Innalillahi Wainna Ilaihi Raji’un. Tiada yang lebih pedih buat seorang ibu dan ayah selain menerima khabar anak yang pergi sebelum sempat menggenggam cita-cita. Anak yang dihantar dengan doa, pulang dalam linangan air mata.

Susulan kemalangan yang melibatkan para pelajar UPSI, negara kita secara kolektif harus melakukan introspeksi, tentang mengapa musibah kemalangan jalan raya sering menimpa kita. Apakah malapetaka kemalangan yang sering berlaku di negara kita ini dianggap sebagai satu takdir? Kerana segala sesuatu yang tidak kita inginkan di waktu yang tidak tepat, disebabkan oleh kesalahan yang kita perbuat sendiri, bukan datangnya dari Allah SWT.

Bukankah setiap kesalahan dan kebaikan walaupun sekecil zarah akan diberi ganjaran? Jika demikian, tentu musibah dan kenikmatan yang kita dapatkan tidak lepas daripada kesalahan dan kebaikan yang kita lakukan. Mereka tidak mengetahui bahawa lapang dan sempitnya rezeki tidak berkaitan dengan murka atau redha Allah, tetapi berkaitan dengan hukum-hukum alam yang diciptakan-Nya. Perolehan seseorang – positif atau negatif – berkaitan dengan sikapnya terhadap hukum-hukum alam yang mencerminkan kehendak Allah itu.

Jean Paul Sartre, ahli falsafah Perancis terkemuka, mengingatkan dua hal yang mungkin dapat meringankan malapetaka kematian: Bahawa kematian merupakan bahagian dari kehidupan. Justeru, tidak seorang pun yang hidup kecuali akan mati; dan semakin ramai orang yang terdedah oleh malapetaka, semakin ringan sentuhannya di hati mereka. Episod kematian membabitkan semua orang, kerananya ia seharusnya tidak menimbulkan kesedihan yang berlarutan.

Pandangan ahli falsafah ini pada asasnya bersumber kepada kenyataan al-Quran. Allah memperingatkan kepada kita bahawa manusia pasti mengalami kematian. Allah memperingatkan dalam al-Quran bahawa, setiap yang bernyawa akan merasakan kematian. Bahkan, seandainya ada seseorang yang dianugerahi usia yang tak berkesudahan, pasti dia adalah Rasul Muhammad SAW. Namun, baginda pun, jauh sebelum wafatnya, telah diberi peringatan oleh Tuhan bahawa, “Sesungguhnya engkau akan mati, sebagaimana mereka pun akan mati.”

Walaupun al-Quran menamakan kematian sebagai malapetaka namun di sebalik malapetaka, kematian merupakan rentetan nikmat yang dianugerahkan Tuhan. Kematian adalah jalan satu-satunya menuju kebahagiaan abadi. Inilah agaknya yang merupakan salah satu sebab mengapa kata-kata syukur, yang berpunca daripada wujudnya nikmat, dalam al-Quran sama banyak dengan kata-kata musibah (malapetaka), yakni masing-masing sebanyak 75 kali.

“Allah (Yang Menguasai Segala-galanya), Ia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya, dan jiwa orang yang tidak mati: dalam masa tidurnya; kemudian Ia menahan jiwa orang yang Ia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir (untuk memahaminya).” – Surah Az-Zumar, Ayat 42

Ayat di atas menggambarkan bahawa kematian sama dengan tidur. Bahkan, pengertian tersebut secara jelas diterangkan oleh hadis Nabi SAW ketika baginda ditanya: “Apakah di dalam syurga ada tidur? Baginda menjawab: “Tidur adalah saudara mati. Di syurga tiada mati dan tiada pula tidur.”

Nabi SAW mengajarkan juga kepada kita agar, setiap bangun dari tidur, membaca: “Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami setelah Dia memutuskan kami (menghidupkan dalam erti membangunkan dan mematikan dalam erti menidurkan).”

Apa yang dikemukakan al-Quran dan hadis-hadis tersebut selari dengan apa yang dikemukakan ahli falsafah Jerman, Schopenhauer, sewaktu ia berkata: Mengantuk itu nikmat, tapi lebih nikmat lagi tidur. Sedangkan yang lebih nikmat daripada tidur adalah mati.

Namun demikian, apa yang tidak diungkapkan oleh ahli fikir tersebut ternyata diungkap oleh al-Quran dan hadis-hadis Nabi dengan lebih terperinci lagi. Yakni bahawa ada faktor-faktor luaran yang dapat menjadikan kematian lebih nikmat lagi, sebagaimana ada pula yang dapat menjadikan kematian sangat pedih dan mengerikan.

Al-Quran menceritakan: “Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari masa ke semasa (dengan memberi ilham): “Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.” – Surah Fussilat, Ayat 30

Selain itu, Nabi Muhammad menjelaskan: Siapa yang suka bertemu dengan Allah, Allah pun suka bertemu dengannya. Para sahabat berkata sambil bertanya: Siapakah yang senang mati, wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Bukan itu yang saya maksudkan. Tetapi seorang Mukmin, bila saat kematiannya datang, ditampakkan di pelupuk matanya tempat tinggal dan kebahagiaan yang menantinya di syurga, sehingga ia berkeinginan untuk segera bertemu dengan Tuhan demi mendapatkan apa yang dilihatnya itu.

Introspeksi juga perlu dibuat oleh pihak berkuasa, tentang bagaimana kemalangan nyawa boleh dielak atau diminimalkan pada masa akan datang. Pelbagai langkah dan usaha perlu diambil, seperti menaik taraf kondisi jalan, penataan cahaya yang cukup, serta penguatkuasaan ketat ke atas pemandu dan kenderaan komersil. Kehilangan nyawa pelajar-pelajar yang merupakan masa depan negara, wajib diambil berat. Malah pada tahun 2023 sahaja, seramai 6,068 terkorban akibat kemalangan jalan raya.

Salam takziah diucapkan kepada keluarga yang terlibat. Semoga dipermudahkan segala urusan dan diberikan kekuatan oleh Allah SWT, dan menempatkan anak-anak syurga ini di dalam rahmat-Nya.

Catatan: Ibnu Majid

Translate »