“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta-benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintah-Nya). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka itulah orang-orang yang rugi.” (al-Munafiqun, ayat 9).
Ayat itu dengan jelas mengarahkan setiap daripada kita (umat Islam) menjalani hidup dengan ikhlas, baik dalam perkara-perkara yang bersifat ritual agama pada perilaku, percakapan dan pemikiran. Namun, dalam seruan itu, masih ramai yang tidak ikhlas dalam setiap percakapan, pergaulan dan melaksanakan sesuatu tindakan termasuk ritual agama atau ibadah.
Selain mengerjakan ibadah sunat dua rakaat pada paginya, setiap daripada kita dianjurkan untuk berkorban sebagai sebuah keikhlasan mensyukuri nikmat yang telah diberikan dan dalam masa yang sama mengingati mereka yang kurang bernasib baik, yakni golongan miskin.
Jika pada bulan Ramadhan kita menahan lapar, dahaga dan berjuang mengekang nafsu, pada perayaan Aidiladha kita melakukan ritual ibadat korban – menyembelih binatang ternakan (lembu, kambing, unta, kibas dan sebagainya)- dengan daging sembelihan itu diagihkan kepada fakir miskin. Hukumnya ialah sunat muakkad (digalakkan).
Saban tahun kita kadangkala mengukur “keikhlasan” itu dengan menyebut-nyebut jumlah binatang ternakan yang disembelih sebagai ibadat korban. Semakin banyak jumlahnya, maka ramai pula yang membuat kesimpulan semakin meriah sehingga tiga hari yang dibenarkan dalam ibadat tersebut semacam satu bentuk pesta.
Apa tidaknya, sepanjang tiga tahun itu persekitaran masjid, surau ataupun dewan orang ramai dipenuhi oleh manusia, sama ada sebagai sukarelawan melapah dan mengagihkan daging korban. Lebih meriah lagi jika pihak pengurusan masjid atau surau mengambil daging korban itu untuk kenduri setaman, yang dilaksanakan secara sukarela. Apa pun, yang pentingnya ialah kelompok miskin dalam kawasan berkenaan tidak disisih, mereka diajak bersama untuk “makan kenduri” atau diutamakan dalam agihan daging korban.
Ritual itu ramai daripada kita fahami dengan jelas. Namun, ketika selesai sembahyang sunat Aidiladha dua rakaat, kita mendengar khutbah yang sama setiap kali musim itu tiba. Temanya ialah kisah pengorbanan Nabi Ismail AS yang penuh ikhlas (tanpa ragu-ragu dan menitipkan pelbagai persoalan) sedia dikorbankan oleh ayahnya sendiri Nabi Ibrahim AS.
Nabi Ibrahim AS yang begitu lama mengharapkan kehadiran zuriat, akhirnya akur dengan perintah Allah SWT untuk mengorbankan anaknya sendiri semata-mata menurut perintah-Nya. Ini bererti, dalam apa situasi pun Nabi Ibrahim AS tidak membantah perintah-Nya walaupun terpaksa “menyembelih” anaknya sendiri, yang telah sekalian lama diharapkan kehadirannya sebagai penyambung zuriat.
Kita juga turut diselitkan dengan kisah bagaimana mulianya hati seorang anak remaja tatkala mendapat tahu bahawa dirinya akan dikorbankan demi sebuah perintah dari Allah SWT. Betapa besar dan ikhlasnya si ayah untuk melaksanakan “arahan” dan si anak yang “menyerah diri”. Ribuan tahun lamanya kisah itu terjadi. Ribuan tahun kisah itu diulang-ulang sebaik sahaja kita memasuki bulan Zulhijjah. Tetapi, sejauh manakah kita bersedia berkorban sebagaimana kisah tersebut dengan rasa syukur, ikhlas dan rendah diri dalam nelaksanakan ritual itu?.
Saya cuba bercerita mengenai beberapa kisah yang saya dengar dan juga alami sendiri. Kisahnya bermula dengan cerita orang politik yang menaja lembu korban untuk kawasan pilihan raya yang diwakilinya. Andaikan dalam konstituensinya ada 15 surau dan sebuah masjid, maka setiap tahun ia sedekahkan seekor lembu bagi setiap surau dan masjid. Ia bererti YB memerlukan 16 ekor lembu. Untuk seekor lembu harganya antara RM 5,00O hingga RM 7,000. Kalau lembu sado, harga seekor lebih lagi. Boleh sampai RM 25,000 seekor.
Ada juga YB bersedia unta untuk dikorbankan, tetapi tidak semua suara akan dapat seekor unta. Mungkin unta adalah untuk masjid. Suatu ketika popular korban unta, yang kebanyakannya diimport dari Australia. Kini sudah jarang kita dengar.
