Al-Farabi dikatakan hidup antara tahun 870-950 M (259-339H) dan ayahnya berasal dari Parsi manakala ibu adalah berketurunan Turki. Terdapat beberapa perbezaan mengenai nama lengkapnya: Abu Nasr bin Muhammad bin Muhamad bin Awazalagh bin Tarkan (menurut Ibnu Abu Ushaibi’ah); Abu Nasr bin Tarkan bin Azwalagh (Ibnu Khallikan); Abu Nasr bin Tarkan (Al-Qifti); Abu Nasr Muhammad bin Muhammad bin Tarkan (Ibnu Nadim); Abu Nasr Muhammad bin Muhammad bin Nasr dan Abu Nasr Muhammad bin Nasr (Al-Qahi Sha’id bin Ahmad al-Andalusi; Abu Nasr Muhammad bin Muhammad bin Tarkan bin Awzalagh al-Farabi (Al-Bier Nashri Nadir); dan dalam bahasa Latin, dikenali dengan panggilan Al-Farabius atau Avennasar manakala dunia barat mengenalinya dengan nama Alpharabius.

Al-Farabi mempelajari falsafah di Haran dengan bergurukan Yuhanna bin Hailan (wafat 295H/907). Selain falsafah, Al-Farabi turut belajar fizik, matematik, astronmi dan muzik. Bagaimanapun, menurut Al-Khallikan, ketokohan Al-Farabi lebih terserlah dalam bidang falsafah. Bidang falsafahlah telah menjadikan Al-Farabi seorang pemikir Muslim handalan yang tiada tandingan pada zamannya.

Ketika bermastautin di Damaskus (330H/945M), Al-Farabi lebih gemar hidup bersendirian di dalam sebuah taman yang sejuk dan indah. Suasana itu mempengaruhi aktiviti sehariannya, menerima tetamu, mengajar dan menulis. Sepanjang hayatnya, Al-Farabi dianggar berjaya menghasilkan 70 buah kitab (buku), dalam pelbagai bidang. Sebahagian buku-bukunya diterjemahkan ke bahasa Latin dan Ibrani dan dikaji secara mendalam di beberapa buah pusat pengajian tinggi Eropah. Namun secara keseluruhannya, hasil kerja Al-Farabi tidak terlepas daripada kupasan mengenai falsafah.

Sebagai seorang pemikir, Al-Farabi merumuskan bahawa manusia adalah makhluk sosial. Makhluk sosial mempunyai kecenderungan semulajadi untuk bermasyarakat, bukan hidup secara terpisah atau isolasi. Ini kerana manusia tidak mampu memenuhi setiap keinginannya hanya oleh dirinya sendiri. Manusia memerlukan bantuan atau kerjasama orang lain manakala tujuan bermasyarakat ialah melengkapkan keperluan hidup, yakni memperoleh kebahagiaan material dan spiritual. Ia bukan untuk kehidupan di dunia semata-mata, sebab dari perspektif Islam, manusia mempunyai dimensi kehidupan selepas kematiannya, iaitu di Alam Barzakh.

Untuk memahami falsafah politik Al-Farabi, kita seharusnya berterima kasih kepada Moh Asy’ari Muthhar yang berjaya menulis buku The Ideal State: Perspektif Al-Farabi Tentang Konsep Negara Ideal, asalnya adalah tesis ijazah kedoktoran di Universitas Islam Negeri Syarif Hidayatullah, Jakarta dengan tajuk Masyarakat dan Negara Menurut Al-Farabi: Relevansi dengan Pemikiran Politik Modern. Buku ini diterbitkan oleh IRCISoD akhir tahun lalu (Disember 2018).

al-mujtama’al-kamilah

Asas pemikiran Al-Farabi ialah untuk membentuk sebuah negara utama atau negara sempurna di mana dihuni oleh satu masyarakat sempurna (al-mujtama’al-kamilah), yakni sebuah masyarakat yang serba lengkap, umpama tubuh manusia di mana setiap organnya saling bekerja menurut fungsi dan peranan masing-masing. Dalam maksud negara, setiap orang mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing. Setiap rakyat melaksanakan peranannya sebagaimana yang diberikan, sesuai dengan kemampuan dan kepakaran masing-masing.

