Mendengar hujah mereka yang melihat Dr Mahathir ada keupayaan menyatukan semula orang Melayu, ia merupakan satu gambaran cuba menghidupkan makna Megalothymia dalam politik Melayu Islam dengan bergandingan bahu pada ON..ini kerana ON adalah satu-satunya alternatif yang ada ketika ini untuk Dr Mahathir “membohongi orang Melayu-Islam’.

Sejarah Dr Mahathir sebagai ahli politik yang berkuasa telah jelas tidak menepati dengan apa yang pernah diberikan kepadanya, sebagai “ultra Malay”. Sebaliknya, rekod politiknya bagi period kedua (selepas dia berjaya mengembirakan pemimpin UMNO dalam saga UMNO (Baru) 1988) sebagai PM 4 dan dalam tempoh 22 bulan sebagai PM 7 cukup menyebabkan orang Melayu bencikannya.

Perpecahan terbesar politik Melayu Islam bermula apabila PAS menjadi sebuah parti politik (1951) dan seterusnya menyertai PRU 1 (1959). PAS yang berjaya memerintah Kelantan telah memisahkan orang Melayu dengan doktrin kafir dan kemudian diperluaskan lagi dengan doktrin jihad sehingga berlaku konflik besar sebaik sahaja Haji Hadi mengeluarkan fatwanya pada tahun 1981.

Tahun 1985 menjadi kemuncak perpecahan sehingga pulau memulau, penceraian akibat perbezaan politik, terjejas hubungan silaturrahim dan sembahyang dua imam dalam premis yang sama.

Mereka yang membesar dalam konflik tersebut cukup merasai betapa jerihnya hidup dalam situasi komuniti yang berpecah. Sampai kini persoalan “keretakan orang Melayu-Islam” tidak dapat dibendung, walaupun pernah ada usaha untuk membinanya sebagai sebuah kekuatan politik Melayu Islam.

Persoalan ideologi politik antara PAS dan UMNO menjadi sengketa yang besar, bahkan ada pemimpin PAS menolak keistimewaan orang Melayu yang dilembagakan secara sah dalam Perlembagaan. Selain itu, menolak Perlembagaan kerana disifatkan tidak membawa kepada pembentukan sebuah negara Islam, tidak mensyariatkan seluruh undang-undang negara.

Namun, dalam masa yang sama, setelah sedar ketidakupayaan untuk memerintah di peringkat pusat, PAS mula menerima doktrin politik Melayu sebagai asas pemerintahan. Presiden PAS yang cukup tegas menggelarkan Perlembagaan Malaysia sebagai taghut akhirnya berikrar untuk mempertahankan jika gabungan PN memerintah.

Itu berlaku setelah PAS sudah berjaya dipujuk oleh Muhyiddin Yassin sepanjang usahanya untuk membentuk Perikatan Nasional yang sah. Apa tidaknya, parti pimpinan Muhyiddin adalah sebuah parti yang cuba menjelma sebagai alternatif bagi UMNO dan kerana itu, PAS perlu menyesuaikan diri dengan hasrat besar Muhyiddin daripada Bersatu. Tidak lagi kedengaran bahawa bukan Melayu sebagai “musuh” kerana PAS sedar selagi pengundi bukan Melayu menolak PN, selagi itulah impian besar untuk memerintah Malaysia tidak akan menjadi kenyataan.

Hakikat itu diakui oleh Naib Presiden PAS, Nik Amar Nik Abdullah. PAS sedang meniliti kenapa bukan Melayu bencikan PAS dan kaedah untuk mendekati mereka. Dalam masa yang sama Nik Amar mengakui Gerakan kadangkala ibarat selumbar dalam perjuangan PAS, mengkritik dan mengecam parti walaupun berada dalam pakatan yang sama, Perikatan Nadional. (PAS eyes support of ‘critical’ non-Malays disgruntled with govt

https://www.freemalaysiatoday.com/…/pas-eyes-support…/

Dengan hanya berharap sokongan orang Melayu, sampai bila pun PAS tidak mampu meraih kejayaan yang boleh membawanya sebagai pemerintah di peringkat pusat. Ini kerana tidak semua orang Melayu bencikan UMNO dan tidak semua orang Melayu menyokong PAS.

