Ye ke? Siapa calon PM yang paling layak, kalau dilihat dari ukurannya, tentulah Dr Sam. Walaupun ada yang kata mereka ada calon yang ramai, boleh disusun ke dalam empat buah lori (apa jenis lori tidak pasti), semua lori dah tak boleh pakai termasuklah pak Lubai sendiri.

Kalau empat buah lori sampah, ertinya ramai sungguh calon yang tidak boleh diketengahkan. Kalau lori ayam, maknanya “cap ayam”. Tentunya, lori yang digunakan sebagai pengangkut buluh panjang dan bendera bila tiba musim berkempen. kalau nak gambarkan terlalu ramai, maka perlu gunakan lori pasir, yang kadangkala dimuat lebih daripada had muatan yang dibenarkan.

Jangan tanya pasir dari mana, pasir yang dilombong secara sah atau haram. Yang penting ialah banyak lori, dan ramai calon: kualiti ikat tepi. Sebab ada “keajaiban” boleh berlaku dalam semakan, seperti calon Bersatu bercengkerangkan PAS macam kisah PRK Nenggiri yang lalu semua “bisa diatur” dan juga “boleh dilunturkan” dalam fatwa “bersih” serta “jampi parti” oleh Tok Guru mahupun Lubai-Lubai. Ia boleh bersih sebersihnya, macam kelahiran baharu yang diyakini oleh sesetengah agama (reincarnation).

Kenapa?

PAS sebenarnya semakin hilang sentuhan kepimpinan ulama, kerana ulama memang tak cekap dalam mengendalikan urusan pentadbiran, hanya cekap berceramah dan cari alasan.

Siapakah tokoh ulama yang cekap dalam pengurusan? Carilah dengan bijaksana, belum kita jumpa seseorang yang benar-benar boleh ditonjolkan sebagai tokoh ulama-pentadbir. Yang ada ialah tokoh ulama-takbir. Bahkan Presiden PAS sendiri sudah gagal sebagai seorang pengurus dan pentadbir, sebab hanya mampu bertahan selama sepenggal sebagai MB.

Ia berbeza dengan Mursyidul Am PAS yang berjaya memimpin Kelantan selama 22 tahun (1990-2013). Nik Aziz mengundurkan diri kerana masalah kesihatan, bukan dijatuhkan oleh kuasa rakyat (pilihan raya). Agak lama juga Haji Hadi berada dalam “bayang-bayang kekalahan atau MB sepenggal” sebelum mendapat “nafas baharu” apabila meninggalnya Mursyidul Am PAS, Dato’ Nik Aziz Nik Mat (12 Februari 2015, Al-Fatihah).

Ramai juga yang melihat, ada konflik kepimpinan ulama dan manhaj politik yang sedang berlaku dalam organisasi PAS yang sudah kehilangan atau ketandusan “pengawal” atau ala-ombudsman. Ada yang cakap, Majlis Syura PAS dah tak laku, sebab Presiden mempunyai kuasa veto dan kadangkala lebih mendahului keputusan Majlis Syura. Sebab itulah ada yang panggil Majlis Syura dengan nama Majlis Syira, seperti sira pisang atau sira labu.

Memang manis, tetapi manis yang semakin dijauhi kerana boleh membawa kesan mudarat. Majlis Syura hanya sebagai “pemanis” untuk dilihat ada mekanisme musyawarah, tetapi, keputusannya tidak diendahkan. Itulah bahayanya, bila seseorang yang berkuasa selalu merasakan dirinya cukup “berharga” kerana sudah berjaya membawa parti mencipta sejarah kemenangan besar dalam PRU dan PRN lalu.

Tetapi, itu bukan kejayaan kekal, ia boleh terlucut pada suatu ketika, dan mungkin boleh berlaku pada PRU 16 kalau Presiden kekal dengan kaedah politiknya: kebal dan tidak boleh dikritik. Semuanya “setan” bila ditanya, sebab menyoal itu seolah-olah “kerja setan”. Tradisi “pengikut buta” atau proses penjumudan (minda, tanggapan dan tindakan).

