Tidak ada yang mustahil dalam politik dan kerana itulah politik sentiasa digelar *seni dan saing kemungkinan”. Setiap hari muncul strategi dan setiap hari ada yang berlaku, sama ada secara terbuka atau senyap-senyap.

Seorang wakil rakyat, juga seorang pemimpin parti. Tidak ada wakil rakyat yang tidak berusaha untuk mencari posisi dalam parti, bukan sekadar menjadi ahli sampai mati. Inilah yang kita lihat, perlumbaan untuk mendapatkan tempat dalam parti cukup sengit. Ada berita besar yang terbuka dan ada cerita baharu terjual sehingga seseorang penyandang boleh kalah dengan cukup mudah.

Rafizi Ramli kalah mempertahankan jawatan Timbalan Presiden manakala Nurul Izzah berjaya dengan kelebihan majoriti lebih satu setengah kali ganda. Setelah kalah, Rafizi tunaikan janji, meletakkan jawatan dalam kabinet. Jejaknya diikuti oleh rakan senasib, iaitu Nik Nazmi Nik Ahmad.

Ekoran kekosongan dua jawatan itu, ia membuka pelbagai spekulasi dan pengaturan. Ia tambah “geger” apabila Tengku Zafrul Tengku Aziz meletakkan semua jawatan dalam parti yang memberikan ruang sehingga dilantik sebagai menteri walaupun tidak bergelar wakil rakyat (2020). Pelantikan itu adalah atas cadangan UMNO, yang ikut bersama menumbangkan Pakatan Rakyat dalam Langkah Sheraton (Februari 2020).

Kisah langkah politik dalam PKR sudah beberapa yang berlaku, termasuk Langkah Permatang Pauh yang terkenal sebagai “pengorbanan” seorang suami kepada isteri (1999), kemudian isteri kosongkan kerusi untuk “dikembalikan” kepada si suami (2008). Kemudian si suami berikan kerusi itu kepada puteri sulongnya (2018). Sayangnya, puteri sulong gagal mempertahankan “aset”, maka Permatang Pauh sudah menjadi milik Perikatan Nadional (PAS) sejak November 2022.

Tahun 2009 ada langkah telah dibuat untuk menukarkan penyandangnya dengan pelbagai dakwaan, hanya kerana mahu meletakkan “ayam emas”nya sebagai Timbalan Ketua Menteri, kerana pemilihan calon pada PRU ke-12 dianggap seperti “tangkap muat”. Langkah Penanti berjaya menukarkan Khairudin kepada Kansir Othman, melalui PRK.

Kemudian sekali lagi cuba diulangi dengan “memaksa” penyandang DUN Kajang mengosongkan kerusi. Bagaimanapun perancangan Langkah Kajang ada masalah di peringkat awal, maka si suami yang bercita-cita besar mencadangkan isterinya bertanding. Setelah isterinya menang, diusahakan untuk menggantikan MB Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Khalid adalah seorang yang setia, dan sanggup menganjurkan sebuah pertemuan besar di Kelab Sultan Sulaiman, sebagai garis pemisah antara larangan dan kebenaran berpolitik. Ramai yang menganggap Langkah Kg Baru itu akan berjaya, berjaya menukarkan kerajaan pusat yang ketika itu berjaya dinafikan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat. Dilengser oleh Pakatan Rakyat, BN hilang kuasa di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor (PRU 12, 2008).

Dari situ tercetuslah gelombang Road to Putrajaya, atau Langkah ke Putrajaya. Oleh kerana termakan dengan retorik politik, ramai yang percaya Langkah Putrajaya akan berjaya, kerajaan pusat akan bertukar kepimpinannya. Ia ditetapkan akan berlaku pada 16 September 2008, yang pada hari ulangtahun penubuhan Malaysia ke-45.

