Keputusan membenarkan Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa 2013, Dr Zakir Abdul Karim Naik meneruskan sesi ceramah, forum dan wacana intelektual oleh kerajaan membuktikan bahawa tidak benar ada campur tangan politik kecualilah beberapa pihak yang jelek terhadap Islam.

Kumpulan yang berselindungkan dalam pelbagai wajah tetap melihat sambutan terhadap siri ceramahnya di beberapa tempat di Terengganu bermula 12 April 2016 sebagai usaha untuk memburuk-burukkan keharmonian masyarakat bebas dan beragama lain.

Apabila pihak penganjur bersedia menukarkan tajuk forum yang sepatutnya berlangsung di Universiti Teknikal Melaka pada 17 April dari Persamaan Antara Hinduisme dan Islam kepada Adakah al-Qur’an Kalam Tuhan? atas persetujuan antara Timbalan Perdana Menteri dan Ketua Menteri Melaka dilihat sebagai situasi “menang-menang.”

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang yang asyik menggunakan gelaran profesor walaupun gelaran itu tidak sepatutnya diguna selepas tidak lagi menduduki kerusi profesor politik sejak ditamatkan perkhidmatannya oleh Universiti Kebangsan Malaysia pada tahun 2005 dan berjaya menewaskan bekas Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dalam Pilihan Raya Umum 2008 di Batu Kawan secara terdesaknya memohon maaf terhadap posting yang dibuatnya dalam akaun facebook.

Dr P Ramasamy menyifatkan Dr Zakir Naik sebagai “syaitan” dan gelaran tersebut membangkitkan kemarahan orang ramai termasuklah Mufti Perak, Mufti Selangor, ahli akademik dan tokoh-tokoh dakwah. Posting Dr P Ramasamy itu dilihat sebagai biadab dan tindakan menggelarkan Dr Zakir Naik sebagai ‘satan” sebagai “tidak memahami mengenai agamanya.” Akibat tidak memahami itulah maka Dr Ramasamy sanggup melemparkan tuduhan sedemikian dalam emosi marah: Let us get “Satan” Zakir Naik out of this country.

Dr P Ramasamy tidak hak untuk “menghalau” Dr Zakir Naik atau mempengaruhi kerajaan dengan keputusan membenarkan penceramah tersebut meneruskan perbahasan ilmiah. Sebelum ini berlaku beberapa bentuk forum yang disertai oleh kumpulan pembangkang yang bermotfkan politik melakukan forum yang tidak dibenarkan oleh pihak berkuasa, tidak pun ada rakyat Malaysia berteriak sebagaimana Dr P Ramasamy lakukan, termasuklah penganjuran forum “interfaith” dan juga “menyokong LBGT—lesbian, biseksual, gay dan transgender—kerana sebahagian besar rakyat masih lagi rasional.

Walaupun ada suara-suara marah mahukan beberapa orang yang dianggap sebagai “melampau” itu “dilucutkan kerakyatan”, kerajaan tidak terikut-ikut dengan sentimen marah. Segelintir mereka yang bencikan “negara ini” sanggup “membakar kelambu” yang digunakan untuk melindungi diri daripada gigitan nyamuk dan langau berbisa.

Sebagai seorang yang berpengetahuan luas dan pernah dilantik sebagai profesor politik, Dr P Ramasamy sedar keharmonian kehidupan bermasyarakat dalam kepelbagaian agama boleh subur dan terjamin sekiranya setiap orang bersedia memahami dan menghormati agama yang berbeza.

Dr Zakir Naik tidak pernah memburuk-burukkan agama lain kerana beliau faham dengan jelas bahawa Islam amat keras larangannya mempersendakan kepercayaan lain. Islam memberikan panduan yang jelas, “tidak memperolokkan orang lain” kerana usaha tersebut dilihat boleh membangkitkan kemarahan dan konflik antara agama.

Apa yang berlaku ialah penganut agama lain tidak bersedia memahami Islam dengan lebih baik kerana melihat apa yang terjemahkan mengenai kedudukan Islam sebagai “agama Persekutuan” sebagai diskriminasi. Bukan Islam tidak dibenarkan menyampaikan pemujukan untuk bertukar agama dengan berlandaskan “tiada paksaan dalam beragama.”

