“Jika kepemimpinan UMNO sendiri tidak berubah, bagaimana mungkin rakyat percaya bahawa parti itu telah berubah? Adakah UMNO benar-benar mahu memulihkan kepercayaan rakyat, atau sekadar mahu memulihkan peluang untuk kembali berkuasa dan meneruskan kerenah lama?”

Oleh Datuk Dr Ibrahim Ali

SAYA ingin memberi sedikit pandangan 10 sen mengenai UMNO. Saya telah menjadi ahli UMNO pada tahun 1981 dan dipecat sebagai Ketua Bahagian Pasir Mas pada tahun 2003 (setelah menjadi Ketua Bahagian selama 11 tahun).

2. Semasa di dalam UMNO, saya begitu aktif dan memegang pelbagai jawatan, antaranya Ketua Cawangan dan Ketua Pemuda Bahagian Pasir Mas (1981), serta Exco Pemuda UMNO Malaysia sehingga tahun 1987 setelah UMNO diisytiharkan haram oleh mahkamah. Selepas itu, saya direhatkan di bawah ISA untuk kali ke-2 kerana isu ketuanan Melayu.

3. Pada tahun 1992, saya menjadi Ketua Bahagian Pasir Mas selama 11 tahun dan menyertai MKT UMNO sehingga tahun 2003. Pada tahun 2003 pula, saya dipecat sebagai Ketua Bahagian tanpa sebarang sebab dan alasan oleh tokoh “Mr Clean Malaysia”, yang juga dilihat paling alim dalam UMNO, iaitu Allahyarham Tun Abdullah Badawi. MKT membuat keputusan bahawa semua Ketua Bahagian kekal walaupun berlaku persempadanan semula kawasan pilihan raya pada tahun itu. Kawasan Parlimen Pasir Mas tidak langsung terlibat dengan persempadanan, tetapi saya dipecat tanpa sebab pada bulan Ramadan tahun 2003. Masih ada “iblis-iblis” pada bulan Ramadan yang menasihat dan menghasut supaya saya dipecat.

Banyak lagi sejarah dan nostalgia saya semasa aktif dalam UMNO, terutama ketika menjadi Pengerusi Biro Menangani Fitnah semasa Gerakan Reformasi oleh Anwar Ibrahim pada tahun 1998 setelah beliau dipecat sebagai Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Ke hulu ke hilir saya menjelajah seluruh negara mempertahankan UMNO. Ia menjadi kenangan pahit, dan sebab itulah saya menjadi jelik dengan UMNO dan tidak akan berlaku lagi pisang berbuah dua kali. Politik UMNO adalah politik wang, cemburu dan dengki sesama sendiri, adu domba serta pijak kepala kawan untuk naik. Apa pun, pengalaman saya dalam UMNO memberi hak kepada saya untuk mengulas dan memberi pandangan ikhlas agar rakyat tahu apa itu politik UMNO.

4. Saya membaca kenyataan yang mendakwa bahawa kemungkinan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Khairy Jamaluddin, serta lain-lain tokoh kembali ke dalam UMNO kononnya akan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap Barisan Nasional melalui Rumah Bangsa. Ya ke?

5. Terus terang saya katakan, sebelum membuat kesimpulan seperti itu, ada beberapa soalan besar yang perlu dijawab oleh kepemimpinan UMNO.

6. Soalan pertama, adakah keyakinan rakyat terhadap UMNO runtuh kerana kekurangan tokoh, atau kerana krisis integriti yang melanda kepemimpinan parti itu sendiri?

7. Soalan kedua, adakah rakyat akan lupa bahawa UMNO hari ini dipimpin oleh seorang presiden yang membawa imej 47 kes prima facie walaupun mendapat NFA? Yang memberi NFA ialah Peguam Negara, bukan rakyat atau pengundi. Mindset rakyat ketika ini ialah UMNO sebuah parti kleptokrasi setelah dilanda isu 1MDB, dan ramai dalam kalangan pemimpin UMNO dilihat tidak bersih. Rakyat tahu dan rakyat tidak buta.

