Sekretariat Orang Melayu (SOM) akhirnya berjaya dilancarkan oleh dua orang bekas PM sebagai wadah untuk menyatukan orang Melayu agar selepas PRU ke-16 akan muncul semula kerajaan dominasi Melayu.
Sekali pandang, ia merupakan satu realiti politik yang menarik dan ia boleh dianggap kemuncak kepada dakwaan pada pemimpin Perikatan Nasional bahawa politik Melayu-Islam di Malaysia sedang terancam. Dalam perspektif yang lain, dengan berbaiknya dua orang bekas PM dalam satu wadah perjuangan, memberikan kita satu kesimpulan apa yang dicanangkan itu sebagai usaha untuk salah seorang bangkit semula di tampuk kuasa.
Itulah yang dibayangkan oleh bekas pemimpin UMNO dan menteri yang kemudiannya hilang dalam radar parti politik tanah air, Zaid Ibrahim bahawa SOM yang dianggap sebagai “payung besar” tidak mampu untuk menumbangkan Anwar Ibrahim yang berkuasa menerusi kesepakatan parti-parti politik kecuali Perikatan Nadional dan Pejuang.
Apabila Dr Mahathir “berbaik” dengan Muhyiddin setelah mereka berbalah dalam Langkah Sheraton, ia menampakkan usaha Dr Mahathir untuk memulihkan imej politiknya yang tercalar. Dengan Pakatan Harapan, Dr Mahathir sangat diingati oleh Amanah, PKR dan DAP kerana membelakangkan majlis tertinggi PH tatkala memutuskan untuk meletakkan jawatan.
Persoalan ini dikecam keras oleh Dr Mujahid Yusuf Rawa. Sepatutnya sebelum menghantar surat meletakkan jawatan, Dr Mahathir wajar memberitahu kepimpinan PH, bukan keputusan seorang diri. Ini kerana sewaktu dipersetujui untuk memimpin PH, ia menunjukkan muafakat dan tekad yang sama, termasuk mendapat restu Anwar Ibrahim. Kita tahu, Anwar pernah memberikan keyakinan bahawa Dr Mahathir tidak akan khianat sekali lagi sebagaimana berlaku pada tahun 1998.
Setelah dipecat keahlian Bersatu, Dr Mahathir menubuhkan Pejuang bersama anaknya, Mukhriz dan beberapa orang pengikut setianya. Ia kemudian membawa kerjasama menubuhkan Gerakan Tanah Air (GTA). Kesemua calon GTA tewas dan hilang deposit pada PRU ke-15. Pejuang ketika ini dilihat tidak bermaya, maka untuk mendapat platform berjuang atas retorik Melayu, mahu tidak mahu perlu bermuafakat dengan Perikatan Nasional.
Awalnya, Bersatu seolah-olah diketepikan. Dr Mahathir berjaya memujuk Presiden PAS untuk bersama dan setelah hampir dua tahun baharulah ada persetujuan dengan Muhyiddin, yakni dilancarkan SOM pada 5 Jun 2025.
Apakah Dr Mahathir boleh dianggap tokoh yang cukup berpengaruh dalam kalangan orang sehingga SOM boleh mencapai matlamatnya? Orang Melayu sekarang sudah semakin cerdik, dan mereka tidak mudah diperbodohkan sebagaimana Dr Mahathir pernah lakukan sepanjang pentadbirannya selama 22 tahun di bawah dominasi UMNO/BN.
Setiap rakyat Malaysia yang membesar pada zaman awal kemunculan Dr Mahathir pada tahun 1980-an ingat akan gelaran yang dirujuk kepadanya sebagai “ultra Malay”. Ya, pada awal mendapat kuasa, Dr Mahathir berusaha untuk membangun jiwa orang Melayu, dengan mencabar mereka agar berubah. Ketika itu muncullah retorik Melayu Baharu yang menjadi label pemikiran MB Selangor, Muhammad Mohd Taib.
Di awal pentadbirannya, beliau turut mengarahkan semua lulusan universiti awam, yang mendapat biasiswa atau dermasiswa kerajaan persekutuan diserap ke dalam perkhidmatan pegawai sangkut. Dengan itu, sedikit sebanyak isu pengangguran siswazah dapat diatasi.
Apabila muncul siswazah pendidikan Islam daripada Timur Tengah, maka beberapa kaedah menyerap masuk mereka ke dalam perkhidmatan awam dilaksanakan, sama ada secara tetap mahupun secara kontrak (One line vote, contract of service dan sebagainya). Ia sedikit sebanyak berjaya menghalang lebih ramai siswazah dalam bidang agama menyertai PAS.
Namun, sepuluh tahun kedua (1991-2003), Dr Mahathir sudah mula memperlihatkan dasar pembinaan negara menjadi semakin tidak memihak kepada orang Melayu. Alasannya, orang Melayu malas, orang Melayu mudah selesa, orang Melayu mudah lupa, dan orang Melayu tidak bersungguh-sungguh melaksanakan kerja.
Psikik orang Melayu wajib diubah, maka sejak itulah jiwa korporatnya mula melanda parti dan sektor awam. Penyertaan politik dianggap sebagai “lubuk mencari kekayaan peribadi”, termasuk usaha mencairkan aset-aset parti dan kepentingan Bumiputera.
