AIDILFITRI tiba lagi. Kali ini terlalu besar dugaan atau ujian yang kita lalui dan hari-hari yang berikutnya dijangka berlaku ketidaktentuan dan kendala yang memaksa kita mengendali kehidupan agar tidak rusak binasa.

Secara lafaz, Aidilfitri bermakna sebuah kemenangan. Madrasah Ramadhan selama 30 hari berjaya kita laksanakan, tanpa rasa gelabah dan sukar. Di dalamnya, kita mengasuh diri sendiri untuk memahami hakikat fitrah kehidupan tanpa ada rasa curiga dan benci.

Kalau ada benci pun bukan benci apabila melihat orang lain lebih mewah dan kaya daripada kita. Kita sejak kecil diajar untuk sabar, bersyukur dan memahami bahawa takdirlah yang menentukan segala-galanya, tetapi tidak bermakna takdir adalah jerat yang mematikan.

Takdir membawa kita kepada sebuah keinsafan paling dalam. Kita insaf bahawa kita sebenarnya bukan tuan kepada kehidupan ini, kita adalah penumpang pada dunia yang penuh cabaran dan simpang siur. Simpang siur yang setiap saat kita perlu hadapi ialah bagaimana berada dalam kompas ayat-ayat suci al-Qur’an dengan melihat apa yang telah diteladankan oleh para nabi dan rasul.

Allah SWT berfirman, dengan maksud: tidak Aku jadikan kalian (manusia) dengan sia-sia (Al-Imran: 191); Allah jadikan kita sebagai makhluk yang paling istimewa (At-Tin: 4) dan ini bermakna manusia yang paling bahagia ialah manusia yang memahami hasrat jiwa dan ketentuan-Nya (Imam Al-Ghazali, Seni Memiliki Jiwa Yang Dicintai Tuhan, terjemahan dari Kitab Riyadah al-Nafs wa Tahdzib al-Khuluq wa al-Mu’alajat Amrad al-Qalb, kitab ke-22 ( dalam Ihya Ulumuddin (Jilid 3: Rubu’ al-Muhlikat) oleh Siti Nurul Iman Naim, Batu Caves, Selangor: PTS Publishing House, 2025).

Manusia dijadikan sebaik-baik kejadian. Manusia diberikan akal fikiran dan kerana itu Allah SWT sentiasa memberikan suguhan, sesungguhnya orang yang paling beruntung ialah mereka yang berfikir, berfikir untuk menjaga hubungan dengan Allah dan juga setiap makhluk. Kerana itu, kita diajar untuk belajar, mencerap dan melihat pada alam, kerana akan itulah guru yang sangat berharga dan pedoman tentang kebesaran-Nya.

Ada pepatah: alam terbentang luas adalah guru yang sangat dedikasi membimbing, tetapi kadangkala kita melihat ia hanya sebuah estetika yang indah, bukan sebuah makna yang boleh membawa kita kepada keyakinan, Dialah yang mengajar kita untuk berperilaku dan bertanya pada diri, untuk apakah kita hidup. (Hamka 1908-1981).

Jika pohon tumbuh dari sebiji benih, pohon itu kalaupun tidak berbuah ia tetap memberikan harapan kepada makhluk yang memerlukan. Sekalipun seharian kita melihat pokok itu membesar, tumbuh subur, merindang tetapi tidak mengeluarkan sebarang buah dan berputik, ia tetap membawa faedah yang besar kepada makhluk. Ia menjadi tempat berlindung para unggas dari kepanasan matahari.

Sekali pun pokok itu kadangkala ternampak bayang-bayang hitam, ia tidak bermakna ada hantu dan jembalang yang sedang menunggu. Tetapi setiap saat pokok yang hidup itu memberikan makhluk untuk bernafas, sebab pokok mengeluarkan oksigen yang sangat kita perlukan. Tanpa oksigen kita boleh mati.

Tanpa oksigen kita sesak. Itulah maknanya. Kita akan terasa ia cukup berharga, apabila sesak nafas dan diberikan bantuan pernafasan oleh para doktor. Selepas semuanya selesai, kita sedar bahawa harga oksigen yang kita diberikan bantuan pernafasan itu cukup mahal, dan kadangkala kita tidak mampu untuk membayarnya.

Kenapa oksigen menjadi mahal? Kerana oksigen itulah yang memberikan kita rasa nyaman dan menggerakkan urat nadi kehidupan. Jika oksigen terhenti, atau alirannya tersendat, kita kemas dan boleh jadi mati. Begitu juga latihan diri berpuasa selama sebulan. Ia memberikan nafas baharu kepada kesihatan diri, kerana dengan berpuasa kita dapat nyahkan beberapa partikel yang telah lama berkumpul di dalam organ diri.

