Setiap kehidupan, ia bermula dengan prosesnya dan secara fizikal boleh dibahagikan kepada: dalam keadaan belum lahir (janin), ketika lahir (bayi), membesar (kanak-kanak), remaja, dewasa, period tua (warga emas) dan peringkat akhir (mati). Setelah meninggalnya seseorang, maka ia bukan sahaja meninggalkan nama juga sifat-sifat sebagai manusia sama ada berjasa atau di sebaliknya.

Dalam Islam, apabila meninggalnya seseorang (anak atau keturunan Nabi Adam AS, dan setiap manusia bernasabkannya) maka akan “terputuslah amal ibadatnya, kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang sholeh yang mendoakannya.” (Hadis riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah RA: Muslim, no. 1631; al-Nasa’i, no. 3651; al-Tarmizi, no. 1376 dan Abu Daud, no. 2890).

Peribahasa ada mengatakan: manusia mati meninggalkan nama (jasa atau kisah-kisah kehidupannya), harimau mati meninggalkan belang. Antara manusia dan harimau, manusialah yang paling diingati tentang sumbangannya kepada kehidupan walaupun harimau juga ada peranannya dalam menentukan keseimbangan flora dan fauna serta tata ekologi. Sayangnya, setelah dunia semakin berkembang dan maju, kita sering mendengar tindakan manusia sendiri yang sangat paradoks, berkonflik dan merosakkan. Paradoks ini, dalam kata-kata Saidina Ali bin Abi Talib RA ialah: “Wahai manusia yang menyerupai manusia, tetapi bukan manusia.”

Satu pihak memperjuangkan keseimbangan alam sekitar dan pemuliharaan binatang liar manakala sekumpulan lagi memburu binatang liar untuk pelbagai tujuan. Antaranya sebagai bahan perubatan dan tidak kurang sebagai makanan eksotik dan untuk keperluan hiasan mewah. Aktiviti sebegini seringkali kita dengar, atas sebab kepentingan itulah maka banyak binatang diburu dan kemudian diseludup, melalui jalan yang tidak dibenarkan oleh undang-undang.

Manusia bukan sahaja membunuh binatang liar, merosakkan flora dan fauna, manusia juga tidak lekang daripada kisah melampaui batas, iaitu dengan membunuh manusia lain, yang dilihatnya sebagai musuh atau penghalang kepada hasrat yang tidak pernah puas. Manusia membunuh kerana manusia hilang kemanusiaannya sehingga ada kata-kata sinis: dalam masyarakat manusia ada banyak binatang, juga dalam masyarakat binatang, ada erti kemanusiaan.

Erti kemanusiaan yang paling mudah dalam masyarakat binatang ialah cinta dan kasih sayang. Mereka sentiasa menjaga “ahli keluarga” sendiri sehinggalah generasi baharu itu mampu berdikari. Sedangkan setiap hari kita mendengar berita, orang tua dikerat atau ditikam oleh anaknya sendiri. Seorang da’i didapati bersalah kerana melakukan ambang seksual atau merogol. Seorang guru agama, pendidik dihukum penjara kerana kesalahan menyalahgunakan kedudukannya untuk kepentingan peribadi, yakni memuaskan nafsu.

Seorang pemimpin yang sepatutnya menjaga amanah dan melaksanakan tanggungjawab dalam sesebuah organisasi, dihantar ke penjara dan didenda berjuta ringgit kerana menyalahgunakan kuasa, meminta rasuah bagi sesuatu proses pemilikan sesuatu aset atau agihan projek. Seorang guru besar dijatuhkan hukuman penjara kerana membuat tuntutan palsu dengan menggunakan matan resit ke atas aktiviti bekalan yang palsu atau tidak memadai.

Seorang pegawai dijatuhkan hukuman penjara atas kesalahan mendapat bayaran bulanan untuk melindungi aktiviti haram (pelacuran, premis judi haram, dan sebagainya). Paling mengecewakan apabila sekumpulan penjawat awam terlibat dalam skandal “counter setting”, melindungi imigran dan sebagainya. Semuanya itu berlaku kerana manusia hilang sifatnya sebagai insan, dan melihat sebuah kehidupan bersandarkan pemenuhan nafsu.

Tetapi dalam dunia manusia, kedengaran cukup janggal walaupun Allah SWT mencipta setiap manusia “sebaik-baik ciptaan” dengan menempatkan akal fikiran sebagai titik perjalanan kehidupan yang bermaruah dan beradab. Manusia menggunakan akal fikirannya secara bebas atau dikongkong oleh hawa nafsu dan dari situlah manusia bertukar menjadi “binatang” yang masih menggunakan jasad manusia.