Kita tolak unta dan lembu sado. Kisah korban unta pun jarang kita dengar sekarang. Beberapa tahun lalu, korban lembu sado jadi bualan masyarakat, bahkan ikut diberita-sensasikan oleh wartawan, kata orang masuk TV.
Kita kisahkan korban lembu biasa, tapi tidak semua lembu kampung, banyaknya lembu import. Khabarnya pada tahu ini dianggarkan sejumlah 78 ribu ekor lembu akan dijadikan lembu korban. Jika setiap ekor harganya RM 7,000, maka sebanyak RM 546 juta transaksi berlaku, atau lebih setengah bilion. Lumayan sekali perniagaan lembu korban. Kalau setiap ekor boleh untung RM 500, kalau ada 100 ekor, untungnya RM 50,000. Cukup untuk tampung perbelanjaan keluarga secara sederhana dalam tempoh setahun.
Seorang bekas YB pernah menceritakan, bila tiba musim korban, dirinya perlu cari penaja untuk beli lembu demi menjaga hati pengundi dalam konstituensi. Katanya, paling tidak untuk musim korban, dia perlukan RM 200,000 untuk “derma lembu korban”. Kalau tidak, dia dianggap YB kedekut. YB kedekut tentunya boleh ialah bila dicalonkan semula untuk bertanding. YB juga tidak mahu kalah, atau digelar “sengkek”.
Maknanya dalam tempoh lima tahun YB perlu bajet RM 1 juta untuk sedekah lembu. Belum lagi dikira belanja untuk bertanding merebut ketua bahagian atau mempertahankannya. Belum lagi dikira sedekah ziarah kematian dan juga kenduri kahwin. Agaknya itulah yang turut difikirkan oleh YB Ketereh, minta kerajaan pusat pertimbangkan peruntukan untuk wakil rakyat.
Sekali sekali kita bertanya dalam hati, apakah sedekah lembu korban itu menunjukkan rasa syukur dan penuh keikhlasan? Hanya YB itu sendiri yang mampu menjawabnya, sama ada benar atau tidak. Sebahagian daripada kita hanya menduga, “keikhlasan” ada maknanya. Ia suatu simbolik untuk mengekalkan pengaruh dan juga jaga hati pengundi dalam konstituensi sendiri.
Dalam melapah dan mengagihkan daging korban ada juga cerita yang sudah menyimpang daripada keperluan korban itu sendiri. Walaupun tidak semua penaja korban bersikap memilih daging yang paling diminatinya sebagai sebahagian daripada bahagiannya, ada usaha untuk hanya bersedekah daging yang tidak disukainya. Sepatutnya, semua jenis daging itu dibahagikan sama rata menurut bahagian daging secara keseluruhannya.
Lucu juga bila mereka yang melapahnya sudah tentukan apa bahagian yang mereka akan ambil sebagai upah. Ada yang minat torpedo dan ada yang minat gear box. Menariknya, jika yang bergotong royong itu ikut serta adalah rakyat asing, rakyat Bangladesh cukup gembira bila dapat bahagian kepala. Bagi rakyat Indonesia, mereka lebih suka bahagian kaki untuk diambil urat keting dan dimasak sup. Memang urat keting cukup mahal jika sudah dimasak. Kalau nak tahu, pergilah ke kedai Nasi Padang, tanyalah berapa harga seketul urat keting yang sudah dimasak.
Secara jelasnya, dalam ibadat korban selain rasa syukur di atas rezeki yang diberikan, ia juga membawa maksud sebahagiannya adalah milik yang wajib dikorbankan. Tujuannya adalah mencari keberkatan di atas apa yang kita usahakan, bukan “mencuci” harta yang dimiliki secara tidak sah. Ia juga menjadi lambang keikhlasan diri, menolak sikap haloba dan budaya munafik yang muncul tatkala seseorang itu berada dalam situasi yang digelar mewah atau kaya.
Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulumuddin menulis: “Korban bukan hanya tentang menyembelih haiwan secara fizikal, tetapi juga sebagai simbol penyembelihan sifat-sifat kebinatangan dalam diri manusia, seperti kerakusan, egoisme dan cinta dunia yang berlebihan. Tujuannya adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan mengorbankan hawa nafsu dan sifat-sifat negatif yang menghalangi hubungan dengan-Nya.”
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada Hari Raya Korban yang lebih disukai Allah selain daripada mengalirkan darah (haiwan korban). Sesungguhnya ia (haiwan korban itu) akan datang pada Hari Kiamat kelak dengan tanduk, bulu dan kakinya. Dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada (redha) Allah sebelum titisan darah itu jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kalian dengan berkorban.” (Riwayat at-Tirmizi, hadis Hasan Gharib).
KAMARUN KH
Recent Comments