Rayuan Sisters In Islam (SIS) Forum untuk membatalkan fatwa kesesatan dikeluarkan pihak berkuasa Islam Selangor, akan diputuskan pada hari Khamis,

19 Jun ini. Pada tahun 2014, fatwa dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyatakan bahawa SIS menganut fahaman liberalisme dan pluralisme agama serta menyimpang dari ajaran Islam. Justeru siapakah sebenarnya Sisters In Islam ini?

Sisters in Islam ditubuhkan pada tahun 1988 oleh sekumpulan wanita Islam atas dasar untuk menangani ketidakadilan yang dihadapi wanita di bawah sistem Syariah Malaysia. Di laman web mereka, SIS menyatakan bahawa; “Pembacaan Al-Quran dengan lensa kritis dan melalui pendekatan hermeneutikal membuka dunia Islam yang kami iktiraf – sebuah dunia untuk wanita yang dipenuhi dengan kasih sayang dan belas kasihan, dan dengan kesaksamaan dan keadilan.”

SIS diasaskan bersama oleh 7 orang wanita, dan antara yang prominen ialah Zainah Anwar dan Dr. Amina Wadud. Di dalam sebuah wawancara, Zainah telah menyatakan; “Kami sangat bertuah kerana kami ada Dr Amina Wadud, yang telah tiba untuk mengajar al-Quran di UIA (Universiti Islam Antarabangsa). Dia mengajar al-Quran dan membuat tesis PhDnya mengenai wanita dan al-Quran. Oleh itu, dia membantu kami membaca Al-Quran, membaca perkataan, tatabahasa, perbendaharaan kata, pandangan dunia yang hebat, dan kaedah yang hebat untuk membantu kita melihat dunia, Al-Quran. pertunangan kerana dia seorang ulama tetapi kami membawa latar belakang aktivis kami.” – (The Sun Weekend, 17-18 Julai 2004: 10).

Justeru pegangan dan pemahaman Islam yang dibawa SIS dipengaruhi kuat oleh pegangan Islam liberal dan feminisme, yang diperjuangkan oleh Amina Wadud hingga ke hari ini. Menurut Fatwa Negeri Selangor, salah satu fahaman utama yang diangkat oleh SIS adalah pluralisme agama. Fahaman ini percaya bahawa semua agama adalah sama-sama benar dan menuju Tuhan yang sama. Tetapi fahaman sesat ini ditolak keras oleh agama Islam. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Sesungguhnya agama (yang benar) di sisi Allah hanyalah Islam.” – (Surah Ali-Imran, ayat 19)

Menyamaratakan semua agama sebagai jalan menuju Tuhan yang sama bukanlah memberi gambaran toleransi, tetapi adalah satu penyelewengan akidah yang jelas.

Menurut laporan Free Malaysia Today dan The Star, SIS pernah mempersoalkan peruntukan hukuman syariah terhadap golongan LGBT dan wanita berpoligami, serta menyokong wacana kebebasan beragama. Tambahan juga, pada tahun 2019, beberapa NGO termasuk SIS, didakwa telah menyertai satu perarakan sempena Hari Wanita Sedunia, bersama-sama penyokong hak LGBT. Dengan niat untuk memperkasakan hak wanita dan melawan “Patriarki”, SIS berarak bersama panji-panji pelangi LGBT.

SIS sejajar dengan konsep feminisme Islam yang lebih luas, bertujuan untuk memastikan kesaksamaan penuh antara lelaki dan wanita dalam Islam. Pada tahun 2003, SIS telah melancarkan satu kempen monogami. Secara halus, mesej yang dibawa menjurus kepada andaian bahawa punca wanita berpendidikan tinggi enggan berkahwin adalah disebabkan golongan lelaki berfikiran kolot dan inginkan isteri memainkan peranan tradisi seperti mengurus semua keperluan keluarga.

Tanggapan ini tidak bersifat adil, kerana kualiti hidup seseorang itu bukan hanya bergantung kepada wang dan pendidikan tinggi. Kualiti hidup yang sebenar hanya dapat dicapai melalui perkahwinan yang dirahmati. Ini kerana pernikahan akan dikurniakankan sakeenah, iaitu kualiti hidup yang sebenar, kerana terdapat rasa cinta yang sejati, kasih sayang yang mendalam, dan keikhlasan dalam menggalas tanggungjawab dalam sebuah rumahtangga.