Telah berlaku hubungan yang kurang mesra antara Mursyidul Am dan Presiden PAS sejak berlakunya krisis politik di Perlis. Presiden buat keputusan tergesa-gesa lucut keahlian tiga ADUN, tetapi Mursyidul Am ulas, ia tidak sepatutnya dibuat.

Ia perlu diputuskan oleh Majlis Tertinggi Parti, bukan individu yang berjawatan Presiden. Presiden tetap tertakluk kepada peraturan parti, walaupun ada beberapa keistimewaan dan pengecualian. Soal keahlian, adakah ia merupakan prerogatif mutlak Presiden, untuk melucut atau menerima keahlian seseorang tanpa perlu merujuk kepada Majlis Tertinggi Parti?

Kita tahu, banyak parti politik menentukan status keahlian seseorang melalui Jawatankuasa Disiplin, bukan kuasa Presiden. Ini bukan kisah PM lucutkan jawatan menteri bila dirasakan perlu.

Kalau begitu, tentunya ramai “orang Presiden” yang akan sertai, dan ramai pula yang akan keluar parti bila Presiden tidak ada kuasa, atau digantikan. Jadi, Muhyiddin rasanya lebih cerdik daripada Haji Hadi dalam kes pemecatan atau penggantungan ahli. Beliau serahkan kepada Jawatankuasa Disiplin, walaupun ada dakwaan, Presiden menggunakannya untuk kepentingan peribadi.

Ia mudah diselesaikan, kerana itu bukan keputusan Presiden keputusan jawatankuasa yang setiap ahli ada rumah mendapatkan “natural justice”, iaitu dipanggil membela diri atau menjawab surat tunjuk sebab. Dalam kes tiga ADUN Perlis, proses itu tidak berlaku. Ia dipecat sebelum diberikan peluang membela diri (natural justice).

Jadi, kali ini mungkin akan muncul satu lagi situasi yang boleh mencetuskan konflik, iaitu sebahagian orang Presiden yang tidak percayakan “orang Presiden” yang memimpin parti gabungan. Katanya, dengan pelantikan Dr Sam, maka ada kemungkinan akan hilang beberapa kerusi bila PRU diadakan.

Sama ada betul atau salah, itu adalah jangkaan kerana “orang Presiden” pun ada “orang Presiden” yang tidak sukakannya (maksudnya Dr Sam). “Orang Presiden” yang kata begitu ialah menantu Presiden, pemimpin tertinggi PAS Sungai Buloh, Selangor, sama-sama “orang Presiden”; bekas setiausaha politik lawan menantu Presiden. Ia bukan soal menang atau kalah “pertarungan” sokongan Presiden. Ia adalah petunjuk ada “rasa tidak selesa” dan “kurang senang” yang boleh membawa masalah (juga krisis) kepada parti.

Sebenarnya, beliau tidak ada kehebatan yang cukup besar walaupun sudah dua penggal memimpin Terengganu sebagai MB. Belum kedengaran ada kemajuan besar mengatasi zaman-zaman sebelumnya, pun belum muncul gagasan politik yang boleh menghancurkan gerakan politik musuh.

Walaupun berjaya menjadikan Terengganu cukup kuat dari segi pengaruh politik, ia bukan bermakna kedudukan itu akan kekal selama-lamanya. Ia berjaya kerana kedudukan parti lawan yang lemah dan “belum pulih akibat serangan angin ahmar”.

Belum kedengaran idea pembangunan besar yang berjaya dicipta, melainkan terus bercakap mengenai sekatan, halangan dan diskriminasi kerajaan pusat, sekatan dasar dan bajet l: royalti kepada kerajaan negeri. Sebaliknya, ia diberikan dalam bentuk projek dan diuruskan oleh Jabatan Pembangunan Persekutuan., bukan kerajaan negeri.

