Tahun 2007, kerana inginkan kemenangan PAS bertahaluf Siyasi dengan DAP dan PKR membentuk Pakatan Rakyat. Tujuannya, PAS-PKR-DAP teringin sangat untuk menjatuhkan kerajaan yang diterajui oleh BN.

PRU 2008, Pakatan Rakyat cuma menang 82 kerusi (termasuk satu kerusi Bebas), gagal membentuk kerajaan di peringkat pusat. Pakatan Rakyat hanya berjaya membentuk kerajaan negeri – Perak, Kedah, Selangor- dan kekal memerintah Kelantan (sejak 1990).

Kerajaan Perak kemudiannya tumbang apabila wakil rakyat Pakatan Rakyat membuat keputusan menyokong BN, maka terbubarnya kerajaan yang diterajui oleh PAS (kompromi dengan DAP). Ia hanya mampu mentadbir negeri Perak untuk tempoh 11 bulan (Mac 2008 hingga Februari 2009).

Selepas PRU 2013, tahalluf Siyasi PAS-PKR-DAP mula bermasalah. Menjelang PRU 2018, PAS membentuk Gagasan Sejahtera, dan ketika itu muncul istilah “king maker”.

Ketika bertahaluf siyasi, PAS secara asasnya merestui pentadbiran DAP di Pulau Pinang dengan mantera ala Khalifah Umar Abdul Aziz, yang pada asasnya tidak boleh disetarakan. Ini kerana, sifat zuhud dan ketakwaan Umar Abdul Aziz tidak ada dalam jiwa pemimpin DAP, terutama ketua menterinya ketika itu, Lim Guan Eng.

Tapi, oleh kerana nak tunjukkan kesetaraan, yang disifatkan oleh Presiden PAS ada 95 peratus, maka berilah episod PAS for All. PAS turut mengubah skop perjuangan politiknya, daripada Negara Islam menjadi Negara Berkebajikan. Tidak ada penekanan dibuat untuk menjadikan Malaysia sebagai Negara Islam, walhal itulah yang dilaung-laungkan sejak penubuhannya pada tahun 1951.

Oleh kerana BN berkuasa, ideologi politiknya adalah nasionalisme Melayu, pemimpin PAS mentafsirkan UMNO atas beberapa prinsip. Pertama, BN yang diterajui oleh UMNO mengekalkan perlembagaan yang dibentuk berdasarkan warisan penjajah, maka, PAS melatari kempennya dengan mendakwa kerajaan yang memerintah adalah taghut.

Kedua, PAS mencanangkan bahawa orang Islam diharamkan bekerjasama dengan bukan Islam, termasuk mengambil bukan Islam sebagai pembantu atau diberikan peranan sebagai elit berkuasa. Apabila bekerjasama dengan bukan Islam, maka parti itu dikategorikan sebagai kafir, maka, ia wajib ditentang.

Muncullah fatwa jihad dan kemudian membawa kepada Amanat Hadi Hadi 1981. Fenomena itu juga mewujudkan pulau memulau majlis kemasyarakatan (kenduri, dan perhimpunan sosial), sembahyang dua imam, pembubaran keluarga akibat perbezaan politik, terjejas silaturahim dan haram memakan sembelihan ternakan oleh ahli UMNO.

Ketiga, oleh kerana mengambil perlembagaan penjajah, maka sistem pemerintahan Malaysia adalah sistem pentadbiran sekular. Oleh kerana itu, ia wajib ditentang kerana pemerintahan sekular mengasingkan politik dan agama dalam pemerintahan.

Namun, dalam masa yang sama, PAS terus menjunjung sistem politik yang dikatakan sebagai sekular, dan bagi menutupi kelemahan idealisme politik dan dasar pemerintahannya yang gagal dalam pembinaan sahsiah dan kemaslahatan rakyat, maka tercetuslah pula doktrin syurga-neraka.

Ketika bersama Pakatan Rakyat, PAS membuat ikrar akan terus kekalkan statusquo, termasuk menjunjung tinggi perlembagaan negara yang dianggap sebagai warisan penjajah.

Perihal syurga dan neraka, seolah-olah PAS sudah diberikan lampu hijau oleh Allah SWT bahawa setiap orang yang menyokong, mengundi dan menjadi ahli PAS, automatik mendapat syurga bila mereka meninggal. Hingga kini, sindrom penipuan itu terus berlaku dan diwartakan dalam kempen politik, termasuklah ada sebuah kenyataan, kalau nak masuk syurga, mesti ada nombor keahlian PAS.