Menurut Al-Farabi, falsafah politik atau pemerintahan merupakan peranan ketua negara, iaitu menyamai fungsi jantung (al-qalb) dalam tubuh manusia. Seluruh aktiviti kenegaraan bergantung erat dengan ketua negara, dan kerana itu, seseorang yang akan dinobatkan sebagai ketua negara mestilah memenuhi syarat-syarat tertentu. Antaranya memiliki kesihatan fizikal yang baik, berani, bertenaga, mempunyai daya intelektual, mencintai ilmu pengetahuan dan adil, mempunyai akal yang mustafad, agar bukan sahaja boleh berkomunikasi secara dengan orang-orang yang dipimpinnya, bahkan mampu berinteraksi secara baik dengan Maha Pencipta serta menghormati penyampai wahyu.

Sebab itulah bagi Al-Farabi, pemimpin yang paling unggul ialah nabi atau rasul atau ahli falsafah. Jika tidak ada calon yang dapat memenuhi kriteria tersebut, maka seseorang yang hampir dengan sifat-sifat itulah wajib dipilih sebagai pemimpin. Seandainya juga tidak diketemukan pemimpin sedemikian, maka ia hendaklah dipilih dari beberapa orang, dan urusan negara wajar dilakukan bersama, dan dalam istilah moden, ia dikenali sebagai prinsip tanggungjawab bersama atau share responsibility.

falsafah pemikiran politik

Untuk meneliti hubungan agama dan negara, Moh Asy’ari berusaha meletakkan falsafah pemikiran politik Al-Farabi dalam tiga paradigma, iaitu penyepaduan (integralistik), simbiotik dan sekularistik. Dari perspektif integral atau penyepaduan, agama dan politik tidak dapat dipisahkan, ia umpama isi dengan kuku. Agama tidak akan ditegakkan atau diamalkan dengan baik sekiranya tidak ada negara.

Begitulah sebaliknya. Negara tanpa agama akan berhujung dengan kemunafikan dan peraturan yang tidak harmonis. Ketua Negara bukan sahaja memegang atau mempunyai kuasa untuk memerintah, perlu juga memegang kuasa agama, yang dijewantahkan menerusi perwakilan kuasa kepada lembaga-lembaga tertentu. Ia diselenggarakan atas ‘Kedaulatan Tuhan’, bukan kedaulatan manusia semata-mata.

Dalam paradigm simbiotik, agama dan negara akan berhubungan secara simbiotik, hubungan yang bersifat timbal balik dan saling memerlukan. Saling melengkapi walaupun berada dalam situasi yang terpisah, namun ketua negara akan berusaha mengawasinya dengan menentukan peraturan atau melaksanakan penguatkuasaan secara legal. Agama memerlukan negara, kerana negara mampu mempertahankan agama untuk memberikan nilai-nilai kehidupan spiritual dan bimbingan moral kepada rakyat.

Dalam pradigma sekularistik, pemisahan agama dan negara adalah yang jelas. Agama dijadikan sebagai ‘pemilikan individu’ dan bukan sebahagian daripada urusan pemerintahan. Atas sifat dan pemisahan itu, negara tidak mempunyai dasar ke atas agama, ia menjadi milik personal rakyat atau institusi masyarakat yang tidak formal. Agama tidak dibolehkan dijadikan sandaran dalam pembentukan dasar dan program kemasyarakatan, ia adalah tanggungjawab individu. Sebab itulah agama hanya sekadar kepercayaan, tidak terangkum sebagai cara hidup dan praktis pemerintahan.

kental dengan kerangka teologi

Sebagai seorang ahli fikir politik yang berpaksikan kesempurnaan, Al-Farabi berusaha mencipta sebuah teori politik dengan menggabungkan pelbagai aliran pemikiran falsafah yang berasal dari Yunani, iaitu Plato, Aristoteles, dan Plotinus. Namun, teori politik Al-Farabi amat kental dengan kerangka teologi, di mana hakikat kehidupan manusia adalah menuju kepada kesatuan dalam mencari kebahagiaan sejati walaupun agak mustahil untuk dipenuhi oleh sesiapa pun.

