Menjelang Maghrib semalam, Ahad 8 Mac 2023 telah perginya seorang pemikir, ahli akademik dan ahli falsafah Islam Nusantara yang cukup disegani dalam kalangan cendekiawan Muslim dunia. Beliau menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 6.47 petang dalam usia 96 tahun.

Syed Muhammad Naqiub al-Attas adalah rakyat Malaysia kedua yang mendapat gelaran Profesor Di Raja (Oktober 2024) selepas Almarhum Profesor Di Raja Ungku Abdul Aziz (1978). Gelaran itu merupakan gelaran tertinggi yang dikurniakan oleh Yang di Pertuan Agung sebagai penghormatan negara kepada tokoh akademik yang berprestasi tinggi dan ketajaman pemikirannya menjadi rujukan intelektual di seluruh dunia.

Syed Muhammad Naquib dilahirkan di Bogor, Jawa Barat, Indonesia pada 5 September 1931 kemudian bersekolah di Johor dan kemudiannya mendapat pendidikan tinggi di Singapura (Universiti Malaya), Kanada (McGill University) dan England (Universiti London) telah menghasilkan lebih 30 buah buku akademik yang kini masih menjadi rujukan masyarakat antarabangsa. Beliau juga turut melahirkan ratusan ahli akademik yang sudah dan sedang membina reputasi akademik masing-masing baik di Indonesia mahupun Malaysia.

Antara muridnya yang terkenal ialah Prof Dr Wan Mohamad Nor Wan Daud, Allahyarham Prosesor Madya Dr Wan Suhaimi Wan Abdullah, Allahyarham Dr Siddiq Fadhil (ayahanda Menteri Pendidikan sekarang, Fadhlina Sidek), Dr Adian Husaini, Dr Hamid Fahmy Zarkasi dan Dr Khalif Muammar A Haris (kini sedang menggiatkan terjemahan buku-buku Allahyarham ke bahasa Malaysia).

Pemikiran Syed Muhammad Naquib Al-Attas bukan sahaja dibincangkan dalam kuliah-kuliah akademik malah ikut menjadi bahan perenungan dalam kalangan mereka yang cuba memikirkan semua arah sistem pendidikan negara dalam kerangka Islam di seluruh dunia. Semasa hayatnya, Syed Muhammad Naquib dianggap sebagai pelopor dalam meletakkan semua asas pendidikan Islam moden yang dimulainya dalam satu persidangan yang diadakan di Riyadh, Arab Saudi pada tahun 1977.

Kertas kerja tersebut kemudiannya diterbitkan sebagai buku dengan judul, Aims and Objective of Islamic Education (1979). Buku ini menjadi cukup berpengaruh dan asas kepada pembentukan universiti-universiti atau sistem pendidikan tinggi Islam di seluruh dunia. Syed Muhammad Naquib merupakan pengasas kepada penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (18 Mei 1970), universiti pertama di Malaysia yang menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya dalam kesemua kuliah dan tutorial.

Buku ilmiahnya yang paling terkenal dan dianggap cukup monumental ialah Islam and Secularism (pertama kali diterbitkan pada tahun 1978), disifatkan oleh Prof Dr Wan Muhamad Nor Daud sebagai “sebuah karya agung kulli, sejagat dan universal, kerana seluruh isi kandungannya membincangkan dan menganalisa perkara-perkara paling asas dalam kebudayaan Barat dan agama Islam.

“Pendekatannya sekaligus ilmiah dengan hujjah yang kukuh dan dalil yang mengagumkan. Pendekatannya juga bersifat Amaliah bila merencatkan perubahan kurikulum dan penubuhan institusi pengajian tinggi sebagai wahana paling strategis untuk mengembalikan kekuatan dan kemajuan umat Islam sedunia.

“Bahkan, bahagian lampiran yang meringkaskan tahap-tahap dan daya usaha pengislaman Alam Melayu mempunyai kaedah pengkajian dan penilikan yang dapat digunakan untuk memahami hakikat yang sama di daerah-daerah lain. Ciri-ciri yang terdapat pada karya ini secara langsung dapat difahami golongan Islam berpendidikan di seluruh dunia.”

(Wan Mohd Nor Wan Daud, “Pengantar: Islam dan Sekularisme, Suatu Karya Agung Kulli” dalam Syed Muhammad Naquib al-Attas, Islam dan Sekularisme, terjemahan Khalif Muammar A Harris, K.Lumpur: RZS-CASIS HAKIM, cetakan kedua edisi bahasa Melayu, 2021, hal.xiv-xv).

Setelah tertubuhnya Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Syed Muhammad Naquib merupakan arkitek penting membina wawasan pemikiran dan corak keilmuan menerusi Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan Alam Melayu (ISTAC) yang terletak di Bukit Tunku. Ia dibangunkan dengan corak seni bina Islam yang diterjemahkan cukup berseni oleh Syed Muhammad Naquib dan juga menjadi peletak asas falsafah keilmuan Islam, yang pada konsepnya sangat dikenali sebagai gagasan Islamisasi Ilmu.

ISTAC dibangunkan pada 27 Februari 1987 sebagai sebuah institusi penyelidikan pascasiswazah (postgraduate studies) dan dirasmikan pada tahun 1991. ISTAC merupakan sebuah institusi yang autonomi di bawah UIAM, dengan bangunan bersifat seni bina Islam zaman Andalusia, tetapi apabila berlakunya krisis politik pada tahun 1998, autonomi ISTAC ditarik balik pada 16 Ogos 2002, dan kembali sebagai salah satu kuliyyah di bawah UIAM. Tahun 2015, ISTAC ditutup dan programnya dipindahkan dan diganti dengan nama Ibnu Khaldun International Institute of Advanced Research (ISLAH).

ISLAH ditukar pula kepada International Institute of Islamic Civilisation and Malay World (ISTACH) pada tahun 2017. ISTACH kembali dinamakan ISTAC pada tahun 2019, tetapi kegemilangannya tidak lagi seindah ketika dipimpin oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas. Antara tahun 1998 hingga 2001, saya merupakan salah seorang yang cukup suka bersembahyang Jumaat di ISTAC dan meminati cara Khutbah Jumaat disampaikan oleh para ilmuan yang mengajar di situ.

Mereka tidak menggunakan teks yang disediakan oleh pihak berkuasa ada, ia disampaikan secara impromtu. Khutbah yang disampaikan oleh Dr Malik Badri seorang pakar psikologi Islam cukup diminati kerana almarhum cukup memahami manusia, dan walaupun disampaikan dalam bahasa Inggeris cukup mudah difahami.

KAMARUN KH

Translate »