Memang benar Islam tidak memaksa tetapi setelah setiap orang memilih untuk berada dalam Islam, dengan malafazkan kalimah syahadah, orang itu disahkan sebagai penganut Islam. Seorang yang menganut Islam wajib menerima setiap prinsip yang terkandung di dalamnya, maka pematuhan terhadapnya disalahertikan sebagai “paksaan.”

Kecenderungan itu turut disebarkan oleh kumpulan liberal dalam kalangan penganut Islam sendiri sehingga menyebabkan Islam terus dilihat sebagai agama yang tidak lagi relevan dengan keperluan semasa. Pandangan itu akhirnya melekat dalam pemikiran bukan Islam sehingga mereka sanggup mencabar mengenainya, termasuklah apa yang dilakukan oleh segelintir bukan Islam mempertikaikan larangan penggunaan kalimah Allah.

Islam sebenarnya merupakan agama yang membentuk budaya sedangkan dalam perspektif agama lain, agama merupakan sebahagian daripada budaya. Asas yang dipertahankan sejak zaman Rasullullah SAW itu dilihat tidak mampu berkompromi dengan kehidupan semasa, sedangkan agama-agama lain sudah melakukan “pembaharuan” dan “pencerahan.”

Masyarakat Islam seterusnya ikut terpengaruh untuk menggunakan konsep “pencerahan” yang sudah diselewengkan dengan sekularisme itu dan membenarkannya memasuki sempadan agamanya sendiri. Contoh yang jelas ialah apabila boleh menyamakan “pencerahan” dengan “keterangan” walhal “pencerahan” itu merupakan suatu konsep yang diterima umum dalam kalangan penganut Kristian dengan istilah “enlightenment”.

Falsafah pemikiran Rene Descartes, John Locke, Isaac Newton, Emanuel Kant, Voltaire, Rosseau dan Adam Smith telah mempengaruhi jiwa umat Islam yang ketandusan jiwa Islamnya. Ketandusan itu disebabkan pendidikan yang mereka lalui, tetapi ia berbeza dengan Dr Zakir Naik.

Dr Zakir Naik menamatkan pengajiannya dalam bidang perubatan dari University of Mumbai. Pada tahun 1991, beliau menamatkan perkhidmatannya sebagai doktor perubatan untuk memasuki dunia intelektual sebagai pendakwah. Beliau menekuni bidang perbandingan agama dan boleh menghafal pelbagai “kitab suci” pelbagai agama manakala kebolehannya begitu terserlah apabila boleh memahami isi kandungan al-Qur’an dengan fasih.

Kefasihan itu merupakan kelebihan yang jarang ada dalam kalangan pendakwah dan kesanggupannya berhujah dengan pakar-pakat agama lain turut menarik perhatian masyarakat antarabangsa. Walaupun Dr Zakir Naik yang dilahirkan pada tahun 1965 di negara yang berpenduduk minoriti Islam, dan dalam tempoh 15 tahun, telah melakukan lebih 1,500 syarahan di seluruh dunia (Amerika Syarikat, Britain, Itali, Arab Saudi, New Zealand, Indonesia, Bostwana, Afrika Selatan, Hong Kong dan negeri kelahirannya, India.)

Setiap kali beliau hadir, Dr Zakir Naik berjaya menyakinkan khalayaknya dengan hujah dan fakta. Dr Zakir mengakui, beliau kagum dengan kebolehan seorang pendakwah dari Afrika Selatan yang mencipta nama besar dalam perbandingan agama, iaitu Ahmad Deedat (1918-2005). Allahyarham Ahmed Deedat dilahirkan di India (di Surat pada 1 Julai 1918) tetapi menetap di Afrika Selatan sehinggalah meninggal dunia (8 Ogos 2005 di Verulaam, Kwa Zulu-Natal).

