Oleh: Ibnu Majid

SESUDAH lebih kurang 360 hari bersembunyi dalam lipatan masa, Ramadan muncul kembali di tengah-tengah kaum muslimin.

Secara bahasa, Ramadan berasal dari kata ramdha, yarmadhu, yang bererti panas yang terik atau panas yang membakar. Secara maknawiah kita biasa menghayati Ramadan sebagai bulan yang dapat membakar dan melebur segala dosa orang-orang yang berpuasa.

Berkaitan dengan Ramadan ada istilah “marhaban” yang berasal dari kata rahabu, yarhabu yang bererti luas atau lapang. Marhaban melambangkan suasana penerimaan tamu dengan sambutan hangat, lapang dada, dan penuh kegembiraan. Maka kalimah marhaban ya Ramadan (selamat datang Ramadan) mengandung erti bahawa kita menyambut Ramadan dengan penuh suka cita, gembira dan penuh kehangatan.

Selain pengertian bahasa dan istilah tersebut, Ramadan mempunyai sejumlah nama lain yang diambil dari al-Quran dan sunnah, mahupun diambil dari makna hakikinya.

Bulan Ramadan juga digelar Syahrul Ibadah (bulan ibadah),Syahrul Quran (bulan al-Quran), Syahrur-Rahmah (bulan rahmat), Syahrul-Mubarak (bulan keberkatan), Syahrul-Maghfirah (bulan ampunan), Syahrul-Tarbiah (bulan pendidikan), Syahrul-Jihad wal-Faalah (bulan jihad dan kemenangan), Syahrush-Shabr (bulan kesabaran), Syahrul-Judd (bulan kemurahan).

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Siapa pun yang berpuasa selama sebulan Ramadan dengan keimanan yang mantap dan keinginan yang sungguh-sungguh untuk mendapat reda Allah, maka seluruh dosanya yang lalu dan yang akan datang diampuni.

Begitu dahsyatnya puasa Ramadan. Namun benarkah itu? Benarkah hanya menahan lapar dan dahaga serta tidak berhubungan suami isteri selama sebulan Ramadan, maka dosa-dosa kita yang lalu dan yang akan datang akan diampuni dan kita serta-merta menjadi orang yang bertakwa?

Tentu saja, puasa tidak sekadar menahan lapar dan dahaga serta tidak berhubungan suami isteri. Amatlah sulit bagi kebanyakan manusia untuk meraih kelebihan dari puasa Ramadan.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: Wahai Jabir! Inilah bulan Ramadan. Siapa pun yang berpuasa pada siang harinya dan menghabiskan sebahagian malamnya dengan memanjat doa-doa, pantang memakan makanan haram, menjaga dirinya dari yang haram, dan mengendalikan lidahnya dari mengatakan yang haram, maka dosa-dosanya akan berguguran seiring berlalunya bulan Ramadan. Jabir berkata, “Wahai Rasulullah, betapa indahnya hadis ini. Rasulullah mencelah, “Namun betapa sulit dan sukar batasan-batasannya.”

Pada hakikatnya Allah mewajibkan puasa adalah untuk membersihkan jiwa dari sifat-sifat yang hina dan menghiasinya dengan sifat-sifat yang utama serta menjauhkan dari setiap pekerti yang tercela atau kejahatan yang menyusahkan.

Sesungguhnya puasa adalah suatu kewajiban menurut hukum di mana Allah mewajibkannya umat Muhammad ini, sebagaimana diwajibkannya atas umat-umat yang terdahulu. Kefardhuannya semata-mata untuk mewujudkan kemaslahatan mereka dan untuk menyucikan jiwa mereka. Dengan puasa, seorang muslim akan dapat membiasakan dirinya bersabar dan berjuang melawan hawa nafsunya.

Allah berfirman yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atasmu puasa sebagaimana puasa itu telah diwajibkan kepada umat yang sebelum kamu, semoga kamu bertakwa. Iaitu di dalam beberapa bilangan hari (yang berturut). (Surah Al-Baqarah: ayat 183-184).

Puasa juga diwajibkan ke atas orang-orang atau umat-umat sebelumnya. Isyarat ini jelas menunjukkan bahawa puasa bukan sahaja ibadah ritual yang khas bagi umat Muhammad. Puasa dapat ditemui hampir setiap tempat, setiap budaya, dan setiap umat. Mungkin ia berbeza dari segi tatacaranya tetapi dari segi maksud dan tujuan adalah hampir sama iaitu untuk membina ke arah pertumbuhan mental bagi menempuh jalan-jalan spirituil untuk tujuan membebaskan jiwa dari dugaan hidup duniawi.