Pengaruh fahaman feminisme yang telah menusuk masuk ke dalam Sisters In Islam, hingga mahu mengubah kedudukan masyarakat. Mencacatkan fitrah yang lurus yang dimainkan oleh institusi keluarga.

Peristiwa yang terpenting tentang pergerakan feminisme di Amerika adalah menandatangani suatu deklarasi pada 1848 yang mengakui hak wanita untuk menceraikan suaminya, memegang urusan pernikahan dan bebas memberi wasiat kepada anak-anaknya. Kemudian gerakan ini terus berpengaruh dan pada 1970, ribuan perempuan berkumpul di jalan-jalan di New York, sambil bersepanduk dan berteriak keras bahawa – “Pengasuh rumahtangga adalah pekerjaan hina”; “Kami tidak akan memasak lagi”; “Janganlah bersuami wahai pemudi”; “Bolehkan pengguguran”; dan “Patuh pada suami adalah hidup yang tidak mulia!”

Agama Islam tidak pernah menolak keperluan mempertahankan wanita muslim. Namun pembelaan dan penjagaan itu mesti berlandaskan al-Quran dan Sunnah— bukan idea-idea Barat yang dilabelkan “progresif” dan “inklusif” oleh para pengampunya. Memandangkan hakikat bahawa sebelum kedatangan Islam, orang Arab jahiliyah menguburkan anak-anak perempuan mereka hidup-hidup, dan menyuruh wanita menari telanjang di sekitar Ka’bah, ajaran yang diturunkan dalam Al-Qur’an adalah sangat revolusioner.

“Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka.” (Surah Al-Baqarah, Ayat 187)

Sama seperti pakaian melindungi aurat kita, begitu juga suami dan isteri apabila memasuki hubungan perkahwinan, mereka telah selamatkan kesucian masing-masing. Pakaian memberi keselesaan kepada badan; Begitu juga suami mendapat keselesaan pada isterinya, dan sebaliknya isteri bersama suaminya.

Dari sudut Islam liberal pula, seorang muslim yang membawa fahaman Islam Liberal melihat diri mereka sebagai reformis agama Islam. Gerakan Islam Liberal mempromosikan nilai-nilai progresif seperti demokrasi, kesaksamaan jantina, hak asasi manusia, hak LGBT, hak wanita, pluralisme agama, perkahwinan antara agama, kebebasan bersuara, kebebasan berfikir, dan kebebasan beragama; serta penolakan total terhadap Islamisme dan fundamentalisme Islam. Muslim Liberal mendakwa bahawa tafsiran semula al-Quran adalah penting, untuk mengekalkan relevannya pada abad ke-21 ini.

SIS juga secara terbuka menekankan keperluan mentafsir semula al-Quran dan Hadis agar sejajar dengan pemahaman moden tentang keadilan dan kesamarataan. Mereka berpendapat bahawa tafsiran tradisional banyak dipengaruhi konteks patriarki dan tidak lagi relevan dengan realiti wanita hari ini. Ini terbukti melalui penerbitan, program pendidikan dan wacana mereka yang mencabar amalan-amalan yang dikatakan menindas wanita atas nama agama.

Dalam satu kenyataan di portal Malay Mail (2021), SIS menyifatkan hukuman syariah terhadap pesalah seksual sebagai “ketinggalan zaman”. Kemudian pada tahun 2024, SIS sekali lagi menyelar pelaksanaan hukuman sebat terbuka terhadap pesalah khalwat di Terengganu, menyifatkannya sebagai bertentangan dengan prinsip keadilan dan maruah manusia pada pandangan mereka.

Islam tidak pernah menolak keadilan, tidak pernah meminggirkan wanita, dan tidak pernah membiarkan manusia hidup dalam kezaliman. Namun apabila nama Islam digunakan untuk menukar ajarannya sendiri, apabila al-Quran ditafsir mengikut hawa nafsu bersama agenda luar, dan apabila semua agama dianggap sama tanpa membezakan antara haq dan batil — maka ummah wajib bersuara.

Apabila hati telah diresapi dengan satu sikap bahawa dirinya yang paling pintar dan paling memahami daripada orang lain, maka apabila ia menyatu dengan penyakit gemar mengkritik orang lain, maka orang yang menghidapnya akan menjadi manusia narsisistik, yang tidak mengenal siapapun kecuali dirinya sendiri.

Catatan: Ibnu Majid

Translate »