Kerajaan pusat belajar daripada pengalaman PAS Terengganu, yang ketika itu Presiden PAS adalah MB. Peruntukan yang diberikan kepada agensi tertentu, diarahkan agar dimasukkan ke dalam Akaun Bendahari Negeri, dan kemudian akan diberikan bila diperlukan (diminta) oleh agensi berkenaan. Itu kisah bajet TATI (Terengganu Advance Technical Institute) yang pernah kena arahan tersebut. Ia adalah sebuah institusi teknikal yang ditubuhkan oleh BN bagi melahirkan pekerja teknikal untuk kepentingan pembangunan industri di Terengganu (termasuk keperluan kilang di Telok Kalong, Kertih dan Sura)

Apakah dakwaan bahawa pertumbuhan ekonomi benar-benar mencanak atas polisi kerajaan negeri? Tidak semuanya boleh kita percaya. Sebabnya, tanpa dokongan kerajaan pusat, negeri tidak mampu menarik pelaburan. Bagaimana pula dengan kawasan industri Teluk Kalong, pertumbuhan kilang baharu nampaknya tidak begitu menggalakkan, bahkan ada laporan, ada syarikat mula meninggalkan lokasi terbabit. Kenapa?

Tentunya ada sebab yang menolak, termasuklah keadaan ekonomi persekitaran yang tidak rancak berkembang. Ia seperti tempo kehidupan di Kuala Terengganu, perlahan dan kadangkala terasa cukup relaks sehingga boleh terlena.

Ya! Dr Sam bukan poster boy? Siapakah calonnya kalau nanti Dr Sam berjaya stabilkan PN? Apakah PN akan ada Bersatu di dalamnya? Bagaimana pula dengan ‘kumpulan terbuang” itu hendak pergi. Setakat ini nampak cukup mesra dengan PAS, tetapi sampai bila? Ada cerita Hamzah sedang berusaha ambil alih Berjasa, sebuah parti yang lahir akibat krisis politik di Kelantan akibat kegelojohan pemimpin PAS sendiri.

Jadi, Bersatu kalau kekal dalam PN akan ada dua persaingan, juga boleh jadi musuh yang nyata, yakni bekas ahli Bersatu, satu ketika berada dalam kolam katak yang sama. Kali ini, tidak lagi berada dalam kolam katak yang sama, tetapi, akan menarik lebih ramai lagi “katak-katak” untuk melompat ke kolam yang lain. Mereka akan biarkan Bersatu hanya tinggal Muhyiddin, Radzi, Peja, dan Azmin Ali.

Peja pun boleh tersenyum, sebab tidak ramai lagi yang bergayut pada Bersatu; tetapi menjadi pencetus gelora untuk tidak hanyut bersama Bersatu lagi, kecuali Muhyiddin meletakkan jawatan dan Azmi Ali angkat kaki. Bersatu yang berbaki hanya sekadar memenuhi keinginan Muhyiddin, yang sudah dianggap tidak relevan

Buat masa ini, Hamzah masih kekal sebagai ketua pembangkang, walaupun tidak berparti. Hamzah menjadi ketua pembangkang yang mewakili puak bebas. Mereka belum menyatakan keinginan menyertai PAS, tetapi akan menyokong PAS. Bila kedudukan mereka stabil, mereka juga tidak mahu didominasi oleh PAS. Jika hak itu berlaku, PAS akan menjadi objek sasaran yang boleh menggoyahkan PN.

Sebab itulah PAS belajar dari kesilapan sebelumnya apabila menamakan Dr Sam sebagai calon PM sedangkan Muhyiddin mahukannya. Dalam PRK Kemaman, Dr Sam dilonjakkan sebagai calon PM dari PAS, sayangnya, ketika PN bergolak, PAS enggan mengumumkan calon PM kerana takut “dicolek” atau disabotaj, walaupun ada empat lori stoknya.

Semua orang tergamam untuk percaya, sebab yang cakap itu ulama, bukan calang-calang pemimpin politik. Orang itu tidak bermain politik kedai kopi, tetapi cukup nyaring tiup tetuang angin agar didengar cukup “bold”, bukan macam tajuk sebuah lagu sebuah filem Hindi, bol radha bol (1992), lakonan Rishi Kapoor dan Juhi Chawla.