Dalam kalangan orang Melayu, ramai juga mereka yang menjadi manusia tidak peduli kepada penyertaan dalam parti politik. Mereka melihat, parti politik dan kepimpinan politik semakin tidak jernih tujuannya, masing-masing mahukan kuasa kerana kuasa itulah menyebabkan membesarnya budaya elitis.

PAS tidak terkecuali daripada sikap dan budaya itu. Namun, pemimpin PAS bijak menjadikan politik seumpama “soap opera” dengan menyelitkan tafsiran politik Islam. kalau kita rajin membaca tulisan-tulisan pemikir politik PAS, termasuklah kolum Minda Presiden cukup banyak kita menemui rentetan kenyataan retorik yang dibungkus dengan ayat al-Qur’an, hadis dan pandangan para ulama silam.

Kita ambil sahaja contoh tentang wajibnya umat Islam bersatu, kerana setiap daripadanya adalah “bersaudara”. Ia bermakna konsep “bersaudara” tidak ada pemisahnya, bukan hanya bersaudara kerana berada dalam satu harakah, kelompok politik dan sebagainya. Ia suatu konsep yang luas, dan cukup membuktikan persaudaraan adalah atas makna satu iman dan satu destinasi akhir, mencari tempat di akan Barzah, bukan dipisah oleh garis keahlian parti tertentu.

Benar usaha menyatukan setiap orang Islam adalah tugas dan tanggungjawab yang tidak boleh diabaikan, sejauh ini belum kelihatan pemimpin PAS berusaha untuk mengambil tanggungjawab itu secara serius, bukan sekadar seruan. Ia bukan sekadar menyelar mereka yang “terpisah” dan hanya mendekati mereka yang sedia berada dalam satu harakah. Pemimpin PAS perlu menunjukkan teladan yang berkesan, buka menyatakan mereka yang tidak mendokong parti itu “dihumban ke neraka”.

PAS bukan penentu, kerana yang menentukan seseorang umat Islam yang beriman ke syurga atau neraka adalah Allah SWT. Asas itu perlu ditegakkan dalam diri setiap pemimpin PAS kerana asas itulah yang membuktikan keEsaan Allah SWT, Tuhan yang Maha Menentukan segala apa yang sudah berlaku, sedang berlaku dan akan berlaku.

Tanggungjawab itu bukan milik PAS, namun sebagai seorang pemimpin, pemimpin itu wajib mengingatkan setiap orang bahawa Allah SWT penentu segalanya, bukan kerana menjadi ahli PAS sudah dijamin syurga. Apakah dengan menang pilihan raya semua dosa silam akan terampunkan? PASkah yang berhak mengampunkan setiap dosa silam?

Jangan terpengaruh dengan fatwa para gerejawan pada suatu ketika sehingga mereka boleh menjual surat tebus dosa. Akibat perbuatan begitu, muncul konflik besar dalam agama Nasrani sehingga perang saudara seagama yang mengorbankan ratusan ribu pemeluknya.

Akhirnya, muncul segolongan penentang dengan keyakinannya dan kelompok itu dikenali sebagai Protestan. Dalam Islam juga sengketa politik telah menyebabkan perkelahian yang besar dan budaya bunuh membunuh.

Sengketa Syiah-Sunni tidak pernah berhenti, kini muncul pula pelbagai perbalahan aliran pemikiran yang merugikan umat Islam sendiri. Sebab itulah negara-negara Islam cukup mudah untuk dikembirikan perjuangan Islam sehingga sanggup membiarkan Palestin dikeronyokkan oleh Israel, pendatang haram yang semakin gila dan hilang erti kemanusiaan.

Walaupun dikecam, Israel tidak pernah takut kerana Amerika Syarikat memayunginya dengan apa sahaja keperluan – senjata, wang, sokongan moral dan keputusan dasar.

Walaupun PAS cuba menggunakan masalah perpecahan orang Melayu-Islam sehingga muncul manipulasi politik Melayu-Islam terancam, dengan tertubuhnya Sekretariat Orang Melayu sebagai “payung besar”, ia tidak mampu.

(bersambung)

KAMARUN KH

Translate »