Menurut Gaby Lasky, cerita Paul Morris “walaupun Ahed berhak untuk tetap diam, dia diancam penangkapan massal anggota-anggota keluarga besarnya jika tidak bercakap. Sesungguhnya, pada 9 Januari 2018, Mohammad Bilal Tamimi (sepupu Ahed yang lain) yang berusia 19 tahun ditangkap. Dia sama seperti Ahed, diculik dari rumahnya di Nabi Saleh pada tengah malam.
“Sesungguhnya penangkapan keluarga besar Tamimi dari desa Nabi Saleh berlanjutan, kemuncaknya dengan sepuluh penangkapan pada malam 26 Februari 2018, ketika lima anak di bawah umur ditangkap.
“Ini termasuk Mohammad yang berusia 15 [sic. 19], yang penembakan wajah dan cedera parah di kepala telah memicu insiden penamparan pada Disember itu. Penangkapan Mohammad sangat keji, kerana seharusnya dia beristirehat di rumah selama menunggu pembedahan restorative tengkorak. Penangkapan-penangkapan ini juga dilakukan pada waktu malam – praktik yang sangat sewenang-wenang….
“Para penjaga penjara, pegawai penyiasat, dan apa yang disebut hakim tentera merasa senang jika boleh menangani Ahed di balik pintu tertutup, jauh dari mata dunia. Kerana itulah ketika Ahed ditangkap pada tengah malam [19] Disember 2017, pihak IDF dengan cepat membungkusnya dengan selimut.
“Selimut yang menyelubungi Ahed pada saat penangkapannya mengungkapkan pendekatan kerahsiaan yang digunakan oleh pasukan pendudukan selama beberapa bulan berikutnya. Penyelubungan yang sama dilakukan dalam pengadilan tertutup dinyatakan, pada sidang pemeriksaan Ahed (13 Februari 2018), ketika sekali lagi pengadilannya ditangguhkan,
“Namun, ramai orang mengetahui bahawa Ahed dan keluarganya diperlakukan secara keji, dan mereka merespons dengan protes kemarahan.
“Hampir dua juta orang telah menandatangani petisyen pembebasan Ahed dan anak-anak Palestin lain yang dikurung di penjara tentera Israel. Banyak suara yang menuntut pembebasannya.
“Michael Lynk, pelapor khas PBB menyangkut situasi hak asasi manusia di Palestin, menyatakan bahawa penahanan Ahed sebelum pengadilan di sebuah Penjara Tentera Israel bertentangan dengan konvensi hak kanak-kanak – yang diratifikasikan oleh Israel sendiri.
“Amnesty International bergabung, dengan memohon Perdana Menteri Israel, Neetanyahu untuk membebaskan Ahed tanpa penangguhan. Dalam petisyen Amnesty International, mereka menyebut Ahed sebagai Rosa Park dari Palestin, merujuk pada penganjur hak sivil anti—perkauman dari Amerika, yang terkenal berani duduk di kerusi [tempat duduk dalam bas] untuk “kulit putih” di dalam sebuah bas di Alabama pada 1950-an.” (Gadis Palestina, hal. 36-38)
Menurut Paul Morris lagi, setelah melihat gambar Mohammad, sebelum dan selepas ditembak dengan peluru hidup bersalut getah: Efeknya penembakan itu jelas brutal; tampaknya seakan-akan sebahagian kepalanya hilang.
“Doktor-doktor merencanakan banyak hal dan pasti akan memulihkan Mohammad, dan Nabi Saleh tampaknya tempat penuh cinta, walaupun terkepung- harapan dan keoptimisan harus digayuti demi Mohammad. Apa lagi yang boleh dilakukan?
“…Pasien itu, Mohammad Tamimi, 15 tahun, dengan kepala pecah dan lunak, menanti pembedahan restorative tengkorak, diinterogasi dan ditahan seharian penuh [25 Februari 2018].” .(Gadis Palestina, hal 87-88).
Seperti biasa, Israel tidak mengakui kebrutalannya, akan mencari dalih untuk tidak menampakkan kesalahan dan kekejaman yang dilakukan oleh tentera. Dua hari selepas insiden itu, rumah orang tua Mohammad diserbu, dengan tujuan untuk menangkap sembilan orang di Nabi Saleh. Salah seorang pegawai kanan tentera Israel, Jeneral Yoav Mordechai mengulas, kecederaan Mohammad disebabkan kemalangan akibat terkena kemudi basikal (setang speda).
