Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim titah pengurusan dan jabatan pengarang Sin Chew Daily harus lebih peka dan semak sesuatu bahan siaran terlebih dahulu.
PETALING JAYA — Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menegaskan kesilapan sebuah akhbar berbahasa Cina Sin Chew Daily atas kesilapan memaparkan ilustrasi Jalur Gemilang tanpa bulan sabit sebagai tidak boleh diterima.
Baginda menegaskan pihak pengurusan dan jabatan pengarang akhbar berkenaan seharusnya lebih peka dan menyemak sesuatu bahan siaran terlebih dahulu sebelum dicetak kerana kesalahan itu boleh mencetuskan sensitiviti rakyat.
Sultan Ibrahim bertitah bendera adalah lambang kedaulatan serta identiti sesebuah negara, bukan sekadar kain bercorak yang berwarna-warni tetapi mewakili perjuangan, sejarah, erti kemerdekaan serta semangat rakyat jelata.
“Kita sebagai rakyat mengibarkan bendera dengan rasa megah dan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa.
“Kesilapan memaparkan gambar Jalur Gemilang tanpa bulan sabit seperti disiarkan dalam muka hadapan di sebuah akhbar berbahasa Cina tempatan boleh mencetuskan sensitiviti rakyat dan tidak boleh diterima,” titahnya di Facebook.
Sin Chew Daily memohon maaf atas kesilapan teknikal tidak disengajakan kerana memaparkan ilustrasi Jalur Gemilang tanpa bulan sabit pada muka depan akhbar itu semalam.
Ilustrasi Jalur Gemilang tidak lengkap yang diletakkan bersebelahan bendera China tular di media sosial, dengan banyak pihak menyuarakan rasa tidak puas hati.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memanggil wakil akhbar terbabit hari ini untuk siasatan dan serahan surat tunjuk sebab.
Siasatan dibuat mengikut Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. – FMT
Sumber: bebasnews.my
Recent Comments