Langkah itu tidak berjaya dan lapan bulan kemudian (4 Februari 2009), berlaku krisis politik di Perak. Krisis ini ditandai dengan tumbangnya kerajaan Pakatan Rakyat. Namun gabungan DAP-PKR-PAS terus memberikan tekanan sehingga DUN Perak tidak dapat bersidang hampir tiga bulan. Sekumpulan wakil rakyat Pakatan Rakyat bersidang di bawah pokok ketapang, dan seterusnya dipindahkan ke sebuah hotel. Sebuah tugu peringatan dicadangkan sebagai memori kejatuhan.

13 Mac 2009, Dr Zambry Abdul Kadir dilantik sebagai MB Perak yang baharu. Nizar Jamaludin enggan menerima pertukaran tersebut lalu memfailkan proses undang-undang. Sidang pertama DUN selepas tumbangnya Pakatan Rakyat diganggu oleh wakil rakyat yang tidak berpuas hati dengan perubahan tersebut. Majlis perasmian pada 7 Mei 2009 tertangguh beberapa jam, namun akhirnya berjaya dilakukan setelah kekecohan yang berlaku dapat ditangani.

Ekosistem politik Malaysia tidak cukup akan, sentiasa ada cubaan untuk memburuk-burukkan kerajaan yang memerintah. Muncul pelbagai tindakan dalam bentuk agitasi politik oleh Pakatan Rakyat termasuklah “unggun api”, “duduk bantah” dan memijak-memijak poster atau potret pemimpin negara. Langkah songsang itu turut diambil bahagian oleh pemimpin PAS. Beberapa buah NGO seperti Bersih terus berperanan menjadi kumpulan pendesak, namun kecondongannya dilihat cukup prejudis terhadap kerajaan yang memerintah.

Setelah berlakunya perpecahan dalam Pakatan Rakyat, terbubarnya Tahalluf Siyasi, satu pakatan baharu muncul pada tahun 2017. Ketika itu, Tun Dr Mahathir menjadi penggerak yang cukup berpengaruh sehingga mampu meyakinkan Anwar Ibrahim yang masih berada dalam Penjara Sungai Buloh. Pada PRU ke-14 (2018), BN kalah teruk dan peralihan kuasa benar-benar berlaku di peringkat pusat. Dr Mahathir kembali dilantik sebagai PM.

Anwar kemudiannya mendapat pengampunan di raja. Anwar kemudiannya melakukan langkah kembali ke Dewan Rakyat dengan “mengarahkan” penyandang kerusi Port Dickson berundur. Setelah menang, Anwar terus melaksanakan langkah strateginya, tetapi dengan hati-hati untuk tidak menunjukkan keperluannya untuk segera mengambilalih kuasa.

Tetapi, penggeraknya terus memberikan tekanan, dan dalam masa yang krisis menjadi lebih serius apabila Azmin Ali memulakan langkah yang lebih berani, Langkah Sheraton. Pada 24 Februari 2020, Pakatan Harapan timbang. Azmin Ali dan wakil rakyat PKR yang bersengkongkol diberikan gelaran sebagai pengkhianat oleh Anwar.

Sejak tumbangnya Pakatan Harapan, pembentukan kerajaan di peringkat pusat dan negeri (Pahang dan Perak) bergerak berdasarkan acuan muafakat antara parti selepas pilihan raya. Ia menjadi langkah baharu dalam politik Malaysia sejak merdeka. Sebelumnya, pembentukan muafakat antara parti berlaku sebelum pilihan raya. Ertinya budaya kerajaan muafakat selepas pilihan raya (disebabkan tidak mencapai majoriti mudah), semakin diterima sebagai proses demokrasi walaupun kerjasama itu untuk suatu tempoh tertentu. Pakatan yang wujud cukup longgar dan ianya berkisar pada tujuan membentuk kerajaan.

Kali ini, setelah ada sedikit keretakan dalam Pakatan Rakyat setelah Rafizi dah Nik Nazmi meletakkan jawatan, dan melompatnya Tengku Zafrul ke PKR, ia dilihat boleh memberikan kesan kerjasama BN dan PH. Tengku Zafrul yang diketengahkan oleh UMNO dan diberikan jawatan sebagai menteri, seperti hilang “budi”. Mungkin pada jangkaan Tengku Zafrul, budaya politik UMNO tidak dapat dijiwainya dan juga kegagalan memanfaatkannya setelah memimpin UMNO Bahagian Kota Raja.

