Mengkaji historiografi pendidikan dan kemasyarakatan Tanah Melayu, kita tidak boleh mengandaikan kemunculan sistem pendidikan Islam yang bermula dengan pendidikan di rumah atau rumah tok guru (membaca al-Qur’an dan fardhu Ain) sehinggalah kemudiannya memunculkan sistem pengajian pondok.

Secara tepat bilakah sistem pendidikan pondok bermula di Tanah Melayu tidak dapat dipastikan tarikhnya, telahan-telahan sejarah lisan membuktikan bahawa pondok terawal dimulakan oleh seorang ulama bernama Haji Abdul Samad bin Abdullah atau dikenali dengan panggilan Tok Pulai Chondong, iaitu sekitar tahun 1820. https://iluminasi.com/…/sejarah-sistem-pendidikan…).

Istilah pondok berasal daripada istilah Arab, “tunduk” yang bermaksud penginapan. Ini bererti sistem pendidikan pondok bukan sahaja merupakan institusi pengajaran dan pembelajaran ilmu-ilmu Islam, ia juga membentuk sahsiah diri seseorang kerana mereka memondok sepanjang masa belajar. Pondok atau rumah penginapan yang disediakan atau dibina sendiri oleh para pelajar cukup ringkas, dan pada asalnya daripada kayu-kayan yang diambil daripada hutan di sekitarnya. Ia juga mengamalkan sistem gotong royong, dan pembinaannya cukup ringkas, bukan seperti sistem pondok moden yang kita kenali pada masa kini.

Pendidikan Islam yang diinstitusikan sebagai pendidikan pondok cukup pesat berkembang di Tanah Melayu terutama di Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu. Tanah Melayu dibahagian kepada tiga kategori oleh penjajah Inggeris: Negeri-Negeri Selat (Straits Settlement Malays States), Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (Federated Malays States), dan Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu (Unfederated Malay States).

Pembahagian ini menunjukkan sikap dan dasar pentadbiran penjajah, yang lebih menumpukan kepada penjajahan sumber ekonomi, hasil mahsul bumi, sistem pertanian komersial, operasi pelabuhan (eksport dan import – entreport) dan perluasan pasaran produk keluaran kilang-kilang mereka yang sedang berada dalam perkembangan awal Revolusi Industri.

Pembahagian ini sebenarnya menjadi faktor sejarah kenapa institusi pendidikan pondok lebih cepat berkembang dan menjadi suatu sistem pendidikan yang cukup besar di Negeri-Negeri MelayuTidak Bersekutu. Negeri-Negeri Melayu tidak Bersekutu (NMTB) ialah Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis dan Johor. Namun, antara NMTB yang cukup besar sumbangan tradisi pendidik pemondokan ialah Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Tiga buah negeri ini dikaitkan pula dengan apa yang berlaku di Patani, yang ada hubungan dan tradisi perkembangan Islam dengan Aceh Darus Salam. Patani pada suatu ketika pernah juga digelar Patani Darus Salam sebagaimana gelaran yang diberikan kepada Aceh. (Rujuk:https://muslimahhtm.com/…/pattani-darussalam-cermin…/ dan Anthony Reid, An Indonesian Frontier: Acehnese and Other Histories of Sumatera, Singapore: NUS Press, 2005).

Pada abad ke-18, Patani muncul sebagai pusat perkembangan intelektual Islam yang cukup berpengaruh dan Warner Kraus menyifatkan keadaan itu sebagai “zaman tauhid”. Muncul beberapa orang tokoh ulama yang mengusahakan pendidikan pondok, selain mengarang kitab. (Warner Kraus, dalam Farid Mat Zain, Zulkarnain Mohamad dan Samsu Adabi (penyunting), Minoriti Muslim di Thailand, Bangi: Penerbit L Media, 1998).

Latar suasana perkembangan itulah yang telah menarik minat beberapa orang pelajar untuk meneruskan pengajian lanjutan mereka ke Patani. Salah seorang ialah Haji Abdur Rahman bin Utsman bin Senik yang kemudiannya dikenali dengan panggilan Tok Selehor/Selehong (1289H/1872M-1353H/1935M). Pengkisahan perihal aktiviti seharian Tok Selehor telah membawa kita mengenali sosok seorang pemuda kelahiran Kampung Lubuk Jong menghabiskan usianya dengan khidmat masyarakat yang cukup cemerlang sejak usia muda.