Namun, dalam situasi politik Malaysia dan budaya politik lazim, kalau bukan ketua parti politik diangkat jadi pemimpin gabungan dan seterusnya jika gabungan itu berjaya membentuk kerajaan, kedudukan itu tidak menjamin kekalan kuasa. Kita tahu, ada dua kisah benar yang sudah berlaku. Kisah pertama bila Tun Dr Mahathir jadi PM 7, di belakangnya ada watak yang lebih berpengaruh yang menunggu “proses peralihan kuasa”.

Tun Dr Mahathir didesak segera melakukan proses itu setelah semua syarat dipenuhi. Di sini muncul dua kem, kem yang mahukan Anwar dan kem yang mahukan Dr Mahathir kekal sehingga cukup sepenggal. Pertembungan itu menyebabkan berlaku perpecahan dalam gabungan, kerana dalam politik cukup ramai watak oportunis, bahkan hampir semua politikus adalah oportunis (pelahap). Cuma darjah “kepelahaban” itu sahaja yang berbeza.

Langkah Sheraton adalah titik balik yang cukup menggemparkan. PH yang bergabung antara parti akhirnya alami hakisan majoriti, kerana pelahab merasakan ada masalah besar sekiranya Dr Mahathir terpaksa tunduk kepada tekanan Otai Reformasi yang sudah memberikan garis penamat (cukup dua tahun, yakni Mei 2020).

Belum cukup dua tahun, hanya 21/23 bulan akhirnya Dr Mahathir yang sudah “pening lalat” terpaksa akur. Kekuatan majoriti sudah tidak cukup. Setelah kembali daripada Langkah Sheraton, majlis Sidang Media yang sepatutnya diadakan, terpaksa dibatalkan. Dr Mahathir terus menulis surat peletakan jawatan tanpa berbincang dengan Majlis PH. Semua jadi kelam-kabut, semua jentera yang dibentuk dengan kemenangan besar pada PRU ke-14 (2018) hilang suara, hilang kuasa dan hilang keupayaan untuk memerintah. Mujahid pun tegur, ia tidak sepatutnya dilakukan oleh Dr Mahathir. Dr Mahathir sepatutnya “pulangkan” kepada Majlis PH sebagaimana Mazlee Malik pulangkan jawatan Menteri Pendidikan dalam semangat Hang Tuah.

Dari situlah terbentuknya pengalaman baharu, gabungan baharu parti politik selepas pilihan raya bekerjasama membentuk kerajaan. Muhyiddin jadi “wira” dan Azmin Ali semacam ‘bendahara” yang semakin menunjukkan “kepala besar” dan membayangkan dirinya orang yang paling kanan.

Kesepakatan itu menjadi rapuh, kerana cara pembahagian kuasa tidak seimbang. Semua jawatan penting dibolot oleh Bersatu. Ahmad Maslan pernah kritik dan kecam fenomena tersebut. Selepas ada rasa tidak puas hati, berlaku kemuncak “coup de tat” dengan cara menarik sokongan. Akhirnya, Muhyiddin juga tumbang. Ismail Sabri Yaakob, Naib Presiden UMNO dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri walaupun awalnya Muhyiddin nyatakan ia tidak perlu. Lantikan itu sebagai usaha “mengawal kerosakan” dan juga “senjata untuk mempertahankan kuasa”.

Ia sudah terlambat. Gear reverse yang diambil Muhyiddin tidak cukup mencengkam jalan, kerana kedudukan kereta di jalan menurun bukit. Gear reverse tidak mampu melawan cerun dan dalam situasi tersebut, ia terus bergerak menurut graviti. Muhyiddin jatuh, Ismail Sabri tidak cukup kuat untuk mengubah gear.