Contohnya Maryam melakukan puasa ketika saat menjelang melahirkan anaknya Isa. Betapa tertekannya dari segi mental dan fizikal apabila dituduhnya perempuan sundal. Namun puasa memberinya jalan terang di saat kritis seperti itu. Ia berjaya dan Isa lahir. Demikian juga Isa berpuasa selama empat puluh hari ketika saat syaitan menawarkan kemasyhuran dan kekuasaan. Soccrates dan muridnya Plato juga berpuasa selama sepuluh hari bagi meningkatkan kesihatan fizikal dan jiwa. Hippocrates sebagai seorang doktor terkenal di zamannya menasihatkan pesakitnya agar berpuasa jika ingin cepat sembuh. Ini semua memperkuatkan dugaan bahawa puasa selain bersifat syarii (perintah agama) juga bersifat tabii (sesuai dengan bawaan alamiah) insani (sesuai dengan hasrat intelek manusia) dan jamai’ sesuai dengan hasrat sosial.

Sekali setahun kita melaksanakan suatu kewajiban yang istimewa, termasuk Rukun Islam yang lima, iaitu puasa. Ia istimewa dari yang lain, disebabkan:

1. Perintah di dalam al-Quran tertumpu di dalam 5 ayat dari suatu surah iaitu al-Baqarah, ayat 183 hingga 187. Adapun rukun-rukun Islam yang lainnya dan perintah-perintah yang lain tersebar di dalam pelbagai surah, terdapat dalam ayat-ayat yang terpisah antara satu dengan lainnya.

2. Rukun-rukun Islam yang lain terletak di dalam perbuatan, sedangkan puasa letaknya di dalam menahan dan menghentikan. Mulai dari syahadahnya, solat, zakat dan haji, amalnya terletak di dalam perbuatan-perbuatan yang harus kita ucapkan, kita lakukan dan kita laksanakan. Tetapi amal puasa ialah pada menahan dan menghentikan. Kita menghentikan makan minum, kita tahan hubungan kelamin, dan begitulah seterusnya kita berhenti dari segala larangan, maka semua penghentian dan menahan itu dinamakan puasa. Namanya mengerjakan puasa, tetapi isinya menghentikan dan menahan.

3. Tujuan utama dari puasa ialah latihan. Semua orang yang beriman harus sanggup berlatih menahan nafsu dan menghentikan syawatnya, sanggup menahan amarah dan menghentikan kezaliman. Dan latihan itu terdiri daripada dua jenis: i) latihan terbatas, ialah menghentikan terhadap sesuatu yang tadinya halal dan dibolehkan, iaitu makan, minum dan hubungan kelamin; dan ii) latihan total yang tiada batasnya, iaitu menghentikan terhadap segala larangan dan yang haram.

4. Waktunya ditetapkan dan beberapa bilangan hari yang berturut-turut, iaitu sebulan penuh Ramadan. Satu-satunya nama bulan yang disebutkan dalam al-Quran, ialah bulan Ramadan (Surah Al-Baqarah ayat 185), suatu bulan yang penuh peringatan-peringatan besar, banyak kenangan, dan bulan berkah. Pada bulan itulah, sebulan penuh kita diwajibkan berlatih mengerjakan puasa.

5. Puasa adalah satu-satunya amal yang langsung perhitungan pahalanya dilakukan oleh Tuhan. Sebab itu, Surah Al-Baqarah ayat 183 hingga 184 di atas menyimpulkan semua inti puasa kepada lima perkara utama iaitu:

(1) Orang-orang yang dipanggil mengerjakannya adalah bersifat iman sebagai syarat yang tertinggi dalam Islam

(2) Puasa merupakan ibadah, meskipun amalnya tidak terletak pada dikerjakan, tetapi pada menahan dan menghentikan.

(3) Perintah puasa sudah berlaku sejak dahulu kepada umat-umat yang lainnya, sehingga ia merupakan suatu “universal institution” (institusi yang universal).

(4) Tujuan ialah bertakwa kepada Tuhan, sebagai tingkat yang tertinggi dalam ajaran Islam.

(5) Waktunya adalah berturut-turut dalam beberapa hari yang berbilang, iaitu satu bulan penuh, bulan Ramadan.

Dengan kelima macam keistimewaan ini yang dalam praktiknya adalah menghentikan dan menahan itu, menjadi suatu amal yang paling tinggi nilainya, suatu alat yang paling ampuh di dalam menciptakan iman dan mencapai takwa.

Translate »