Keempat, setelah merasakan kebangkitan golongan baharu dalam PAS telah mencabar kepimpinan ulama, maka dihenjutkan dakwaan bahawa ada segelintir pemimpin PAS yang tidak tahu asal usulnya, tidak dapat dikenal pasti spesiesnya. Ini dapat kita lihat kembali tatkala kepimpinan PAS Kedah mengalami krisis, yang menyebabkan muncul kelompok profesional yang kemudiannya digelar Anwarinas ataupun parasit, yang menurut Presiden PAS sebagai “alien” sebab tidak diketahui spesiesnya.

Kemudian, PAS cuba memperlihatkan keangkuhannya di Selangor. Akibat kompromi politiknya dalam Pakatan Rakyat, maka Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Hasan Ali dikembirikan. Beliau kemudiannya dipecat keahlian (selain digugurkan jawatan sebagai EXCO,) dan seterusnya menubuhkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan dikenali JATI.

PAS korbankan seorang pemimpinnya yang cukup bersemangat untuk mengurangkan kemungkaran politik dan percanggahan dengan makna Islam, hanya kerana masih setia dengan DAP.

Ketika itu, DAP yang cukup kuat menentang: jualan minuman beralkohol di kedai runcit, kelab malam di kawasan perumahan majoriti orang Melayu, Malam Thanksgiving di sebuah gereja Damansara Utama, cadangan agar tidak dilanjutkan operasi kelab malam dan rumah hiburan, serta umat Islam tidak berkerja di premis rumah urut, kelab hiburan dan restoran yang menyajikan minuman beralkohol.

Maknanya, ketika bertahaluf siyasi, PAS sudah mengendurkan kritikan tajamnya kepada konsep negara sekular. Sebaliknya ikut menyatakan sudah cukup dengan peringatan bahawa umat Islam dilarang meminum alkohol, berjudi dan bermaksiat. Asas yang ditentang oleh DAP ketika itu ialah sumbangan rumah hiburan, kelab malam dan rumah urut dalam pembangunan pelancongan, tanpa ada rasa bersalah kerana bersubahat dengan dakwaan tersebut.

Setelah tahalluf siyasi berakhir dengan matlamat yang gagal, PAS mula mencari jalan untuk bersetuju dengan BN. Akhirnya selepas PRU 2018, tertubuhnya Muafakat Nasional (14 September 2019) dengan tujuan menyekat kemaraan (penguasaan) Pakatan Harapan setelah berjaya membentuk kerajaan buat pertama kali itu.

Namun, tangisan dan laungan penyatuan itu tidak sampai setahun, muncul Langkah Sheraton (24 Februari 2020), menyebabkan Tun Dr Mahathir meletakkan jawatan. PAS kemudiannya menjadi sebahagian daripada kerajaan.

Sejak itu, kritikan terhadap kerajaan tebuk atap itu bergema kuat. Namun, PAS mula memberikan pelbagai tafsiran politik bagi menunjukkan tahap kebenciannya terhadap DAP setelah berakhirnya tahalluf siyasi.

Bagi menyanggah kritikan daripada DAP dan PAN, timbalan Presiden PAS menyatakan, biarpun PAS hanya ada 18 kerusi ia adalah suatu keajaiban kerana berada dalam kerajaan sedangkan waktu itu, DAP yang mempunyai banyak kerusi tidak ada apa-apa kelebihan. DAP berada di luar kerajaan.

Setelah selesai PRU 2022, PAS yang menjadi sebahagian daripada Perikatan Nasional (PN) terpaksa menelan semula ludahnya ke atas DAP. Walaupun PAS mempunyai kerusi terbanyak, PAS bukan sahaja “tidak ada keajaiban” bahkan terus berhalusinasi. Setelah bertekad menjadi pembangkang, PAS terus bertukang dengan nencipta pelbagai mitos.

Pertama, kerajaan perpaduan tidak menepati maknanya sebenar..kerajaan yang dibentuk penuh muslihat dan perangkap. Atas sebab itu, kerajaan akan tumbang dalam masa yang singkat, ada kata dalam tempoh tiga bulan dan Presiden PAS menegaskan, akan segera tumbang kerana “cukup nombor”. Setelah lebih dua tahun, kerajaan perpaduan tidak juga jatuh.

Kedua, oleh kerana para menteri yang membentuk kerajaan pusat adalah wakil rakyat Bumiputera Islam, Bumiputera bukan Islam, dan Melayu serta bukan Melayu, maka dibentuklah pula mitos ketakutan bahawa Melayu-Islam terancam.

Pada perkiraan PN, semua wakil rakyatnya seramai 73 orang adalah Melayu-Islam, maka merekalah yang berjaya mempertahankan Melayu-Islam.

