Oleh: Ibnu Majid

Kini kita telah berada di hari-hari Ramadan yang mulia. Dalam suasana penuh keberkatan ini, marilah kita mengharapkan agar jiwa raga kita, keluarga, anak-anak serta seluruh umat Islam terus diasah dan diasuh untuk meneruskan perjalanan menuju Allah s.w.t. Kita perlu mempersiapkan bekal bagi menelusuri jalan itu.

Tahukah saudara apakah bekal itu?  Benih-benih kebajikan yang harus kita tabur di dalam jiwa keluarga muslim seluruhnya. Tekad kita yang membaja untuk memerangi nafsu, agar kita mampu menghidupkan malam Ramadan dengan solat dan tadarus, serta siangnya dengan ibadah kepada Allah melalui pengabdian untuk agama, bangsa dan negara.

Sebagai keluarga muslim kita seharusnya gembira menyambut kedatangan bulan Ramadan dan menghadapi dengan dada yang sangat lega; dengan jiwa yang tenang, dengan hati yang tenteram. Bagi orang Islam yang beriman mereka menerima kehadiran bulan yang barakah ini dengan penuh kegembiraan. Ini kerana pengembaraan Ramadan yang begitu lama sudah kembali semula menemui kita.

Sesungguhnya Allah mewajibkan puasa adalah untuk membersihkan jiwa dari sifat-sifat yang hina dan menghiasinya dengan sifat-sifat yang mulia serta menjauhkannya dari setiap sifat yang tercela. Kita dianjurkan banyak bersabar dan berjihad melawan hawa nafsu. Dengan puasa juga iman seseorang muslim akan bertambah kuat dan bersih.

Ramadan menawarkan pelbagai tawaran dan ganjaran untuk keluarga muslim yang beriman. Sebab itu juga bulan ini dikenali sebagai bulan ibadah. Iaitu bulan dimana orang-orang yang beriman berebut-rebut mengerjakan amalan soleh.

Orang-orang yang beriman sahaja yang tahu menghargai Ramadan. Sebab itu mereka mempertingkatkan amalan baik seperti bersedekah, tarawih, qiamullail, membaca al-Quran, berzikir dan bermacam-macam amalan baik yang lain pada bulan yang mulia.

Banyak kelebihan yang terdapat pada bulan Ramadan dibandingkan dengan bulan-bulan lain dalam Islam.  Kitab suci al-Quran yang menjadi panduan hidup kita diturunkan di dalam bulan mulia ini.

Ini ditegaskan oleh Allah dalam firman-Nya yang berbunyi :“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam Lailatul Qadar”. [Surah al-Qadr ayat 1]

Umat Islam harus menghayati keagungan bulan Ramadan ini. Bulan dimana Allah telah menurunkan Al-Quran sebagai petunjuk bagi seluruh umat manusia. Ini adalah bulan kembali dan taubat, bulan pengampunan dan rahmat, bulan kebebasan dari api neraka dan kemenangan berupa syurga.

Di bulan ini juga didalamnya terdapat malam lailatul Qadar yang mana malam itu adalah lebih utama dari seribu bulan.  Para malaikat dan roh (Jibril) silih berganti turun seizin Allah dan kedamaian akan terasa hingga terbit fajar.  Pencarian dan penemuan malam Qadar merupakan usaha kerohanian yang besar di bulan Ramadan. Anas r.a. menyebutkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ad-Dailami, sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :

‘Sesungguhnya Allah telah menurunkan kepada umatku Lailatul Qadar dan tidak diberikannya kepada umat-umat sebelum mereka’.

Bulan Ramadan menuntut banyak kesabaran kita kerana hakikat puasa itu sendiri bukan sekadar menahan makan dan minum malah mencegah kita melakukan hubungan “intim” antara suami isteri, juga dilarang bercakap kotor atau lucah sepanjang puasa Ramadan.

Boleh dikatakan kehancuran akhlak dan merosotnya nilai-nilai martabat manusia bersumber dari tidak dapat mengawal nafsu makan, minum dan hubungan seksual. Dilihat dari aspek ini puasa di bulan Ramadan ini benar-benar merupakan pendidikan akhlak yang amat ampuh.  Puasa menjadi benteng umat Islam dari bahaya kehancuran akhlak.

Rasulullah s.a.w. mengingatkan dalam sabdanya yang bermaksud :

‘Puasa itu bukanlah sekadar meninggalkan makan dan minum, akan tetapi puasa yang sebenarnya ialah meninggalkan perbuatan yang tidak berguna dan menjauhi perbuatan dosa.  Kerana itu, jika ada seseorang yang memaki kepadamu, maka cukup engkau katakan: Sesungguhnya aku sedang berpuasa!  Sesungguhnya aku sedang berpuasa!’. [Hadith riwayat Ibnu Huzaimah, Ibnu Hiban dan Hakim]

Bulan Ramadan selain dari menuntut kita agar bersabar, bertaubat, beristighfar, berjihad, banyak bersedekah dan berdoa, amalan-amalan lain juga dianjurkan seperti Qiamullail, tilawatul Quran, iktikaf dan amalan-amalan soleh yang lain. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :

‘Apabila Ramadan telah datang, maka pintu-pintu syurga dibuka (lebar-lebar), dan pintu-pintu neraka tertutup (rapat-rapat) dan syaitan-syaitan pun dibelenggu’. [Hadith riwayat Bukhari dan Muslim]

Translate »