Akhirnya, Ismail ikut didesak agar segera melaksanakan PRU ke-15. Ia dilihat sebagai dua situasi: keinginan Presiden UMNO untuk mencaturkan kuasa berdasarkan “kuasa organisasi” dan tindakan mengekang pengaruh Ismail Sabri. Telahan itu benar, Ismail Sabri cuba dipersulitkan dengan beberapa orang penyokongnya dikembirikan. Mereka tidak dicalonkan bertanding lagi, hanya Ismail Sabri bergerak secara solo.

Apakah situasi yang dialami oleh Ismail Sabri tidak akan berlaku sekiranya Dr Sam berjaya membawa mandat PN dalam PRU 16? Ketika ini sudah pun muncul beberapa “petunjuk” dari dalam PAS sendiri yang “sukar menerima” Dr Sam.

Biarpun PAS terkenal dengan wala’, kewalakan itu boleh berubah dan berlaku u-turn. Boleh sahaja kita ambil contoh, bagaimana tiga ADUN PAS di Perlis, boleh ambil keputusan menyokong usaha menjatuhkan MB Perlis daripada PAS. Ini bermakna, ada sebab yang jelas mendorong kepada tindakan tersebut walaupun Presiden PAS pernah mendabik dada, dalam PAS tidak wujud keadaan merebut jawatan atau kuasa.

Itu hanya penilaian di peringkat superficial (permukaan). Arus dalam parti jarang dapat diduga, walhal keadaannya cukup bergelora. ada lekukan yang dalam. Ia boleh dilihat dari sejarahnya. Bagaimana sekelompok angkatan baharu dalam PAS mengambil tindakan “memecat Presiden PAS” yang cukup berjasa pada zaman awal parti itu. Mereka singkirkan Asri Haji Muda, dan digantikan dengan Ustaz Fadhil Nor. Akhirnya Asri membawa diri dan menubuhkan Hamim (Parti Hizbul Muslimin Malaysia, November 1988). (Asri Haji Muda, Memoir Politik Asri Haji Muda: Meniti Gelora, Bangi: Penerbit UKM, 2003).

Kisah kepetualangan dari dalam parti juga banyak yang terdedah, ramai yang awalnya bersama berjuang dalam semangat politik Islam akhirnya meninggalkan PAS. Paling menyedihkan ialah kisah Amaludin Darus meninggalkan parti yang ditubuh dan dipimpinnya. Amaludin ditukarkan dari Kedah ke Kelantan kerana aktiviti politiknya, dan dia membina kekuatan awal PAS yang bermula di Pasir Mas.

Akhirnya, ada hal yang bertentangan dengan prinsip perjuangan, setelah bertahun membangun, membina semangat ahli dan PAS menjadi kuat, Amaludin mengambil keputusan berundur. (Amaludin Darus, Mengapa Saya Tinggalkan PAS? K.Lumpur: Harimau Press Sdn Bhd, 1977).

Jadi, apakah hal sebegini tidak mendapat perhatian dan sorotan kepimpinan PAS yang ada sekarang? Apakah Presiden PAS yang merasakan sudah terlepas dari “cengkaman kuasa Mursyidul Am PAS” boleh berbuat apa sahaja atas budaya wala’ yang ditanam dalam minda ahli sehingga muncul situasi “personality cult?”.

Petunjuknya cukup jelas, apabila seseorang mengkritik pandangan Presiden, maka muncullah dakwaan bahawa pengkritik itu mengkritik ulama; mengkritik ulama adalah sesuatu yang dilihat biadab atau bercanggah dengan prinsip tarbiah politik PAS.

Dalam Islam perbezaan pendapat dibenarkan, tetapi budaya jumud sangat dilarang. Mengkritik pandangan pemimpin (atas jenama ulama, kerana mereka adalah berpendidikan agama atau dianggap sangat Islamik) bukan sama dengan mengkritik ulama. Dalam tradisi intelektual Islam, kritik terhadap pandangan para ilmuan sudah lama berlaku, tetapi tidaklah sampai ke peringkat pandangan yang berbeza itu diistilahkan “sesat” atau “kafir” kecuali ada unsur penyelewengan ajaran agama.