Secara saintifik, dengan berpuasa selama 12 jam, kita dapat mengukur dengan lebih baik tekanan darah, tahap kolestrol dan sebagainya. Dengan berpuasa, kita dapat memahami bahawa “kelaparan” itu bukan sekadar “tidak makan dan tidak minum”; kita turut berpuasa daripada pelbagai gelodak rasa dan emosi, yang boleh membawa kita kepada hal-hal yang negatif.

Dengan berpuasa, kita menahan atau dapat mengawal nafsu. Bila nafsu tidak dapat dikawal kehidupan menjadi tidak keruan dan kadangkala membawa kepada konflik yang lebih besar.

Tentunya, Aidilfitri itu kita raikan sebagai titik kemenangan melawan hawa nafsu, tetapi, dalam menyambutnya kadangkala kita terlupa perjuangan selama sebulan itu nampaknya cukup sia-sia. Kita kembali kepada tabiat lama, sebab kita merasakan “kita telah menang”. Tidak kurang pula ada ego yang membaluti nurani kita, sehingga kita lupa, puasa mengajar kita untuk bersederhana, dan menginsafi kesusahan orang lain.

Sepanjang Ramadhan kita cuba mengasuh jiwa agar bersyukur dan bersedekah, sama ada secara terus kepada keluarga yang kurang bernasib baik, atau mengambil bahagian dalam program iftar yang dianjurkan oleh pelbagai pihak, termasuk masjid, surau atau persatuan khairat, pusat didikan anak-anak yatim dan sebagainya.

Sayangnya, ketika menyambut Aidilfitri, kita terusir dan berjarak dengan semangat itu. Kita bermegah dengan pakaian berjenama, menghias diri dengan aksesori luar negeri yang cukup mahal, yang kadangkala harga sebuah beg tangan boleh menampung keperluan lebih lima keluarga untuk sebulan.

Tidak cukup dengan itu, ada di antara kita mempamerkan busana indah tetapi seperti tidak cukup ukuran untuk memaknakan aurat. Ada yang ketat sehingga alur tubuh cukup sendat, sebab ada bahagian yang dikatakan menarik perlu dibentuk sedemikian rupa agar nampak anggun, ceria dan sophisticated. Walhal setiap daripada kita diajar, bersederhanalah segala-galanya, termasuk berbusana. Untuk apa itu semua?

Untuk menjaga peribadi dan memancarkan semua dan keindahan diri yang sebenarnya. Bukan lakonan, atau drama yang membinasakan.

Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar Walillahilham.

Ingatlah bahawa Allah Itu Maha besar. Maha besar kerana Dialah yang memberikan kita kehidupan dan Dialah yang turut mengatur rezeki sekian mengatur bagaimana sesungguhnya hidup itu patut kita jalani. Ingatlah, sebaik sahaja hari terakhir Ramadhan, sebaik sahaja selepas berbuka puasa kita disunatkan untuk melafazkan takbir hari raya, sebagai tanda kemenangan perjuangan selama sebulan lamanya.

Namun, kita tidak melakukannya, kita sibuk untuk melakukan apa sahaja demi sebuah “pengorbanan” yang tidak pun menjadi kewajipan untuk mengambil hari raya. Kita bersungguh-sungguh memasak, menghiasi rumah dan sampai awal pagi bersengkang mata menyiapkan juadah.

Setiap ruang dapur terasa tidak cukup untuk meletakkan pelbagai juadah, termasuk kuih-kuih kering yang dibuat sendiri mahupun yang dibeli. Di atas meja tersusun indah balang kuih, yang menjadi ruang semakin sendat dan sesak.

Kita sebenarnya kembali terjerat oleh hawa nafsu, kerana kita mengaitkan “kemenangan” itu dengan aneka kuih, juadah dan hiasan yang gah. Kita menyelubungi makna “kemenangan” itu dengan benda-benda yang indah dan gah dilihat oleh mata kasar, tetapi tertinggal dalam semangat dan jiwa “kemenangan sebenar”. Seringkalinya juga, saat tibanya “hari kemenangan” itu selimut jiwa dipenuhi kecewa dan hikmat berkuasa sebulan lamanya.