Tok Selehong mendapat pendidikan awal daripada kedua-dua ibu bapanya, Haji Utsman dan Mek Wei binti Senik. Setelah mencapai usia remaja, Tok Selehor yang sudah pun berkahwin memberitahu ayahnya untuk meneruskan pengajian ke Patani, yang masyhur sebagai pusat pendidikan Islam. Untuk belajar di Patani, Tok Selehor tidak mempunyai masalah besar walaupun ketika itu, perjalanan ke sana tidaklah begitu mudah. Beliau sanggup berjalan kaki merentasi hutan sejauh 155 kilometer dari Tumpat. Ia tempoh perjalanan yang sama selama tujuh tahun.

Catatan itu terkandung dalam buku Tok Selehor: Wali Allah Dunia Akhirat yang ditulis oleh Dr Aziz Jamaludin Mhd Tahir dan Mohd Shauki Abd Majid, yang diterbitkan oleh Dhomir (sebuah platform media sosial) dengan kerjasama OMIW (Pertubuhan Kearifan Islam Malaysia), 2026. Mohd Shauki Abdul Majid adalah cicit (generasi keempat) keluarga Tok Selehor.

Sepanjang membaca buku biografi Tok Selehor yang merupakan salah seorang daripada lima ulama tersohor Kelantan dalam period yang sama, iaitu antara tahun 1920 hingga 1940, kita menemukan sesuatu yang cukup bermakna dalam pendidikan Islam tradisi di Tanah Melayu. Pada masa bersamaan, Kelantan pernah mendapat jolokan sebagai Serambi Mekah kerana menjadi sebuah negeri yang cukup meriah dengan pendidikan pondok, di mana pondok-pondok didirikan hampir ke semua daerah (jajahan).

Tok Selehor mendirikan pondok di Kg Selehong, Tumpat manakala empat lagi ulama yang dipanggil “ulama berlima”, Tok Kenali (Haji Muhamad Yusof bin Ahmad, 1868-1933, di Kg Kenali, Kubang Kerian (daerah Kota Bharu); Tok Golok/Tok Jelapang (Haji Wan Ahmad bin Haji Wan Halim, 1861-1934 di Pasir Mas); Tok Bachok (Haji Uthman bin Haji Muhamad, 1868-1953 di Bachok; dan Tok Kemuning (Haji Ismail bin Senik, 1885-1934 di Kemuning, Machang. Mereka semuanya dikatakan sebagai Ulama Lima Serangkai Warisan Patani

Namun, dalam membincangkan asal usul Tok Selehor, nampaknya ada sedikit kesilapan kecil yang berlaku, terutama mengenai nama Haji Utsman. Di halaman 9 disebut Haji Uthman bin Senik manakala di halaman 37, Uthman bin Muhamad Amin. Oleh itu, jika buku ini dicetak kembali, ia perlu disunting agar beberapa kelemahan lain dapat diatasi, termasuk penyeragaman ejaan (Utsman atau Uthman).

Selesai membaca buku ini, walaupun memaksa saya berhenti berkali-kali akibat pengulangan kisah yang kadangkala terasa kurang bermakna, buku ini hadir sebagai pengungkapan kasih dan hormatnya seorang cicit terhadap moyangnya yang berjaya meletakkan asas agama yang kuat. Sebagaimana yang kita ketahui, orang Melayu walaupun secara majoritinya merupakan penganut Islam, masih terdapat beberapa aktiviti, gaya hidup seharian yang tidak menepati nilai-nilai Islam.

Ketika membaca catatan kembali seorang pakar etnologi, khususnya perihal budaya di Kelantan antara tahun 1932-1933, Jeanne Cuisinier (1890-1964), ia jelas menunjukkan masih berlaku pelbagai tafsiran dan amalan yang bercanggah. (Jeanne Cuisinier, Yang Saya Lihat di Malaya, terjemahan Ain Ahmad Lutfi, P.Jaya: The Biblio Press, 2026). Biarpun begitu, Ulama Lima Serangkai itu telah berjaya mengharumkan Kelantan Sebagai pusat pendidikan pondok yang penting di Tanah Melayu sehinggalah mempengaruhi pihak Inggeris untuk mengkhianati sistem pendidikan Islam dengan memperkenalkan corak pendidikan sekular, yang berteraskan ilmu keduniaan dalam perspektif Barat.

Perjuangan menuntut ilmu bukanlah sesuatu yang mudah, ia memerlukan semangat dan pengorbanan yang besar. Hanya mereka yang gigih sahaja yang berjaya, dan Tok Selehor merupakan seorang yang cekal dan penuh semangat untuk mengisi ilmu. Ia dapat dilihat daripada keberanian dan kesungguhan Tok Selehor berjalan kaki ke Patani dan sesekali menumpang perahu dagang yang singgah di Kuala Tumpat.

(bersambung)

KAMARUN KH

Translate »