Resah itu mendapat ruang kelegaan apabila berada dalam PKR. Mungkin akan dicalonkan untuk PRU ke-16, dan ketika ini, penghijrahan tersebut dikatakan ada harapan untuk dilantik sebagai MB Selangor. Pada PRU 15, beliau turut disebut-sebut sebagai calon MB Selangor jika BN menang. Namun, Tengku Zafrul tidak bertanding di peringkat DUN, hanya bertanding di Parlimen Kuala Selangor. Beliau kalah. Jika sekali lagi dicalonkan di Kuala Selangor (PRU 16), atas tiket BN, beliau yakin akan ialah lagi sekiranya Dr Zulkifly Ahmad (Menteri Kesihatan) kekal mewakili PH.

Angin cukup kuat bertiup, kononnya Tengku Zafrul adalah calon MB. Ada desas-desus, Amirudin Shaari akan diminta mengosongkan kerusi DUN SG Tua. Setakat ini, MB Selangor “gelabah” kerana sangat mengharapkan kedudukannya sebagai MB Selangor akan kekal. Tidak siapa tahu apa yang ada dalam percaturan Presiden PKR setakat ini. Kebiasaannya, setelah sedikit reda, penafian yang dibuat akan menjadi kenyataan. Suatu kelaziman budaya politik Malaysia.

Beberapa hari lalu, UMNO kedengaran kouta jawatan kabinet wajar dikekalkan (tujuh jawatan menteri penuh). Sekarang tinggal enam. Kurang satu akibat Tengku Zafrul melompat parti. PMX sudah pun memberikan “makluman awal”, Menteri ekonomi yang dikosongkan oleh Rafizi boleh dipenuhi oleh calon UMNO/BN. Ada khabar seterusnya bertiup, mungkin Khairy Jamaludin akan dibawa kembali ke pangkuan UMNO dan ditawarkan sebagai Menteri Ekonomi. Apa pun, setakat ini ia masih dicakapkan sebagai sebuah spekulasi, kerana langkah membawa balik Khairy belum kedengaran.

Apakah langkah berikutnya? Masih banyak usaha perlu dibuat sekiranya kerajaan perpaduan ingin kekal memerintah. Pertama perlu elakkan daripada mengumpan bola tanggung, pakatan pembangkang sedang menanti untuk dipukul mati.

Kedua, sebarang perselisihan atau rasa terkilan ekoran keluarnya Tengku Zafrul daripada UMNO kemudian diterima sebagai ahli PKR, dibincangkan dalam semangat kerjasama, bukan saling bertekak di media sosial.

Ketiga, ada pihak mencadangkan agar jika Khairy “dikembalikan” semula kepada UMNO dan kabinet, beliau sepatutnya dilantik sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, bukannya Menteri Ekonomi.

Sebabnya, Rafizi sebelum meletakkan jawatan sudah menyiapkan kerangka Rancangan Malaysia ke-13 (2026-2030) yang memberikan tekanan terhadap reformasi ekonomi dan pendidikan. Ertinya, tentunya ada beberapa perkara yang berbeza pendekatannya nanti, jika Khairy cuba menyudahkannya. Ia akan mengakibatkan berlakunya rombakan pendekatan dan juga perspektif.

Apa pun yang dijangka oleh orang ramai, tidak semestinya selari dengan apa langkah berikutnya yang akan diambil oleh Presiden UMNO dan PMX. Sebahagian daripada kita hanya mampu menduga, atau berteka-teki, namun yang lebih perlu dimanfaatkan ialah kerjasama tidak tergugat dengan melompatnya Tengku Zafrul, sekurang-kurangnya sehingga akhir tempoh PR ke-15, masih berbaki dua setengah tahun.

(kredit foto: pelbagai sumber media sosial)

KAMARUN KH

Translate »