Namun para wartawan yang melihat gambar keadaan Mohammad, dan gambar semasa dirawat tidak percaya dengan apa yang ditulis oleh Mordechai, sebaliknya menjelaskan “pecahan-pecahan peluru dikeluarkan dari kepalanya.” (Gadis Palestina, hal. 88)
Yehonatan Geften, penyair Yahudi menyatakan, Ahed membawa makna besar dalam perjuangan ‘melawan tirani’ atau pihak yang berkuasa, menyamai apa yang berlaku kepada Rosa Park di Alabama sekitar 62 tahun silam (1 Disember 1955) . Rosa Park menentang belenggu perkauman yang dikenakan ke atas penduduk kulit hitam, di mana beliau telah diusir keluar oleh pemandu bas (berkulit putih) kerana enggan mengosongkan tempat duduk untuk diberikan kepada penumpang kulit putih.
Rosa Park (Rosa Louise McCauley Parks, 1913-2005), ketika pulang kerja daripada sebuah pusat beli belah terkenal di Alabama (Cleveland Avenue) sekitar jam 6 petang pada 1 Disember 1955, duduk di kerusi kosong yang dikhaskan kepada penumpang kulit putih. Pemandu bas, mengarahkan Rosa mengosongkan kerusi, namun Rosa enggan berbuat demikian mungkin kerana keletihan sehari suntuk bekerja. Akibatnya, pemandu berhenti di suatu jalan, lalu mengarahkan Rosa turun dan ditinggalkan begitu sahaja biarpun harga tiket (tambang) telah dibayar sepenuhnya.
Bas awam itu dikendalikan oleh Montogomery City Lines, yang membuat ketetapan bahawa tempat duduk dalam bas [beberapa row di hadapan] dikhaskan untuk ‘kulit putih’. Pengguna ‘kulit hitam’ tidak dibenarkan duduk di sepanjang perjalanan ke destinasi walaupun tempat duduk itu kosong.
Jika ada pelanggan ‘kulit putih’ yang menaiki bas, dan tempat duduk yang dikhaskan penuh, pengguna ‘kulit hitam’ diwajibkan mengosongkan tempat duduk yang dikhaskan kepada mereka. Pada suatu sisi, ia menunjukkan sudah berlaku segresi kaum yang tidak menyebelahi pengguna kulit hitam, yang merupakan 75 peratus pelanggan Montgomery Bus Line laluan Cleve Avenue.
Di Empire Theater, beberapa orang pengguna kulit putih menaiki bas. Blake melihat keadaan itu, di mana dua atau tiga orang penumpang kulit putih berdiri, lalu memberhentikan bas dan mengarahkan penumpang kulit hitam yang duduk di kerusi khas kulit putih mengosongkannya, Rosa Park berdegil, terus duduk, menyebabkan Blake naik berang. Bagaimanapun, Rosa tidak perasan bahawa Blake adalah pemandu bas yang sama pernah menghalaunya keluar dan ditinggalkan di pinggir jalan kesejukan dalam hujan lebat pada tahun 1943.
Akibat tindakan tersebut, masyarakat kulit hitam di Montgomery mula mengumpulkan kekuatan mereka, bersatu untuk membela ketidakadilan. Mereka mula melancarkan mogok, dengan tidak menaiki bas awam ulang-alik ke tempat bekerja.
Awalnya, pekerja kulit hitam mengambil ‘cuti kecemasan’ menyebabkan bas kosong. Kemudian, mereka meneruskan boikot selama setahun, dan operator bas mengalami kerugian yang terus sehingga terpaksa ditutup setelah setahun berlaku mogok penumpang.
Bukan itu sahaja kesannya, Perjuangan menuntut keadilan dan pembatalan segerasi kaum terus menjadi lantang disuarakan oleh masyarakat Alabama, dan berkembang menjadi gerakan nasional Amerika Syarikat setelah Martin Luther King mengambil bahagian.
Rosa Park serterusnya disanjung sebagai pencetus dan pejuang hak asasi manusia, sehingga kematiannya. Jasa beliau dikenang di seluruh dunia, dan disanjung sebagai salah seorang pejuang hak-hak sivil, hingga sekarang (Rossa Park, dan Jim Haskins, Rosa Park: My Story (1948) dan edisi terjemahan bahasa Melayu, Rosa Park: Merentap Belenggu Perkauman, terjemahan Dian Saleh, Kuala Lumpur: IBDE-Ilham Books, 2021; serta ulasan saya mengenai buku berkenaan, “Belenggu Perkauman di Negara Raja Demokrasi”, https://dhomir.com/index.php/resensi-buku/belenggu-perkauman-di-negara-raja-demokrasi)
Geften juga ‘menyamakan Ahed’ yang berjiwa kental dan memahami makna perjuangan menuntut kebeasan, adalah pemberani seumpama Joan of Arc (Jeanne d’Arc, atau Jehanne D’arc. 1412-1431, seorang wirawati Perancis dalam Perang Seratus Tahun antara Perancis-England). Kisah permusuhan antara Perancis dan England cukup kerap atas pelbagai isu. Antaranya perebutan wilayah jajahan dan perselisihan peribadi.
