Oleh: Luqman Hakim

Pada suatu hari telah datang seorang lelaki kepada Baginda Rasul kerana hendak memeluk Islam. Sesudah mengucapkan dua kalimah syahadah, lelaki itu lalu berkata, “Ya Rasul Allah! Sebenarnya aku ini selalu benar berbuat dosa dan payah dapat aku meninggalkannya.” Maka jawab Rasulullah s.a.w. “Mahukah engkau berjanji bahawa engkau sanggup meninggalkan cakap bohong?” “Ya, saya berjanji”, jawabnya singkat. Kemudian ia pun pulang ke rumahnya.

Sebenarnya sebelum Islam lelaki itu terkenal sebagai seorang yang jahat. Kegemarannya mencuri, berjudi dan meminum minuman keras. Maka setelah ia memeluk Islam itu ia cuba sedaya upayanya untuk meninggalkan segala keburukan itu. Dengan harapan serta maksud yang baik itulah maka ia meminta nasihat dari Rasulullah s.a.w.

Tatkala berjalan pulang dari menemui Rasulullah s.a.w. lelaki itu berkata dalam hatinya, “Berat juga aku hendak tunaikan apa yang dikehendaki Rasulullah itu.” Maka itulah apakala hatinya terdorong sahaja untuk berbuat jahat, hati kecilnya terus mengejeknya, “Beranikah engkau berlaku jahat? Apa akan kamu katakan nanti bila ditanyai Rasul? Sanggupkah engkau berbohong kepadanya?” Demikian hati kecilnya mengejek. Ia menjadi tersedar lalu terus berfikir dalam hatinya. Kalau aku berbohong kepada Rasul maka aku telah mengkhianati janjiku kepadanya. Sebaliknya jika aku berkata yang benar bahawa aku telah berjudi, minum arak atau lainnya bererti aku akan menerima hukuman sebagai orang Islam! Wahai sungguh dalam hikmat yang terkandung dalam pesanan Rasul itu.

Setelah berjuang dengan hawa nafsunya itu lelaki itu akhirnya tidak jadi hendak berbuat jahat. Menurut cerita-nya semenjak hari itu mulalah babak baru dalam hidupnya. Ia telah berhijrah dari kejahatan kepada kemuliaan hidup, kepada jalan benar yang indah seperti yang digariskan Rasulullah s.a.w. Hingga di akhir hayatnya ia telah berubah menjadi mukmin yang salih dan mulia.

Translate »