Dalam kerangka analisis kajian budaya dan falsafah (Buying Buddha, Selling Rumi), Dr Sophia Rose Arjana melihat bahawa orientalisme cukup ghairah untuk meneruskan projek kolonialnya demi menguasai dunia bukan Barat’, yakni masyarakat Timur dan sebahagian daripada Afrika.
Masyarakat Barat kurang melakukan perkara yang sama ke atas masyarakat di Amerika Latin, kecualilah di benua Australia yang sudah dikuasainya dengan kaedah “penjajah-pemukim” atau “settler-colonialisme” sebagaimana telah dan sedang berlaku di Palestin oleh aktivis dan pemuka Zionisme.
Kisah kejam di Palestin dapat dibaca dalam rangkuman sejarah 100 tahun yang ditulis oleh Rashid Khalidi, penyandang kerusi Edward W Said dalam bidang kajian Arab Moden di Universiti Columbia, Amerika Syarikat, The Hundred Years’ War on Palestine: A History of Settler Colonialism and Resistance, 1917-3017 (Metropolitan Books, 2020).
Menurut Raymond William, Keywords: A Vocabulary of Culture and Society (1985), peradaban sekurang-kurangnya mengandungi tiga makna: sebagai satu bentuk pembangunan sejagat; sebagai tahap perkembangan kolektif manusia; dan sebagai budaya khusus sesuatu kelompok.
Secara zahirnya, ketiga-tiga makna ini meresapi aspirasi Eropah (Barat) iaitu meletakkan dirinya sebagai bangsa yang superior, yakni penanda aras kepada sesebuah bentuk yang dinamakan sebagai kemajuan dan kesempurnaan tamadun.
Bangsa-bangsa bukan Barat digambarkan cukup inferior, dan untuk mencapai tahap yang ditentukan sebagai “moden, maju dan membangun”, ia perlu menukarkan nilai dan bentuk tradisi dengan kerangka peradaban Barat. Sekurang-kurangnya itulah yang ditanggap oleh Napoleon Bonaparte ketika melakukan penjajahan ke atas Mesir, yang dilihat sebagai pintu masuk ke Timur selama tiga tahun, 1798-1801.
Namun, jauh sebelum itu, kuasa-kuasa Barat sudah pun menguasai kawasan Timur dalam usaha mereka untuk menguasai perdagangan dan menyebarkan dakyah Kristian, terutama Katholik yang dikuasai oleh pemuka gereja Romawi. Ia sebagai satu “cabaran” untuk menghapuskan Kristian Othordoks yang berada di Timur, yang dilihat lebih mendekati ajaran Kristian sebenar, dan mempertahankan tradisi agama yang dibawa oleh Jesus.
Talal Asad, kelahiran Arab Saudi (Madinah) dan merupakan ahli antropologi British, Formation of the Secular: Christianity, Islam, Modernity (2003) menjelaskan bahawa Barat sering menunjukkan keunggulan dirinya melalui pencapaian material, yang boleh diukur dan didokumentasikan secara empirik.
Dan, kerana itu mereka (Barat) meletakkan satu bentuk pemahaman dan kayu ukur berdasarkan faham ilmiah atau saintifik yang mereka bina sebagai kerangka, manakala yang tidak boleh diukur dalam mana-mana skala dilihat sebagai hal yang kabur, tidak munasabah dan bersifat tidak objektif.
Ketika kolonialisme menjadi sesuatu yang cukup mencengkam masyarakat dunia, pada Abad ke-18 ia memperlihatkan munculnya satu paradigma pemikiran di mana-mana masyarakat atau bangsa yang tidak memiliki dokumentasi sejarah bertulis dianggap “Barbarik” atau “liar”.
Atas persoalan itulah Barat menganggap masyarakat Asia dan Afrika sebagai “kabur” kerana tidak memiliki sejarah tersendiri. Inilah projek terbesar kolonialisme yang hingga hari ini terus dilaksanakan menerusi penjajahan budaya dan pemikiran, setelah mereka memahami beberapa asas tentang masyarakat di luar Barat.
Semasa kolonial, Barat menghantar pelbagai pakar ke Timur untuk mengkaji pelbagai perkara, dengan tujuan untuk mengekalkan kedudukan sebagai bangsa penjajah selain merombak nilai-nilai ketimuran yang sudah bersebati dan menjadi amalan yang cukup kuat sebagai asas kelangsungan sesebuah tamadun.
Serlahan itu dapat dibaca dalam karya Jurgen Osterhammel, The Transformation of the World: A Global History of the Nineteenth Century (2014) dan Unfabling the East: The Enlightenment’s Encounter with Asia (2018), atau juga karya Tamin Anshary, seorang pakar sejarah Islam Afghanistan-Amerika, The Invention of Yesterday: A 50,000-Year History of Human Culture, Conflict, and Connection (2019).
(bersambung)
KAMARUN KH
Recent Comments