Bekas Ratu Perancis (1137-1152), Eleanor d’Aquittane (1112-1204) berkahwin dengan King Henry II (1133-1189), yang kemudiannya terlibat dalam Perang Salib II (1145-1149), yang juga disertai oleh King Louis IVI (1120-1180). Oleh kerana King Henry VII dianggap sebagai ‘orang yang beriman’, Eleanor ‘memberontak sendirian’ tidak dipedulikan setelah berbulan-bulan tidak sentuh sepanjang Perang Salib II.
Untuk mengisi ‘kesunyian’, Eleanor yang ada hubungan keluarga dengan pemimpin Byzantium, akhirnya terjebak dengan sumbang mahram. Sekembalinya ke England, Eleanor merancang pula pemberontakan di istana dalam tragedi membunuh salah seorang gundik King Henry II. Beliau dikenakan ‘tahanan istana’.
Puteranya, Richard the Lionheart sejak memasuki usia remaja ditunangkan dengan Alais, salah seorang puteri King Louis VII, daripada isterinya yang lain. Apabila anak gadis bertunang, Alais dibawa ke istana England untuk dididik dengan protokal di raja dan memahami budaya hidup keluarga di raja England. Alais kemudiannya terjebak dengan sumbang mahram sehingga melahirkan seorang anak hasil hubungan sulitnya dengan anak saudara Richard, Henry, Count of Champagne. Akibatnya, Richard yang dikatakan pengamal homoseksual menggunakan alasan hubungan terlarang Alais untuk membatalkan perkahwinan mereka.
Dalam Perang Salib III (1189-1192), King Philips Augustus, putera King Louis VII, abang tiri Alais menyertai misi ‘tebus dosa’. Namun, dendamnya ke atas King Richard tidak pernah padam. Eleanor yang merasakan ‘tidak senang’, ikut melakukan ‘tahanan rumah’ ke atas Alais. Semasa Richard bercadang menyertai Perang Salib III, Eleanor bekerja keras untuk mengahwinkan putera kesayangannya dengan Berengia of Navarre (1165-1230), puteri daripada Sepanyol. Richard dan Berengaria berkahwin di Cyprus (1191), semasa dalam perjalanan menuju Perang Salib.
Richard membawa Berengaria menyertai konvio Perang Salib III. King Philip Augustus yang tiba lebih awal daripada Richard akhirnya rasa terpukul dengan kehadiran seorang wira dan pahlawan yang cukup tersohor di England, bekas tunang adik tirinya. King Philips dikatakan mengalami masalah kesihatan, setelah beransur pulih, beliau mengambil keputusan untuk pulang ke Perancis, dan meninggalkan Richard untuk mengepalai tentera Salib.
Permusuhan King Philip Augustus tidak berhenti setakat itu, sekembalinya ke Perancis beliau menggunakan peluang untuk menghasut, memfitnah dan mengecam Richard. Akibatnya, berlaku impian dalam kalangan penguasa di England untuk ‘merampas kuasa’ kerana percaya bahawa Richard akan terkorban dalam peperangan berhadapan dengan tentera Islam yang dipimpin oleh Salahudin al-Ayubi.
Oleh kerana benar-benar muncul situasi ‘merampas kuasa’, Richard pula berhasrat untuk tidak lagi melanjutkan perang dengan Salahudin al-Ayubi. Richard memulakan rundingan untuk menamatkannya, yakni memberik kemenangan kepada tentera Islam. Dalam perjalanan pulang ke England, Richard dan rakan-rakannya sekali lagi dihalang apabila dia ditangkap oleh para askar pemerintah yang mendokong Perancis.
Richard kemudiannya dijual kepada salah seorang pemimpin kerajaan yang bermusuh dengan England, dan dipenjarakan di Istana Durnstein, Austria. Ibunya menggunakan segala upaya untuk membebaskan Richard, termasuk mengumpul wang tebusan. Setelah berbulan-bulan berusaha, akhirnya Richard dibebaskan (4 Februari 1194) dan pulang ke England dengan selamat.
