Oleh: Mohd Shauki Abd Majid
Kitaran 40 Tahun
Pada tahun 1999, stesen televisyen Al-Jazeera telah menemu bual tokoh yang jasadnya lumpuh di atas kerusi roda, namun hatinya menembusi rintangan masa. Beliau ialah As-Syahid Sheikh Ahmad Yassin, pengasas pergerakan Hamas, dan beliau telah mengeluarkan satu kenyataan yang mengejutkan dunia.
Apabila ditanya tentang masa depan negara haram Israel, beliau dengan tenang menjawab: “Israel didirikan di atas kezaliman dan rampasan. Dan nasib setiap entiti yang zalim adalah kehancuran. Menjelang suku pertama abad akan datang, pada tahun 2027… Israel tidak akan wujud lagi.”
Bagaimana seorang ulama’ boleh meletakkan tarikh yang begitu spesifik? Adakah beliau meramal nasib? Sudah tentunya tidak. Beliau membaca pelan induk tamadun manusia, Al-Quran, dan beriman penuh dengan kalamullah.
Setiap kuasa di dunia ini tertakluk kepada Sunnatullah. Sama seperti manusia, yang bermula sebagai bayi yang lemah, membesar menjadi pemuda yang kuat, dan akhirnya kembali lemah dan akhirnya mati. Maka setiap negara dan bangsa juga mempunyai kitaran hayat yang sama. Kuasa Israel hari ini sedang berada di fasa penuaan yang menanti rebah.
Beliau bersandar kepada Teori Pertukaran Generasi 40 Tahun yang disebut dalam Al-Quran. Kitaran entiti Zionis bermula pada 1948. Untuk 40 tahun pertama, umat Islam berada dalam fasa “Nakba”, iaitu generasi yang kalah dan ditindas.
Namun tepat 40 tahun kemudian, pada 1988, bermulanya Intifada Pertama. Lahirnya generasi yang melawan kezaliman dan menolak sifat mengalah.
Maka jika mengikut kiraan 40 tahun selepas 1988, iaitu 2027, adalah kemuncak fasa ketiga. Fasa kehancuran Zionis dan bermulanya generasi pembebasan.
Hari ini, apabila kita melihat jentera perang Israel memusnahkan Gaza dengan sokongan tanpa belah bahagi dari kuasa hegemoni dunia, ramai umat Islam yang mula putus asa. Kita melihat gabungan Dajjal sebagai sebuah kuasa yang mustahil untuk dikalahkan.
Apabila kita selami intipati Surah Al-Isra’, ia merupakan satu ketetapan Ilahi yang menyingkap fasa kemuncak keangkuhan Zionis, yang diistilahkan sebagai Uluwwan Kabira, serta bagaimana keangkuhan tersebut hakikatnya sedang memacu mereka ke arah detik kehancuran yang mutlak.
Uluwwan Kabira
Dalam Surah Al-Isra’ ayat ke-4, Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Dan Kami tetapkan kepada Bani Israil dalam Kitab itu: Sesungguhnya kamu akan melakukan kerosakan di bumi dua kali, dan sesungguhnya kamu akan berlaku sombong angkuh dengan keangkuhan yang melampau.”
Ulama’ tafsir kontemporari bersetuju bahawa kerosakan kedua yang disebut dalam ayat ini sedang berlaku sekarang. Penubuhan negara haram Israel pada 1948 adalah permulaannya.
Hari ini, kita sedang menyaksikan definisi keangkuhan ini secara langsung. Mereka membunuh puluhan ribu wanita dan kanak-kanak tanpa sekelumit rasa bersalah. Mereka mengebom khemah pelarian, membunuh wartawan, dan mentertawakan undang-undang antarabangsa.
Mengapa puak ini begitu berani? Ia kerana mereka berasa diri mereka tidak boleh disentuh. Mereka tahu apa sahaja jenayah yang mereka buat, kuasa veto Amerika Syarikat di PBB akan sentiasa melindungi mereka. Inilah kemuncak kesombongan. Tetapi dalam fabrik tamadun manusia, kesombongan mutlak adalah petanda paling hampir dengan kejatuhan mutlak.
Istidraj Geopolitik
Keajaiban tafsir Al-Quran mengenai geopolitik moden terletak dalam Surah Al-Isra’ ayat ke-6, Allah SWT menyambung yang bermaksud:
“Kemudian Kami kembalikan giliran kekuasaan kepadamu… dan Kami bantu kamu dengan harta kekayaan dan anak pinak, serta Kami jadikan kamu kumpulan yang lebih besar.”
Populasi bangsa Yahudi di dunia ini sangat kecil, tidak sampai 20 juta orang. Jadi, bagaimana Allah jadikan mereka “Aksara Nafira” atau kumpulan yang besar?