Alasannya mudah, kerajaan tidak sanggup mengeluarkan belanja setiap tahun akibat tidak cekap mengurus dan berniaga. Beberapa individu mula menonjol, walhal sebelumnya nama-nama tersebut tidak dikenali sebagai pelopor peniaga Melayu yang berjaya.
Beberapa projek infrastruktur yang awalnya menjadi inisiatif kerajaan, dipindahkan kepada individu atau syarikat tertentu. Kita tahu, projek lebuh raya utara selatan awalnya dilaksanakan oleh Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM), kemudian diswastakan menerusi proksi Menteri Kewangan.
Daim Zainudin memiliki pegangan utama dalam United Engineering Malaysia (UEM), dan kemudiannya menubuhkan Highway Concessionaires Berhad. Beberapa lama kemudian, ditubuhkan pula Renung Berhad untuk mengambil alih PLUS.
Dua entiti inilah yang menguasai PLUS sehinggalah selepas pentadbiran Dr Mahathir, ia menjadi milik KWSP, Permodalan Nasional Berhad (PNB), TH dah Khazanah Nasional, melalui PLUS Expressway Berhad (PEB). Pada musim kedua Dr Mahathir sebagai PM (Mei 2018- Februari 202), ada ura-ura untuk menjual kepentingan Khazanah Holdings dalam PLUS, di mana empat entiti menunjukkan minat, iaitu Maju Holding Sdn Bhd., Widad Business Group (WBG), RRJ Capital dan jutawan Tan Sri Halim Saad, yang pernah dikaitkan sebagai proksi Tun Daim Zainuddin dalam Renung Berhad.
Aset-aset milik Allahyarham Daim Zainudin dan keluarga sedang dipersoalkan kesahihannya. Terbaharu selain disita sekali lagi Menara Ilham setinggi 60 tingkat di Kuala Lumpur, SPRM berjaya mendapat kebenaran mahkamah untuk membekukan asetnya di luar negara (tiga buah kediaman mewah dan sebuah pusat beli belah) dan akaun bank. Kesemuanya aset yang dibekukan itu dianggarkan bernilai lebih tiga suku bilion ringgit (160 juta pound sterling, sekitar RM 758 juta). Alasannya, aset-aset itu tidak pernah diisytiharkan dan dibayar cukai, selain kepemilikannya diragui. Isterinya, Na’imah Abdul Khalid berusaha untuk mencabar keputusan pembelian aset-aset tersebut.
Tidak sekadar itu, seorang lagi orang yang dipercayai oleh Dr Mahathir dalam siri penswastaannya ialah Tan Sri Abu Shahid, pemilik kumpulan Maju Holding. Ketika Perwaja Steel berhadapan dengan krisis, Maju Holding diberikan hak memilikinya, dengan harapan ia dapat dipulihkan. Perwaja Steel diketuai oleh Tan Sri Eric Chia, seorang yang sangat dipercayai dapat membangunkan industri keluli di Malaysia. Akhirnya, Perwaju Steel gulong tikar.
Mahu holding mendapat pelbagai keistimewaan semasa Dr Mahathir, termasuklah arahan TH agar membeli dua buah bangunan yang dibina, iaitu Maju Junction dan TH Selborn. Apa yang menjadi tanda tanya sekarang ialah kenapa TH dipaksa membeli dua bangunan itu dengan harga terlalu tinggi? Ia membuktikan Dr Mahathir berjaya memaksa TH membeli aset yang mahal. TH juga berhadapan dengan beberapa projek yang gagal, yang diarahkan oleh Dr Mahathir semasa sedang menggila dengan Dasar Penswastaan dan Persyarikatan Malaysia.
Kita juga tahu, Dr Mahathir juga gagal dengan usaha untuk menjadikan Cyberjaya seumpama Silikon Valley Malaysia. Kita digembar-gemburkan dengan pelbagai flagship pembangunan negara berasaskan teknologi sehingga mengetepikan sektor tradisi yang banyak disertai oleh orang Melayu, yakni pertanian dan perikanan. Tidak ada dasar yang jelas mengenai sektor itu setelah beliau menulis Dasar Pertanian Negara pada awal tahun 1980. Selepas tahun 1990, penekanan terlampau kepada pembangunan industri dan industri berat. Itulah yang kita disogokkan dengan istilah Multimedia Super Corridor (MSC), yang berada antara KLCC hingga ke Cyberjaya.
Muncul pula inisiatif Sekolah Bestari, namun setelah berbelanja besar, konsep Sekolah Bestari tidak menjadi kenyataan. Banyak faktor kegagalannya, termasuk penyediaan internet ke sekolah dan pembinaan infrastruktur, makmal komputer, penyediaan course-ware, dan latihan guru. Ia kemudiannya diubahsuai kepada konsep Pendidikan Abad ke-21. Konsep ini pun menemui kegagalan. Kemuncaknya, apabila berlakunya pandemik COVID-19, konsep pembelajaran dari rumah terkial-kial mencari bentuknya.
(bersambung)
KAMARUN KH
Recent Comments