Oleh: Mohd Shauki Abd Majid
Apabila penganjuran Glamping with Pride dibantah oleh umat Islam, terutamanya di kawasan Hulu Langat, respon yang diterima daripada pemimpin hal-ehwal agama amat mengecewakan sesetengah pihak. Ada nada yang menyuruh supaya “Jangan fokus benda remeh, fokus pada Big Ideas, fokus pada teknologi, fokus pada ekonomi.”
Maka persoalannya menjadi, adakah dengan mempertahankan benteng Aqidah menjadi “isu kecil” di tanah air ini? Institusi Agama: Benteng atau Pemerhati? Umat Islam di seluruh dunia, malah di Singapura dan Indonesia sekalipun, sentiasa memandang institusi agama rasmi sebagai Perisai atau Benteng umat Islam, untuk menjaga kita daripada anasir yang berlawanan dengan ajaran Islam. Sebagai contoh, di Singapura wujud Majlis Ugama Islam Singapura atau MUIS, bagi menjaga hak orang Islam di sana.
Dengan adanya institusi agama, maka umat Islam akan rasa selamat dan tenang, oleh kerana kita tahu wujudnya autoriti yang menjaga Garisan Merah agama kita. Institusi seperti JAKIM atau Pejabat Menteri Agama bukan sekadar badan birokrasi; tetapi secara tidak langsung menjadi simbol pertahanan Islam di peringkat persekutuan.
Jika institusi ini mula menganggap kemungkaran terbuka sebagai perkara yang kecil, ia akan membina persepsi bahawa kebimbangan rakyat marhaen tidak didengar, lalu hilang kepercayaan umat Islam kepada institusi tersebut. Maka kepercayaan umat Islam ini pula diletakkan kepada pihak yang mempunyai kepentingan politik, yang akan menunggang isu dan menjadikan ia peluru di media sosial. Aspirasi kerajaan Madani adalah untuk membina sebuah tamadun yang progresif dan mampu berfikir tentang masa hadapan. Kita mahukan masyarakat yang mampu bercakap soal AI, teknologi, dan kemajuan ekonomi. Ini adalah satu tujuan yang sangat positif.
Namun perlu dilihat bahawa kerangka MADANI ini adalah untuk semua lapisan masyarakat, bukan hanya golongan berpendidikan tinggi yang mampu membincangkan Big Ideas. Isu-isu besar seperti kos sara hidup, dan isu-isu sensitif kepada umat Islam seperti kemuliaan agama, adalah sangat dekat dengan hati masyarakat marhaen hari ini. Maka menangani atau menjawab isu-isu seperti ini memerlukan ‘tact’ atau kebijaksanaan, supaya kerajaan tidak dilihat sebagai terputus hubungan dengan rakyat.
Isu-isu seperti ladang babi, pemalsuan label halal, LGBT, isu Islam dalam perlembagaan dan perundangan, semua ini adalah kerisauan rakyat marhaen, bukan sekadar serangan politik atau isu yang sengaja digembar-gemburkan. Isu-isu seperti ini juga telah dibangkitkan oleh DYMM Sultan Selangor, maka ia adalah cerminan kepada kebimbangan rakyat.
Di zaman ini, optics adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan, rakyat perlu lihat seorang menteri atau jabatan yang proaktif. Inilah realiti yang dihadapi hari ini. Jika tidak, maka terhakis kepercayaan seseorang itu kepada institusi atau kerajaan. Perlu diingatkan sekali lagi bahawa kerajaan MADANI adalah untuk SELURUH rakyat Malaysia, bukan hanya untuk golongan elit, bukan untuk yang bersembang falsafah tinggi, bukan hanya untuk mereka yang bersemayam di menara gading.
Akhir sekali, Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama bukan sekadar pejabat pentadbiran yang wujud untuk menyelaras 14 agensi di bawahnya. Di mata rakyat marhaen, jabatan ini adalah simbol pertahanan, satu benteng aqidah yang menjadi tempat bergantung harap. Ia secara tidak langsung menjadi saluran umat Islam untuk menyuarakan kebimbangan mereka di zaman moden ini.
Kemajuan, keharmonian, atau toleransi tidak dapat dibincangkan secara efektif jika umat Islam sendiri berasa tidak selamat atau terancam pegangannya. Ketenangan sebenar hanya akan wujud apabila rakyat yakin bahawa institusi Islam dijaga dengan tegas, dan menjaga keperluan serta harapan ummah.
Dalam masa terdekat, mata rakyat akan tertumpu pada pembentangan RUU Mufti Wilayah sekali lagi. Pembentangan ini menjadi ‘batu uji’ yang akan menentukan sama ada kepimpinan hari ini benar-benar serius dalam memartabatkan institusi fatwa dan kedaulatan Islam.
Adakah kemajuan atau pembangunan umat Islam itu perlu menyingkirkan kebimbangan rakyat marhaen? Di sinilah terletaknya peranan pemikir-pemikir Islam, atau NGO-NGO yang memperjuangkan agama Islam dalam negara. Bagaimana caranya untuk menterjemahkan Big Ideas, supaya ia menjadi relevan dan berkesan kepada setiap Muslim. Bukan wujud sekadar perbincangan di atas pentas atau di dalam kolokium dan forum. Jangan biarkan pihak lain menunggang isu, supaya institusi agama tidak dilihat sebagai reaktif berbanding proaktif.
Recent Comments