Kita tahu, Imam al-Ghazali yang hebat juga dikritik bahkan ada tindakan membakar kitab-kitabnya kerana tidak bersetuju. Ibnu Taimiyah pernah dituduh sesat kerana membawa fikiran yang berbeza. Ibnu Rusyd pernah mengecam pandangan dan sikap al-Ghazali mengenai falsafah. Hamka juga pernah mengatakan, al-Ghazali telah menyebabkan pemikiran umat Islam “mundur” kerana menolak falsafah.

Tetapi, setelah membaca dengan teliti pandangan al-Ghazali, apa yang dikecam ialah cara falsafah itu yang cukup bersandarkan kepada rasional sehingga mengetepikan kedudukan wahyu. Al-Ghazali cukup tegas dengan kedudukan wahyu sebagai “asas kebenaran agama”, bukan semata-mata akal. (M Abu Bakr A al-Musleh, Al-Ghazali: The Islamic Reformer, P.Jaya: Islamic Books Trust, 2019; Frank Griffel, Al-Ghazali’s Philosophical Theology, New York: Oxford University Press Inc , 2009; dan Dr Abdul Rahman Haji Abdullah, Pemikiran Islam Klasik:Pengaruh Falsafah Yunani dan Kebangkitan Gerakan Tajdid, K.Lumpur: Al-Hidayah Publishers, 2004).

Dengan kenyataan Timbalan Presiden PAS yang mempertahankan keputusan melantik Dr Sam sebagai Pengerusi PN setelah dua bulan “hilang arah”, ia dapat dilihat sebagai satu percubaan untuk menenangkan pandangan yang muncul dalam organ parti sendiri.

Dalam PAS ada sekelompok yang tidak bersetuju dengan kepimpinan Dr Sam kerana beliau bukanlah dalam kalangan ulama. PAS yang sentiasa bergerak dan kadangkala menegaskan bahawa parti itu wajib dipimpin oleh ulama, bukan golongan profesional. Dr Sam adalah dalam kalangan profesional, dan sakan PAS sekarang, kelompok profesional lebih menonjol daripada ulama yang ada (kecuali beberapa orang).

Ia seolah-olah PAS sedang kembali ke zaman adunan antara profesional dan ulama yang kemudiannya, terjadi konflik besar dalam politik. Dalam kalangan profesional yang semakin menguasai, maka kelompok ulama mula mencari jalan bagaimana untuk mengekang kekuatan tersebut ekoran krisis politik di Kedah (2012) dan seterusnya pandangan lebih progresif terhadap “perkongsian kuasa” yang disifatkan oleh Presiden PAS sebagai “tidak ketahuan daripada spesies mana dan apa”. Ada yang panggil dalam PAS muncul “parasit” dan dipanggil “Anwarinas”.

Selain Kedah, PAS Selangor turut bergoncang. Kegoncangan itu ikut membawa kepada penyingkiran kumpulan profesional oleh gerakan untuk mengekalkan kepimpinan ulama dalam parti dan terbubarnya Pakatan Rakyat. Kini, dalam kalangan profesional sedang kembali menguasai parti. Ini dapat dilihat bagaimana PAS memberikan keyakinan kepada pengundi Kelantan apabila muncul “gerakan” untuk meletakkan bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan, Nik Mohamad Amar Nik Abdullah sebagai calon MB Kelantan selepas Dato’ Ahmad Yaacob menyatakan hasratnya untuk bersara.

Gerakan itu mendapat tentangan dari sakan PAS sendiri, kerana sebahagiannya tidak melihat Nik Mohd Amar adakah calon terbaik, walaupun beliau adalah calon kelompok ulama. Beliau ada legasi keluarga tetapi liabiliti peribadinya cukup banyak, gagal berkhidmat sebagai wakil rakyat, dan dianggap cukup gelojoh bila memberikan sebarang pandangan.

Akhirnya, diumumkan bahawa PAS Kelantan akan meletakkan gandingan yang kuat antara ulama dan profesional setelah menyedari Nik Mohd Amar tidak diterima oleh sebahagian besar pengundi Kelantan, walaupun diramalkan akan kekal menang di konstituensinya (DUN Panchor).

