis dan istifadah hadis berkaitan perkataan yang baik. Dalil-dalil tentang suruhan untuk menjaga percakpan dan berkata baik dijelaskan.
- Minggu Ketiga: Pada minggu ini, kuliah hadis digantikan dengan Ceramah Isra’ dan Mikraj sempena hari Isra’ dan Mikraj yang jatuh pada 17 Januari 2026.
- Minggu Keempat: Sambungan hadis ke-15 iaitu tentang memuliakan tetamu dan jiran serta aplikasi hadis dalam kehidupan. Seterusnya pengajian di teruskan kepada hadis yang ke-16 iaitu hadis bertajuk ‘Jangan Bersikap Bengis’ dan pengajian terhenti pada istifadah hadis yang keempat dan akan disambung pada minggu seterusnya.
- GOLONGAN PESERTA
Program ini disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat, antaranya:
- Golongan Bekerja Sendiri– Berumur sekitar 40 hingga 60 tahun, terdiri daripada pemiaga-peniaga secara kecil-kecilan, guru Al-Quran dan pengasuh.
- Suri Rumah – Berumur sekitar 30 hingga 60 tahun yang aktif mengikuti pengajian bagi meningkatkan kefahaman agama dan mendidik keluarga.
- Warga Emas – Berumur 60 tahun ke atas yang berminat mendalami ilmu agama sebagai pengisian rohani.
- STATUS SOSIOEKONOMI PESERTA (ASNAF)
Sebahagian daripada peserta yang terlibat dalam program ini terdiri daripada golongan asnaf, khususnya asnaf fakir dan miskin. Golongan ini melibatkan peserta berpendapatan rendah, suri rumah serta warga emas yang memerlukan sokongan kerohanian dan kebajikan.
Pelaksanaan program ini memberi peluang kepada golongan asnaf untuk menimba ilmu agama secara berterusan, sekali gus membantu meningkatkan kualiti kehidupan rohani dan penghayatan Islam dalam kehidupan seharian.
- KEHADIRAN DAN KOMITMEN
Tahap kehadiran peserta sepanjang program adalah memuaskan dan konsisten. Peserta menunjukkan minat yang tinggi, memberikan kerjasama yang baik serta komitmen yang berterusan dalam mengikuti setiap sesi pengajian.
- PENCAPAIAN PROGRAM
- Peningkatan kefahaman peserta terhadap hadis Rasulullah ﷺ.
- Terbentuk suasana pengajian yang berdisiplin dan berterusan.
- Pengukuhan ukhuwah dan semangat dakwah dalam kalangan peserta.
- PENUTUP
Sebagai penutup, pihak OMIW merancang untuk memperluaskan aktiviti dakwah dan pengajian Islam ke masjid-masjid daerah yang berdekatan pada masa akan datang. Usaha ini bertujuan memberi peluang kepada lebih ramai masyarakat setempat untuk menimba ilmu agama dan konsisten dalam menghadiri majlis-majlis ilmu bagi membentuk diri menjadi Muslim yang berimu dan memahami ilmu Islam yang sebenar. Sehubungan itu, pihak OMIW amat mengharapkan sokongan dalam bentuk infak atau sumbangan bagi melancarkan dan meneruskan program dakwah ini. Sumbangan tersebut akan digunakan sepenuhnya untuk tujuan pengajian, kebajikan peserta serta kelangsungan aktiviti dakwah yang berterusan.
Salurkan sumbangan anda ke:
PERTUBUHAN KEARIFAN ISLAM MALAYSIA
No. Akaun: 8602859886 (CIMB BANK)
Sokongan anda adalah pelaburan untuk meringankan beban yang memerlukan dan manfaat ilmu yang berkekalan. Terima kasih kerana bersama kami dalam perjuangan ini.

Recent Comments