Ada isteri bertegang leher dengan persiapan penuh riuh dan memenatkan. Ada suami yang terjerut rasa pedih kerana diganggu oleh persiapan raya yang berlebihan sejak muka berpuasa lagi. Isterilah yang seringkali memutuskan pakaian raya kalau boleh mahu sedondon semuanya. Perlu ada tema, dan hari raya benar-benar sudah diserang komersialisasi. Hari kemenangan menjadi lubuk perniagaan yang menguntungkan, bagi yang mampu eksploitasi kehendak-kehendak yang tidak terbatas.

Nilai-nilai kapitalisme menguasai dan menjadi anjuran yang cukup mengujakan, maka di situlah lahirnya ungkapan, berniaga sebulan (Ramadhan) cukup menguntungkan. Khabarnya berbilion ringgit nilai jualan Bazar Ramadhan, namun ada juga sisi negatif yang ikut hadir bersamanya. Kalau makanan ada pembeziran. Buka sahaja juadah tidak terjual, harga mahal bahkan sebahagiannya berakhir ke tong sampah.

Ya! Ketika dalam keadaan lapar dan dahaga, kegiuran meningkat mendadak. Tetapi, setelah setelah minum segelas air, sebahagian kegiuran itu turun mendadak. Ertinya, ujian kepada hawa nafsu tidak sepenuhnya berjaya, kita hanya berjaya seketika sahaja, belum pun sampai ke hujung hari.

Ertinya, kita telah gagal. Kegagalan yang cukup disengajakan. Kita terpengaruh dengan keadaan, mudah tergiur pada bau-bauan dan keindahan yang kekuatan pada zahir. Kita kehilangan keindahan pada jiwa dan roh Ramadhan, dan terbawa-bawa pula ke “hari kemenangan”.

Pada hari kemenangan, kita sepatutnya memulakan sambutannya dengan mandi sunat, takbir hari raya dan seterusnya hadirkan diri bersembahyang sunat hari raya dua rakaat. Selepas bersembahyang, bersalan-salaman, memohon maaf di atas segala kesilapan yang berlaku sama ada secara sengaja atau tidak sengaja.

Tetapi, dalam keluarga kadangkala ada yang “menjauhinya” kerana ketika bersiap sedia untuk menyambut Aidilfitri ada “ketegangan” yang berlaku. Isteri tidak menegur suami kerana suami tidak bersetuju dengan apa yang isteri inginkan. Suami tidak menegur isteri kerana terasa kecil hati, terlalu sibuk untuk menghias rumah dan kadangkala terkeluar pelbagai kata-kata yang cukup melukakan.

Keindahan Aidilfitri bukan pada perhiasan yang berjejai di badan, langsir yang baharu, rumah yang penuh aksesori dan dapur yang sendat dengan juadah. Keindahan Aidilfitri yang kita raikan sebagai “kemenangan” ialah kerana kita berjaya mengawal dan mengelola hawa nafsu. Itulah hakikat “kemenangan” dan ianya bukan sekadar bulan Ramadhan, ia adalah sepanjang hayat sebagai manusia yang beriman.

Hakikat meraikan “Aidilfitri” ialah memahami fitrah kehidupan. Kita beramal dengan sebaik-baiknya, kerana kita mensyukuri apa yang Allah SWT berikan, termasuk kasih sayang-Nya yang tidak pernah putus. Dari nafas setiap saat kita hela hinggalah rezeki yang kita raih untuk menyara kehidupan keluarga, dan bersedekah kepada mereka yang kurang bernasib baik.

Dalam meraikan “kemenangan” kita diajar agar sentiasa bermuhasabah dan membaiki urusan dunia, dari sekecil-kecil perbuatan hinggalah setiap kata-kata yang muncul dari lidah yang tidak berulang. Setiap saat kita wajib mengingati-Nya kerana Dialah yang menentukan apa yang ada pada diri dan apa yang akan terjadi selepas “hari kemenangan” itu.

Dalam keindahan Aidilfitri, kita perbanyakkan kerendahan hari, memohon maaf dengan sesiapa sahaja, bukan terhad dalam ahli keluarga dan sahabat handai. Salah dan silap kita sedia memaafkan dan jangan jadikan “maaf adalah dendam yang terindah”.