Selesai PRN, Nik Amar dilantik sebagai Yang di Pertua DUN Kelantan, tidak lagi berada dalam barisan pengurusan pentadbiran kerajaan negeri secara langsung. Ada yang melihat kedudukan itu sebagai satu bentuk “pengunduran terhormat”, yang mungkin akan digugurkan sebagai calon dalam PRU/PRN akan datang. Beliau akan digantikan dengan calon baharu, yang boleh membawa perubahan kepada lanskap politik dan pembangunan negeri Kelantan, yang sampai kini dilihat masih belum dapat memenuhi makna Membangun Bersama Islam dalam konteks yang lebih luas dan cukup bermakna.

Sejak slogan itu digunakan, proses pembangunan Kelantan dilihat cukup perlahan, hanya berlaku dengan inisiatif kerajaan pusat. Kerajaan negeri hanya sekadar menggunakan alasan, “tidak dapat wang royalti” dan “sekatan peruntukan oleh kerajaan pusat” tanpa menunjukkan kerangka pembangunan yang komprehensif dari kerajaan negeri sendiri. Hasil pendapatan kerajaan negeri tidak dapat menampung keperluan pengurusan negeri, bahkan mungkin akan tidak mampu membayar gaji kakitangan sekiranya tidak ada “sumbangan/geran per kapita” daripada kerajaan pusat berdasarkan peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia.

Jadi, jika PAS ingin berkuasa di peringkat pusat PAS perlukan lebih ramai kumpulan profesional, bukan dimonopoli oleh kelompok ulama. Ini kerana urusan kenegaraan bukan seperti cerita dalam ceramah dan kuliah agama berbau politik, ia memerlukan tenaga pakar untuk mencorakkan lanskap pembangunan dan pembinaan negara.

Ulama tidak mampu bergerak dalam situasi teknologi yang kian mencabar memusnahkan nilai, tetapi ulama boleh berperanan sebagai “benteng” dan kekuatan akidah, dengan mendefinasikan semula peranannya secara dinamik dan progresif, bukan lagi sekadar boleh menghukum dalam doktrin syurga-neraka, kafir dan taghut, atau sekular dan Islam. Ini kerana “keperluan keduniaan” tidak boleh dilepaskan kepada orang lain, hanya semata-mata mengejar akhirat.

Asas Islam ialah bagaimana menyeimbangkan antara dunia dan akhirat. Mengejar akhirat tidak bermakna melupakan “dunia” tetapi dunia yang dikejar itu adalah dunia yang boleh membawa jalan kepada “kesejahteraan” di akhirat. Dunia yang bersih daripada kemungkaran dan segala bentuk maksiat, salah laku dan pembohongan dalam tindakan dan ucapan.

Bahkan, kata Imam al-Ghazali, dunia adalah ladang akhirat, apa yang kita tanam sekarang, akan dituai di akhirat. Maksudnya, jika disemai benih yang baik, ia akan berbuah harum di akhirat. Jadi, itulah maknanya kebahagian yang kita cari, kebahagiaan dan kesejahteraan sejati, bukan bayang-bayang yang dikejar tanpa diketahui bentuk dan apa konsekuensinya.

Dunia dan akhirat saling berhubung dan berkait, bukan sekadar “undi PAS masuk syurga” kerana syurga itu untuk mereka yang beramal sholeh, dan berjaya menginsankan dirinya sebagai makhluk sosial, sebagaimana Allah SWT inginkan antara “hubungan dengan Allah dan hubungan antara manusia/makhluk” yang cerdas, bijaksana dan harmonis. Itulah sebenarnya perjuangan dan bentuk politik Islam, bukan hanya retorik atas nama Islam dan psikologi “memerangkap minda” ke arah “personality cult” dan kekaburan tindakan. Hanya sekadar menjaring kuasa.