8. Soalan ketiga, adakah kemasukan dua tokoh ke dalam UMNO mampu memadam persepsi rakyat bahawa parti itu hari ini sedang bergelut dengan krisis kredibiliti dan pelbagai penyakit? Hebat ke KJ itu? KJ Tingkat 4. Rakyat dan saya tidak lupa. Saya Melayu yang tidak pernah lupa. KJ jika tidak kerana menantu Perdana Menteri, mungkin Ketua Cawangan pun sukar menang. Dah jadi Menteri pun kalah PRU. Lainlah kalau calon bebas yang tidak berduit. DJ radio bukan pejuang politik. Populariti yang terhad kepada yang gemar hiburan. Orang Melayu memerlukan pejuang bangsa jika UMNO mahu hidup dan mendapat sokongan.

9. Soalan keempat, bagaimana UMNO mahu bercakap tentang maruah politik Melayu sedangkan hari ini parti itu berada dalam kerajaan yang sama dengan DAP, parti yang selama puluhan tahun UMNO sendiri tuduh sebagai ancaman kepada politik Melayu? Bagaimana dengan sumpah laknat “No Anwar, No DAP”?

10. Soalan kelima, jika benar UMNO mahu memulihkan keyakinan rakyat, adakah kepemimpinan parti sanggup melakukan reformasi sebenar termasuk membersihkan kepemimpinan yang kotor dan hipokrit? Sanggupkah berundur dan memberi laluan kepada pemimpin yang dilihat bersih demi masa depan UMNO? Buktikan keikhlasan dan buang kepentingan diri. Rumah Bangsa ada dalam roh diri yang ikhlas, bukan retorik atau upah orang membina rumah yang tidak ada tiang seri yang akhirnya dilihat sebagai rumah hantu.

11. Soalan keenam, adakah UMNO sanggup keluar daripada kerajaan yang bergantung kepada sokongan DAP jika benar mereka mahu kembali kepada prinsip perjuangan Melayu dan Islam?

12. Soalan ketujuh, adakah rakyat akan melihat kemasukan semula beberapa tokoh sebagai perubahan sebenar atau sekadar kosmetik politik menjelang pilihan raya, dan menjadi bahan ketawa rakyat? Cukup sudah menang sorak, kampung tergadai.

13. Soalan kelapan, adakah UMNO benar-benar mahu memperbaiki parti atau sekadar cuba menghidupkan semula imej lama yang telah rosak di mata rakyat?

14. Soalan kesembilan, jika kepemimpinan UMNO sendiri tidak berubah, bagaimana mungkin rakyat percaya bahawa parti itu telah berubah?

15. Dan soalan terakhir yang paling penting, adakah UMNO benar-benar mahu memulihkan kepercayaan rakyat, atau sekadar mahu memulihkan peluang untuk kembali berkuasa dan meneruskan kerenah lama?

16. Rakyat Malaysia hari ini jauh lebih matang daripada dahulu. Mereka tidak lagi menilai parti berdasarkan wajah pemimpin semata-mata, tetapi berdasarkan prinsip, integriti dan konsistensi perjuangan, gaya hidup, serta sama ada pemimpin itu dilihat bersih, amanah, tidak hipokrit dan tidak munafik.

17. Oleh itu, sebelum bercakap tentang kembalinya keyakinan rakyat, kepemimpinan UMNO perlu terlebih dahulu menjawab persoalan-persoalan asas yang menjadi punca kejatuhan kepercayaan rakyat terhadap parti UMNO. Parti Kongres India masih hidup tetapi lumpuh kerana terlalu lama tidak berubah. Yang tidak berubah mengikut hukum alam akhirnya menjadi barang antik yang tidak lagi berguna.

Maaf andai tersinggung, tetapi yang benar tetap benar. Jangan terasa hati.

Sekian.

Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali adalah Presiden Parti PUTRA
16 Mac 2026

Sumber: bebasnews.my

Translate »