Meskipun teori tersebut mempunyai kaitan yang jelas antara teologi dan sosiologi, Al-Farabi berusaha mengemukakan pandangan politiknya yang asli, melakukan sedikit pengubahsuaian idea politik (kembangan) falsafah Yunani. Al-Farabi cuba mengakhiri persoalan teologi dengan menghubungkan manusia dan Tuhan (Almabda’ Alawwal), benda-benda di langit (ats-Tsawani) dan akal aktif (Alaql Alfa’al).

Tuhan harus ada terlebih dahulu

Sebab itulah Al-Farabi tidak hanya sekadar menyentuh mengenai negara dan kepimpinan sempurna, dibahas juga konsep masyarakat (bangsa) sempurna, yang menghuni dan menguruskan kota-kota utama dari bangsa-bangsa utama. Baginya, pemimpin negara harus ada terlebih dahulu, yang kemudiannya disusuli dengan kehadiran masyarakat atau rakyat. Keperluan itu seumpama kejadian alam, Tuhan harus ada terlebih dahulu sebelum alam diciptakan.

Membaca asas pemikiran politik Al-Farabi menyebabkan kita kembali menilai apa yang pernah diutarakan oleh ahli falsafah Jerman, Jurgen Habermas (lahir 1929), yang iaitu Demokrasi Deliberatif. Dalam konsep tersebut, Habermas menyatakan bahawa semua pihak saling memerlukan dan menunaikan tanggungjawabnya secara saksama, saling bekerjasama dan bercakap serta mendengar. Bagi Al-Farabi, terdapat empat keutamaan untuk memperoleh kebahagiaan sejati, iaitu keutamaan teoretis, berfikir, akhlak dan berkreasi. Kesemuanya perlu dilaksanakan melalui tingkah praktik.

Al-Farabi menyenaraikan bentuk negara dalam empat kategori, iaitu al Madinah al Jahiliah, al Madinah al Fasiqah, al Madinah al Mubaddilah, dan al Madinah al Dallah.(hal.173). Dalam karya monumentalnya, Ara’ Ahli al-Madinah al-Fadhilah, sebuah negara utama ialah “ suatu negara yang setiap warganya memiliki pengertian tentang sebab pertama dan segala sifatnya, segala bentuk materi yang menjadi halangan terjalinnya hubungan dengan akal aktif, benda-benda di langit dan segala sifatnya, benda-benda fizik dan di bawahnya, serta cara benda itu muncul, serta kemudian hancur.

Al-Madinah al-Jahiliah

Manakala Al-Madinah al-Jahiliah pula bermaksud “negara yang para warganya tidak mengetahui tentang erti kebahagiaan, dan hal ini memang tidak pernah terlintas di dalam benak mereka. Bahkan, jika diarahkan secara benar untuk sampai kepada hal tersebut (kebahagiaan), mereka tetap tidak dapat memahaminya, bahkan tidak mempercayainya. Hal-hal yang baik mereka kenali hanyalah hal-hal yang secara superficial, tetapi mereka menganggapnya sebagai sesuatu yang paling baik, dan hal itu pulalah yang mereka jadikan tujuan hidup.” (hal.174)

Al-Farabi membahagikan al-Madinah al-Jahiliah kepada enam kategori, iaitu al Madinah al Daruriyah, al Madinah al Baddalah, al Madinah al Khassah wa al Suqut, al Madinah al Karamiyah, al Madinah al Taghallub, dan al Madinah al Jama’iyah.

Al Madinah al Daruriyah bermaksud: “…suatu negara yang para warganya memprioritaskan persoalan-persoalan dasar bagi kelangsungan hidup dan kesehatan tubuh mereka, seperti makan, minum, berpakaian, bertempat tinggal, dan menikah. Mereka berusaha secara sungguh-sungguh, bahkan sudi tolong menolong dalam memenuhi kehendak tersebut.” (hal.175). Mereka sentiasa berusaha sehabis kudrat untuk mempertahankan kelangsungan atau survivalnya untuk hidup.