Sama ada ulama atau profesional, ia tetap saling memerlukan dalam sebuah sistem pemerintahan yang berasaskan nilai agama. Sejarah tetap dengan indikasi yang cukup segar untuk dipelajari, tanpa golongan profesional sesebuah negara tidak akan muncul sebagai satu bentuk kekuatan kerana Islam sangat mementingkan ilmu, yang perlu diadunkan (integrasi) antara teknik dan teologi. Adunan dua premis itulah kita dapat Islam pernah mencapai kegemilangan yang cukup lama, sehingga menjadi rujukan dan tempat belajar masyarakat barat pada suatu ketika.

Tetapi, setelah runtuhnya empayar-empayar Islam, negara-negara Islam bergelut dengan keperluan sekte, sehingga melupakan tanggungjawab dan peranan melangkaui teologi, kerana kita ingin kembali kepada asas agama yang dianggap telah hilang. Kita membangunkan madrasah dan pusat tarbiyah, tetapi kita gagal mengintegrasikan kesemuanya kemahiran teknikal, akhirnya, kita marah bila ada yang berkata, negara Islam mundur kerana terlalu berkiblatkan akhirat, melupakan keperluan sebagai Homo Sapiens.

Kita gagal seimbangkan dan integrasikan sebagaimana PAS telah gagal membangunkan negeri-negeri yang ditadbirkan olehnya sehingga muncul pandangan: jika ingin kembali ke zaman “tidak membangun” atau mundur, undilah PAS”. Jadi, pembangunan itu bukan sekadar punya AEON Mall, apa yang menjadi masalahnya, di manakah anak-anak muda boleh membina masa depannya dengan lebih baik. Antaranya peluang pekerjaan, kemudahan infrastruktur, sokongan psikososial dan keharmonian bermasyarakat.

Semuanya ini menunjukkan keberkesanan tindakan politik, bukan retorik, “tiada masalah anak muda mencari rezeki di negeri lain”, sebab mereka juga turut membantu negeri leluhur sendiri: hantar wang untuk keluarga, dan sesekali pulang memeriahkan iklim perniagaan, tetapi, tanyalah kenapa mereka lebih ramai mencari rezeki di negeri bukan ditadbirkan oleh PAS (Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor).

Jangan pula ada pemimpin akan cuba berfalasi: jika dekat dengan Kuala Lumpur, negeri itu akan jadi mahu seperti Selangor. Tetapi, fikirkanlah bagaimana pemimpin Pulau Pinang merancang kemajuannya setelah negeri itu hilang status pelabuhan bebas cukai dan lokasi utama sebelum memulakan perjalanan ke Mekah oleh sebahagian umat Islam pada suatu ketika (menggunakan kapal laut).

Kita memerlukan pemimpin yang dinamik, progresif, kreatif dan inovatif, bukan sekadar pemimpin yang hanya ada karismatik (aura agama) dan dalam masa yang sama, tiada idea besar yang boleh diketengahkan, masih bertekak dengan alasan, disekat, dikongkong dan “dianaktirikan”.

Kita mungkin boleh belajar daripada Iran, pelbagai tekanan telah dikenakan, tetapi ia tetap bangkit menjadi sebuah negara Islam yang tidak mudah goyah dan tunduk kepada kehendak polis dunia, bahkan kerana Israel tidak bersedia menerima hempasan senjata Iran, Amerika Syarikat membatalkan ugutannya menyerang negara yang dipimpin oleh pemimpin spiritual, dan dilaksanakan oleh pemimpin yang cukup profesional.

Di situlah kita perlu mencari dan membina kekuatan sendiri bukan hanya sekadar bercakap, untuk perkasa PN, walhal ia adalah “panadol” yang boleh memberikan kelegaan sementara, proses pemerkasaan sebenar itu bukan sekadar menukar pemimpin, keperluan terbesar ialah bagaimana “kebersatuan” boleh dibentuk dalam situasi biduk sedang mencari “tempat berlindung” yang tidak mengongkong, dan langkau kehendak dominasi politik sebuah parti yang bernama PAS.

KAMARUN KH

Translate »