Al-Ghazali menyifatkan manusia dan amanah seperti pengembala yang menjaga kambing dari serangan serigala; tetapi, “Apa jadinya, bila si pengembala sendiri adalah serigala?. Dalam syairnya yang lain, al-Ghazali menambah:

“Hai orang yang bijak, hai garam bumi. Jika hilang rasa lazatmu, apa lagi guna garam?”. (Margaret Smith, Pemikiran dan Doktrin Mistis Islam Al-Ghazali, terjemahan bahasa Indonesia oleh Drs Amrouni, Jakarta: Penerbit Riora Citra, 2000, hal. 128).

Imam al-Ghazali (1058-1111M) yang kecewa dengan apa yang berlaku dalam masyarakat Islam pada zamannya, telah memulakan langkah perubahan dalam dirinya sendiri untuk kembali kepada asas sebenar kehidupan. Beliau yang ketika itu berada dalam reputasi dan posisi yang begitu menanjak, akhirnya menyedari bahawa ilmu yang dimilikinya belum mampu membawanya kepada “kebenaran hakiki” lantaran semakin menyebabkan kekacauan. Para ahli fiqh sibuk dengan fatwa menghukum sedangkan apa yang diketahui sesuatu fatwa itu bertujuan untuk mendisiplinkan manusia, bukan menjadikan manusia semakin berpecah belah.

Kemunculan pelbagai aliran pemikiran juga menyebabkan malapetaka bagi umat Islam. Ia menjadikan manusia hidup dalam kelompok tertentu dan saling menyalahkan kelompok yang lain kerana kelompok sendirilah yang dianggap paling benar dan menepati kehendak agama. Kesemuanya itu membawa kepada suatu pencarian untuk mengembalikan pemahaman agama kepada masyarakat, mengelakkan perpecahan yang lebih besar. Al-Ghazali menunjukkan teladan terbaik dalam usahanya untuk membina semula semangat agama, dan memurnikan kedudukan tasawuf sebagai kaedah terbaik dalam mendisiplinkan diri dalam kerangka Amar Makruf Nahi Mungkar; jalan menuju ketakwaan.

Selain magnum opusnya, Ihya Ulumuddin yang ditujukan untuk pembacaan dan amalan setiap orang Islam bagi meraih “kebahagiaan hakiki”, dalam dakapan jiwa agama dan amalan-amalan pembentukan jiwa, al-Ghazali yang turut dikategorikan sebagai peletak dasar psikologi Islam. Beliau adalah tokoh paling awal yang memperkatakan tentang makna jiwa dan peranannya dalam kehidupan seseorang.

Al-Ghazali telah mendahului pemikiran psikologi, baik dalam bidang psikoterapi, kaunseling mahupun penataran manusia berakhlak yang jauh lebih kompeten berbanding psikoanalisa (Sigmund Freud), logoterapi (Victor Frankl) mahupun teori pelaziman (Ivan Pavlov atau JB Watson) dan pelbagai aliran dalam psikologi tingkahlaku (behaviorisme) serta psikologi kehibaan (grief psychology) dalam pelbagai bentuk (kemurungan, burn-out, depression, anxiety, stress dan sebagainya) yang banyak membawa masalah berhubung dengan kesihatan mental.

Kesihatan mental semakin menjadi masalah manusia moden, yang tentunya mempunyai kaitan rapat dengan gaya hidup dan penyimpangan makna sebenar tujuan hidup menurut perspektif fitrah. (lihat juga, Imam Al-Ghazali, Psikologi Sufi, terjemahan dari Ma’arij al-Quds fi Madarij Ma’rifah an-Nafs oleh Ach. Khoiron Nafis, Yogyakarta: DIVA Press, 2025; Salasiah Hanim Hamzah, Pendekatan Kaunseling Spiritual Menurut Al-Ghazali, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2016; Shaikh Abdullah Hassan Mydin, Pengurusan Diri Mengikut Model al-Ghazali, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2020; dan, Nor Shakirah Mohd Akhir, Al-Ghazali and Theory of the Soul: A Comparative Study, Pulau Pinang: USM Press, 2010).

Kekacauan inilah yang cuba diatasi oleh al-Ghazali dengan cara menganjurkan pembersihan jiwa dan pengekalan kehidupan berakhlak berdasarkan nilai-nilai agama. Jalan itulah yang terbaik untuk manusia, kerana tasawuf mampu memahamkan setiap manusia ke Jalan Yang Lurus, yakni Jalan Kebenaran dan Jalan Hakikat bagi setiap manusia menuju batas kehidupan yang fana (sementara atau tidak kekal).