Jadikan maaf itu sebagai budaya “kehambaan” yang tulus dan penuh keikhlasan, kerana Allah SWT tetap memaafkan kepada setiap mereka yang bertaubat. Itulah sebuah pengkalan yang sentiasa kita jadikan pedoman dan jadikan Aidilfitri ini sebagai “turn-around” pengurusan pahala dengan menguburkan segala dosa. (Dr KH Ahsin Sakho Muhammad, Oase al-Qur’an: Petunjuk dan Penyejuk Kehidupan, Jakarta: PT Qaf Media Kreativa, 2022; dan Nevzat Tarhan, Psikologi Iman: Keyakinan Yang Masuk Akal dan Menumbuhkan Kesihatan Mental, terjemahan dari Faith in the Laboratory: Humanity at the Intersection of Body, Mind and Soul (dalam bahasa Turkiye, Inanc Psikolojisi Ingilizce, 2020) oleh FX Dono Sunardi, MA, Jakarta: PT Qaf Media Kreativa, 2022).

Saya petik sebuah nukilan Jalaludin Rumi yang diterjemahkan oleh Prof Abdul Hadi WM, Jalaludin Rumi: Masnawi, Senandung Cinta Abadi (2017);yang diambil daripada manuskrip terjemahan dan catatan Reynold A Nicholson, The Mathnawi of Jalaludin Rumi, Volume I (1977), “Bahaya Sanjungan Orang di Tengah Khalayak dan Kegemaran Pamer diri”:

“Tubuh jasmani bagaikan sangkar; tubuh yang terumbang-ambing oleh rayuan datang dan pergi, menjadi duri bagi jiwa.

“Yang ini berkata kepadanya:” Aku akan menjadi orang kepercayaannya!”. Dan yang itu berkata: “Tidak ada seperti kau di dunia ini dalam hal. kemolekan, keunggulan, keramahan, dan keluasan pandangan!”. Ketika dia tahu bahawa orang-orang mabuk dan mengagumi dirinya, lantas dia pun menjadi sombong dan kehilangan kendali diri.

“Dia tidak tahu bahawa Iblis menceburkan ribuan orang seperti dirinya dalam sungai yang dalam dan deras.

“Bujukan dunia dan kemunafikannya adalah manisan yang lazat: makan sedikit saja, kerana di dalamnya tersembunyi bara api.

“Apinya tersembunyi dan rasanya jelas: pada akhirnya asap akan menampakkan api dan rasa api.

“Jika tutur katamu membuatmu dicemoh orang di khalayak, hatimu akan membara selama beberapa hari sampai makian orang itu hangus.

……

“Jika pengaruh rasa gula bertahan lama, tak lama kemudian muncul buih yang membuat lidah terasa tidak enak

“Fir’aun menjadi seperti itu kerana limpahan sanjungan; jangan merasa sok berkuasa.

“Jika boleh, jadilah seperti hamba (Tuhan); jangan jadi raja (Fir’aun). Siksaan menghembuskan nafasnya; jadilah seperti bola, jangan jadi kelelawar.

“Sebaliknya, jika sikap anggun dan baik ini kekal dalam dirimu, kau akan disegani dalam persahabatan.

“Sejumlah orang yang berniat memperdayakanmu, jika melihatmu akan menganggapmu setan.

“Seperti anak muda tak berjanggut yang mereka anggap malaikat, dengan kemunafikan inilah mereka membuat namanya tercoreng.

“Segera sesudah orang itu memiliki janggut, kerana namanya telah tercoreng, iblis pun malu mendekatinya lagi.

“Iblis menghampiri orang dengan maksud jahat: ia tidak akan menghampirimu disebabkan engkau lebih buruk dari setan.

“Selama engkau masih manusia, Iblis akan berputar pada rodamu dan merayumu agar mahu menenggek anggurnya.

“Begitu engkau terjerumus dalam perbuatan jahat, Iblis akan segera meninggalkan dirimu, O engkau yang konyol.

“Dulu mereka memegang jubahnya sekuat tenaga: kerana engkau telah gemar maka mereka semua lari meninggalkanmu. (Abdul Hadi WM, 2017, hal. 306-309).

…….

Akhirnya, saya ungkapkan dalam pantun, apa yang terilham dari Aidilfitri, tahun ini (1447):

Aidilfitri Kita Raikan Bersama

Tidak Dilupa Sahabat dan Keluarga

Ampun dan Maaf Dimohon Sesama

Dalam Semangat dan Berkat-Nya

Jauh Perjalanan Hadapi Jua

Untuk Pulang Berhari Raya

Bukan Pakaian adalah Pengukurnya

Hati Yang Ikhlas Penuh Bahagia

Sebulan Ramadhan Kita Berpuasa

Tanda Syukur fitrah diri

Sebulan Mencari Kemenangan juga

Usah Dinodai ego tinggi

Allahuakbar, Allahuakbar Walillahilham.

Salam Aidilfitri. Maaf zahir dan batin.

KAMARUN KH

Translate »