Al Madinah al Baddalah, adalah “suatu negara yang para warganya menjadikan kekayaan dan kemakmuran secara berlebihan sebagai tujuan hidup. Dan mereka tidak sudi membelanjakan harta kecuali untuk kebutuhan jasmaniah.” (hal.176)

Al Madinah al Khassah wa al Suqut, adalah “suatu negara yang tujuan hidup para warganya hanya berburu kesenangan dan kenikmatan. Kesenangan dan kenikmatan itu boleh berwujud makanan, minuman dan menikah. Kenikmatan indrawi dan khayali itu mereka jadikan senda gurau dan main-main.” (hal. 176)

Al Madinah al Karamiyah, adalah “suatu negara yang tujuan para warganya ialah meraih kehormatan dan pujian dari bangsa yang lain. Dalam arti, dimuliakan, baik dengan kata-kata maupun dengan perbuatan/perlakuan, serta memiliki kebanggaan dan kemegahan, baik di mata orang lain maupun di antara mereka sendiri.” (hal.177).

Al Madinah al Taghallub, adalah “suatu negara yang tujuan pokok warganya hanyalah mengalahkan orang lain, mencegah orang lain mengalahkan dan menundukkan dirinya, serta kerja keras mereka hanyalah didasari pada rasa mengalahkan orang lain…Dengan kata lain, warga itu ingin agar orang lain taat kepadanya sehingga ia melempiaskan nafsunya semena-mena tanpa halangan dari sesiapa pun.” (hal.178-179)

Al Madinah al Jama’iyah, adalah “suatu negara yang tujuan inti para warganya ialah memperoleh kebebasan yang tanpa batas sehingga mereka dapat melampiaskan hawa nafsu. Dalam negara itu, tidak seorang pun berhak melarang sesuatu yang diinginkan dan dilakukan oleh warganegara. Penduduk negara ini beranggapan bahawa semua manusia memiliki status yang sama, tidak ada perbedaan antara satu orang dengan yang lain; seseorang tidak boleh berkuasa atas yang lain; dan mereka berhak untuk melakukan sesuatu sekehendak hati.” (hal.179).

tingkah laku rakyat

Terdapat empat lagi kategori negara yang dibincangkan oleh Al-Farabi dalam Kitab Ara’ Ahli al-Madinah al-Fadhilah, iaitu Al-Madinah al-Fasiqah, Al-Madinah al-Mubaddilah, Al-Madinah al-Dallah dan Nawaib al-Mudun. Dalam negara Al-Madinah al-Fasiqah, penduduknya dikatakan “memiliki jiwa yang sakit, menderita dengan perbuatan-perbuatan yang hina” atas keberagaman alasan, termasuk memperoleh penghormatan, mengejar status ataupun menjadi juara. Tingkah laku mereka menyerupai tingkah laku rakyat dalam kategori al-Madinah a-Jahiliah.

Begitu juga perilaku warganegara dalam Al-Madinah al-Mubaddilah, iaitu menyimpang jauh dari peraturan yang ada dalam negara utama (sempurna) yang kemudiannya berakhir dalam situasi tidak bahagia manakala Al-Madinah al-Dallah “ warganya memprediksi adanya kebahagiaan sejati setelah mati, tetapi mereka berubah fikiran” manakala “pemimpin mereka adalah orang yang dipercayai tetapi kepercayaan itu disalahgunakan, dan ia mencipta opini tersendiri yang berhujung dengan kepalsuan, penipuan dan pengelabuan’. Nawaib al-Mudum atau Al-Nawbit pula ialah menyamai makna masyarakat sivil, civil society di mana rakyatnya hidup berdikari, tetapi ada di antaranya tewas dalam meraih kebahagiaan.