Hakikatnya, di negeri yang dikuasai PAS yang lebih 80 peratus penduduknya adalah Melayu-Islam tidak nampak dasar yang benar-benar mempertahankan Melayu-Islam. Contohnya, ribuan ekar tanah diberikan konsensi menanam musang king kepada sebuah syarikat daripada China.

Begitu juga ketika dalam Pakatan Rakyat, ribuan ekar projek penanaman hutan diberikan kepada pemimpin DAP daripada Perak, sebagai “kompromi politik” bersetuju melantik Nizar Jamaludin sebagai MB walaupun pemilik kerusi terbanyak adalah DAP.

Oleh sebab tidak ada calon Islam daripada DAP, maka DAP tidak dipersetujui menerajui kepimpinan politik Perak. PAS kemudiannya membalas budi di atas persetujuan itu dengan kontrak menanam hutan. Kisah ladang rakyat tenggelam.

Ketiga, PAS menjilat semula ludahnya setelah tidak merasakan “istimewa sebagai orang Melayu” dengan memainkan sentimen ancaman Melayu-Islam yang cuba dihidupkan semula oleh Tun Dr Mahathir.

Mahathir sebenarnya sudah merosakkan perjuangan Melayu setelah memperkenalkan dasar penswastaan dan Persyarikatan Malaysia. Apabila hilang deposit, parti Pejuang tidak memenangi mana-mana kerusi dan tidak ada saluran bertelagah, maka dianjurkan polemik Melayu-Islam yang semakin tersasar. Ungkapannya seringkali menghina orang Melayu.

Mahathir dilantik sebagai penasihat S4, tetapi tidak ada yang menunjukkan gagasan itu mencapai kejayaan besar. Sebaliknya, muncul mitos keempat, pemimpin PAS sedang berhalusinasi dengan janji-janjinya akan ada macam-macam projek besar.

Di Kelantan, sejak tahun 2017 dijanjikan akan dibina empangan air bawah tanah, kemudian empangan (takungan air) jejari, manakala di Kedah, projek Langkasuka, simpanan REE bernilai RM 400 bilion (akhirnya jadi RM 40 bilion), litar lumba, projek Atropolis, dan yang paling legend ialah Kedah boleh maju jika berada dekat dengan Kuala Lumpur.

Kelima, muncul mitos tentang calon PM. MB Terengganu setelah menang PRK Kemaman dikatakan bakal calon PM, daripada PN. PAS berhalusinasi, kerana Mahiaddin terus berjuang untuk kembali sebagai PM sekali lagi, dan dijadikan poster boy pada PRU lalu.

Bersatu tetap dengan calon PM, maka bercanggahlah antara keduanya. Ia sudah menunjukkan retak yang jelas, cuma masing-masing lihat dan tunggu.

Keenam, PAS yang mempunyai kerusi terbanyak terus berhalusinasi dalam PN. Setelah tidak ada jawatan tertinggi PN diberikan kepada pemimpin PAS, MB Terengganu (calon PM) akhirnya meletakkan jawatan sebagai Bendahari PN. Kepimpinan PN terus dikuasai oleh Bersatu.

PAS kecil hati, seterusnya berhalusinasi lagi dengan menyatakan kesediaan bekerjasana semula dengan UMNO.

Bersatu juga ada impian yang sama, walaupun UMNO adalah sebuah parti yang lemah, cuma ada 26 kerusi sahaja. Bersatu juga lemak, hanya tinggal 25 kerusi setelah enam wakil rakyatnya menyokong PMX.

PAS cuba bermain dengan angka, namun Bersatu tidak pun ingin memperlihatkan kedudukannya tergugat, dengan memberikan laluan kepada Hamzah Zainudin sebagai.orang kedua terpenting manakala setia usahanya diserahkan kepada Azmin Ali.

Mereka inilah juga yang menguasai kepimpinan dalam PN. PAS rasa sangat kesipuan. pAS memendam rasa. Ini jelas pada ungkapan Setiausaha Agung PAas, Takiyudin Hassan. Walaupun menyatakan PAS mempunyai kerusi terbanyak tidak berhasrat membubarkan parti untuk bersama UMNO, secara tidak langsung ia turut mencetuskan kata-kata sinis kepada Bersatu. Sinisnya, sepatutnya kedudukan jawatan dalam ON turut diperintahkan buat PAS kerana mengundang kerusi terbanyak dan memiliki empat buah negeri.

Mitos keenam, UMNO yang lemah dan ingin dikuburkan oleh PN sekarang sedang menguntum mekar, sedang dicemburui oleh PAS dan Bersatu. Sebabnya, mereka tahu, UMNO tidak pernah bekerjasama secara langsung dengan DAP.

