Kesilapan memasang bendera, ilustrasi bendera dan tidak menghormati bendera negara merupakan kesalahan yang tidak boleh dimaafkan.
Sebelum ini, ilustrasi jata negara seperti dikarikaturkan sebagai salah satu subjek di kulit hadapan sebuah buku telah menimbulkan reaksi marah. Kali ini, Jalur Gemilang pula dicetak di muka hadapan sebuah akhbar berbahasa Mandarin tanpa bulan sabit yang menjadi simbol Islam sebagai agama rasmi negara dan bintang sebagai penyatuan empat buah negeri dalam gagasan Malaysia.
Dari perspektif semiotik, tindakan seperti ini boleh dianggap sebagai langkah permulaan kepada sesuatu percubaan yang lebih besar. Jika meminggirkan simbol bulan dan bintang, ia membawa maksud sebagai percubaan halus untuk menolak kedudukan Islam sebagai agama rasmi. Ini kerana, pada Jalur Gemilang, bukan dan bintang membawa makna tersebut. Ia juga boleh dianggap sebagai salah satu bentuk provokasi.
Jumlah Bintang berbucu 14 mewakili 14 buah negeri, iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Terengganu, Kelantan, Pahang, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya).
Pada pengertiannya, simbol empat belas negeri ini akan “hilang” pada suatu ketika, yang hanya disatukan dalam keseluruhan 14 jalurnya berselang putih dan merah. Setakat ini tidak kita ketahui muslihat tersebut, jika ia benar-benar membawa maksud muslihat.
Jika ia adalah satu kesilapan, apakah ramai rakyat Malaysia boleh menerima alasan sebagai kesilapan teknikal? Setakat ini, sebahagian besar rakyat Malaysia tidak boleh menerima permohonan maaf, kerana ia sudah kerap berlaku dalam situasi berbeza tetapi yang sama ialah “menghina” lambang negara.
Bukan sekali kecuaian seperti itu. Kali ini, ia melibatkan sebuah akhbar yang cukup berpengaruh dan mempunyai jumlah pembaca yang cukup besar, terutama dalam kalangan bukan Melayu, khususnya kumpulan etnik Cina. Ertinya, peringatan yang pernah diberikan tidak diendahkan, semakin banyak berlaku ketidakakuran yang sama atau hampir sama.
Bagaimana sebuah akhbar yang cukup lama beroperasi (dari Singapura diadakan pada tahun 1929 oleh pengusaha Tiger Balm dan akhirnya beribu pejabat di Petaling Jaya, kini dimiliki oleh rakyat Malaysia) boleh membuat kesilapan.
Sekali pandang, ada juga tindakan itu dilakukan secara sengaja (strategi), kerana ia terjadi ketika lawatan Presiden China ke Malaysia. Jalur Gemilang diilustrasikan tanpa bulan dan bintang, hanya jalurnya sahaja.
Walaupun sudah memohon maaf, tindakan pembetulan telah dibuat dan tindakan disiplin diambil secara dalaman, kesilapan itu tidak boleh dimaafkan. Tindakan tegas wajar dilakukan. PDRM sudah mula membuat siasatan.
Namun, ada desakan agar tindakan tidak dibuat berdasarkan “undang-undang kuno”, yang pada pandangan sebuah NGO (Geraam), padanya semuanya perlu dilihat kebebasan bersuara tanpa garis. Ia seolah-olah tidak faham kenapa kebebasan bersuara, yakni kebebasan akhbar perlu dilakukan secara bertanggungjawab.
Ia benar-benar mencetuskan geram dan marah oleh segelintir rakyat Malaysia kerana ia boleh membawa maksud, tidak sopan dan bersusila serta mencabar kedaulatan undang-undang, dua daripada lima prinsip Rukun Negara.
Sesuatu undang-undang dan peraturan dibuat dengan tujuan mendisiplinkan setiap orang, termasuk pengamal media. Ia bukan untuk menyekat kebebasan bersuara yang didefinisikan secara bebas, kadangkala tanggungjawab nilai dan moral. Tanggungjawab hanya dilihat dari perspektif kepentingan sepihak, bukan secara universal dan sesuai dengan masyarakat yang lebih besar atau ramai.