Kelompok manusia dalam Al-Nawbit disebut sebagai kelompok manusia: (1) al-mutaqannisum (pemburu), berpura-pura beriman hanya kerana ingin mendapat penghormatan; (2) muharrifun (orang-orang yang menyeleweng): (3) al-mariqah (orang-orang keluar dari ketentuan); (4) al-mustarshidun (orang-orang yang mencari keterangan) dan; (5) al-muzayyafun (orang-orang yang memalsukan).

demokrasi-teokrasi atau demokrasi religius

Dari perspektif sistem politik, Al-Farabi mengaitkan kepemimpinan dengan demokrasi-teokrasi atau demokrasi religius. Dalam demokrasi religius, wahana kepemimpinan tidak mungkin diperlakukan hanya dengan pencalonan. Ini kerana, seseorang atau orang-orang tidak akan dicalonkan secara pribadi atau melalui partai politik dan kelompok untuk memimpin; dan rakyat secara langsung ataupun tidak langsung memilih seorang pemimpin di luar senarai pencalonan.

Proses pemilihan seorang pemimpin dalam sistem demokrasi religius dilaksanakan menerusi keputusan sebuah jawatankuasa atau sekumpulan pakar yang mempunyai komitmen menyingkirkan golongan oportunis, iaitu mereka yang kemaruk kuasa dan obsess menjadi ketua.

Menyerlahnya, pemikiran politik al-Farabi mempunyai hubungan yang kuat dengan konsep good governance, yang kita kenali dalam teori kenegaraan unggul masa kini. Ada dua pemahaman mengenai good governance, iaitu: (1) nilai yang menjunjung tinggi kehendak rakyat, dan; (2) nilai-nilai yang dapat meningkatkan potensi rakyat untuk berdikari, kelestarian hidup dan memperoleh keadilan sosial.

masyarakat sivil

Bagi membangunkan negara al Madinah al Fadhilah, Al-Farabi mensyaratkan perlu diwujudkan sebuah masyarakat yang dikenali sebagai al-Nawabit, di mana setiap orang bebas dan boleh berdikari, sebagaimana maksudn masyarakat sivil dalam perspektif teori politik masakini.

Dalam al Madinah al Fadhilah, Al-Farabi mengharapkan terbinanya civil society , iaitu hubungan sempurna antara pelbagai entiti masyarakat, saling bekerjasama dan menyumbang kepada pembangunan negara, tidak menjeruk diri dalam kancah rasuah, penyelewengan dan menipu (membolot kekayaan peribadi atau selfish).

Sayangnya, kesempurnaan itu memang sukar diraih, tetapi menuju kesempurnaan memerlukan kesungguhan, pengorbanan dan kerja keras, yang sebahagiannya tercalar oleh kehendak-kehendak dan tuntutan tertentu, yang akhirnya kewibawaan kepimpinan tergelonsor ke lembah penghinaan sama ada kleptokrasi atau kakistokrasi.

Naratif sedemikian banyak berlaku, bahkan di akhir kerjayanya ada pemimpin terpaksa merengkok dalam penjara, manakala sebahagiannya terpaksa mencari suaka politik. Jarang ditemukan pemimpin yang benar-benar jujur dan ikhlas mengarahkan keupayaannya membina negara. Banyak yang terjadi (dalam sekelip mata), setelah mendapat kuasa, pemimpin berkenaan begitu kaya dan sombong (ketika berkuasa dan merancang mengekalkan kuasa). Inilah kejelekan yang membezakan konsep negara sempurna dan negara tidak sempurna oleh Al-Farabi.

Sebuah penilitian ilmiah yang menarik dan boleh menginspirasikan bakal pemimpin agar sentiasa berfikir dan beriktikad, memimpin itu sebuah tanggungjawab, bukan sebuah penghormatan dan mengejar kekayaan peribadi.

Kamarun KH.

Nama Buku : The Ideal State: Perspektif al-Farabi Tentang Konsep Negara Ideal.

Nama Penulis : Moh. Asy’ari Muthhar.

Nama Penerbit : IRCiSoD, Yokyakarta, Disember 2018. (408 halaman).

Translate »