Richard kemudiannya meninggal ketika memasuki usia 42 tahun, pada 6 April 1199, setelah terlantar akibat terkena panah beracun dalam usahanya menamatkan pemberontakan di Limosin, yang diketuai oleh Viscount Aimar V of Limoges. Beliau terkena anak panah beracun pada 26 Mac 1199 oleh seorang pemuda kerana dendamnya ke atas King Henry II yang telah membunuh ayah bersama-sama dua orang saudaranya. (James Reston Jr., Perang Salib III: perseteruan Dua Kesatria: Salahudin al-Ayyubi dan Richar si Hati Singa, terjemahan Nadiah Abidin, Tangerang, Indonesia: Penerbit Lantera Hati, 2007).
Ahed turut disamakan dengan kekentalan ‘menyimpan rahsia’ dan ‘kesetiaan’ penyair wanita keturunan Yahudi berbangsa Hungari, Hannah Senesh (Hannah Senesh atau Chanah Senesh, 1921-1944, juga seorang anggota Special Operation Executive, SOE, yang merupakan salah seorang daripada 37 Yahudi yang direkrut khas di bawah Mandat Palestin oleh British). Semasa Perang Dunia II, Hannah ditugaskan di Yugoslavia untuk membantu menyelamatkan Yahudi Hungari yang ditahan dalam kem tahanan Jerman di Auschwitz.
Hannah kemudiannya ditangkap di sempadan Hungari. Beliau ditekan, disiksa dan dipenjarakan. Namun, Hannah tetap berkeras tidak akan memberitahu rahsia SOE, dan beliau dianggap sebagai tokoh yang sangat berjasa kepada Israel. Puisi-puisinya sering dijadikan peniup semangat dan rujukan dalam memperkatakan tentang ‘kekentalan diri’ menjaga rahsia negara. (Hannah Senesh: Her Life and Diary, Tennessee, USA: Jewish Lights Publishing, 2007).
Jolokan itu diberikan oleh seorang penyair Israel, Yehonatan Geften (1947-2023) dalam sebuah puisinya yang dimuatnaik ke instagram pada bulan Februari 2018. Sebagai respons di pihak rejim, Menteri Pertahanan, Avignor Lieberman mendesak agar penyertaan Greften di rancangan Army Radio ditarik balik manakala Menteri Kebudayaan, Miri Regev menyelarnya sebagai “crossing a red line by someone seeking to rewrite history.”
Akhirnya Greften memohon maaf kepada setiap orang yang terkilan di atas tindakan membandingkannya dengan ‘wira’ holocaust’ Hannah. Walau bagaimanapun. Greften tidak memadamkan puisinya di laman sosial, ia terus kekal di instagram. Bait-bait puisinya berbunyi:
You, Ahed Tamimi
The red-haired
Like David who slapped Goliath
Will be counted among likes of
Joan of Arc,
Hannah Senesh
and Anne Frank.
Semangat kental Ahed, gadis yang lahir dalam kalangan generasi milenial dan dibesarkan dalam persekitaran perjuangan membebaskan tanah air itu, mungkin pernah membaca beberapa puisi yang ditulis oleh penyair terkenal Palestin, Mahmoud Darwish (1941-2008).
Saya pernah menulis mengenai getaran puisi-puisi patriotik dan kisah cintanya dengan seorang perempuan Yahudi, yang dipanggilnya Rita atau Tamar Ben-Ami, dalam “Jihad dan Cinta:Rita dan Darwish”, https://dhomir.com/index.php/resensi-buku/jihad-dan-cinta-rita-dan-darwish).
Juga pernah membaca karya Chassan Kanafani (1936-1972), seorang pejuang kental dalam PFLP, yang berhaluan kiri dan berfahaman sosialis. Antara karyanya yang mendapat sambutan hangat dan sering diperkatakan dalam nuansa kebangkitan melawan penjajahan ialah: Men in the Sun (1962), All That’s Left to You (1965), Umn Sa’ad (1969) dan Return to Haifa (1970). Atau Ahed yang dibesarkan dengan teriakan ‘Freedom for Palestine’, terlalu sedih melihat bagaimana orang-orang Palestin dibunuh, rumah-rumah dibakar, kebun-kebun dimusnahkan secara brutal dan sangat tidak berperikemanusiaan.
Seperti kata seorang tokoh pendidikan, jika seseorang itu membesar dalam suasana kacau bilau, jiwanya akan menjadi keras dan degil. Kajian mengenai kanak-kanak yang membesar dengan cerita-cerita jenayah, akhirnya melahirkan kanak-kanak yang berjiwa pemberontak. Jiwa berontak itulah yang membawa Ahed kepada kekentalan semangat melawan tirani, ketidakadilan dan belenggu kehidupan yang sudah, sedang dan bakal dilaluinya.
(BERSAMBUNG)
KAMARUN KH
Recent Comments