Dalam kenyataan pihak berkuasa, tindakan diambil berdasarkan dua peruntukan undang-undang, salah satunya ialah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (1984), yang mungkin itulah yang dianggap “kuno” oleh Geraam.
Itu adalah alat kawalan yang masih digunakan. Ia masih berfungsi dengan baik, cukup berkesan untuk mengawal dan mengurus ketidakakuran pada syarat yang termaktub. Kita tahu, media merupakan alat yang digunakan secara meluas untuk pelbagai tujuan, termasuk menghasut mahupun membentuk persepsi terhadap sesuatu, sesuatu yang bertentangan dengan nilai dan moral, agama, etnik dan fahaman politik. Seolah-olah berusaha memecahkan taboo (pantang larang).
Bila Tun Dr Mahathir memberikan komen bahawa sekarang “semua orang takut”, tergelak besar bila mendengarnya. Kita baca semula apa yang Dr Mahathir jelaskan ketika pembentangan cadangan meminda Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat (3 Disember 1987). Waktu itu, Tun M adalah PM 4.
“…bertujuan meminda dan mengemaskinikan …supaya menjadi lebih berkesan untuk mencapai matlamat Akta tersebut iaitu bagi mengawal selia penggunaan media cetak dan penerbitan demi menjaga ketenteraman awam dan kepentingan negara.”
Pada penjelasan yang sama, kita memahami bahawa tidak ada kebebasan akhbar yang mutlak di mana-mana negara. Akhbar kalau tidak dikawal secara undang-undang oleh negara, ia tertakluk kepada kawalan para penggeraknya, terutama para editor, yang pada teorinya dikenali sebagai “gatekeeper”.
Editor pula dikawal oleh organisasi, sama ada secara langsung atau tidak langsung. Organisasi itu dikawal oleh siapa yang membiayainya, sama ada orang perseorangan mahupun pertubuhan tertentu. Selain itu, survival akhbar amat bergantung kepada hasil yang diraihnya, sama ada menerusi jualan naskhahnya, sumber iklan dan sebagainya.
The Sun pada suatu ketika adalah akhbar percuma yang diterbitkan setiap hari. Ia dibiayai oleh Kumpulan Berjaya. Tetapi, kini akhbar itu tidak lagi percuma walaupun masih mengekalkan corak dan dipenuhi oleh iklan anak syarikat Berjaya.
Pada zaman Tun M, beberapa akhbar dan penerbitan majalah dikenakan tindakan, termasuk permitnya dibatalkan. Paling banyak ialah ketika gelombang reformasi bergema. Kita tahu ada penerbitan yang disekat dan tidak dibenarkan diterbitkan semula. Waktu itu, banyak undang-undang yang mengawal, selain Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, yang mungkin anggap sebagai “kuno”.
Sama ada ia adalah “kuno” atau “moden”, ia tetap merupakan undang-undang yang sah selagi ia tidak dimansuhkan. Pada zaman Tun M, ada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), ada Akta Rahsia Rasmi (OSA), ada Akta Hasutan, yang menyaksikan apabila bercakap soal kaum, atas alasan “demokrasi di Malaysia belum matang” maka ramailah yang ditahan tanpa bicara selama mana difikirkan perlu dan memakainya.
Tahun 1987, berlaku satu usaha “mengawal” yang dikenali sebagai Operasi Lalang (permit akhbar Sin Chew turut digantung). Ramai yang ditahan tanpa bicara di Kemunting, Perak. Maknanya, zaman Tun Mahathir ramai hidup dalam ketakutan termasuk penjawat awam. Penjawat awam perlu menandatangani sumpah menjaga OSA , dan ada kisah penjawat awam dikenakan hukuman kerana tidak akur, dan memberikan maklumat kepada media.
Jadi, pada zaman Tun Mahathir berkuasa, tidak pula beliau bercakap mengenai “ketakutan orang awam”. Kenapa pula ketika ini bercakap begitu setelah tidak lagi berkuasa. Oleh kerana kawalan atas alasan “demokrasi belum matang”, maka Tun M pernah digelar diktator, bukan seorang yang bersifat terbuka, dan beliau pernah berkata: do first, talk later.