Mereka kelihatan besar bukan kerana jumlah mereka, tetapi kerana rangkaian sekutu mereka. Zionis disokong penuh oleh kuasa-kuasa bersenjata nuklear dunia; Amerika Syarikat, Britain, dan Perancis. Mereka ditunjang oleh gergasi kewangan di Wall Street, dan mereka mengawal naratif dunia melalui monopoli media global.
Justeru mengapa Allah biarkan mereka begitu berkuasa? Sebenarnya kekuasaan yang mereka pegang bukanlah tanda Allah redha. Ia merupakan satu bentuk Istidraj. Allah memberikan mereka segala kelebihan duniawi, menaikkan mereka ke takhta tertinggi kuasa global, hanya untuk memastikan bahawa apabila mereka jatuh nanti, hempasannya akan disaksikan dan menggegarkan seluruh isi dunia.
Memburukkan Muka Zionis
Allah menjawab tentang pengakhiran golongan ini dengan tuntas dalam ayat ke-7 Surah Al-Isra’ yang bermaksud:
“Maka apabila tiba masa janji yang terakhir (Wa’d al-Akhirah), Kami datangkan musuh-musuh kamu untuk memburukkan muka kamu (Liyasuu-u Wujuuhakum), dan untuk memasuki Masjid Al-Aqsa sebagaimana mereka memasukinya pada kali pertama, dan untuk menghancurkan apa sahaja yang mereka kuasai dengan sehancur-hancurnya.”
Selama 75 tahun, Israel berjaya bersembunyi di sebalik topeng simpati “Mangsa Holocaust”. Sesiapa yang mengkritik mereka akan dicop sebagai anti-Semitik.
Tetapi dengan berlakunya Taufan Al-Aqsa, Allah telah mengoyakkan topeng itu. Melalui lensa kamera telefon pintar dan media sosial alternatif, hari ini, anak-anak muda di Barat, mahasiswa di universiti elit, dan negara-negara bukan Islam meludah kejahatan mereka. Imej mereka telah musnah. Fasa penghinaan wajah ini sedang berlaku dengan dahsyatnya.
Dan apabila mereka mula sedar mereka akan tewas, sifat kaum Zionis ini, seperti yang dirakam dalam sejarah, adalah mereka akan memusnahkan rumah dan infrastruktur mereka sendiri dari dalam, supaya ia tidak jatuh ke tangan umat Islam. Inilah yang dimaksudkan dengan hancur sehancur-hancurnya.
Posisi Umat Islam
Entiti penjajah Zionis sedang menempah tiket ke kuburnya sendiri, tepat berpandukan Al-Quran di dalam Surah Al-Isra’ 1,400 tahun yang lalu. Janji Allah SWT bahawa umat Islam akan kembali melangkah masuk ke dalam Masjid Al-Aqsa dengan penuh kemenangan, adalah satu kepastian yang tidak boleh didebatkan.
Sama ada ia berlaku pada 2027 seperti ijtihad Sheikh Ahmad Yassin, atau sedikit masa lagi, itu rahsia Allah SWT. Tetapi, persoalan terbesar yang perlu kita jawab hari ini bukanlah bila Israel akan hancur.
Sebelum kita melaungkan takbir dan sekadar menunggu kehancuran musuh, kita wajib menelan realiti yang pahit.
Sejauh mana hubungan kita dengan Al-Quran? Hari ini, Al-Quran sekadar disimpan rapi untuk mengambil berkat. Ia tidak lagi diangkat sebagai pelan tindakan peradaban manusia dan panduan berfikir. Ummah kini buta strategi dan hilang pedoman kerana kita meletakkan wahyu Allah di tepi, dan meletakkan formula ideologi ciptaan manusia di hadapan.
Penyakit berpuak-puak dan kebencian sesama Muslim menyebabkan kita berpecah-belah dan saling mengkafirkan hanya kerana perbezaan warna kulit, sempadan geografi, dan perbalahan parti politik. Umat Islam dengan sendiri secara sukarela meruntuhkan ukhuwah itu setiap hari.
Kita menangis melihat penderitaan di Gaza, tetapi realiti harian kita dikawal sepenuhnya oleh materialisme dan hiburan yang melampaui batas. Kita lebih rela membuang masa berjam-jam menatap skrin untuk hiburan kosong berbanding menggunakan teknologi dan kepakaran yang kita ada untuk merapatkan jurang kejahilan dan membela nasib golongan terpinggir. Kemenangan tidak akan lahir dari masyarakat yang mempertuhankan wang dan populariti.
Persoalan terbesarnya bukanlah bila Israel akan hancur. Persoalannya: Adakah kita layak menjadi generasi yang menyambut kemenangan itu? Atau kita sekadar menjadi buih di lautan – ramai bilangannya, tetapi kosong jiwanya?
Recent Comments