Pendedahan Ketua Polis Kelantan tidak mengejutkan kerana peningkatan maksiat sudah beberapa tahun diperkatakan sedang mencanak naik. Namun, yang menjadi sedikit terkejut ialah apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 telah membuntingkan sepupunya yang berusia 15 tahun.

Maknanya, akil baligh sudah mulai berlaku begitu awal dalam kalangan kanak-kanak di Kelantan sedangkan pada masa lalu, umur 11 tahun masih belum ada keinginan untuk melakukan hubungan seks biarpun bebas bergaul dengan remaja perempuan sekampung. Boleh bermain macam-macam permainan bersama, termasuk sesekali joint masak-masak.

Setahu saya, pada peringkat tersebut untuk dijodohkan dengan seseorang masih terasa malu. Tetapi kini semuanya sudah berubah. Kanak-kanak tidak segan silu mengakui sudah ada teman perempuan dan tidak juga takut bermaksiat bersama. Saya ingat pada usia hampir 20 tahun pun terus menolak apabila cuba “dijodohkan” sebagai “pengantin olok-olok” dalam salah satu acara tertentu di sekolah menengah. Menolak kerana malu.

Menurut laporan polis, 98 peratus sumbang mahram berlaku atas dasar “suka sama suka”. Bermakna istilah rogol semakin kabur pengertian dan ketakutannya. Pola seks remaja sudah berubah, namun yang memedihkan ialah bagaimana orang tua mendepaninya. Bagaimana masyarakat boleh menerimanya, remaja hamil sebelum menikah dan perutnya semakin memboyot?

Mendengar laporan itu, sedikit sebanyak kita akan membuat kesimpulan, apakah yang membantu maksiat meningkat setiap tahun?. Apa yang tak kena dengan Kelantan yang dipimpin oleh kelompok ulama sejak tahun 1990?

Semakin lama bergayut atas politik Islam, pemaknaan dakwah semakin goyah walaupun semakin banyak istilah-istilah berbau Arab-Islamik diperkenalkan. Nampak semacam istilah itu tidak ke mana hanya sekadar retorik dengan tujuan menunjukkan apa yang mereka laksanakan menepati keperluan agama.

Sayangnya, dalam kesibukan membuka dan memperkenalkan istilah, tidak muncul sebarang bentuk program yang membawa kepada pemahaman dan penghayatan istilah itu. Ia hanya sekadar ucapan yang seronok didengar tetapi tidak sampai ke lubuk hati khalayaknya.

Atas nama program pembangunan diri, jiwa dan kemantapan rohani itu hanya bersifat “least resistance approach”, yakni sekadar ingin menunjukkan kejayaan daripada ukuran kuantitatif. Ia sekali lagi berjauhan dengan makna “functionally relevance”. Kata orang, hanya berdakwah kepada orang yang sudah faham dan melaksanakan aktiviti mendekatkan diri dengan ajaran Islam. Muncul pula makna “large volume error”.

Program yang disusun tidak mendekati kumpulan yang bertentangan ataupun marginal, non-partisan mahupun yang dianggap acuh tak acuh, baik pada tahap pengetahuan mahupun kesedaran dan amalan. Khalayaknya adalah orang yang sama, suku sakat ahli parti dan keluarga mereka.

Beberapa kajian kaitan antara maksiat dan suasana persekitaran kehidupan sudah banyak dilakukan. Hampir kesemua rumusan menjurus kepada kelemahan fungsional dan iklim kemasyarakatan, di mana maksiat itu berlaku. Ia juga ada kaitan dengan bentuk rumah dan sistem kawalan sosial secara tidak langsung.

Seharusnya, rumusan itu menjadi asas dalam pembentukan sesebuah dasar dan penyediaan infrastruktur, termasuk sosialisasi perumahan. Apa yang berlaku, pembinaan rumah menjadi semakin eksklusif dan kadangkala menjadi dorongan maksiat. Di situ lahir pula budaya individualistik, atas kutukan jaga tepi kain sendiri.

Rumah eksklusif – kawalan keselamatan dan individualistik – melumpuhkan kawalan sosial dan isu sebegini tidak banyak berkaitan dengan lokasi perumahan di Kelantan, kecuali ia dibangunkan di kawasan-kawasan tertentu, terisolasi. Kita juga tahu, di sesetengah lokasi petempatan cukup padat, yang hanya dipisahkan dengan lorong kecil pejalan kaki dan untuk laluan motosikal atau basikal. Bahkan jika berlaku kebakaran, pihak bomba sukar memasukinya.

Situasi masyarakat juga turut berubah. Kalau dahulunya si ibu adalah suri rumah, setiap ketika boleh memerhatikan gelagat anak remaja mereka. Sekarang sudah semakin kurang kawalan sebabnya ibu juga sibuk bekerja, mencari rezeki akibat kos sara hidup dan tuntutan kehidupan moden semakin bertambah.

Anak-anak dalam masa-masa lepas sekolah dibiarkan memenuhi masa lapangnya sendirian atau bersama kawan-kawan. Tidak ada usaha untuk membantu mereka dengan pelbagai aktiviti komunikasi dan komuniti yang menjurus kepada gaya hidup terbaik. Sebahagiannya mengambil peluang bersama-sama kawan, yang akhirnya cenderung kepada aktiviti kurang sihat, termasuk terjebak dengan maksiat. Komuniti juga tidak ambil kisah, kerana yang dikisahkan ialah bagaimana untuk menyuburkan sokongan dan mempertahankan retorik politik Islam.

Politik Islam tidak diterjemahkan dengan betul. Walhal politik Islam itu sangat terkait dengan kehidupan dan budaya memasyarakatkan setiap ahlinya dalam nilai-nilai hidup Islam. Ia bukan sekadar seruan, kata-kata kekal istiqomah, pilih parti yang ada istilah Islam, sebab parti yang tidak mengambil istilah Islam adalah parti sekular dan membuang Islam.

Membuang istilah Islam bermakna tidak Islam, sedangkan parti Islam sendiri tidak menyuburkan makna Islam sebagai proses pembudayaan dan adaptasi yang memadai, penuh jargon dan retorik. Doktrin itu, masih kekal dan dipertahankan sehingga sekarang. Ideologi dan praktis dua situasi yang berbeza, dan kadangkala cukup jauh berjarak.

KAMARUN KH

Translate »