Dalam syairnya yang terakhir al-Ghazali menulis:

Aku seekor burung: jasad ini sangkarku

Namun aku telah terbang meninggalkannya

sebagai tanda jua.”

(Margaret Smith, Al-Ghazali: The Mystics (1944), dipetik kembali oleh Martin Lings, Apa Itu Tasawuf, terjemahan dari What is Sufism? oleh Khairul Anam, Kuala Lumpur: IBDE Ilham Sdn. Bhd., 2023, hal. 3).

Dalam pengalaman tasawuf, disebabkan oleh kegelisahan dalam kehidupan yang dilihat semakin tidak beradab dan bercanggah dengan hakikat Islam, para “pemberontak” mengasingkan diri daripada kekalutan itu. Mereka berusaha untuk meninggalkan segala hal yang dilihat tidak menepati ajaran agama untuk menumpukan sebuah kehidupan yang bebas dari kejahatan dan maksiat, hidup secara terasing dan meneruskan kehidupan sebagai manusia asketis.

Istilah itu merujuk kepada “tindakan melarikan diri” dari segala kekalutan yang dimulai dengan pemahaman bahawa “berlaku penyimpangan dari jalan lurus” akibat perbezaan-perbezaan yang muncul kemudiannya.

Ibnu Khaldun, tokoh sejarawan Islam yang terkemuka memberikan gambaran menarik mengenai fenomena ini:

“Ketika generasi sahabat berlalu, dan datang masa setelah mereka, yang penduduknya menerima bimbingan para sahabat secara langsung melalui pengajaran dan pendidikan, mereka disebut tabi’in. Selanjutnya generasi setelah mereka disebut tabi’in tabi’in.

“Lalu, manusia pun mulai dilanda perbezaan antara satu sama lain. Tingkatan-tingkatan mereka pun bervariasi. Penyimpangan dari jalan lurus mulai meluas. Mereka lalu melupakan urgensi dari aktiviti-aktiviti hati atau bahkan sama sekali mengabaikannya.

“Majoriti manusia hanya memerhatikan perbaikan amal jasmani dan memelihara ritual-ritual agama tanpa memperhatikan batin atau berusaha memperbaikinya. Para fuqaha (ahli fiqh) sibuk dengan hukum-hukum muamalah dan ibadah lahiriah yang menjadi keperluan umum masyarakat, sesuai tuntutan posisi fatwa dan bimbingan massa.

“Maka orang-orang hamba memerhatikan hati secara khusus menyandang nama zuhhad (orang yang hidup seketika), ‘ubbad (ahli ibadah) dan pencari kebahagiaan hakiki (akhirat), yang mengkhususkan diri untuk Allah, berpegang teguh pada agama mereka “seperti memegang bara api” sebagaimana disebutkan dalam hadis [riwayat at-Tarmidzi no. 2262 dalam bab Al-Fitan (kekacauan) yang bermaksud:

“Dari Anas bin Malik RA yang mengatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Akan datang suatu zaman ketika orang-orang yang berpegang teguh kepada agamanya ibarat orang yang menggenggam bara api.”.[Syeikh Abdul Qadir Arnauth berkata: Hadis itu memiliki syahid (penguat) yang membuatnya meningkat (darjatnya) dalam Jami’ al-Ushul, 4/10.]

Lanjut Ibnu Khaldun, “Kemudian bencana bida’ah (penyimpangan) dalam persoalan akidah mulai merebak. Ritual-formal saling bertentangan dengan kelakuan asketik (zuhud) seiring dengan merebaknya gerakan Mu’tazillah, Rafidiyah (Syi’ah ekstrem), dan Khawarij. Dalam keadaan ini, reformasi dimensi aktiviti zahir dan batin pun sia-sia kerana rosaknya asas akidah dibawahnya.

“Segelintir orang yang masih menghasrati kedalaman agama dan penghayatannya kemudian memisahkan diri dari hiruk pikuk perdebatan ini, untuk kemudian memilih menghidupkan Sunnah (ajaran Nabi Muhammad SAW yang lebih menitikberatkan pada aspek-aspek batin.

“Mereka mengikut jejak para pendahulu yang mulia (al-salaf al-shalih) dalam melakukan reformasi amal-amal, baik yang bersifat lahir mahupun batin. Orang-orang lantas menggelarkan mereka dengan mutashawwifah (para sufi).” (Ibnu Khaldun, Pengantar Ilmu Tasawuf, terjemahan dari Syifa’ al-Sa’il wa Tahdzib al-Masa’il oleh M Hasan I Mubarak, Yogyakarta: DIVA Press, 2026, hal. 30-31).

(bersambung)

MONOSIN SOBRI

Translate »