Maknanya, Tun Mahathir mahukan setiap orang buat sahaja apa yang diarahkan tanpa banyak soal. Jika banyak soal, katanya sesuatu kerja tidak menjadi dan akan merugikan negara. Itulah yang berlaku sepanjang 22 tahun beliau sebagai PM ke-4, yang kemudiannya gagal untuk dilaksanakan pada period sebagai PM 7 selama 22 bulan.
Jawabnya, indeks kebebasan akhbar pada zamannya dinilai berada dalam situasi yang tidak memuaskan. Kalau kita meneliti semula ucapan-ucapannya berkaitan media, kita akan mendapat sebuah kesimpulan yang cukup berbeza dengan apa yang berlaku pada masa kini, masakan tidak ada kebebasan. Tun Mahathir bebas ke sana ke mari untuk bercakap, mengkritik dan mengecam kerajaan walaupun pada asasnya, beliau tidak sepatutnya berbuat demikian.
Masanya sudah tamat. Apa yang diucapkan sekarang adalah bercanggah dengan apa yang dilakukan ketika berkuasa. Orang Melayu sebenarnya tidak lupa, bagaimana Tun Mahathir menggunakan pelbagai tekanan kepada media, selain permit penerbitannya dibatalkan, ada editornya dikenakan tindakan sama ada diganti mahupun ditukar ke jawatan lain yang kurang peranannya ke atas akhbar tersebut.
Kalau simbol negara hendak dikarikatur, diperlekehkan atau dipersendakan, ia dianggap melanggar peraturan, apakah tindakan menyiasat, dikenakan tindakan undang-undang menggambarkan tidak ada kebebasan akhbar? Jawabnya tidak, kebebasan tetap ada selagi kebebasan itu tidak melanggar peraturan dan tidak dengan tujuan menghina (menghasut).
Teguran Yang Di Pertuan Agong (Sultan Ibrahim) cukup membawa makna, kejadian seperti dan seumpama itu tidak boleh dibiarkan. Tindakan dengan tujuan memberikan peringatan, setiap kejahatan atau pelanggaran peraturan ada padahnya. Permohonan maaf boleh diterima tetapi tindakan tegas tetap perlu atas makna kebaikan dan kemaslahatan semua. Kata Prof Teo Kok Siong, permohonan maaf tidak memadai.
Dalam ingatan sebahagian orang, Tun Dr Mahathir pernah berkata:
“…sebuah kerajaan demokratik yang bertanggungjawab mestilah menganggap akhbar yang bebas sebagai suatu aset yang memudahkan sebuah kerajaan yang baik.
“Tetapi pada hakikatnya, akhbar biasanya tidak memainkan peranan ini. Akhbar bukanlah sebuah institusi yang tidak hidup yang mengikut secara mekanikal keunggulan demokrasi.
“Akhbar dibentuk dan dikendalikan oleh orang yang bergerak bukan saja oleh keunggulan yang tinggi tetapi juga oleh perasaan dan keperluan yang hina.” (Dr Mahathir, “Freedom of Press: Fact and Fallacy, New Straits Times, 9 Julai 1981).
Jadi, persoalan menghina simbol negara tidak boleh diterima dengan alasan kebebasan akhbar. Persoalan membangkitkan institusi negara atau apa yang dikenali sebagai 3R – Raja, Agama dan Kaum- tidak boleh dipandang enteng, sebabnya ia boleh mencetuskan situasi tidak aman atau dalam bahasa undang-undang kegentaran awam.
Semuanya perlu dikawal agar sebarang kenyataan yang dibuat lebih berhemah dan tidak menyinggung mana-mana pihak, perasaan tersinggung itulah menjadi salah satu faktor kepada peristiwa hitam dalam sejarah negara pada 13 Mei 1969.
Setiap daripada rakyat Malaysia tidak mahu peristiwa seperti itu berulang. Jadi, setiap daripada warganegara perlu dan wajib patuh kepada ketetapan undang-undang, baharulah kita dianggap sebagai warganegara yang bertanggungjawab, sopan dan bertatasusila.
KAMARUN KH
Recent Comments