Ahmed Deedat merupakan seorang yang tekun mempelajari Islam bersendirian dan kaedah yang sama dilakukan oleh Dr Zakir Naik sebaik sahaja mula bertekad untuk memasuki bidang dakwah. Pada tahun 2001, selepas Islam dikambinghitamkan sebagai “extremist” ekoran serangan Wolrd Trade Center (11 September 2001), Dr Zakir merasakan adalah menjadi tanggungjawab untuk memperbetulkan persepsi buruk itu, termasuklah dalam kalangan remaja Muslim yang berpendidikan barat.

Pada bulan Januari 2006, Dr Zakir Naik melancarkan Peace TV sebagai saluran dakwah untuk memperbetulkan salah faham terhadap Islam. Saluran itu telah berjaya ditontoni oleh lebih 100 juta manusia di seluruh dunia, termasuklah 25 peratus bukan Islam.

Salah satu debat kontroversi Dr Zakir ialah perdebatannya dengan William Campbell (1911-yang diadakan pada bulan April 2000 di Chigago dengan tajuk Al-Qur’an dan Alkitab: Dalam Ilmu Pengetahuan. Dr Zakir berjaya membuktikan bahawa teori-teori ilmiah yang diketengahkan oleh para ilmuan sebenarnya sudah terdapat dalam al-Qur’an, misalnya menjelaskan beberapa kebenaran al-Qur’an mengenai embroilogi.

Menurut Dr Zakir Naik, lebih 1,000 ayat al-Qur’an mempunyai hubungkaitnya dengan ilmu pengetahuan. Pendapat kontroversi itu menyebabkan ramai yang melahirkan rasa kagum terhadapnya termasuk William Campbell (pakar biologi Irish-American) sendiri, yang masing-masing mengakui berlaku banyak kesilapan dalam teori ilmiah ciptaan manusia.

Perdebatan itu dikatakan berlangsung selama 4 jam 19 minit dan video mengenainya tersebar luas di ruang siber. Selain mendapat pujian ramai, tidak kurang juga yang memandang sinis kepada kebolehan Dr Zakir Naik sehingga ada yang menyifatkannya seperti seorang ahli silap mata. Bagaimanapun, sumbangan Dr Zakir Naik berjaya menarik minat lebih 34,000 orang rakyat Amerika Syarikat untuk memeluk Islam dari September 2001 hingga Julai 2002.

Mungkin itulah yang ditakutkan oleh Dr P Ramasamy apabila Dr Zakir Naik berupaya menjelaskan perbezaan kedudukan manusia dalam agama Hindu berbanding Islam, maka digelarkannya “satan.” Tentunya, Dr Ramasamy akan mengalami ketakutan yang bakal menyebabkan sokongan politiknya berkurangan, sebab Dr Zakir mampu bercakap dan berhujah dalam bahasa yang difahami oleh sebahagian besar pengundinya di Batu Kawan.

Dr Zakir pad atahun 2015 menerima penghargaan King Faisal International Prize oleh King Salman Bin Abdul Aziz Al-Saud (Raja Arab Saudi) manakala pada tahun 2010, akhbar Indian Express memasukkannya berada di tangga 89 daripada 100 orang India Berpengaruh. Beliau juga dimasukkan salah seorang daripada 500 Muslim yang berpengaruh pada tahun 2009 hingga 2014.

2013 Dr Zakir dinamakan sebagai Personality of the Year semasa berlangsungnya Dubai International Quran Holy Award ke-17 dan Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa oleh Kerajaan Malaysia sempena sambutan Maal Hijrah.Lain-lain pengiktirafan ialah Doktor Persuratan oleh Universiti Gambia (2014) dan The Insignia of the Commander of the National Order of the Republic of The Gambia oleh Presiden Gambia, Yahya Jamneh.

Meskipun Dr P Ramasamy sudah menarik balik pelabelan itu, sebahagian daripada rakyat Malaysia tetap melihatnya sebagai seorang yang biadab dan dapat menyelami hati nurani masyarakat Islam. Itulah hipokrasi dari seorang ahli akademik yang melihat diri dan kepentingan diri mengatasi segala-galanya, melupakan erti keharmonian dan kepelbagaian beragama.

Oleh: Mahanor Saleha

Translate »