Label UMDAP yang digembar-gemburkan oleh PN sebenarnya sebuah “titik propaganda” untuk menakut-nakutkan orang Melayu.

Hakikatnya, dalam beberapa PRK yang berlangsung, ahli DAP memberikan sokongan kepada calon BN. Ia berlaku di DUN Pelangai dan DUN Air Kuning. Dalam sejarah, belum pernah muncul kemenangan PAS disebabkan oleh undi DAP.

Sebaliknya, ada beberapa kerusi yang dimenangi oleh DAP disebabkan ahli PAS mengundi DAP. Sebab itulah PAS cukup berdendam dengan DAP.

BN membentuk kerjasama dengan PH, bukannya dengan DAP. Ia berbeza dengan apa yang berlaku dalam Pakatan Rakyat. Sebab itulah muncul “cium mulut” antara kedua-dua pemimpin tertinggi, termasuklah sesi makan setalam.

Hal itu tidak berlaku, hanya sekadar bersalaman. Tidak ada cium mulut antara ormjnoi UMNO dan DAP. Kerjasama itu berlaku kerana DAP adalah sebahagian daripada PH. Tidak ada dokumen yang menunjukkan UMNO dan DAP bertahaluf siyasi, hanya sekadar ta’awun.

Ertinya, ketika ini PAS dan Bersatu sedang dilanda halusinasi terhadap UMNO. PAS sudah tidak dapat mengharapkan sumbangan terbaik daripada Bersatu untuk menjatuhkan kerajaan madani.

Asasnya cukup kuat, Bersatu belum menang mana-mana PRK bahkan menerima aib yang besar apabila kalah di DUN Nenggiri. Bersatu juga tidak menunjukkan kesungguhan untuk memenangkan calon PAS di DUN Ayer Kuning.

Beratur bukan lagi sebuah parti yang kaya sebagaimana ditunjukkan pada PRU 2022, yakni sebelum semua akuan parti dibekukan dan beberapa orang pemimpinnya didakwa atas kes penggubahan wang haram dan rasuah projek Jana Wibawa.

Jana Wibawa adalah projek untuk membantu kontraktor bumiputera yang berhadapan dengan masalah ketika pandemik COVID-19, yang ketika itu Mahiaddin sebagai PM.

Untuk membiayai kos pilihan raya akan datang, PAS perlu mencari sumber kewangan yang banyak. Setakat ini, PAS masih bermain dengan kata-kata, halusinasi dengan siapakah akan mendapat biaya.

Khabar pernah bertiup, untuk PRU 2013, PAS terpaksa berhutang. Pada suatu ketika (awal 1980-an), PAS didakwa menggunakan skim pelaburan di sebuah entiti koperasinya, KOHILAL yang sampai sekarang belum memulangkan wang pendeposit.

PRU 2018, PAS didakwa menerima wang sebanyak RM 90 juta daripada 1MDB, sebab itulah meletakkan calon terbanyak untuk bertanding kerana ingin jadi “king maker”.

Dakwaan PAS menerima wang daripada 1MDB berkesudahan dengan menarik balik saman ke atas pemilik The Sarawak Report. Khabarnya, PAS membayar wang ganti rugi kepada Clare Rawcastke-Brown sebanyak RM 1.4 juta.

Awalnya, PAS memberitahu, samannya “sudah berjaya” tetapi akhirnya bersetuju untuk menarik balik saman. Dana untuk membiayai kos guaman sudah dikutip, akhirnya ada yang mengatakan dana itulah juga digunakan untuk membayar ganti rugi.

Nampaknya, semakin dekat dengan PRU ke-16, semakin kuatlah PAS berhalusinasi. Kadangkala, punca sebenar kenapa halusinasi itu berlaku? Ia berlaku kerana keinginan PAS untuk memerintah, maka dilibatkan apa sahaja perkara yang boleh dieksploitasikan, dan yang paling mudah dijual ialah agama.

PAS seolah-olah tidak lekang daripada “overthinking” bahkan ada ramalan bahawa jika PRU ke-16 diadakan pada tahun 2026, PAS boleh menang 125 kerusi. Tanpa Bersatu pun PAS boleh memerintah kerajaan pusat, kemenangannya melebihi majoriti mudah walaupun tidak mendapat dua pertiga kuasa di Dewan Rakyat.

Adakah ini menjadi kenyataan atau sekadar halusinasi? Masa dan keputusan pilihan pengundilah yang akan menentukannya. Jika gagal, apakah PAS akan terus berhalusinasi dengan macam-macam “khawf” lagi?

KAMARUN KH

Translate »