Manusia diciptakan Allah SWT di atas muka bumi sebagai khalifah cukup istimewa kerana diberikan akal fikiran untuk membezakan antara baik dengan buruk. Manusia mampu berfikir sebelum menentu atau melakukan sesuatu perkara.

Bagaimanapun keistimewaan akal itu boleh dirosakkan hingga menghanyutkan kehidupan manusia ke lembah kesesatan, iaitu apabila manusia terbabit dengan arak dan judi.

Firman Allah SWT: “Wahai orang beriman! Sesungguhnya meminum arak (khamar), berjudi, (berkorban untuk) berhala dan mengundi nasib dengan anak panah adalah perbuatan keji dan termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah (perbuatan) itu agar kamu berjaya.” (Al-Ma’idah: 90)

Mutakhir ini, banyak kes kekejaman dan tidak berperikemanusiaan berlaku di negara ini yang berpunca akibat arak dan judi. Ada pihak merasakan apabila mengambil arak dan judi, ia tidak memberi kesan kepada orang lain secara mata kasarnya. Namun, akibatnya kelak akan membabitkan orang lain di sekeliling hingga pada satu tahap akan mengorbankan nyawa insan yang tidak bersalah.

Jika kita perhatikan banyak kes yang berlaku kerana arak, antaranya kemalangan akibat pemandu mabuk hingga menyebabkan kecederaan dan kehilangan nyawa. Disebabkan arak juga, pergaduhan tercetus antara orang yang mabuk dan tidak sedar terhadap tingkah lakunya.

Cukup jelas jika dilihat kemudaratan peminum arak seperti hadis diriwayatkan Anas RA: “Baginda SAW melaknat 10 golongan terbabit dengan arak, iaitu orang memerah arak, diminta arak diperah untuknya, meminumnya, membawanya, meminta dibawa arak kepadanya, memberi minum arak kepada orang lain, menjual arak, mendapat hasil daripada arak, membeli arak dan orang yang meminta dibelikan arak untuknya.” (HR Ibnu Majah dan Tarmizi)

Bagi kaki judi pula, duit dan harta akan habis dalam sekelip mata kerana sifat tamak. Malah lebih teruk, harta dan wang ringgit isteri serta anak turut digunakan secara paksa. Ada juga kes, seseorang sanggup membunuh ahli keluarganya semata-mata kerana judi. Inilah sering berlaku dan dilihat di dada akhbar tempatan bagaimana buruknya kesan seseorang terjebak dengan arak serta judi.

Mereka langsung tidak dapat berfikir dengan waras, apatah lagi memikirkan perbuatan itu betul atau tidak. Oleh itu, Islam sangat melarang kita untuk membabitkan diri dalam perkara merosakkan iman kita.

Nabi SAW bersabda: “Sesiapa mengatakan kepada temannya: ‘Marilah kita bermain judi!’ Maka hendaklah dia bersedekah (sebagai kaffarah).” (HR Bukhari)

Oleh itu, marilah kita bersama-sama saling ingat-mengingati antara satu sama lain bahawa mengambil arak dan bermain judi ini ialah perkara sia-sia. Malah, ia akan mendatangkan kemudaratan dan kesan negatif kepada diri sendiri serta orang lain di sekeliling.

Bagi mereka yang terjebak, masih belum terlambat untuk bertaubat bagi memohon keampunan Allah SWT. Perbanyakkan berdoa agar kita dan ahli keluarga dijauhkan daripada perkara haram yang tentunya akan dimurkai Allah SWT.

Oleh itu, semua pihak termasuk bahagian penguatkuasaan dan ibu bapa perlu memainkan peranan bersama-sama dalam memantau gejala itu daripada terus berleluasa.

Semoga ia dapat dicegah dari semasa ke semasa atas kerjasama dan bantuan masyarakat di sekeliling kita bagi melahirkan rakyat mampu memberi manfaat kepada agama, bangsa dan negara kelak.

Oleh Rafiuddin Mohd Yusof

Sumber : Berita Harian Online

Translate »